Oleh : ISMAIL HASHIM YAHAYA
Senarionya seolah-olah merupakan
rakaman semula seperti di Tuscon, Virginia Tech dan Columbine. Cuma kali ini ia lebih menyayat
hati apabila majoriti mangsa terkorban ditembak terdiri daripada kanak-kanak
yang masih bersekolah.
Kejadian di Newton, Connecticut,
Amerika Syarikat (AS) apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah
sekolah di mana ibu penembak bekerja di situ sebagai seorang guru tadika,
membunuh 20 kanak-kanak dan 6 dewasa. Penembak tersebut kemudiannya membunuh
diri.
Seorang lagi mangsa, dipercayai
ibu kepada penembak ditemui mati di sebuah rumah di Newton, membawa jumlah
mangsa kepada 27 orang.
Ini memang kejadian sangat
menyayat hati, terutamanya majoriti mangsa terdiri daripada kanak-kanak sekolah
rendah masih tidak tahu apa-apa.
Ini menjadi pengajaran
sebenarnya, walaupun semaju dan secanggih mana sesebuah negara itu sekalipun,
tetapi jika ada seseorang mempunyai masalah mental yang mampu mendapatkan akses
kepada senjata api dengan begitu mudah, tak mustahil tragedi menyayat hati
sebegini akan berulang.
Mungkin ini harga perlu dibayar
kepada right to keep and bear arms dalam perlembagaan kedua yang terkandung
dalam perlembagaan Amerika Syarikat.
Kurang kawalan terhadap senjata
hanyalah setengah daripada kisahnya. Kisah sebaliknya adalah AS sekarang
berhadapan dengan pesakit mental, sakit jiwa disebabkan tekanan hidup dan
krisis ekonomi yang begitu mencabar dan memuncak.
Bayangkan sekitar 45 juta warga
dewasa Amerika menderita dari sakit jiwa. Sebelas juta kes dianggap serius.
Walaupun kebanyakan mereka tidaklah dikategorikan serius, tetapi jika diberikan
tekanan mereka boleh saja bertindak ganas.
Tetapi mereka yang berhadapan
dengan sakit jiwa sukar untuk mendapat jumlah bajet mencukupi.
Bajet kesihatan mental awam di AS
telah menurun sejak beberapa dekad lalu. Bahkan keadaan menjadi lebih buruk
pada 2009 apabila kebanyakan negeri di AS mengalami pemotongan berjumlah
berbilion dolar daripada bajet tahunan.
Seorang wartawan akhbar online
Huffington Post melaporkan, menurut Persatuan Kebangsaan Pengarah-Pengarah
Program Kesihatan Mental Negeri kebanyakan negeri berhadapan pemotongan besar
sekurang-kurangnya AS$4.35 bilion dalam perbelanjaan kesihatan mental antara
2009 hingga 2012.
Dalam tahun fiskal 2012 juga, 31
negeri di AS melaporkan kepada Persatuan dengan pemotongan berjumlah AS$840
juta.
Katil, rawatan atau
program-program untuk pesakit jiwa masih tidak mencukupi. Kos perawatan
sangatlah mahal dan syarikat-syarikat insurans tidak dapat menanggung kos-kos
ini.
Namun kita tidak boleh
menyalahkan individu-individu seperti ini semata-mata terhadap apa berlaku,
apatah lagi kebebasan penggunaan senjata api.
Dalam dunia kesejagatan sekarang
setiap kepimpinan AS malah rakyatnya juga harus dipertanggungjawabkan terhadap
setiap tindakan keganasan dan pembunuhan ratusan orang yang tidak berdosa
setiap hari.
Situasi ini bukan suatu yang
tidak sengaja atau yang tidak dapat dielakkan, harus diingat ia juga ada kaitan
dengan krisis ekonomi besar yang melanda AS sekarang. Kerajaan AS berhadapan
dengan masalah keseimbangan bajet disebabkan oleh defisit tinggi.
Sekiranya mereka bebas memiliki
senjata, pada masa sama berhadapan krisis ekonomi, ini tentunya merupakan
ramuan bagi tercetusnya sakit jiwa atau mental, pembunuhan dan kematian.
Jika perkara-perkara ini tidak
diatasi lebih banyak jenayah seumpamanya akan berlaku. Tembakan di Connecticut
harus mengingatkan kita bahawa sebagai tambahan kepada kawalan senjata dan
memperketat undang-undang, kita memerlukan rangka kerja nilai yang diajar di
dalam keluarga, komuniti dan sekolah. Kita perlu rangka kerja yang menggalakkan
budaya keamanan, budaya spiritual dan keagamaan dalam setiap kehidupan manusia
dan menghormati setiap agama, agama dan bangsa serta etnik.
Berapa ramai lagi kanak-kanak,
wanita atau mereka yang tidak berdosa akan mati sebelum masalah kesihatan
mental dan krisis ekonomi berjaya diatasi. Apakah keutamaan kerajaan AS
sekarang, bajet ketenteraan dengan dasar luar yang mengutamakan rejim pengganas
Israel atau mengutamakan kebajikan rakyatnya?
* Penulis ialah Timbalan Dekan Akademik, Fakulti
Komunikasi dan Media, Universiti Selangor kampus Shah Alam.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/