Ahad, 24 Oktober 2010

MEMPERKASA PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Zainal Abidin Borhan

GAPENA menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor korporat memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di tempat awam. Kenyataan tersebut bertepatan dengan perkara 152 yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Di samping Perlembagaan, ia juga bertepatan dengan keseluruhan semangat dan jiwa Akta Bahasa Kebangsaan serta dasar yang berhubung dengannya. Seandainya PBT tidak menjalankan tugas-tugas tersebut dengan alasan tidak adanya peruntukan di dalam Akta PBT maka, tanggapan sedemikian adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Tindakan memperkasa bahasa Melayu di sektor awam dan swasta adalah tindakan yang konstitutional. Maka jika kedua-dua pihak tidak melakukannya bererti tidak menghormati Perlembagaan Negara.

Pihak PBT seperti yang diperuntukkan di dalam akta bukan sahaja mengambil tindakan meningkatkan perkhidmatan pungutan sampah, pengangkutan awam, jalan raya dan sebagainya daripada pendapatan yang diperoleh dari cukai taksiran premis perniagaan, perumahan, perindustrian dan perdagangan, malah sepatutnya lebih daripada itu. PBT perlu memainkan peranan sebagai agensi yang melaksanakan paksi kenegaraan dan dasar-dasar nasional (kebangsaan).

Bulan Bahasa Kebangsaan pernah dilaksanakan pada tahun 1960-an. Parti Buruh dan Parti Rakyat (Barisan Sosialis), Parti Progresif Rakyat (PPP) Malayan Democratic Party yang menguasai PBT turut aktif dalam menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan pada masa itu. Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Hasnol Hadi yang menguasai Majlis Bandaran Melaka pada masa itu telah menubuhkan Badan Bertindak Bahasa bersama Perikatan turut bersama menukar nama jalan-jalan daripada nama warisan penjajah kepada bahasa kebangsaan.

Sebagai contoh Newcome Road ditukar kepada Jalan Munshi Abdullah, Heren Street ditukar kepada Jalan Tun Tan Cheng Lock dan sebagainya. Fenomena ini berlaku di seluruh negara pada waktu itu. Tun Mustapha semasa menjadi Ketua Menteri Sabah dengan berani membawanya ke Dewan Undangan Sabah untuk melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Justeru, disyorkan kepada kerajaan untuk memperkukuhkan Akta Bahasa dengan memperuntukkan bidang penguatkuasaan. Setiap kesalahan bahasa pada papan tanda, papan iklan, nama jalan, nama taman perumahan, segala surat siaran dan brosur yang melibatkan kepentingan awam hendaklah disaman dan didenda, selain dinasihati untuk membetulkan kesilapan berkenaan.

GAPENA juga menyokong cadangan Pemuda UMNO dan Wira Perkasa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan Malaysia bukan sekadar bahasa rasmi yang digunakan dalam upacara rasmi termasuk pentadbiran dan pemerintahan, tetapi ia adalah salah satu perkara pokok dalam proses pembinaan negara-bangsa dan kenegaraan.

Sebagai warganegara, setiap orang wajib berbahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi antara rakyat tetapi juga alat perpaduan. Oleh itu, di semua peringkat pelajaran dan pendidikan, bahasa Melayu adalah bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Perlu disedari bahawa Perkara 152 tidak pula menghalang bahasa-bahasa kaum atau keturunan lain digunakan. Malaysia adalah di antara contoh perpaduan, keterbukaan dan demokrasi yang terbaik di dunia. Pada 1938 hingga 1942, kemudian selepas Perang Dunia Kedua, Perdana Menteri Phibun Songkram di Thailand telah merangka Perlembagaan bahawa setiap warganegara Thailand wajib bernama Thai, berbahasa Thai, bersekolah Thai dan beragama Buddha.

Sesiapa yang menolaknya tidak layak menjadi warganegara Thailand. Sehingga sekarang di Thailand, bahasa pengantar di sekolah-sekolah adalah bahasa Thai, hatta bahasa Melayu yang diajar di beberapa universiti di Thailand sekarang seperti di Universiti Chulalongkorn, Universiti Thammasat, Universiti Prince Songkla, Universiti Thaksin dan lain- lain diajar dalam bahasa Thai.

Di Indonesia pula di zaman pemerintahan Suharto, warganegara bukan pribumi iaitu orang Cina Indonesia diwajibkan menggunakan nama Indonesia, berbahasa Indonesia dan bersekolah Indonesia untuk menyempurnakan proses satu bahasa, satu bangsa dan satu negara - Indonesia.

Di Malaysia tidak terdapat tindakan yang diambil seperti itu oleh pemimpin Malaysia kerana para pemimpin Malaysia mengamalkan sikap toleransi, kesederhanaan, demokratik dan menghargai kehadiran dan kewujudan kaum- kaum lain di negara ini. Malah di sebuah negara jiran, sekolah Cina tidak dibenarkan lantaran dikhuatiri berkembang ideologi lain daripada ideologi negara berkenaan.

Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri di Ipoh, Perak baru-baru ini adalah usaha untuk menegaskan proses kenegaraan. Rukunegara, Perlembagaan, perundangan, kedaulatan raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, seluruh dasar-dasar kebangsaan dalam pemerintahan, perpaduan, toleransi, berkongsi kuasa, sejarah negara dan proses negara-bangsa adalah di antara unsur-unsur kenegaraan Malaysia.

Melalui unsur-unsur ini, rakyat dapat hidup bersatu-padu, saling hormat menghormati dan menerima setiap orang sebagai warganegara walaupun terdapat kebudayaan warganegara yang bukan berasal dari wilayah kebudayaan Melayu.

Di Malaysia, terdapat kepelbagaian bahasa dan dialek; bangsa, kaum, suku dan puak; budaya dan adat, serta agama dan kepercayaan. Kepelbagaian bahasa dan dialek disatukan melalui bahasa kebangsaan. Idea kepelbagaian atau hetrogeniti di Malaysia berlawanan dengan idea pluralisme. Pluralisme adalah suatu ideologi sedangkan plurality adalah satu diskripsi mengenai kepelbagaian atau hetrogeniti. Begitu juga dengan multi-linguality, multi- raciality dan plurality agama.

Idealogi pluralisme bukanlah ideologi Malaysia; namun ada pihak mahu ideologi seperti ini dilaksanakan seperti menamakan nama jalan dalam pelbagai bahasa dan menolak nama jalan di dalam bahasa kebangsaan. Di dalam rangka kepelbagaian atau hetroginiti, maka seluruh jiwanya sudah sedia termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan dasar-dasar serta tindakan- tindakan pemerintah.

Ideologi pluralisme ini dibawa dan dijaja oleh sesetengah warganegara yang menolak semua sifat dan bentuk serta dasar-dasar yang berteraskan kebangsaan. Ketaksuban kepada ideologi pluralisme menyebabkan pihak-pihak ini melabelkan sesiapa juga yang mempertahankan dasar-dasar kebangsaan sebagai rasis. Sebenarnya pihak yang menolak dasar-dasar kebangsaan itulah yang rasis.

Ideologi pluralisme, multi-racialisme, multi- lingualisme, multi-culturalisme dan pluralisme agama sudah lama dikumandangkan sejak Malaysian-Malaysia diperkenalkan pada 1963 oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sewaktu Singapura di dalam Persekutuan Malaysia. Malang sekali, kini terdapat pula parti politik di dalam parti pemerintah (Barisan Nasional) mendendangkan lagu yang hampir serupa untuk membuktikan kerelevanan mereka dalam memperjuangkan tuntutan para penyokong mereka.

Pluralisme di dalam konteksnya pula dikatakan sejajar dengan hak asasi manusia. Di atas nama pluralisme, demokrasi dan hak asasi manusia, terdapat pihak yang cuba meruntuhkan seluruh paksi, ideologi dan dasar-dasar kebangsaan yang konstitutional yang selama ini telah mewujudkan keadilan, perpaduan, keharmonian, kesejahteraan dan keamanan.

Daripada data-data sejarah yang sudah declassified yang terhimpun di luar negara, terdapat pihak-pihak tertentu yang lari semasa Perang Dunia Kedua ke India, telah berunding dengan Parti Komunis Malaya untuk menubuhkan Republik Malaya atas alasan yang diherotkan (distorted) bahawa Melayu menyokong Jepun. Terdapat juga tulisan dalam akhbar Cina di Negeri-Negeri Selat pada tahun 1930-an yang mempersoalkan hak orang Melayu di Tanah Melayu pada masa itu. Malah ada yang berpendapat ini, bukan negeri Melayu.

Munculnya Penyata Fen -Wu dan Thuraisingam pada 1950-an semasa sebelum merdeka adalah reaksi balas kepada Penyata Pendidikan Razak dan Rahman Talib. Ideologi Malaysian-Malaysia sudah lama diperkatakan sebelum PAP muncul. Maka penegasan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan akan terus mendapat tentangan.

Penentangan dan pembangkangan terhadap ideologi, sistem dan dasar-dasar nasional akan dilihat terlalu terkebelakang di dalam rangka globalisasi dan mesra pasar yang berteraskan neo-liberalisme dan neo-capitalisme. Maka ketegasan dan iltizam politik dan perpaduan Melayu sahaja yang dapat memberikan jawapan balas.

Zainal Abidin Borhan ialah Setiausaha Satu GAPENA

Sumber : http : //www.utusan.com.my/