Khamis, 30 Jun 2011

ISU MEDIA MASSA : Program TV perlu informasi, pertahan warisan budaya


Oleh Shafezah Abdul Wahab

TELEVISYEN ialah cabang media yang berpengaruh untuk mengekal dan membentuk budaya dalam masyarakat. Bagaimanapun, kehadiran televisyen tidak memberi kesan tanpa pengisian berinformasi melalui rancangan dipaparkan.

Rancangan disiarkan di televisyen ialah pembentuk budaya. Oleh itu, kewujudan sesuatu budaya dalam masyarakat, khususnya remaja kebanyakannya dipengaruhi televisyen yang secara tidak langsung mencorak kehidupan dan nilai budaya dalam kehidupan seharian.

Rancangan di televisyen adalah bentuk persekitaran yang merangsang penonton membentuk budaya dalam diri mereka. Paparan dari aspek psikologi budaya seperti nilai, kepercayaan dan konsep kendiri dalam rancangan televisyen boleh mengubah pandangan penonton terhadap budaya yang dipegang. Perubahan pandangan inilah yang membawa kepada perubahan pola hidup mereka.

Oleh itu, rancangan televisyen wajar memaparkan elemen budaya tempatan berdasarkan warisan budaya Malaysia. Ia perlu mempertahankan nilai masyarakat berbilang kaum, agama Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kebudayaan Melayu sebagai teras budaya negara.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan pengisian rancangan televisyen di Malaysia terlalu fokus kepada skop hiburan dan komersial melebihi keperluan maklumat warisan budaya serumpun.

Masih ramai masyarakat, malah karyawan tempatan beranggapan rancangan di televisyen mesti memenuhi selera penonton. Ini tanggapan dari perspektif Barat dengan televisyen adalah hak mutlak rakyat yang disediakan kerajaan bagi memuaskan selera mereka yang bebas tanpa sempadan.

Perspektif sebegini menjadi pencabar utama kepada teras kebudayaan bangsa, sekali gus hilang nilai budaya Timur dan moral dengan pengisian rancangan memaparkan gejala sosial seperti merempit, bohsia dan seks bebas yang kian berleluasa.

Selain itu stesen televisyen juga cenderung dengan paparan tahyul yang makin memomokkan fikiran masyarakat Melayu, khususnya sehingga terpengaruh elemen khurafat yang memesongkan akidah.

Di manakah peranan media, khususnya televisyen dalam memberi tumpuan kepada sebaran karya atau rancangan berinformasi yang dapat mempertahankan warisan budaya kita?

Perlukah stesen televisyen cenderung mengaut keuntungan dengan sajian program hiburan semata-mata dan membelakangkan nilai maklumat yang sepatutnya menjadi tonggak utama sebaran media?

Terkilan menyaksikan rancangan realiti komedi yang mana seorang pelawak terkenal memperlekehkan isu kad perakam waktu dalam jenakanya sehingga menampakkan betapa tidak berilmu pelawak itu serta rancangan itu sendiri.

Pelawak terbabit mempersoal dan mempersendakan isu ‘punch card’ yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pada 1981. Ini jelas menunjukkan rancangan televisyen kini cenderung kepada hiburan dan cetek ilmu dalam menyampaikan mesej berinformasi dan intelektual.

Dalam isu rancangan yang disiarkan, bahasa yang dituturkan perlu dititikberatkan. Bahasa adalah lambang budaya yang kita miliki. Budaya itu simbol falsafah dan pemikiran sesuatu masyarakat. Pengisian bahasa rojak kian berleluasa dalam sajian rancangan yang kononnya selaras dengan cara hidup moden masyarakat sekarang.

‘Kemewahan’ menggunakan bahasa rojak moden ini sebagai trend mempengaruhi individu dalam komunikasi seharian. Oleh itu, stesen televisyen tidak harus bersikap terlalu liberal, demokratik, atau terlalu fleksibel dalam menyiarkan rancangan di televisyen, semata-mata mahu memenuhi kehendak masyarakat.

Fenomena ini menunjukkan stesen televisyen di negara kita kurang memberi tumpuan kepada usaha kesinambungan budaya. Justeru, perlu dikurangkan rancangan luar negara yang menampilkan unsur budaya yang bercanggah dengan budaya tempatan.

Diharapkan stesen televisyen tempatan perlu mewarnai kaca televisyen dengan paparan seni warisan dan tradisi masyarakat Malaysia mengenai tatasusila, peradaban dan cara berkomunikasi yang menjadi aset dalam rancangan televisyen dalam usaha mempromosikan budaya kepada semua penontonnya.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 29 Jun 2011

ISU BAHASA : Martabat Bahasa Melayu Dan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian ke-7 dan terakhir ini menyelusuri peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan lebih 50 tahun lalu untuk memartabat bahasa kebangsaan ini.

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Bagi mereka yang berkarier, apabila usia mencecah lebih setengah abad, mungkin sudah berjela pencapaian dan bakti yang dilakar dan disemai.

Sebahagian besar dengan senyum lebar pasrah meletakkan tanda noktah, lega untuk menarik tirai persaraan!

Bagi organisasi, ada yang mungkin lebih banyak merakam jejak yang terhalang berbanding kilau tinta kejayaan meskipun usia sudah menjangkau lebih setengah abad.

Mungkin ada pula seperti hidup segan mati tak mahu, laksana rumah terbiar usang dan bersawang.

Bagaimanapun, ini bukannya peri organisasi ini yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Baharu, Johor. Ia bermula sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran.

Di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada 16 hingga 21 Sept 1956, kerajaan menerima cadangan menukar namanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

DBP dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun pada 1959 dan diberi kuasa autonomi antaranya menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera.

TETAP RELEVAN

Sebagai satu-satunya organisasi yang bertanggungjawab kepada pengembangan Bahasa Melayu, justeru meskipun usia DBP kini mencecah 55 tahun, ia tetap relevan dan kental menggalas misi asas penubuhannya.

Peranan menobatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaa 1965/67 (Akta 32).

"Tugas ini kita teruskan sepanjang masa untuk mengisi keperluan dan asas penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka demi mengembangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

"Pelbagai langkah diatur bagi memastikan Bahasa Melayu turut berfungsi sebagai pembentuk jati diri bangsa dan negara," demikian kata Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Jalan Dewan Bahasa di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran melalui DBP juga giat melaksanakan usaha membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan ini sehingga ia diterima sebagai bahasa kepunyaan bersama semua rakyat negara ini.

"Selagi bangsa Malaysia wujud, bahasa sebagai identiti bangsa perlu wujud," tambahnya.

MARTABAT BAHASA

Bahasa Melayu bukan sahaja lambang identiti negara ini tetapi selayaknya menjadi wahana penyatuan mereka yang bergelar warganegara Malaysia termasuk melalui komunikasi umum secara lisan atau tulisan.

Bahasa kebangsaan ini juga wajar menjadi wahana komunikasi sektor awam iaitu kerajaan dengan sektor swasta juga orang ramai.

Sepatutnyalah bentuk iklan, penamaan tempat, jalan, taman perumahan, pengumuman, arahan dan seumpanya yang dipamerkan di tempat awam dan di khalayak ramai menggunakan bahasa kebangsaan ini secara meluas.

Bagaimanapun, semua ini setakat tinggal "wajar dan sepatutnya".

Realitinya masih banyak ruang yang perlu diisi bagi memenuhi hasrat meletakkan Bahasa Melayu kepada satu martabat yang tinggi.

Ketua Pengarah DBP ini turut mengakui hakikat penggunaan bahasa kebangsaan yang semakin kurang dalam sektor swasta serta kecenderungan penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi di sektor awam.

Beliau yang menyifatkan keadaan itu "begitu membimbangkan" memberitahu bahawa pihaknya tetap meneruskan segala perancangan yang siap diatur untuk memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Harapan melihat Bahasa Melayu teguh dan terus berupaya bersaing dalam arus glokal dan global memerlukan usaha yang berterusan.

"Usaha secara bersepadu pelbagai pihak untuk maksud itu perlu telus agar matlamat yang disasarkan berhasil dengan jayanya," tegas beliau.

TIDAK BANGGA

"Rakyat Malaysia tidak bangga dengan bahasa kebangsaan mereka."

Berdesing telinga mendengar tetapi inilah kata-kata senada yang keluar daripada mulut sekumpulan pelajar Cina yang datang ke Malaysia untuk belajar Bahasa Melayu.

Mereka dilaporkan berada di Kuala Lumpur dan berkunjung ke Pulau Pinang dalam siri belajar ke negara ini.

"Mereka hairan mengapa rakyat negara ini tidak berbahasa Melayu. Mereka datang ke sini untuk belajar Bahasa Melayu tetapi orang bercakap dengan mereka dalam bahasa Inggeris.

"Kalau orang luar memberi komen yang sedemikian bukankah memalukan kita? Mengapa kita tak bangga dengan bahasa kita sendiri? Tak bangga bermakna kita tak ada jati diri.

"Sebab itu saya terpaksa hantar pelajar-pelajar itu ke luar bandar untuk belajar Bahasa Melayu," katanya.

UBAH SIKAP

Ketua Pengarah DBP ini berkata rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu mesti mempunyai sikap rasa bangga berbahasa Melayu.

"Kalau dia mengaku orang Melayu dia patut bangga dengan Bangsa Melayu. Kalau tidak, sampai bila pun tak boleh jadi.

"Orang Melayu mesti menunjukkan contoh teladan yang dia bangga dengan bahasa ibundanya, barulah orang lain ikut. Saya tak faham kalau dia malu nak menggunakan Bahasa Melayu.

"Sama ada bahasa itu mempunyai nilai komersial atau tidak, adalah diri kita sendiri. Diri kita atau sikap kita yang menentukan sama ada bahasa itu ada nilai perdagangan, bukan orang lain," tegasnya.

Dengan nada yang penuh kesal beliau turut menegur sikap sesetengah ahli korporat Melayu yang menerajui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu.

"Saya tengok kenyataan akhbar dalam bahasa Inggeris, sidang akhbar dalam bahasa Inggeris. Bila bercakap terus bahasa Inggeris.

"Bercakap bahasa Inggeris macam air mengalir. Mengapa tak boleh berbahasa Melayu.

"Kalau mereka jadi juara untuk mengembang dan memperkasa Bahasa Melayu dari segi perdagangan dan perindustrian, barulah ada jati diri bangsa, barulah orang lain akan ikut tetapi kalau mereka tak nak berubah, orang lain juga tak akan berubah," tegasnya.

MAMPU BERKEMBANG

Ketua Pengarah DBP ini menegaskan mereka yang tahu tentang sejarah Bahasa Melayu tidak akan memandang rendah kepada bahasa ibunda itu.

Menurut beliau, meskipun Bahasa Melayu adalah yang terkecil kalau dari segi kepulauan Melayu iaitu dituturkan oleh orang Riau tetapi digunakan sejak kurun ke-13 sebagai bahasa antarabangsa di nusantara ini.

"Pada kurun ke-13 sudah ada kamus bahasa Cina-Bahasa Melayu, undang-undang laut negeri Melaka juga ditulis dalam Bahasa Melayu, orang putih juga menulis surat kepada Sultan Melayu dalam Bahasa Melayu, bukannya dalam bahasa Inggeris.

"Kalau Bahasa Melayu tidak mampu, bagaimana agama Islam, satu agama wahyu boleh diajar dalam Bahasa Melayu dan banyak buku ditulis dalam Bahasa Melayu.

"Kita sepatutnya merasa bangga dengan keadaan ini. Bahasa Melayu adalah bahasa yang terbesar digunakan untuk menyebarkan agama Islam," katanya.

Secara keseluruhannya Bahasa Melayu digunakan oleh hampir 300 juta penduduk di nusantara, justeru kata Termuzi, Bahasa Melayu mempunyai kemampuan besar untuk berkembang menjadi bahasa ilmu.

"Bahasa yang tidak berkembang akan mati," tegasnya sambil menambah bahawa sejak ditubuhkan, DBP menghasilkan lebih sejuta istilah untuk menampung keperluan dasar pelajaran negara yang mengubah semua sekolah Inggeris menjadi sekolah kebangsaan pada 1971.

Lanjutan daripada perubahan dasar itu, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu termasuk dalam bidang perubatan, pergigian dan kejuruteraan.

MINAT ORANG ASING

Menurut beliau, orang luar sendiri tidak memandang rendah kepada Bahasa Melayu dan ini dapat dilihat daripada minat orang asing yang tinggi untuk belajar bahasa kebangsaan itu.

Sekarang ini terdapat 160 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia mempunyai program Bahasa Melayu atau Bahasa Melayu Indonesia.

Sebagai contoh, Termuzi memberitahu bahawa terdapat Jabatan Bahasa Melayu di Beijing Foreign University dan di Guangxi University di mana DBP meletakkan pegawainya untuk mengendalikan program Bahasa Melayu.

DBP turut meletakkan pegawainya bersama dengan seorang lagi dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) di China Radio International untuk mengendalikan program Bahasa Melayu selama dua jam sehari.

"Sebenarnya banyak permintaan, tapi sukar untuk kami hendak menghantar begitu ramai pegawai ke luar Negara," jelas Termuzi.

INSITIAF DBP

Dalam Rancangan Malaysia ke-10, DBP berazam untuk memperkasa Bahasa Melayu dengan matlamat memberikan maruah dan wibawa kepada Bahasa Melayu sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Termuzi menambah kata DBP turut berazam menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan tinggi.

Ini, katanya, akan dilakukan dengan memperbanyak penerbitan buku karya asli dan terjemahan (bahasa dan sastera) di samping membantu serta menggalakkan usaha menterjemah karya-karya sastera Melayu ke dalam bahasa-bahasa utama dunia.

Tidak mahu ketinggalan dengan arus pesat kemajuan, DBP berjaya menghasilkan prasarana menggunakan teknolgi canggih bagi membantu dan memudahkan usaha penyelidikan serta kajian Bahasa Melayu.

Menurut Ketua Pengarah DBP, pihaknya telah membangunkan Sistem Pangkalan Data Korpus Bahasa Melayu.

"Data Bank Bahasa Melayu ini menghimpunkan sejumlah 115 juta patah perkataan daripada pelbagai teks.

"Kita kumpulkan ini untuk menerbitkan satu kamus besar Bahasa Melayu dan setakat ini hampir 80 peratus siap.

"Dalam kamus besar ini juga kita akan beritahu asal usul dan sejarah perkataan, ejaan serta bagaimana hendak membunyikannya berdasarkan (sistem fonetik)," jelas Termuzi.

PELBAGAI KHIDMAT

Dalam masa yang sama, beliau memberitahu bahawa penyebaran maklumat bahasa juga penting untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu yang betul.

Sehubungan dengan itu, DBP katanya, telah mempertingkat mutu khidmat "maklumat di hujung jari", di mana orang ramai boleh mendapatkan Khidmat Nasihat Bahasa dengan melayari laman web DBP www.dbp.gov.my

Antara khidmat yang dibangunkan khusus untuk menangani masalah kekeliruan bahasa ialah Khidmat PRPM iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang boleh dilayari secara percuma.

DBP turut mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Penulis-Penulis Cina untuk menarik minat mereka juga mengembangkan Bbahasa Melayu.

"Kita tidak boleh meminggirkan orang bukan Melayu untuk memperkembangkan Bahasa Melayu.

"Kita adakan aktiviti yang membabitkan orang Cina dan India. Sebagai contoh kita ada Festival Bahasa di semua sekolah rendah Cina dan ini kita telah buat sejak beberapa tahun lalu dan sambutan amat menggalakkan," jelasnya.

DBP turut mengambil inisiatif melatih guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah menengah persendirian Cina bermula tahun lepas yang dibuat secara percuma.

PELIHARA BAHASA

Termuzi memberitahu bahawa kerajaan serius untuk memastikan kemurnian martabat Bahasa Melayu terus terpelihara.

Ini dilihat menerusi penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan akhir tahun lepas dengan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyifatkan penubuhan jawatankuasa ini akan mempunyai impak yang besar berdasarkan kepada keanggotaan jawatankuasanya.

Anggota jawatankuasa terdiri daripada ketua setiausaha daripada enam kementerian, pakar bahasa termasuk Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penterjemahan Malaysia di samping Dewan-Dewan Perniagaan Cina dan India.

Di bawah jawatankuasa induk ini terdapat enam jawatankuasa kecil pelaksana iaitu Jawatankuasa-jawatankuasa Struktur Pendidikan, Kewangan, Pihak Berkuasa Tempatan, Kepenggunaan dan Perkhidmatan Awam.

Jawatankuasa Struktur Kewangan, sebagai contoh, dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, urusetianya Bank Negara sementara anggotanya terdiri daripada institut kewangan, insurans dan perbankan.

"Tanggungjawab jawatankuasa ini melaksanakan penggunaan bahasa kebangsaan di sektor kewangan, perbankan dan insurans. Bagaimanapun jika ada keperluan, umpamanya perjanjian, boleh dibuat dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

"Jawatankuasa ini memang bergerak. Mereka telah mengadakan pegawai bahasa di setiap bank, mengadakan borang-borang dalam dua bahasa, iklan juga dalam dua bahasa tetapi diutamakan Bahasa Melayu," katanya.

TINGKAT PENGGUNAAN

Satu lagi jawatankuasa yang diharap dapat melonjakkan penggunaan Bahasa Melayu ialah Perkhidmatan Awam di mana antara yang telah dibuat ialah mesyuarat dengan 146 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Memang setiap PBT ada undang-undang kecil mesti menggunakan bahasa kebangsaan umpamanya untuk nama jalan, perumahan dan papan iklan tetapi ini tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Mereka bersetuju untuk melaksanakannya tetapi ini tak bermakna menyekat penggunaan bahasa asing. Untuk papan iklan umpamanya bahasa asing boleh digunakan dengan syarat bahasa kebangsaan itu dua pertiga lebih besar daripada bahasa asing," jelas Termuzi.

DBP turut mengambil inisiatif memantau papan iklan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dan akan mengemukakan laporan kepada DBKL jika mendapati ada iklan yang tidak mematuhi peraturan Bahasa Melayu.

Dalam masa yang sama, DBP juga mengadakan kerjasama dengan semua PBT untuk melaksanakan identiti negara ini melalui papan-papan iklan, nama-nama kawasan perumahan dan jalan.

Untuk rekod, DBP telah menerbitkan buku panduan nama perumahan dan jalan untuk dirujuk. Ia juga terdapat dalam laman web DBP.

KELULUSAN DBP

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) umpamanya telah membuat peraturan mewajibkan semua iklan, papan tanda dan nama perumahan mesti mendapat kelulusan DBP dari segi bahasa dan visualnya.

Setiap satu iklan itu hanya boleh diberi lesen dan dinaikkan setelah mendapat kelulusan DBP.

DBKL turut menguatkuasakan permohonan papan iklan secara dalam talian berkuatkuasa 1 Jun.

"Pemohon akan menghantar visual iklan mereka dengan mengakses portal khas untuk pengiklan di laman web kami untuk mendapatkan kelulusan. Mereka yang lulus akan diberi kod dan kod ini dibawa kepada DBKL.

"DBKL akan membuka portal khas di laman web kami untuk mengesahkan kod lulus sebelum mengeluarkan lesen dan yang lulus akan diberi kod," jelas Ketua Pengarah DBP ini lagi.

Dalam bidang penyiaran, DBP mengadakan pertemuan dengan semua stesen radio dan televisyen untuk memastikan bahasa yang betul digunakan.

"Ada juga yang membangkitkan isu bahasa SMS (Khidmat Pesanan Ringkas). Bahasa ini bukan Bahasa Melayu rasmi, ia lebih bahasa peribadi cuma terkesan bila ia disiarkan di televisyen.

"DBP telah mengeluarkan daftar panduan bahasa SMS yang boleh diakses di laman web kami, cuma ia tidak digunakan," kata beliau.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Selasa, 28 Jun 2011

Bahasa Melayu Subur Merendang Di Uniten

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian ke-6 ini menyentuh kursus Bahasa Melayu di Universiti Tenaga Nasional, antara beberapa buah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mewajibkan pengajian Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsanya.

PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- "Hidup subur". Itulah gambaran tepat untuk kedudukan Bahasa Melayu di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Di universiti ini, antara universiti swasta pertama ditubuhkan, pelajar antarabangsa diwajibkan mengambil kursus Bahasa Melayu. Mereka perlu memperoleh sekurang-kurang gred C untuk lulus peringkat ijazah.

Bagi pelajar tempatan pula, Bahasa Melayu adalah antara subjek wajib universiti. Mereka mengikuti kursus Bahasa Melayu supaya dapat menggunakan bahasa kebangsaan itu dengan betul dan berketrampilan.

"Meskipun Uniten hanya sebuah universiti swasta, Bahasa Melayu masih ada tempat di Uniten.

"Ini mungkin kerana bahasa pengantar utama di Uniten ialah bahasa Inggeris dan kita tidak mahu meminggirkan bahasa kebangsaan kita," demikian menurut Dr Mardian Shah Omar, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Asas dan Umum Uniten, kampus Putrajaya dalam satu wawancara baru-baru ini.

PELAJAR ANTARABANGSA

Bercakap lebih lanjut mengenai program Bahasa Melayu Uniten untuk pelajar antarabangsa, Dr Mardian berkata sekurang-kurangnya pelajar berkenaan mampu mengenali Bahasa Melayu itu sendiri.

Pelajar berkenaan juga diharap boleh berkomunikasi secara santai dengan masyarakat luar kampus.

Pelajar antarabangsa di Uniten termasuk dari Arab Saudi, Yemen, Iran, Iraq, Palestin, Somalia, Botswana, Chad, Mauritius dan Vietnam.

"Memang kita fokuskan supaya mereka berkomunikasi ringan, bukan hendak kata mereka boleh jadi pandai berkomunikasi dalam Bahasa Melayu," jelas Dr Mardian yang terbabit dalam pengajian Bahasa Melayu di Uniten secara sambilan sejak 2000.

Beliau secara rasmi menjadi tenaga pengajar Kolej Pengajian Asas dan Umum Uniten pada 2007.

Menurut Dr Mardian ada pelajar antarabangsa yang sudah faham beberapa bahasa basahan dan bahasa pasar dan menggunakan bahasa itu, bukan Bahasa Melayu baku ketika bercakap di dalam kelas.

"Jadi ada konflik di situ dan saya nasihatkan mereka belajar bercakap bahasa formal dan selepas itu saya pecah-pecahkan kepada bahasa santai," katanya.

SIKAP BERUBAH

Bagaimanapun, tidak semua pelajar antarabangsa suka belajar Bahasa Melayu terutama di awal tahun Uniten memulakan sesi pengajiannya.

Dr Mardian membuat pengamatan itu ketika beliau mula-mula mengendalikan kelas Bahasa Melayu bagi pelajar antarabangsa di Uniten.

Katanya, mungkin ketika itu bilangan pelajar antarabangsa tidak ramai dan mereka sememangnya tidak berminat langsung untuk belajar Bahasa Melayu.

"Mereka juga banyak bermain dan beranggapan kursus bahasa ini mudah dan ingin mahu lulus sahaja. Lama kelamaan keadaan mula berbeza.

"Sekarang mereka lebih bersopan. Peratus pelajar yang mendapat A semakin ramai. Sebab dengan adanya gred ini pelajar agak berlumba untuk memahami Bahasa Melayu itu sendiri.

"Ada pelajar yang dapat B- pun ambil semula kursus itu sebab minat untuk belajar lagi," kata Dr Mardian.

PERLU KREATIF

Perubahan sikap pelajar antarabangsa ini terhadap Bahasa Melayu bak pepatah Melayu "Tak Kenal Maka Tak Cinta."

Cuma yang penting adalah bagaimana hendak menarik perhatian atau mempromosi Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa ini.

Dalam hal ini, sudah tentunya pensyarah perlu kreatif untuk menjadikan pengajian Bahasa Melayu menarik.

Menurut Dr Mardian pensyarah yang hanya pergi ke kelas dan mengajar sahaja serta menjadikan kelas itu seperti satu kuliah, tidak akan mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

"Dalam hal ini saya sedang membuat kajian melihat kriteria yang diperlukan oleh pelajar antarabangsa untuk menguasai Bahasa Melayu dan ia dijangka siap penghujung tahun ini.

"Apa yang saya lihat dalam hal ini saiz kelas juga membantu. Kalau kelas terlalu besar ia tak membantu. Selalunya kita hadkan kepada 30 orang tetapi apabila banyak permintaan terpaksa tambah antara 40 hingga 45 orang," katanya.

TIDAK CUKUP


Bagaimanapun, Dr Mardian yang sudah mengajar Bahasa Melayu untuk pelajar universiti lebih 10 tahun, berpandangan bawa tempoh satu semester tidak cukup untuk menggalakkan pelajar antarabangsa menggunakan bahasa kebangsaan itu.

Untuk menjadikan kursus Bahasa Melayu bagi pelajar antarabangsa ini lebih berkesan, beliau melontarkan cadangan supaya ia dipecah kepada beberapa peringkat dan wajib diambil untuk selama dua semester.

Beliau turut mencadangkan dua lagi kursus yang berkaitan, satu bahasa pengukuhan dan satu lagi membabitkan budaya masyarakat Melayu.

Sekurang-kurangnya, kata Dr Mardian, pelajar antarabangsa ini kenal budaya Melayu dan memahami jiwa Melayu.

"Misalannya jika pergi ke rumah orang Melayu, macam mana hendak memulakan perbualan, apa yang boleh cakap dan apa yang tak boleh cakap.

"Kadang kala budaya mereka berbeza dan mereka tanya perkara yang tak sepatutnya ditanya. Jadi tidaklah kita kata orang asing ini biadap. Orang asing ini kurang santun berbahasa. Itu yang saya fikirkan," jelasnya.

MAKMAL BUDAYA

Dr Mardian memberitahu bahawa amat baik jika diadakan satu makmal budaya Bahasa Melayu untuk memudahkan lagi pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa.

Makmal yang dimaksudkannya itu berbentuk seperti muzium mini.

"Konsep sekarang setakat pergi kelas dan mengajar. Masa dua jam di kelas boleh dipecahkan satu jam di kelas dan sejam lagi di makmal.

"Jika ada makmal kita boleh bawa pelajar ke sana. Contoh ada kain songket dan kain batik. Kita boleh buat ayat perbandingan dan mudah untuk pelajar memahaminya.

"Menarik lagi jika diadakan juga permainan tradisional untuk menarik minat pelajar. Harap ini dapat menjadi kenyataan," katanya.

Dr Mardian turut memberitahu bahawa beliau sedang menyiapkan sebuah buku bagi membantu pelajar antarabangsa mempelajari Bahasa Melayu.

PELAJAR TEMPATAN

Bagi pelajar tempatan yang mengikuti pelbagai pengajian di menara gading swasta ini, mereka diketengahkan kepada penggunaan Bahasa Melayu tetapi secara lebih berketrampilan dan lebih santun.

Mereka sememangnya sudah boleh berbahasa Melayu tetapi yang diperbaiki ialah mutu bahasa.

Pelajar turut digalakkan berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Melayu yang betul.

Dr Mardian berkata pelajar-pelajar berkenaan juga dilatih berkomunikasi secara interpersonal dan intrapersonal .

Menurut Dr Mardian, ada juga pelajar Melayu yang tidak faham dengan penggunaan bahasa basahan atau harian dan bahasa pasar.

Mereka juga, katanya keliru dengan bahasa yang digunakan ketika berkomunikasi dan dalam penulisan.

"Sebagai contoh, ada pelajar menggunakan kamu apabila bercakap dengan pensyarah. Guna ganti nama engkau apabila bercakap dengan orang yang baru dikenali.

"Di sekolah lazimnya pelajar lebih diajar penggunaan tata bahasa.

"Di sini kita ajar mereka kesantunan berbahasa iaitu menggunakan bahasa dalam situasi yang betul dengan orang yang betul. Dia akan disanjung kerana menggunakan bahasa yang betul," tambahnya.

TUNJUK IMEJ


Bagi Dr Mardian, bahasa boleh menunjukkan imej seseorang.

Cara berbahasa, tambahnya boleh menunjukkan atau membezakan status pendidikan atau status pekerjaan.

"Kalau tidak menggunakan bahasa yang betul, semata-mata menggunakan bahasa yang tidak sopan, tidak tersusun, orang pun mungkin berpandangan rendah. Ini sudah tentunya boleh merendahkan imej dan status.

"Kita mahu mereka yang mengambil kursus ini mempunyai pengetahuan ini. Kursus ini memang kita sediakan untuk digunakan dalam dunia pekerjaan," tambahnya.

Kursus Bahasa Melayu yang diperjelas beliau ini ialah Bahasa Melayu Korporat, satu daripada subjek 'wajib universiti'. Tiga lagi subjek kategori yang sama ialah Pengajian Malaysia, Moral atau Pengajian Islam.

TEMPAT RUJUKAN

Dr Mardian mempunyai cita-cita besar. Beliau ingin Jabatan Bahasa dan Komunikasi atau Kolej Pengajian Asas dan Umum Uniten menjadi rujukan dunia Bahasa Melayu suatu hari nanti.

Bagi beliau, ini bukan suatu perkara yang mustahil.

Dr Mardian memberitahu bahawa sewaktu beliau di UKM ada pelajar dari Jerman, Australia dan Jepun datang semata-mata untuk belajar Bahasa Melayu di universiti itu.

Sehubungan dengan itu beliau berharap suatu hari nanti ada pelajar dari universiti luar negara datang belajar Bahasa Melayu di Uniten.

Dengan cara demikian, kata beliau, sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan budaya belajar Uniten kepada negara luar sebagai program pertukaran pelajar.

"Pelajar ini boleh datang, contohnya belajar kejuruteraan dan dalam masa yang sama berpeluang belajar Bahasa Melayu.

"Secara tidak langsung bidang pendidikan menjadi bukan sahaja aset untuk menarik pelancong asing datang ke Malaysia tetapi juga landasan tepat untuk menobat dan memperkasa penggunaan Bahasa Melayu," katanya penuh yakin.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

"Tak Kenal Tak Cinta": Pelajar Antarabangsa Dan Bahasa Melayu

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian ke-5 ini berkisar kepada pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa Universiti Tenaga Nasional, antara beberapa buah institut pengajian tinggi (IPT) yang mewajibkan pengajian Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsanya.

PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- "Selamat Pagi. Nama saya Ali Haidar. Saya dari Baghdad, Iraq. Saya ada dua adik perempuan dua adik lelaki."

Kata-kata sapaan ini seperti budak sekolah rendah tetapi bagi seorang pelajar antarabangsa yang datang ke negara ini dengan sifar Bahasa Melayu, tentunya ia pencapaian besar.

Ali, 21, yang mengambil pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dalam bidang Sistem Maklumat di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mula menjejakkan kaki ke bumi Malaysia pada 2009.

Bekas pelajar Sekolah Tinggi Al Kwarzme, Baghdad ini juga sifar bahasa Inggeris dan terpaksa mengikuti pengajian Bahasa Inggeris selama satu semester di Kolej Pengajian Asas dan Umum.

Seperti diwajibkan ke atas pelajar antarabangsa Uniten, Ali mengikuti pengajian Bahasa Melayu selama satu semester dan memperoleh gred A.

TAK SUSAH

"Boleh faham dan cakap. Tak susah, senang, sebab saya suka.

"Senang untuk orang Arab cakap Bahasa Melayu sebab ada 1,000 istilah Arab dalam Bbahasa Melayu," spontan Ali menjawab soalan penulis sama ada dia menghadapi kesukaran belajar Bahasa Melayu.

Dia mengikuti kelas Bahasa Melayu Uniten semasa membuat Kursus Persediaan yang keseluruhannya membabitkan tempoh tiga semester.

Malahan sebelum dia mengikuti kursus pengajian Bahasa Melayu, dia sudah boleh bertutur bahasa kebangsaan meskipun bukan bahasa Melayu rasmi.

"Saya cakap guna aku dalam kelas dan pensyarah betulkan saya. Pensyarah cakap bukan macam ini," katanya yang mudah ketawa.

Menurut Ali yang belajar di Uniten atas perbelanjaan sendiri, dia juga ramai kawan Melayu.

"Kalau cuti saya ikut mereka balik kampung. Dah pergi Terengganu, Melaka, Kelantan, Johor Baharu, Kuala Perlis, Langkawi dan Pulau Pinang. Makanan Paling saya suka di Kelantan, budu.

"Masalah pelajar antarabangsa belajar Bahasa Melayu sebab mereka tak ada kawan Malaysia. Kalau ada banyak kawan boleh cakap Bahasa Melayu. Kalau tak ada memang susah," Ali memberitahu Bernama dalam wawancara di kampus Uniten Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Ali, bercakap bahasa Melayu juga banyak kelebihan. "Kalau ke pasar borong, pasar malam, murah. Kalau awak cakap Bahasa Melayu, murah lagi," katanya sambil ketawa besar.

PERLU PRAKTIS

Digotetso Matema atau "Dee", 21, yang berasal dari Mathabhane, Botswana menghadapi kesukaran di awal kelas.

"Saya tak tahu Bahasa Melayu, tak banyak praktis. Selepas masuk jadi exco Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saya banyak bercakap Bahasa Melayu," katanya.

Dee ditaja kerajaan Botswana untuk melanjutkan pelajaran ke Uniten. Dia juga mempunyai ramai kawan yang sudah menamatkan pengajian di Malaysia dan apabila pulang ke Botswana, mereka masih bercakap Bahasa Melayu walaupun hanya setakat membilang nombor.

Omar al-Kaf yang berasal dari Hadhramaut, Oman tetapi tinggal di Riyadh, Arab Saudi menghadapi situasi yang sama seperti Dee.

"Tak sudah belajar Bahasa Melayu tetapi perlu praktis. Saya tak praktis.

"Pertama datang sini saya seorang pelajar internasional dalam kelas asas, lain semua pelajar Melayu.

"Saya boleh faham dan cakap sikit-sikit," kata Omar yang belajar di Uniten atas perbelanjaan sendiri.

Seperti Ali, dia sedang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan pengkhususan dalam bidang Sistem Maklumat.

TERUS MINAT

Di awal kelas, pelajar antarabangsa ini diajar cara memperkenal diri dalam Bahasa Melayu serta ucapan-ucapan sapaan seperti Selamat Pagi, Selamat Malam, Selamat Tinggal dan Selamat Jalan.

Walaupun sudah habis mengikuti kelas, mereka masih berminat untuk terus belajar Bahasa Melayu.

Omar terus berkawan dengan pelajar-pelajar Melayu dan cuti semester lepas, dia mengikuti Ali ke Kelantan.

Dia juga suka bercuti ke Pulau Pinang. "Bapa saya ada kawan tinggal di Pulau Pinang. Kampung saya sekarang Pulau Pinang," katanya.

Dee pula masih membawa kamus ke mana sahaja dia pergi untuk memudahkan dia bercakap dengan orang tempatan terutamanya apabila berkunjung ke kafe atau restoran serta menggunakan perkhidmatan teksi.

Dia juga mempunyai perisian terjemahan bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu yang dimuat turun dalam telefon bimbitnya.

Dee yang mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Elektrikal dan Elektronik ini juga mengambil inisiatif menjadikan hari Isnin sebagai hari untuk bercakap Bahasa Melayu meskipun setakat menyapa "Selamat Pagi" atau "Jumpa Lagi" kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.

CAKAP INGGERIS

Idriss Moussa Ali dan Abdoulaye Abakar, kedua-duanya dari Chad memberitahu bahawa mereka memang mahu belajar Bahasa Melayu.

"Masa belajar ok. Senang belajar, dapat A masa periksa," kata Idriss, anak ketiga daripada lima beradik dan fasih berbahasa Arab.

Masalahnya, kata Idriss yang datang ke Uniten atas perbelanjaan sendiri, kebanyakan kawan Melayunya lebih senang berbahasa Inggeris.

Pelajar pengajian kejuruteraan awam ini memberitahu bahawa dalam keadaan yang demikian dia akan terus juga bercakap Bahasa Melayu walaupun tidak pandai.

Idriss berkata dia juga mempraktikan Bahasa Melayu terutama ketika berkunjung ke kedai atau restoran.

Dia juga tidak melepaskan peluang untuk mengikuti kawannya balik kampung masa cuti semester kerana di kampung, dia dapat lebih berbahasa Melayu.

Setakat ini Idriss yang mempunyai dua tahun lagi untuk menamatkan pengajiannya sudah ke Melaka, Batu Pahat, Johor Baharu dan Ipoh.

LEBIH SENANG

Bagi Abdoulaye yang boleh berbahasa Perancis, Arab dan Urdu, dia lebih faham Bahasa Melayu jika orang yang bercakap secara perlahan-lahan.

"Saya suka belajar bahasa Melayu dan cakap bahasa Melayu, kalau cakap perlahan-lahan, faham. Satu semester belajar tak cukup," kata Abdoulaye yang mengambil pengajian kejuruteraan am di Uniten atas perbelanjaan sendiri.

Abdoulaye yang datang ke Malaysia pada tahun 2009 dan mengikuti pengajian asas kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bertukar ke Uniten tahun ini kerana di UIA tidak ada kursus kejuruteraan awam.

Kata Abdoulaye, dia merancang untuk mengikuti kawan-kawannya balik ke kampung mereka supaya lebih dapat belajar Bahasa Melayu.

Walau dia akur susah untuk bergerak ke mana-mana jika tidak mahir berbahasa Melayu tetapi katanya dia suka duduk di Malaysia, "orangnya baik-baik."

"Pergi makan luar kampus, pergi membeli belah, susah," katanya sambil menambah dia akan dapat harga yang lebih murah jika bercakap Bahasa Melayu di restoran.

BELAJAR LAGI

Abdoulaye berkata daripada pengamatannya, orang tempatan akan lebih mudah mesra jika orang asing bercakap Bahasa Melayu.

Pengalaman bercuti ke Langkawi cuti semester lepas turut menguatkan semangat Abdoulaye untuk memahirkan dirinya lagi bercakap Bahasa Melayu.

Katanya kebanyakan penduduk pulau yang ditemuinya tidak boleh berbahasa Inggeris.

Dia turut merasa kesal kerana tidak dapat berkomunikasi dengan seorang yang diibaratkan sebagai 'ibu' yang begitu baik hati kepadanya.

"Jumpa tahun depan.. saya akan lebih pandai Bahasa Melayu," Abdoulaye memberitahu penulis dengan begitu yakin.

SAYANGI BAHASA

Ternyata bagi Ali, Dee, Omar, Idriss dan Abdoulaye, belajar Bahasa Melayu bukan setakat memenuhi keperluan belajar di Uniten.

Ternyata mereka menghargai kepentingan bahasa kebangsaan ini untuk kelangsungan hidup selagi bergelar pelajar di negara ini.

Malahan Dee dalam perbualannya dengan penulis turut berpandangan generasi muda terutamanya perlu mengambil berat terhadap bahasa ibunda.

Bagi anak muda dari suku kaum Babirwa ini, bahasa adalah akar umbi kepada pembentukan budaya dan banyak menyumbang kepada perkembangan budaya satu-satu bangsa.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Isnin, 27 Jun 2011

Bahasa Melayu Tidak Rosak Tetapi Dirosakkan

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik Bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian ke-4 ini menyentuh pandangan sasterawan dan penyair yang tidak asing lagi, Prof Madya Dr Lim Swee Tin mengenai polemik Bahasa Melayu.

SERDANG, 28 Jun (Bernama) --- "Perlekeh bahasa". Kenyataan yang menjurus khusus kepada anak-anak muda hari ini mungkin keras dan pedas.

Ramai juga yang mungkin sanggup menyingsing lengan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dibuat.

Realitinya pasang-pasanglah telinga mendengar percakapan serta perbualan sesetengah anak muda serta anak-anak sekolah, malahan termasuk mereka di sekolah rendah.

Perhatikan juga bahasa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mungkin anda terima atau yang terpampang di skrin televisyen oleh stesen televisyen tertentu.

"Lebih cepat", "menjimatkan masa" dan "Bahasa Melayu leceh panjang dan berjela" antara yang dijadikan alasan untuk mencemari bahasa sesuka hati mereka.

Daripada sekadar santai dan suka-suka, ada yang melarat sehingga menggunakan bahasa SMS ini untuk tugasan sekolah malahan dalam menjawab soalan peperiksaan di peringkat universiti!

Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, bagaimana hendak kita murnikan ungkapan "Bahasa Jiwa Bangsa" yang sering dilaung-laungkan!

CITA RASA

"Sudah berlaku anjakan yang jauh. Kebanyakan generasi muda semacam ada satu acuan Bahasa Melayu yang sudah dirosakkan dan ini semakin menjalar dan berkembang.

"Generasi muda menggunakan bahasa dalam lingkungan mereka dengan apa yang mereka percaya dan sesuai untuk generasi mereka.

"Saya melihat kecenderungan meringkaskan kata, membuang imbuhan dan yang paling ketara pada masa ini menggugurkan vokal dalam penulisan," demikian pandangan Prof Madya Dr Lim Swee Tin, Pensyarah Kesusasteraan Melayu, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau memberi komen ini apabila diminta pandangannya mengenai penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

Mengenai bahasa SMS pula, beliau mengakui merasa amat terluka dengan bahasa yang digunakan.

"Dalam SMS pun saya tetap mempertahan kepersisan bahasa, menggunakan bahasa itu sebagaimana yang sewajarnya, " katanya.

Sepanjang dua jam wawancara, penyair tersohor ini ternyata begitu rimas dengan perkembangan yang menimpa nasib Bahasa Melayu pada hari ini.

Rasa bimbang dan khuatirnya seiring dengan bait-bait puisi mengenai nasib Bahasa Melayu yang acap kali dideklamasikan seperti dalam puisi bertajuk "Masih Bahasaku."

Antara bait-bait puisi ini berbunyi "Bahasaku masih di samudera luas, Menampan angin kencang, Melentur ombak bergelombang.

"Bahasaku sukma bangsa, Ia mengalir di jernih jiwa, Kita kembara menjulang panji-panji, Tetapi di tangan menggenggam keji, Bahasaku pautan hayat, Ia menggitakan setia rakyat, Kita bernafas mengemam kasih, Namun kelukaan berganti silih."

BAHASA ROJAK

Kecenderungan sesetengah orang menggunakan bahasa rojak yakni penggunaan Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris berselang-seli turut mengundang kekhuatiran di hati pejuang bahasa ini.

Bagi beliau mereka yang menggunakan bahasa ini perlu diberitahu bahawa apa yang mereka lakukan itu hanya merosakkan kemurnian Bahasa Melayu.

Beliau turut tidak senang dengan kecenderungan meringkaskan perkataan Inggeris seperti "Ori" (Original) dan "Otai" (Old Timer).

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa apa yang berlaku tidak boleh disekat memandangkan perkataan-perkataan itu sudah diterima secara meluas termasuk pakar bahasa dan media.

Bagi diri Dr Lim, polemik Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda ini menunjukkan semacam wujud dalam bahasa yang lembut "tuntutan" dan dalam bahasa yang tegas "desakan".

"Desakan untuk beranjak dari segi penggunaan Bahasa Melayu ini bukan dibuat secara tidak sedar.

"Bagi mereka, pedulikan orang lama. Secara senyap mereka mahu menyesuaikan bahasa dengan generasi mereka," kata beliau dalam wawancara dengan Bernama di UPM di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga penyair tersohor adalah penerima S.E.A Write Award 2000 iaitu penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand.

DIROSAKKAN

Dr Lim bukan sahaja menegur kepincangan Bahasa Melayu yang berlaku dalam kalangan anak muda tetapi juga yang digunakan oleh media termasuk media cetak dan media elektronik.

Bagi beliau, program radio adalah antara penyebab Bahasa Melayu dirosakkan.

Mengambil contoh sebuah stesen radio swasta yang sangat popular dan mempunyai jumlah pendengar yang sangat besar, beliau jelas bimbang dengan bahasa rojak yang digunakan oleh penyampai stesen radio berkenaan.

"Bahasa yang digunakan sangat rosak tapi itulah yang akan menjadi ikutan. Inilah yang saya katakan Bahasa Melayu bukan rosak tetapi Bahasa Melayu dirosakkan.

"Walaupun bahasa santai dan program santai dan walaupun radio swasta,ia diakses di seluruh negara. Jadi bagi saya tiada kompromi. Hal ini tidak boleh dikompromi.

"Stesen-stesen radio ini sebenarnya berlumba-lumba mencari pendengar yang lebih besar untuk mendapat dana yang banyak daripada pengiklan akan tetapi dari sisi yang lain, bahasa kita rosak binasa," jelas Dr Lim.

TANGGUNG JAWAB DAN ETIKA

Memandangkan pengaruh besar media, pengamal media termasuk radio dan televisyen sepatutnya berada di barisan hadapan bersama-sama pejuang untuk mempertahan kemurnian Bahasa Melayu.

Dalam arus peredaran zaman sekarang, Dr Lim menegaskan sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan kerosakan Bahasa Melayu.

Dalam hal yang sama, media juga perlu ada tanggungjawab sosial dan etika untuk mengelakkan kerosakan Bahasa Melayu daripada menjadi semakin parah.

Di samping penggunaan bahasa rojak, Dr Lim juga menegur tindakan sesetengah pihak yang membuat terjemahan bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu secara sesuka hati mereka.

"Kita tidak boleh membuat terjemahan bebas mahupun mencipta istilah secara sewenang-wenangnya.

"Dewan Bahasa dan Pustaka ada sistem untuk terjemahan dan kata pinjaman. Ini sudah lama diamalkan.

"Jika sistem ini diabaikan, ini akan menyebabkan satu lagi kerosakan kepada sistem bahasa dan jika dibiarkan saya sekali lagi merasa dukacita bahasa kita akan sangat tercemar nanti," keluhnya.

PANTAU MAJALAH

Lambakan pelbagai bahan bacaan termasuk majalah hiburan turut membuka ruang kepada pencemaran bahasa jika tidak ada pemantauan pihak berkuasa berkenaan.

Di tengah-tengah ledakan isu bahasa rojak beberapa tahun lepas, Dr Lim memberitahu bahawa beliau mengambil daya usaha sendiri untuk memantau semua majalah yang ada dalam pasaran.

Bukan sedikit wang yang dibelanjakan untuk tujuan ini.

"Saya membuat pemantauan ini supaya apabila saya bercakap saya bukan bercakap sesuka hati atau bercakap kosong. Ia berdasarkan apa yang ada di depan saya," jelasnya.

Menurut Dr Lim ada dua majalah daripada sejumlah majalah yang dipantaunya yang dari kulit ke kulit keseluruhannya menggunakan bahasa SMS yang sangat rosak bahasanya.

Majalah itu adalah majalah hiburan, diterbitkan dua bulan sekali dan difahamkan sangat laku dalam kalangan pengguna.

"Yang menjadi persoalannya mengapa majalah seperti ini diterbitkan.

"Ditambah pula dengan sekarang ini begitu banyak komik yang sangat digemari kanak-kanak dan remaja dengan bahasa yang sangat teruk.

"Jadi kalau ini yang disebarkan dan jangan lupa apabila bahasa yang salah, bahasa yang tidak betul, bahasa yang salah sistemnya ini disumbat dari hari ke hari maka lama kelamaan ia menjadi kebiasaan," tegas Dr Lim.

HIDUP BAHASA


Dalam keadaan Bahasa Melayu yang diperlekeh dan dicemari ini ahli bahasa, guru bahasa dan mereka yang ada kaitan dengan perjuangan kebahasaan sudah tentunya berasa tidak senang hati termasuk Dr Lim sendiri.

Namun demikian, beliau akur bahawa sesuatu bahasa itu hidup kerana penggunanya.

"Kita tidak boleh melupakan hakikat yang nyata bahawa bahasa itu hidup dalam kalangan pengguna bukan semata-mata di atas kertas.

"Maka dengan demikian apa yang kita boleh lakukan ialah membimbing mereka supaya tidak pergi terlalu jauh dan supaya bahasa kita tidak terus rosak," tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Dr Lim menyarankan pejuang bahasa dan orang yang pakar dalam bidang bahasa mengambil pendekatan melentur dan menyeimbang antara kemurnian bahasa dengan tuntutan pengguna semasa.

Menurut beliau dalam hal itu generasi muda terutamanya perlu diberi perhatian dan diajak berbincang untuk menyedarkan mereka bahawa perubahan yang ingin dibuat itu adalah dari aspek yang salah.

"Dengan cara demikian kita harapkan bahasa kita kekal murni. Apa juga perubahan yang dibuat, ia sepatutnya tidak merosakkan sistem.

"Selagi kita ada peluang, ruang atau kesempatan kita harus melakukan sesuatu dengan segera," katanya.

Dr Lim yang telah terbabit dengan perjuangan Bahasa Melayu sejak empat dekad yang lalu yakin saranan yang dilontarkannya itu tidak mustahil untuk dilakukan.

"Dulu dalam era 90-an, kita ada kumpulan anak muda yang sangat gilakan muzik rock, heavy metal termasuk black metal.

"Anak-anak muda ini bercakap lu gua, lu gua dan apabila ahli bahasa menegur, lambat laun mereka tinggalkan," jelasnya.

USAHA BERTERUSAN

Bagaimanapun, usaha menegur ini pastinya perlu dibuat secara berterusan kerana sogokan Bahasa Melayu yang tercemar berlaku sepanjang masa.

Ahli, pejuang, pakar serta ilmuwan bahasa di samping guru bahasa juga perlu lebih proaktif di dalam hal ini.

"Kadang-kadang saya khuatir orang selalu memberi jawapan kita sudah buat bermacam-macam seminar mengapa masyarakat masih tidak peka?

"Tetapi saya suka menyatakan bahawa seminar itu untuk siapa? siapa yang hadir? Kebanyakannya hanya dari kalangan mereka sahaja.

Kelompok muda mana nak pergi dengar seminar yang macam itu.

"Yang kita bimbang, rumusan, keputusan dan ketetapan seminar tidak sampai kepada sasarannya dan hanya terselit dicelah-celah fail sahaja," kata Dr Lim yang menambah jika disebarluaskan, masyarakat dapat menerima perubahan yang dilakukan dan dirumuskan oleh ahli-ahli bahasa ini.

Dalam hal pencemaran Bahasa Melayu, Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi turut disaran membuat pemantauan dalam bidang kuasa yang lebih menyeluruh.

"Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim sangat menjaga kemurnian Bahasa Melayu. Saya percaya kementeriannya mempunyai kuasa bukan setakat menasihat atau menegur sahaja.

"Saya fikir pihak yang ada kaitan dengan pencemaran bahasa ini perlu diberi amaran, jangan diberi peringatan sahaja.

"Kita juga perlu mengadakan aktiviti pengetahuan dan kesantunan bahasa sepanjang tahun, perlu dilakukan juga pengisian demi pengisian. Kita tidak boleh patah hati, patah semangat," kata Dr Lim.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Bahasa Melayu Dari Kaca Mata Dr Lim Swee Tin

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian ke-3 ini berkisar kepada pengalaman Prof Madya Dr Lim Swee Tin yang tersohor dalam bidang sastera Melayu khususnya bidang kepenyairan dan pandangannya mengenai Bahasa Melayu.

SERDANG, 28 Jun (Bernama) --- Beliau bukan Melayu. Beliau juga bukan berketurunan Melayu tetapi Prof Madya Dr Lim Swee Tin adalah nama besar dalam bidang kesusasteraan Melayu khususnya bidang kepenyairan.

Beliau telah menghasilkan banyak novel, cerpen, puisi dan tulisan-tulisan berbentuk kesusasteraan.

Beliau juga adalah penerima S.E.A Write Award 2000, penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand.

Bagi anak kelahiran Bachok, Kelantan ini, dilahir dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu mungkin menjadikannya lebih Melayu daripada keturunannya sendiri, iaitu Cina peranakan Kelantan.

Secara umumnya, Cina Peranakan Kelantan mengamalkan budaya yang rapat dengan masyarakat Melayu dan masyarakat tempatan di Kelantan.

Bahasa percakapan mereka adalah campuran Melayu, Siam dan Cina.

"Orang Cina di pantai Barat tak faham, tergamam mereka kalau mendengar percakapan kami," kata Dr Lim sambil tersenyum ketika diwawancara Bernama baru-baru ini.

Beliau kini menyandang jawatan pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, jawatan yang disandangnya sejak 1 Dis 2000.

DUNIA MELAYU

Bukan sahaja dilahir dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Bahkan Dr Lim turut bersekolah Melayu, boleh dikatakan dunianya 100 peratus Melayu!

Sambil menyifatkan pengalaman hidupnya berbeza daripada kebanyakan orang lain, sebelum berusia enam tahun dan sebelum masuk darjah satu, beliau sudah boleh menulis dan membaca dalam Bahasa Melayu.

"Masa itu tidak ada tadika. Saya juga belajar sendiri sebelum masuk ke sekolah. Saya rapat dengan sebuah keluarga Melayu dan anak-anak dia, menjadikan kakak-kakak angkat saya mengajar saya membaca dan menulis.'

"Secara kebetulan bapa saya ada duit sedikit dan membelikan buku untuk saya baca. Buku yang kecil-kecil dan nipis, harganya sekitar 5 sen atau 10 sen sebuah. Masa itu, sebulan sekali ada peniaga yang datang ke kampung menjual buku-buku ini.

"Saya juga baca buku, kalau tidak silap kisah daripada Sejarah Melayu yang diringkaskan dan dipermudahkan. Saya suka kepada bentuk bahasa dan karya sastera," Dr Lim mengingati semula zaman kanak-kanaknya.

BACA DAN INTERAKSI

Minat membaca yang disemai dan dipupuk dari usia muda ternyata menumbuhsubur minatnya dalam kesusasteraan Melayu dan penyumbang utama kepada kejayaannya hari ini.

Justeru tidak hairanlah beliau sentiasa mengesyorkan supaya masyarakat Malaysia hari ini tanpa mengira bangsa dan keturunan agar merapatkan anak-anak mereka dengan pembacaan Bahasa Melayu.

"Ini akan menjadi asas yang kuat berdasarkan pengalaman saya sendiri," katanya.

Dr Lim turut berpandangan dalam konteks masyarakat Malaysia, interaksi kaum amat perlu dalam mewujudkan sebuah bangsa Malaysia.

Ia adalah antara ramuan utama untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang kukuh dan padu.

"Kita mesti perluaskan interaksi kita. Jangan dihalang interaksi antara kaum, jangan dibatasi walau dalam apa jua bidang.

"Interaksi inilah yang akan semakin mendekatkan kita kepada penguasaan bahasa di samping mewujudkan persefahaman dan sikap tolak ansur serta perpaduan yang kukuh.

"Jangan ambil mudah hal ini. Lambat laun anak-anak akan membesar dalam sifat yang tidak janggal," tegasnya.

Dalam konteks yang sama, Dr Lim turut berpandangan perlu dikikis prasangka dan kekeliruan yang wujud dan berlaku dalam hal-hal yang disifatkannya sebagai remeh-temeh yang tidak menyokong pembinaan satu negara bangsa dalam erti kata yang sebenarnya.

"Kadang-kadang kita bercakap hendak membina sebuah masyarakat yang padu, yang kukuh tetapi dari segi pelaksanaan kita berbuat sesuatu yang menunjukkan kita ada prasangka," tambahnya.

JUGA BOLEH

Dr Lim dan Bahasa Melayu boleh diibaratkan sebagai lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan.

Runtunan hatinya mengenai nasib Bahasa Melayu yang sering beliau sebut sebagai 'Bahasa kita' sepanjang wawancara ini menunjukkan betapa mendalamnya beliau menjiwai isu ini.

Perjuangan yang telah berakar umbi sejak empat dekad yang lalu masih diteruskan ke hari ini seperti katanya," selagi saya terdaya saya akan teruskan."

Bermula daripada membaca buku-buku cerita Melayu semasa kecil, minatnya untuk mendalami kesusasteraan Melayu terus bercambah sewaktu beliau belajar di maktab perguruan dan terbabit secara aktif dalam Persatuan Bahasa dan Budaya.

Beliau turut mengkagumi tamadun Melayu yang disifatkannya terbina degan begitu halus dan indah.

Dr Lim turut menjadikan pembabitannya dalam bidang Bahasa Melayu ketika di maktab perguruan sebagai asas untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dalam dirinya.

Beliau mahu membuktikan bahawa orang Cina juga mengambil tahu tentang Bahasa Melayu dan boleh menguasai serta menjadikan Bahasa Melayu itu menjadi 'bahasa kita'.

Berpidato dalam Bahasa Melayu dan menulis dalam Bahasa Melayu menjadikan namanya mula dikenali dan disegani.

"Saya kata saya nak menulis dalam Bahasa Melayu supaya orang Melayu tahu Lim boleh menulis dalam Bahasa Melayu. Dia sayang Bahasa Melayu, cinta Bahasa Melayu.

"Masyarakat bukan Melayu pula berkata ada seorang bukan Melayu yang bagus Bahasa Melayu. Mengapa anak saya tidak bagus seperti dia. Itu yang saya ingin, menjadi contoh, " katanya.

JANGAN REMEHKAN

Pucuk dicita ulam mendatang. Kejayaan yang diraih Dr Lim turut menjadikannya sebagai contoh teladan.

Sering beliau ketemu ibu bapa yang bukan sahaja memujinya tetapi memberitahu mereka menjadikan kejayaan beliau menguasai Bahasa Melayu sebagai contoh untuk diteladani anak-anak mereka.

Pun dalam masa yang sama beliau memberitahu sudah ramai orang bukan Melayu, iaitu Cina dan India yang sekarang bercakap berkias-kias.

"Ini sesuatu yang membanggakan tetapi janganlah sampai kita hendakkan kesempurnaan sehingga kita berkata tidak semua yang pandai berkias," kata Dr Lim.

Beliau turut meminta supaya tidak memandang serong kepada orang bukan Melayu yang tidak fasih atau tidak boleh berbahasa Melayu langsung.

Sambil menyifatkan kelompok seperti itu semakin mengecil kerana ramai yang sudah meninggal dunia, beliau memberitahu memang ada sesetengah ahli masyarakat Cina yang tidak pernah mendapat pendidikan Melayu.

"Mereka itu hanya pandai berbahasa Melayu pasar melalui pergaulan dengan orang Melayu atau langsung tidak boleh bertutur Bahasa Melayu sebab mereka hanya berinteraksi dengan orang Cina.

"Kehidupan sehari-hari kelompok ini dalam lingkungan keluarga Cina, membeli-belah di kedai Cina, jadi langsung tidak boleh bercakap Melayu.

"Jadi apabila kita bercakap hari ini ada orang Cina yang tidak boleh bercakap Bahasa Melayu, itulah golongannya. Tidak boleh menyalahkan mereka. Keadaan yang menjadikan mereka begitu, " jelasnya.

REALITI SEMASA

Senario berbeza dengan generasi muda Cina yang belajar Bahasa Melayu secara yang sistematik dan teratur di sekolah kebangsaan di mana kata Dr Lim penguasaan Bahasa Melayu mereka boleh dibanggakan.

Bagi mereka yang terus masuk ke sekolah Cina, katanya, kelompok ini ada kelas Bahasa Melayu tetapi mempunyai masalah dengan Bahasa Melayu kerana interaksi yang terhad dengan orang Melayu.

"Jadi kita harapkan kelompok yang menguasai Bahasa Melayu ini akan membesar dan golongan inilah yang kita harap dapat menyumbang kepada perkembangan dan kesuburan dari segi penggunaan Bahasa Melayu yang baik.

"Inilah realiti yang berlaku dalam masyarakat. Saya melihat ada perlunya ahli atau tokoh bahasa bila bercakap tentang masyarakat Cina yang tidak boleh menguasai Bahasa Melayu, jangan pukul rata, jangan meremehkan. Sebenarnya masyarakat Cina dari kelompok yang mana? Saya akui masih ada kelompok orang Cina yang tidak boleh berbahasa Melayu.

Begitu juga dengan kelompok Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris dari awal. Barangkali mereka juga turut teraba-raba nak bercakap Bahasa Melayu yang betul, bahasa percakapan harian itu betullah, ini kita nak cakap Bahasa Melayu yang betul, yang santun, " tambahnya.

Secara keseluruhannya beliau melihat ada banyak kemajuan dalam sistem pendidikan negara dari segi penguasaan Bahasa Melayu.

Pihak yang menolak kenyataan ini, katanya, secara tidak langsung meremehkan Kementerian Pelajaran serta usaha yang dibuat oleh ahli bahasa selama ini.

"Secara sindiran kita akan menyatakan sistem pendidikan kita gagal, " tegasnya.

TONGGAK PERPADUAN

Bagi Dr Lim Bahasa Melayu juga selayaknya menjadi tunggak kepada perpaduan bangsa Malaysia, tidak ada bahasa yang lain.

Baginya, kesan insiden tahun 1969 jelas menunjukkan keperluan satu saluran yang sama, yakni Bahasa Melayu untuk menyatakan hasrat hati dan menyampaikan aspirasi hidup selepas insiden itu.

"Bahasa Melayu perlu menjadi tunggak kita yang satu-satunya. Setiap orang mesti memahami, mesti menguasai Bahasa Melayu.

"Apabila berlaku percanggahan pendapat orang Melayu dengan orang Cina umpamanya maka mereka boleh berdebat, boleh berbahas melalui saluran Bahasa Melayu supaya tidak timbul salah faham atau kekeliruan.

"Saya fikir sebuah negara yang makmur seperti Malaysia tidak boleh menerima kerosakan, kehancuran, huru-hara atau pertumpahan darah.

"Cukup sekali. Masyarakat kita unik, bukan jenis masyarakat yang suka kepada huru-hara, demonstrasi, protes, kekerasan termasuklah berbunuh-bunuhan. Ini bukan rupa bentuk bangsa kita, " tegasnya.

BAHASA ILMU

Bahasa Melayu bagi Dr Lim bukan sahaja tonggak perpaduan negara tetapi juga selayaknya menjadi bahasa ilmu.

Sejak zaman berzaman, Bahasa Melayu, katanya telah membuktikan bahawa ia mampu bukan sahaja sebagai bahasa perhubungan (lingua franca) tetapi juga bahasa ilmu merentas zaman.

"Kita imbaslah keupayaan bahasa kita, bahasa yang kuat menyalurkan ilmu tentang keagamaan, budaya dan falsafah yang tinggi-tinggi.

"Ini menunjukkan kemampuan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu sudah terbukti sejak sekian lama sejak zaman berzaman, abad ke abad.

"Kita bukan cakap-cakap kosong. Ini sudah terbukti melalui sekian banyak penerbitan. Semuanya menunjukkan Bahasa Melayu itu mampu mengangkat ilmu, menyampaikan ilmu dan mengembangkan ilmu. Itu kekuatan Bahasa Melayu, " kata Dr Lim lagi.

Mengenai suara-suara sumbang yang mengatakan Bahasa Melayu banyak mengambil bahasa asing, beliau tegas memberitahu bahawa istilah berkembang seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.

"Mahu tidak mahu kita mesti menggunakan istilah itu.

"Jangan kata Bahasa Melayu sahaja menggunakan bahasa ambil ini, yang berkembang seiring dengan perkembangan zaman sains dan teknologi, " jelasnya.

SEDIKIT KHUATIR

Dalam masa yang sama, Dr Lim turut melahirkan rasa khuatirnya dengan perkembangan mutakhir bahawa Bahasa Melayu seolah-olah tidak lagi menjadi bahasa ilmu.

Berdasarkan pemantauan sendiri, beliau memberitahu bahawa hal-hal keilmuan sekarang kurang ditulis dalam Bahasa Melayu dan tidak berlipat ganda seperti mana yang diharap-harapkan.

"Mengapakah hal ini berlaku? Apakah negara kekurangan ilmuwan? Adakah ilmuwan tempatan sendiri tidak meyakini Bahasa Melayu atau pun kita berada dalam satu era di mana ilmuwan kita ini kebanyakannya mendapat pendidikan Inggeris?

"Adakah mereka tidak percaya bahawa Bahasa Melayu mampu mendukung ilmu yang mereka hendak sampaikan itu atau secara kebetulan ilmuwan kita ada yang mendapat pendidikan Barat jadi mereka lebih selesa menyampaikan ilmu dalam Bahasa Inggeris.

"Memang ilmu boleh disampaikan melalui apa-apa bahasa pun akan tetapi pada ketika kita hendak memperkasa Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita, tiba-tiba semua bidang keilmuan kita dalam bahasa asing, dalam Bahasa Inggeris sebagai contoh, " soal beliau.

PERLU BINCANG

Dr Lim mengesyorkan perbincangan yang teratur dan sistematik dibuat supaya dapat dicari jalan tengah untuk menunjukkan Bahasa Melayu masih kekal relevan untuk mengungkap bukan sahaja semua bentuk ilmu tetapi ilmu yang tinggi.

Sewajarnya gejala yang menimpa bahasa kebangsaan pada hari ini, katanya tidak dibiarkan berterusan kerana ia akan hanya mengundang pelbagai tanggapan negatif.

"Akhirnya Bahasa Melayu akan dianggap hanya sesuai untuk komunikasi yang mudah-mudah sahaja tetapi tidak mampu, tidak berdaya untuk menjadi bahasa ilmu, " keluhnya sambil mengungkap beberapa bait daripada puisinya yang bertajuk "Citra Bahasa".

"Jangan perkecilkan bahasa Melayu, Kelak ia semakin kerdil,

Kerdil bahasa kerdilah jiwa, Tak berjiwa manakah lagi kebersamaan kita.

"Lama telah bahasa kita berdaulat, Bukalah laman sejarah, lihatlah jerih, Lihat payah yang terpahat, Kita juga telah memberinya tempat, Setelah dinobat diangkat martabat, Janganlah lagi direntap disentap."

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Program 6P 'bonus' kepada PATI


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

ISU kebanjiran pekerja dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di mana-mana negara tidak pernah selesai.

Malaysia tidak terkecuali. Sejak 1990-an lagi, sebanyak lima program pemutihan PATI termasuk dua di Sabah telah digerakkan.

Penguatkuasaan dan pengusiran dibuat tetapi masalah kebanjiran kumpulan itu terus berulang. PATI datang dan pergi ke negara ini - mengaut rezeki 'haram' mereka dan pulang semula ke negara asal.

Meskipun begitu, Kuala Lumpur tidak pernah berputus asa.

Kali ini kerajaan dilihat amat serius mahu membendung kebanjiran PATI. Dengan kos tanggungan untuk menampung seorang PATI yang ditempatkan di 13 depot Imigresen pada kadar purata antara RM13 hingga RM30 setiap seorang untuk lima kali makan sehari, masanya telah tiba untuk menangani isu yang berlarutan sekian lama ini.

Menerusi Program 6P yang bermula 11 Julai depan, ia membawa maksud kepada enam peringkat pelaksanaan yang akan digerakkan sepanjang tempoh Program Penyelesaian Menyeluruh PATI.

"Beza program pemutihan dahulu dan Program 6P ialah kali ini ia bertujuan mendapatkan data serta biometrik sekali gus membolehkan kerajaan memperoleh statistik jumlah mereka di Malaysia.

"Program bermula dengan peringkat Pendaftaran dari 11 Julai hingga 24 Julai; Pemutihan dan Pengampunan (tiga bulan dari 8 Ogos hingga 31 Oktober); Pemantauan (seminggu dari 1 hingga 7 November) dan penguatkuasaan serta pengusiran yang dilakukan secara berterusan sehingga 31 Disember nanti," kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam dalam satu taklimat kepada media di Putrajaya Khamis lalu.

1. PENDAFTARAN

- Tindakan ini selari dengan inisiatif kerajaan mewujudkan pangkalan data komprehensif bagi setiap warga asing sekali gus membolehkan proses pemantauan dilaksanakan secara lebih berkesan.

Ini termasuklah usaha membabitkan penyelesaian dalam menangani isu pemalsuan identiti serta dokumen yang selama ini mudah dipalsukan akibat tiada rekod biometrik.

Dalam peringkat ini, majikan-majikan atau PATI mereka yang secara sukarela mendaftarkan diri tidak akan disenaraihitamkan atau dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Malahan PATI yang telah berdaftar dibenarkan kembali bekerja dengan majikan masing-masing menggunakan pas sementara bagi memastikan langkah tersebut tidak mengganggu aktiviti negara.

2. PEMUTIHAN

- Setiap PATI yang telah berdaftar akan dikenal pasti jika wujud keperluan untuk mengekalkan mereka dalam sektor tertentu yang mempunyai penawaran kekosongan kerja membabitkan pekerja asing.

Jika hasil pertimbangan mendapati PATI terbabit sesuai untuk mengisi kekosongan itu, maka mereka akan diputihkan dan seterusnya didaftarkan pekerja asing yang sah dengan senarai majikan yang berdaftar.

Proses pemutihan ini akan mengambil kira kelayakan majikan berdasarkan keperluan semasa mengikut sektor dan sub-sektor yang akan ditentukan oleh kementerian/agensi kawal selia.

3. PENGAMPUNAN

- PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan atau PATI yang secara sukarela memilih untuk pulang ke negara asal mereka, masing-masing akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan. Pengampunan ini hanya terhad kepada PATI yang melakukan kesalahan imigresen.

4. PEMANTAUAN

- Naziran ke premis-premis seluruh negara akan dilakukan untuk memberi nasihat kepada majikan selain pada masa sama menerangkan implikasi tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melindungi pekerja berstatus PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P.

Antara lain, majikan serta PATI yang berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta.

5. PENGUATKUASAAN

- Pada peringkat ini, operasi penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan secara besar-besaran dan digerakkan dengan tujuan untuk mengesan serta menangkap PATI serta majikan yang dikenal pasti masih melakukan kesalahan imigresen.

6. PENGUSIRAN

- PATI yang ditangkap melalui operasi penguatkuasaan bersepadu akan dikenakan tindakan undang-undang sebelum diusir keluar dari negara ini.

Oleh kerana kos bagi proses pengusiran ini ditanggung menggunakan peruntukan kerajaan, maka setiap PATI yang diusir akan turut sama disenaraihitamkan daripada kebenaran untuk masuk semula ke negara ini.

Mahmood memberitahu, empat kategori warga asing yang perlu mendaftar/didaftarkan ialah:

i. Semua warga asing yang telah masuk ke Malaysia tanpa izin dan kini tinggal serta bekerja di negara ini secara tidak sah.

ii. Semua warga asing yang masih tinggal di Malaysia selepas pas atau permit kerjanya tamat tempoh atau dibatalkan.

iii. Semua warga asing yang telah menyalahgunakan permit masuk, pas atau dokumen-dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan.

iv. Semua warga asing yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang ditetapkan undang-undang Malaysia.

Menurut beliau, pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) juga tertakluk kepada keperluan untuk mendaftar di bawah Program 6P.

Mengenai keperluan pekerja asing yang mempunyai dokumen atau permit kerja sah tetapi tempoh kebenarannya hanya berbaki satu tahun berakhir untuk turut menyertai program ini, beliau menjelaskan: "Tidak perlu. Pendaftaran untuk program ini hanya dihadkan kepada PATI.

"Tidak ada bayaran dikenakan untuk proses pendaftaran jika ia dibuat di pejabat Imigresen. Tetapi jika pendaftaran dibuat dengan syarikat pengurus, caj perkhidmatan perlu dibayar. Senarai bayaran akan dimaklumkan kelak," kata Mahmood.

Pusat pendaftaran untuk PATI, kata beliau, akan dibuka di setiap daerah di Semenanjung. Bagaimanapun untuk memudahkan PATI serta majikan, mereka disaran menghubungi Bilik Gerakan KDN di talian 03-8886 8110/8112 atau talian hotline Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN1-800-22-9696 bagi merujuk lokasi terdekat dengan premis mereka masing-masing.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Bahasa Melayu: Mengapa Tidak Bangga Bahasa Sendiri

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu berterusan. Terpinggir atau dipinggirkan? Apakah nasib bahasa ibunda ini? Adakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian kedua ialah sambungan pandangan pejuang bahasa Prof Dr Awang Sariyan mengenai penggunaan Bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri.


KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Audit bahasa? Mungkin pelik dan aneh! Bagi tokoh bahasa Dr Awang Sariyan, ia melihat audit bahasa sebagai satu usaha yang semakin perlu disegerakan.

Beliau pernah melontarkan cadangan ini beberapa tahun lalu apabila memandangkan penggunaan bahasa Melayu yang semakin luntur.

Bagaimanapun, setakat ini beliau boleh dikatakan masih bertepuk sebelah tangan kerana cadangan yang dilontarkan masih belum disambut!

Kecelaruan yang mewarnai polemik Bahasa Melayu hari ini membuatkan Dr Awang mengungkap kembali cadangan beliau.

"Perlu ada audit bahasa kebangsaan kerana soal bahasa kebangsaan ini bukankah dasar negara," tegasnya kepada Bernama dalam satu wawancara di kediamannya yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur baru-baru ini.

KAEDAH AUDIT

Ditanya mengenai kaedah atau modus operandi audit bahasa yang diperjuangkan itu, katanya, pelaksanaannya mudah sahaja dilakukan meskipun ada pihak yang mempunyai pandangan yang bertentangan tatkala beliau membuat cadangan audit bahasa itu.

"Contohnya, setiap jabatan dan kementerian diaudit bahasanya. Mesti ada pasukan seperti audit negara yang lebih kepada menilai pengurusan kewangan.

"Audit bahasa ini menilai dari sudut pencapaian penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kumpulkan minit-minit mesyuarat, terbitan, pekeliling dan sebagainya untuk setiap jabatan," kata beliau.

"Audit bahasa itu akan memperlihatkan dua aspek penting, iaitu pelaksanaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi dan mutu bahasa yang digunakan. Laporan perlu diserahkan kepada pihak berwibawa, sama ada Ketua Setiusaha Kementerian dan perlu juga sehingga Ketua Setiausahasa Negara."

"Secara terancang, perlu juga diadakan pemantauan bersemuka dari waktu ke waktu seperti majlis-majlis rasmi, sama ada dilaksanakan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi atau sebaliknya. Demikian juga aspek mutu bahasa yang digunakan. Dari situ peningkatan penggunaan Bbahasa Melayu dan mutunya saya yakin dapat ditingkatkan."

"Jika perihal audit bahasa yang berkaitan dengan salah satu dasar negara itu dipandang remeh dan lucu, maka remeh dan luculah Dasar Bahasa Kebangsaan kita!"

Dr Awang kini memegang jawatan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) yang mempunyai Pusat Pengajian Melayu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebagai penaungnya sejak tahun 1997, ketika menjadi Menteri Pelajaran.

Program ini adalah kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan BFSU, iaitu Kursi Pengajian Melayu ketiga sesudah di Leiden, Belanda dan di Wellington, New Zealand.

Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh anak kelahiran Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor termasuk Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, di samping menjadi tenaga akademik di beberapa buah universiti lain, termasuk Universiti Brunei Darussalam.

Beliau juga banyak menulis rencana ilmiah, kertas kerja dan rencana bimbingan Bahasa Melayu untuk pelajar serta pengguna bahasa yang lain serta menghasilkan puluhan buku ilmiah, buku panduan bahasa, buku umum, dan kamus. Di Beijing, beliau bekerjasama dengan tenaga akademik di negara China menyusun beberapa buah kamus dwibahasa Melayu-China dan dengan Universiti Northern Illinois, Amerika Syarikat, beliau membantu Prof Dr James T. Collins, Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara universiti itu dalam projek Kamus Bahasa Melayu Dalam Talian.

MENYEDIHKAN

Dr Awang sendiri pernah mengetuai satu kajian pada tahun 2007 mengenai penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dan mutu bahasa di jabatan-jabatan kerajaan.

Apabila ditanya hasil kajian terhadap dua aspek, iaitu taraf pelaksanaan dan mutu bahasa yang menjadi fokus kajian itu, jawapannya ringkas: "Menyedihkan".

Antara hasil kajian yang dibuat Dr Awang dan kumpulan penyelidiknya menunjukkan ada jabatan atau kementerian yang mencapai hanya 65-70 peratus dari segi penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

"Kalau jabatan kerajaan 65 peratus, apa lagi sektor swasta. Dari segi mutu bahasa pula, keadaannya lebih parah. Masih banyak kesalahan bahasa dari segi ejaan, penggunaan perkataan, istilah dan struktur ayat," tambahnya.

Beliau berkata terdapat juga kecenderungan untuk berbahasa rojak dalam mesyuarat.

"Sekerat ular, sekerat belut". Sekerat Bahasa Melayu, sekerat bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris pun bukan bahasa Inggeris baku tetapi bahasa basahan.

"Jadi martabat kita dari segi pentadbiran dan dari segi nilai budaya tidak begitu tinggi," tegasnya.

BOLEH DILAKSANAKAN

Bercakap lebih lanjut mengenai audit bahasa, beliau menegaskan modus operandi yang dicadangkannya itu adalah praktikal jika kita betul-betul mahu menobatkan Bahasa Melayu.

"Orang mungkin tidak suka pada peringkat awal tetapi dia akan melaksanakannya juga oleh sebab arahan daripada Ketua Setiausaha Negara dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Jadi kalau audit bahasa dibuat, hasilnya boleh dilaporkan dan dibentangkan dalam kabinet.

"Jabatan atau kementerian yang masih agak lemah dari segi pelaksanaan bahasa kebangsaan dan mutu bahasanya boleh ditegur seperti yang dilakukan oleh juruaudit negara dalam bidang kewangan," kata Dr Awang.

TIDAK YAKIN

Secara keseluruhannya, kekecewaan Dr Awang dengan sikap sesetengah anggota masyarakat, termasuk orang Melayu sendiri yang masih tidak yakin dengan kemampuan Bahasa Melayu masih berakar tunjang hingga ke hari ini.

Menurutnya wujud segolongan pemimpin, golongan elit, golongan menengah, kumpulan eksekutif, kumpulan pelaksana dasar yang hati mereka masih terpaut dan tertawan oleh kehebatan bahasa Inggeris.

Bagi golongan itu, seolah-olah hanya bahasa Inggeris yang dapat menjulang tamaddun yang hal itu menjadikan penggunaan Bahasa Melayu semakin luntur dan menjadikan bahasa Inggeris lebih dominan berbanding bahasa kebangsaan.

"Ada yang berhujah buku Bahasa Melayu tidak cukup. Kita akui masih ada masalah tetapi hal itu dilalui oleh semua bahasa. Bahasa Inggeris sendiri melalui tempoh 200 tahun untuk menjadi bahasa yang hebat.

"Bahasa Melayu lepas merdeka sampai sekarang baru lebih setengah abad dan kita sudah ada sejuta istilah, ribuan tenaga akademik dan penerbitan. Usaha mesti diteruskan, bukan berpatah balik ke belakang hanya kerana masih ada beberapa masalah." katanya yang pernah memegang jawatan Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.

PERLU BANGGA

Orang Melayu perlu berasa bangga dan lebih mengutamakan Bbahasa Melayu apabila berhubung atau berkomunikasi, termasuk dengan rakan bukan Melayu.

Cara yang demikian, pada pandangan Dr Awang akan mendorong mereka dalam gerakan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu.

Beliau lalu menegur sikap sesetengah orang Melayu kelas menengah yang gemar berbahasa Inggeris ketika berbual dengan orang bukan Melayu, seolah-olah rakan kita yang bukan Melayu itu warganegara asing.

"Yang paling mudah sebutan nama; kalau Melayu boleh sebut 'encik' tetapi kalau orang Cina terus panggil Mr Lim. Kenapa tak boleh sebut Encik Lim?

"Itu sendiri sudah semakin menjarakkan hubungan atau pun perasaan penerimaan, seolah-olah mereka tidak diterima sebagai rakyat negara ini."

"Dengan orang India juga mereka berbahasa Inggeris. Kenapa tidak dalam bahasa kebangsaan?" soalnya.

"Dalam kalangan golongan biasa pula, apabila bercakap dengan orang bukan Melayu, timbul kecenderungan berbahasa pelat sama seperti orang yang dilayan bercakap. Jadi, kita tidak membantu rakan-rakan kita itu berbahasa dengan lebih baik dan bahasa kita pula jadi rosak."

HORMAT BAHASA

Beliau mengungkap senario menarik tentang komunikasi antara pegawai Inggeris dengan Yap Ah Loy, kapitan Cina yang diuar-uarkan sebagai bertanggungjawab membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat perlombongan dan komersil.

Komunikasi antara kedua-duanya berlangsung dalam Bahasa Melayu, berkemungkinan menggunakan jurubahasa, katanya.

Terdapat juga surat pegawai Inggeris itu kepada Yap Ah Loy dalam Bahasa Melayu tulisan Jawi. Surat itu pernah disiarkan dalam majalah Mastika beberapa tahun lalu.

Dr Awang berkata bangsa asing pada masa itu begitu menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca.

Lalu beliau menyoal bagaimana dalam keadaan sebuah negara yang sudah merdeka ada yang masih menganggap Bahasa Melayu bahasa yang tidak mampu.

"Jadi inilah yang saya katakan sikap dan krisis keyakinan dalam kalangan masyarakat kita dan malangnya sebahagiannya adalah bangsa teras, iaitu Bangsa Melayu sendiri, keluhnya.

"Abdullah Munsyi pada tahun 1822 pernah meluahkan rasa hairannya melihat bangsa Melayu yang tidak memberikan perhatian kepada bahasanya sendiri.

"Beliau berkata tidak mungkin ada bangsa di dunia yang bahasanya dapat maju kalau kita tidak memuliakan atau tidak mempelajarinya. Jadi apa yang dikatakan Abdullah Munsyi masih berlaku sampai sekarang. Orang Melayu meremehkan bahasanya sendiri, " kata Dr Awang.

HARUM BAHASA

Jika ada orang Melayu yang tidak bangga berbahasa Melayu, di peringkat antarabangsa pengajian Bahasa Melayu ternyata berbeza keadaannya.

Dr Awang berkata di seluruh dunia terdapat sekitar 120 institusi sama ada mengajarkan Bahasa Melayu atau setidak-tidaknya mempunyai pusat penyelidikan tentang bahasa dan sastera Melayu. Di Eropah, di Amerika Utara, di Oceania, di Asia Timur dan juga di beberapa tempat lain terdapat pusat pengajian Melayu.

Di China sendiri, kata beliau, program pengajian Bahasa Melayu semakin rancak berjalan. Terdapat enam buah universiti yang ada program Bahasa Melayu, tiga buah di Beijing, sebuah di Ghuangzhou, sebuah di Nanning dan sebuah di Kunming. Sebuah akademi tentera di Louyang turut menawarkan kursus Bahasa Melayu.

Di BFSU tempat beliau ditugaskan, umpamanya, program itu kini ditawarkan sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana.

Paling membanggakan pelajar BFSU, Zhang Song atau nama Melayu yang diberikan, Noriah, seorang daripada pelajar Dr Awang, muncul juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia 2010 bagi kategori antarabangsa luar Nusantara.

"Di Universiti Beijing kesemuanya ada 54 bahasa asing diajarkan dan Bahasa Melayu ialah antara bahasa yang popular dan mendapat sambutan baik.

"Tapi jangan sahaja nama harum di luar negara tetapi di dalam negara Bahasa Melayu tak berbau harumnya," tegas Dr Awang.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/