Sabtu, 27 Oktober 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Bio-Visa Tangani Identiti Palsu Pelawat Asing


Oleh : IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

KUALA LUMPUR: Semua pelawat asing yang perlu memohon visa untuk datang ke Malaysia akan diwajibkan mendaftar menggunakan sistem biometrik terlebih dahulu di kedutaan atau konsulat Malaysia negara masing-masing pada masa akan datang, bagi menangani isu pemalsuan identiti menggunakan dokumen perjalanan itu.

Pemalsuan visa merupakan antara kesalahan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 dan pelawat asing yang berbuat demikian akan dikenakan Notis Tolak Kemasukan (Not To Land Notice/NTL), yang tidak membenarkan mereka masuk ke negara ini dan akan dihantar pulang ke negara asal dengan serta-merta.

Sejumlah 22,157 pelawat asing termasuk mereka yang menggunakan visa dikenakan tindakan NTL pada 2011 manakala 17,828 NTL dicatatkan antara Januari hingga September tahun ini di pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).

Terdapat sebuah negara yang mencatatkan jumlah NTL paling tinggi iaitu kira-kira 5,000 orang pada satu tahun dan sebahagian besar kesalahan mereka adalah pemalsuan visa.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, pengesahan menggunakan sistem pengimbas cap jari itu dikenali sebagai sistem Biometrik-Visa (Bio-Visa), yang merupakan sebahagian daripada langkah kawalan keselamatan untuk kemasukan pelawat asing ke negara ini.

Beliau berkata, sistem Bio-Visa yang merupakan salah satu inisiatif utama dalam Pelan Transformasi (Fasa Kedua) Jabatan Imigresen akan diumumkan sempena Hari Imigresen pada 1 Disember nanti.

Katanya, sistem Bio-Visa yang akan diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen nanti merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

"Bagi sistem ini, UK Border Agency (UKBA) hanya menjalankan pemeriksaan biometrik untuk pelawat asing yang meragukan. Tetapi Jabatan Imigresen Malaysia pula mengenakan pemeriksaan biometrik kepada semua pelawat asing yang menggunakan visa untuk masuk ke negara ini dan pemeriksaan kedua akan dilakukan ke atas mereka apabila mereka tiba di pintu masuk negara kita," katanya.

“Terdapat kes di mana segelintir individu tidak layak mendapatkan visa dan mereka bertindak mempergunakan orang lain bagi tujuan pemalsuan identiti. Jadi akhirnya orang lain yang buat visa, orang lain pula yang datang ke Malaysia.

"Kenapa mereka perlu menggunakan identiti orang lain? Mereka pastinya bukan pelawat yang tulen dan berkemungkinan berhasrat melakukan aktiviti yang tidak baik apabila mereka berada di negara kita," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.

Pengenalan Bio-Visa ini dicadangkan oleh kerana pengeluaran visa di sesetengah negara yang dilihat sebagai ‘berisiko tinggi’ dan terdedah kepada aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan itu.

Alias berkata, di bawah peraturan baru ini nanti, setiap pelawat asing yang mahu memohon visa perlu mendaftar menerusi sistem biometrik terlebih dahulu sebelum permohonan mereka boleh diproses dan diluluskan.

"Jika visa diluluskan, mereka akan melalui pemeriksaan biometrik sekali lagi apabila mereka tiba di pintu masuk Malaysia sebagai 'saringan kedua'. Hanya individu yang sama berdasarkan permohonan visa yang dibuat sahaja akan dibenarkan masuk ke negara ini," katanya lagi.

Menurut Alias, terdapat 38 negara yang memerlukan visa untuk masuk ke Malaysia seperti China, India, Bangladesh, Sri Lanka dan Myanmar.

"Pelancong dan pelawat dari China dan India merupakan negara yang mempunyai jumlah paling tinggi datang ke Malaysia menggunakan visa," katanya.

Seramai 1.25 juta pelawat dari China dan 693,056 pelawat dari India berkunjung ke Malaysia pada tahun lepas sahaja.

Alias berkata, sistem Bio-Visa akan dilaksanakan secara berperingkat dan sebagai permulaan, akan dimulakan pada negara tertentu berdasarkan jumlah kemasukan pelawat ke Malaysia.

"Pada masa ini, inisiatif Bio-Visa sudah dirancang dengan teratur dan sedang menunggu pelantikan vendor untuk sistem ini. Saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai langkah pencegahan ke atas pelawat palsu yang memasuki negara ini tanpa memerlukan visa, Alias menjelaskan, semua pelawat asing yang berhasrat memasuki Malaysia tanpa visa akan dikenakan pemeriksaan biometrik di semua pintu masuk utama negara.

Pemeriksaan biometrik ini ialah sistem pengimbasan cap jari yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi tujuan pengenalpastian dan pengesahan identiti individu dengan memadankan data yang direkodkan dalam pasport.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : TAK AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA


Oleh : Tun Mahathir Mohamed

1. Kata Hang Tuah “Tak akan Melayu hilang di dunia.” Dapatkah kata-kata keramat ini menentukan yang Melayu tak akan hilang di dunia?

2.  Di Singapura kerana tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa penghantar di sekolah-sekolah di Republik itu ialah Inggeris dan Cina; segala urusan rasmi dan tidak rasmi menggunakan Bahasa Ingggeris atau Cina, maka orang Melayu sudah pun tidak menggunakan Bahasa Melayu. Mereka menggunakan Bahasa Inggeris walaupun semasa bercakap dengan anak pinak, keluarga dan kawan-kawan Melayu.

3.  Budaya, adat istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanyalah agama Islam mereka.

4. KeMelayuan mereka sudah tinggal separuh. Kita boleh ramal yang hakisan keMelayuan mereka akan berterusan sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.

5.  Di sebelah utara pula kita dapati orang keturunan Melayu yang tidak dapat bertutur kata dalam Bahasa Melayu. Mereka Islam dan bangsa rasmi mereka ialah Thai. Maka hilanglah juga Melayu di situ.

6. Di Malaysia juga kehilangan Melayu sedang berlaku. Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu. Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya mengakui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan kaum Melayu.

7. Tetapi yang akan menghilangkan Melayu di dunia ialah dakwaan bahawa sesiapa yang bercakap berkenaan dengan bangsa Melayu, mereka akan dituduh “racist”. Oleh itu orang Melayu sudah tidak lagi berani menyebut perkataan Melayu kerana tidak mahu dituduh “racist”.

8. Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan. Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita, akhirnya akan hilang hikmatnya.

(Sumber : Facebook Tun Mahathir, 5 September 2012)

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Pelaksanaan AES terus dipersoal


Oleh : Rejal Arbee
 
Teliti kaedah penguatkuasaan bagi pastikan pemandu patuhi peraturan

Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) terus saja menimbulkan pelbagai reaksi yang mempersoalkan pelbagai aspek sistem itu termasuk cara ia dilaksanakan dan bagaimana perkara untuk mengurangkan kemalangan pun perlu diswastakan.

Diakui ia diwujudkan dengan tujuan mengurangkan kemalangan yang semakin meningkat dan meragut banyak nyawa. Dua daripada sebab utama kemalangan yang dikenal pasti ialah tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu laju. Oleh itu, kamera untuk mengesan pesalah di bawah sistem itu dipasang di tempat di mana banyak berlaku kemalangan kerana melanggar lampu merah atau memandu dengan laju. Sememangnya hasrat kerajaan adalah baik tetapi niat baik saja tidak memadai sekiranya ia menimbulkan banyak rungutan ramai.

90 negara sudah laksana

Kementerian Pengangkutan berusaha sedaya upaya untuk menghadapi rungutan tetapi perasaan tidak puas hati terus saja timbul walaupun ia dilaksanakan dengan tujuan mendorong pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab apabila memandu.

Dikatakan kerajaan telah meneliti sistem itu sejak 2003 lagi dan mendapati lebih 90 negara di seluruh dunia sudah melaksanakannya hingga ada yang mendapati ia berjaya mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya sehingga 60 peratus.

Bagaimanapun, kerajaan juga menyatakan bahawa sistem itu diadakan bukan bertujuan menghukum pemandu tetapi ditujukan hanya kepada mereka yang tegar melakukan kesalahan dengan harapan penguatkuasaannya boleh mendorong mereka mengubah corak memandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Ramai pemandu, baik kenderaan awam, teksi, lori dan bas dan penunggang motosikal tidak menghiraukan pengguna jalan raya lain dan hanya mementingkan diri sendiri saja. Kementerian Pengangkutan menjamin bahawa isyarat mengenai wujudnya kamera diadakan secukupnya untuk memberi amaran awal kepada pemandu mematuhi had laju. Malangnya ia berupa janji saja kerana tanda amaran awal tidak terdapat di semua tempat. Misalnya di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) kira-kira 200 meter selepas persimpangan dari LDP menghala ke Bangi dan Semenyih, papan tanda amaran tidak jelas. Malah tanda had laju di situ juga tidak kelihatan.

Sebagai sebuah lebuh raya tentunya pengguna menganggapkan had lajunya ialah 110km/j tetapi bagi laluan itu hingga ke persimpangan ke Uniten (Universiti Tenaga) ia adalah hanya 90 km/j saja. Ini menimbulkan kesangsian kenapa diwujudkan had laju berbeza untuk lebuh raya dengan tanpa tanda yang jelas lagi kerap?

Kononnya bagi kawasan di mana lebuh raya melintasi sebuah bandar atau perkampungan had lajunya hanya 60km/j saja seperti laluan PLUS di Jitra tetapi bagi SKVE ini ia tidak pula melalui perkampungan atau bandar di situ. Maka timbul persoalan kenapa had laju berbeza, ditambah pula tanda hadnya tidak jelas atau diperbanyakkan. Di sepanjang beberapa kilometer SKVE itu hanya ada satu saja tanda had laju 90 km/j.

Had laju lebuh raya berbeza

Ini memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa sengaja mahu memerangkap pemandu. Tanda had laju sepatutnya diadakan dengan lebih kerap dan terpampang supaya boleh dilihat dengan mudah memandangkan lebuh raya kita mempunyai had laju yang berbeza. Persoalan juga timbul kenapa usaha ini pun diswastakan kerana umum mengetahui penswastaan beberapa projek demikian seperti PLUS dan projek penjanaan elektrik lebih memihak kepada syarikat yang berterusan mengaut keuntungan melampau.

Sebenarnya tidak salah diswastakan asalkan penjawat awam yang diberi amanah melihat butiran perjanjian tidak berat sebelah dan terlalu memihak kepada syarikat hingga mengabaikan hak kerajaan dan orang ramai.

Misalnya syarikat PLUS yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan hingga kini berterusan mengaut keuntungan yang berlebihan hanya kerana jumlah kenderaan yang menggunakannya bertambah berlipat kali ganda daripada apa yang diunjurkan pada waktu mahu mendapatkan kontrak. Walaupun demikian, ia berterusan diberi kebenaran untuk menaikkan kadar tol setiap tiga tahun. Sekiranya kerajaan tidak mahu benarkan kenaikan, kerajaan terpaksa membayar jumlah lebihan yang syarikat itu sepatutnya boleh raih.

Jadi sudah sampai masa kerajaan melihat kembali perjanjian yang amat berat sebelah ini seperti  juga yang berkuat kuasa untuk beberapa syarikat penjana elektrik (IPP) seperti YTL Power yang meraih keuntungan melampau hanya kerana perjanjian menetapkan syarikat tenaga elektrik mesti menerima semua kuasa elektrik yang dijananya walaupun TNB tidak memerlukannya pada sesuatu masa tertentu. Jadi ia berterusan menjana sehingga hampir 100 peratus daripada kapasitinya.

Elektrik bukanlah barangan yang boleh disimpan. Apa-apa kuasa dijana harus digunakan pada waktu sama kalau tidak, ia terbuang saja tetapi TNB tetap perlu membayar keseluruhan tenaga dijana syarikat.

Perjanjian ini menunjukkan bahawa penjawat awam yang diberi amanah mesti melihat setiap butiran dengan teliti supaya tidak membebankan kerajaan dan orang ramai. Sehingga kini butiran perjanjian itu tidak pernah diumumkan dan berterusan menjadi rahsia. Diharapkan setiap usaha penswastaan tidak harus membebankan kerajaan dan pembayar cukai. Keuntungan yang munasabah sememangnya boleh diterima tetapi yang melampau tidak harus disokong.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/