Oleh : Wan Mohd Hirwani Wan Husain
Pendedahan video aksi gadis
bertudung memeluk artis popular KPop dari Korea Selatan amat menggemparkan dan
mengundang pelbagai reaksi masyarakat. Pada saat negara dirundung kesedihan
dengan isu banjir di Pantai Timur dan nahas kapal terbang QZ8501 AirAsia
Indonesia, video berkenaan menggambarkan bagaimana tingkah laku generasi muda
masa kini yang semakin 'bernanah' dalam masyarakat.
Video itu turut menerangkan
bahawa institusi pendidikan dan keluarga perlu memainkan peranan bagi
membendung perlakuan tidak sopan yang membabitkan pergaulan lelaki dan wanita.
Nilai murni masyarakat Malaysia yang terkenal dengan adat dan kesantunan tinggi
telah tercemar dengan pendedahan video berkenaan. Ini bukan nilai murni yang
baik dan patut dicontohi generasi muda.
Etika dan nilai murni milik generasi
muda masa kini kian pudar selaras dengan perkembangan teknologi yang dikecapi.
Penggunaan media sosial telah digunakan sebagai platform oleh generasi muda
bagi mengkritik, menempelak dan meluahkan perasaan atas segala aspek yang
dirasakan tidak adil pada perspektif mereka.
Ini menyebabkan nilai murni dan
sopan santun masyarakat Malaysia semakin lama semakin terhakis. Etika berasal
daripada perkataan 'ethos' (Greek) yang didefinisikan sebagai keperibadian dan
akhlak, merangkumi aspek prinsip dan kelakuan individu mengenai kepercayaan
antara betul dan salah. Etika juga merangkumi tingkah laku seseorang yang
menggambarkan sesebuah masyarakat. Dari perspektif Islam, etika amat penting
kerana Islam menggariskan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, tawaduk dan
wasatiyyah dengan berlandaskan kepada al-Quran dan hadis.
Etika dan nilai murni yang baik
amat penting kepada diri seseorang individu kerana ia berupaya membantu memberi
sumbangan kepada masyarakat dan juga negara.
Elak masalah sosial lebih serius
Banyak kes rasuah pada masa kini
adalah dalam kalangan eksekutif muda yang mahukan kesenangan dengan cepat tanpa
memikirkan kesan dan akibat perbuatan berkenaan.
Sekiranya ini dibiarkan maka
adalah tidak mustahil pada suatu masa nanti kejatuhan nilai murni dan sosial
menjadi semakin serius di Malaysia. Permasalahan ini perlu dibendung sejak di
sekolah rendah lagi dengan memperkenalkan subjek yang berkaitan dengan etika
dan nilai murni. Pengenalan subjek ini dapat membantu mendidik pelajar sejak di
sekolah rendah dan pada masa sama dapat mengurangkan sikap prejudis dan iri
hati generasi muda.
Kajian Institut Integriti
Malaysia (IIM) menunjukkan sebanyak 31 peratus pelajar sekolah sanggup menerima
rasuah seandainya ada kuasa dan peluang melakukannya. Ini adalah sesuatu yang
serius dan perlu diberikan perhatian kerana tidak mustahil jumlah peratusan
tersebut akan meningkat pada masa hadapan.
Malaysia yang mempunyai pelbagai
kaum dan budaya sememangnya mempunyai etika dan nilai murni masing-masing. Oleh
itu, adalah menjadi keperluan setiap pelajar sekolah rendah memahami dan
menghormati etika dan nilai murni yang diterapkan dalam masyarakat
masing-masing.
Penghayatan etika dan nilai murni
dalam pelbagai agama dan masyarakat membolehkan generasi muda pada masa akan
datang lebih bertamadun dan berketrampilan. Ini secara tidak langsung akan
bertindak sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara serta dapat
merealisasikan wawasan negara maju menjelang tahun 2020.
Saranan Penasihat Kerajaan Dalam
Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim perlu diberi perhatian.
Beliau mencadangkan bahawa adalah menjadi keperluan untuk sekolah rendah
memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam seminggu bagi proses pengajaran dan
pembelajaran berkaitan etika dan nilai murni.
Tumpu aspek perpaduan
Seterusnya, pembangunan modul
etika dan nilai murni yang dibangunkan perlu memberikan tumpuan khusus kepada
aspek perpaduan, hormat menghormati, bekerjasama yang mempunyai kualiti daya
saing tinggi bagi membolehkan generasi pelajar hari ini mampu berdepan
perubahan pada masa hadapan.
Penilaian terhadap subjek juga
perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memenuhi objektif pengajaran dan
membolehkan penilaian pelajar dapat dilakukan dengan lebih baik serta berkesan.
Malaysia juga boleh mengaplikasi
konsep pendidikan negara Jepun dengan menerapkan pengajaran dan pembelajaran
etika sejak di sekolah rendah. Berdasarkan kepada pepatah Melayu 'melentur
buluh biarlah dari rebungnya' maka adalah amat tepat jika pelajar sekolah rendah
digunakan sebagai medium mengubah etika masyarakat yang kian hancur masa kini.
Keseluruhannya, pengajaran dan
pembelajaran etika amat signifikan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahukan
generasi muda lebih bertanggungjawab, amanah dan adil dalam menjalankan tugas.
Kerjasama strategik antara
Kementerian Pendidikan dan universiti serta badan penguatkuasaan perlu
dilakukan dengan lebih terancang. Hasilnya diharapkan dapat menghasilkan
generasi muda lebih berilmu dan berakhlak mulia.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/