Oleh : ABDUL HADI JUSOH & HASHIM AHMAD SHIYUTI
PENDIDIKAN diiktiraf sebagai sesuatu yang amat signifikan dalam Islam yang
akan mencorak seluruh perjalanan kehidupan insan di dunia ini. Juga, yang akan
menentukan nasib dan tahap pencapaian mereka di akhirat kelak, sama ada
berakhir dengan kesudahan yang baik ataupun sebaliknya. Sebab itulah, permulaan
intipati wahyu yang pertama yang diturunkan di Gua Hira’ kepada penyudah
(khatimu) Nabi dan Rasul, Muhammad SAW bermula dengan terma ‘iqra’ yang membawa
maksud ‘bacalah’.
Lantaran itu, ruang dan manafaat pendidikan baik di peringkat rendah,
menengah dan tinggi tidak wajar hanya terbatas kepada kelompok-kelompok
tertentu semata-mata, atas faktor kekangan kewangan yang ada. Apatah lagi
dengan menjadikan ianya sebagai orientasi keuntungan yang sewajarnya perlu
diminimakan dengan sebaiknya. Dalam hal ini, kerajaan sebagai pemegang amanah
rakyat, perlu menggalasnya sebagai tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan
telus.
Wajarnya, adalah mustahil untuk meyediakan ruang dan manfaat pendidikan
secara percuma dengan hanya pelaksanaan ataupun penghapusan mekanisme dan
sistem yang sedia ada seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN), tanpa wujud satu gagasan dan pendekatan yang lebih inkulsif dan
komprehensif agar tidak menimbulkan masalah yang lebih besar dikemudian hari.
Ibarat nukilan pepatah Melayu, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong
pula keciciran."
Dengan ini, Daya Fikir telah mengambil inisiatif untuk merumuskan beberapa
pendekatan yang dianggap wajar dilaksanakan, dan bukan setakat ‘cakap-cakap
politik’ yang sekadar ingin meraih sokongan semata-mata, khususnya ketika musim
pilihanraya yang semakin hampir. Hasratnya agar ruang dan manafaat pendidikan
peringkat tinggi dapat disediakan secara percuma sepenuhnya dan pada masa yang
sama masih mengekalkan keupayaan kewangan serta tidak mengorbankan prestasi
pelbagai pihak yang terlibat.
Pertama, Daya Fikir mencadangkan penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pendidikan
Tinggi Negara (KWSPTN) yang akan berfungsi sebagai pemodal utama kepada
keperluan kewangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Untuk peringkat permulaan, pihak kerajaan perlu menyediakan sejumlah
tertentu geran asas bagi lonjatan permulaan kepada usaha ini. Kemudian,
meregulasi potongan pendidikan tinggi kepada setiap pekerja dan majikan awam
dan swasta yang akan menjadi sumber kewangan utama kepada KWSPTN. Ini dapat
dilakukan, dengan menetapkan kadar potongan tertentu yang mesti disumbangkan
oleh setiap majikan dan pekerja. Dan, sumbangan ini mestilah menerima
pengecualian cukai seratus peratus daripada kerajaan.
Hasil sumbangan daripada potongan yang diterima oleh KWSPTN akan dilaburkan
semula ke dalam pelbagai portfolio pelaburan yang dikawal selia secara telus
oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar yang berkaitan yang dilantik
oleh pihak kerajaan. Pulangan keuntungan yang diperolehi akan digunakan
sepenuhnya untuk menampung pelbagai kos diperingkat institusi pendidikan tinggi
seperti yuran pelajar, gaji pensyarah dan pentadbir, fasiliti dan sebagainya.
Manakala, pulangan dalam bentuk dividen diagihkan semula secara tahunan kepada
pekerja dengan pengkhususan untuk tujuan pendidikan rendah dan menengah
semata-mata. Di akhir umur persaraan, bagi pekerja yang tidak mempunyai anak
yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi diberikan dua
pilihan samada untuk mengeluarkan sepenuhnya jumlah sumbangan pokoknya ataupun
menukarkan statusnya kepada waqf atau derma.
Kedua, selain daripada sumbangan wajib oleh rakyat Malaysia, terdapat juga
beberapa dana lain yang disumbangkan oleh badan korporat, institusi berwajib,
kerajaan dan juga individu-individu yang dibuat secara sukarela. Dana-dana ini
boleh dikumpulkan di bawah satu ‘pool of fund’
yang dikenali sebagai dana
‘waqf’. Bagi tujuan perkembangan dan pemantapan pengurusan dana ini, Daya Fikir
mencadangankan ianya dibuat berdasarkan konsep Waqf Korporat. Waqf korporat
khusus bagi pendidikan boleh diperkenalkan sebagai sokongan penting di dalam
menjayakan perancangan pendidikan percuma. Waqf korporat yang dimaksudkan ini
akan berfungsi sebagai salah satu punca suntikan kewangan yang diperlukan.
Sumber kewangan ini dipercayai dapat melancarkan proses pendidikan yang mana
pada kebiasannya ia akan menjadi halangan dan keterbatasan.
Dalam institusi waqf, pemilikan harta telah diserahkan kembali kepada ALLAh
SWT manakala urusan pengendalian harta tersebut diserahkan kepada ‘pemegang
amanah’ di mana mereka adalah bertanggungjawab di dalam mentadbir urus harta
yang diwaqafkan berdasarkan peruntukan yang telah disediakan oleh agama dan
juga orang yang mewaqafkan harta tersebut. Pemegang amanah adalah
bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan harta yang diwakafkan dan adalah
lebih baik sekiranya harta tersebut dapat dikembangkan dan menghasilkan lebih
banyak perolehan. Justeru itu, Daya Fikir mencadangkan agar perlaksanaan waqf
korporat perlu diperkasakan terutama di dalam melengkapkan dan menjayakan
sistem pendidikan percuma.
Pelaksanaan waqf korporat secara profesional yang diuruskan berdasarkan
tata-urus korporat yang cemerlang dijangka dapat menghasilkan perolehan yang
lumayan. Waqf korporat ini adalah selari dengan tanggungjawab pemegang amanah
untuk memastikan kesinambungan dan kesuburan harta waqf yang mana ianya dapat
memanjangkan dan meluaskan manfaah harta tersebut. Memandangkan mereka yang
memiliki kepentingan di dalam harta waqf adalah terdiri daripada penerima
manfaah, lantas perolehan tersebut adalah dikhususkan untuk mereka. Justeru
itu, dengan berkembangnya harta waqf dengan jumlah yang besar dijangka dapat
menampung keperluan kewangan institusi pendidikan secara khususnya dan sistem
pendidikan secara keseluruhannya.
Satu waqf khas pendidikan dicadangkan untuk diwujudkan. Ini bagi memastikan
manfaah waqf dapat disalurkan untuk tujuan yang dimaksudkan. Kaedah pengwujudan
waqf khas ini boleh dilaksanakan dengan dua cara iaitu pertama pengwujudan waqf
yang baru dan kedua dengan menggunakan kaedah 'istibdal' atau penukaran ke atas
harta-harta waqf sedia ada (terutama harta-harta waqf yang terbiar) kepada
harta yang baru (yang aktif dan sesuai untuk dikorporatkan. Transformasi waqf
baru ini dijangka dapat meligatkan lagi pusingan harta dan menggalakkan lagi
peningkatan keluaran dalam negara kasar.
Akhirnya, perolehan daripada aktiviti waqf korporat ini akan disalurkan
kepada penerima faedah di mana di dalam kes ini adalah institusi pendidikan,
guru-guru, pelajar-pelajar dan
perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan.
Ketiganya, pemerkasaan pengagihan zakat dibawah ‘asnaf
fisabillah’ yang digunakan untuk membiyai yuran pengajian kepada pelajar
cemerlang yang datang dari latar belakang yang amat memerlukan bantuan kewangan
untuk meneruskan pengajian, walaupun ibubapa mereka tidak membuat potongan
dalam KSWPTN. Untuk mengelakkan pertindihan kewangan, potongan KSWPTN lebihan
dikembalikan semula kepada penyumbang atau mereka diberi pilihan untuk menukar
statusnya kepada waqf ataupun derma.
Keempat, peranan dan fungsi PTPTN mesti dikekalkan khusus untuk golongan pelajar
yang kurang cemerlang yang tidak mendapat tempat di institusi pendidikan tinggi
awam (IPTA), oleh sebab mereka terpaksa meneruskan pengajian di institusi
pendidikan tinggi swasta (IPTS), yang secara umumnya kos pendidikan adalah
lebih tinggi berbanding IPTA. Ini adalah wajar, sebagai stimulasi untuk pelajar
meningkatkan dan mengekalkan kecemerlangan mereka, jika mahu menikmati
pendidikan secara percuma sepenuhnya.
Untuk terus mengekalkan keberkesanan pencapaian dan produktiviti
pihak-pihak yang terlibat dalam institusi pendidikan tinggi ini, Daya Fikir
mencadangkan:
Pertama, penggabungan mana-mana IPTA/IPTS yang dilihat fungsi dan matlamatnya
bertindih antara satu sama lain. Ini bertujuan untuk mengurangkan elemen kos
pentadbiran dan pengurusan secara keseluruhan dan meningkatkan daya kualiti dan
kecekapannya. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian
Tinggi pada tahun 2010 secara keseluruhannya terdapat 21 buah IPTA, 23 buah IPTS
yang bertaraf universiti, lim buah IPTS yang bertaraf universiti cawangan luar
negara dan 21 IPTS yang bertaraf kolej universiti.
Kedua, kemasukan ke IPTA mestilah berdasarkan kepada sistem merit sepenuhnya dan
mana-mana pelajar yang tidak mengekalkan pencapaian mereka perlu menukarkan
statusnya ke IPTS dengan sebahagian kos mestilah ditanggung oleh mereka
sendiri, dan sebahagian yang lain akan ditanggung oleh KWSPTN.
Ketiga, bayaran balik PTPTN mestilah berdasarkan nilai CGPA yang diperoleh
setelah tamat pengajian dan setelah enam bulan berada di alam pekerjaan.
Sungguhpun begitu, berdasarkan merit-merit khas yang lain seperti CGPA yang
cemerlang dan sumbangan yang signifikan dari sudut sosial dan praktikal,
pembayaran balik PTPTN boleh dibuat secara langsung dari dana KWSPTN bagi pihak
peminjam PTPTN yang mana ianya perlu diperolehi dari ‘reserve’ keuntungan
pelaburan dana KWSPTN tersebut. Cadangan ini dibuat bagi membolehkan mereka
yang tidak mempunyai kecemerlangan pendidikan semasa peringkat menengah terus
diberi peluang semasa di universiti atau kolej untuk mendapatkan pendidikan
percuma.
Akhir sekali, Daya Fikir merumuskan bahawa perlaksanaan pendidikan tinggi
secara percuma secara signifikannya memerlukan kerjasama dan pengorbanan
daripada pelbagai pihak, iaitu rakyat dan kerajaan. Ia tidak semudah
menuturkannya di bibir, tanpa ada perancangan dan perlaksanaan yang teliti dan
telus.
Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan, dan pada masa
yang sama tidak menyebabkan bebanan kewangan khususnya kepada rakyat dan
kerajaan. Ibarat kata pepatah Melayu, ‘ nak seribu daya, tak nak seribu dalih’.
* Abdul Hadi Jusoh dan Hashim Ahmad Shiyuti
merupakan pengasas dan pengasas bersama Daya Fikir Solutions
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/