Khamis, 7 Mei 2015

ISU BAHASA : Jawatankuasa Bahasa Melayu-Indonesia ditubuhkan


KUALA LUMPUR - Jawatankuasa  Bahasa  Melayu  dan  Bahasa Indonesia akan ditubuhkan hujung tahun ini bagi mengkaji kerjasama menjadikan kedua-dua bahasa itu sebagai lingua franca di peringkat antarabangsa.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jakarta bulan lepas.

Katanya jawatankuasa itu bakal memainkan peranan penting sebagai penjaga warisan seni lingua antara dua negara, selain memberi nafas baharu ke arah memperjuangkan Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia ke pentas dunia.

"Jawatankuasa  sangat  penting  dalam  pembinaan  jiwa  kewarganegaraan  serta  kenegaraan  alam Melayu.

"Maka bermula tahun hadapan, kita boleh memulakan beberapa langkah positif menjadikan Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia sebagai bahasa ilmu, bahasa teknikal serta bahasa antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Bengkel Memartabatkan Pengajian Melayu 2015 di sini hari ini.

Sebanyak 150 anggota akademik menghadiri bengkel sehari bertemakan 'Memartabatkan Pengajian Bahasa Melayu' anjuran Majlis Dekan Pengajian Melayu Universiti Awam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Warisan Negara.

Mengulas lanjut, Rais berkata pada masa ini pihaknya sedang menunggu senarai nama wakil dari Indonesia bagi menganggotai jawatankuasa itu yang akan diumumkan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, sebelum diserahkan kepada Muhyiddin.

Ketika diminta mengulas tindakan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok menolak cadangan mensyaratkan individu yang ingin menjadi wakil rakyat harus fasih berbahasa Melayu dan memiliki kepujian bagi bahasa itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia, Rais berkata tindakan Teresa itu sebagai tidak menghormati Perkara 152, Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di negara ini adalah Bahasa Melayu.

"Kalau beliau nak jadi wakil rakyat, kena lulus Bahasa Melayu. Dan jika tak sanggup, maka harus dipersoal di mana kesetiaan kepada negara dan atas asas apa beliau mahu jadi pemimpin," katanya. - Bernama