Rabu, 2 Januari 2013

ISU SOSIAL : Memasang azam baharu


 Oleh : HAMIZUL ABDUL HAMID

TAHUN demi tahun berlalu, kian laju dan meninggalkan kita sama ada kita mahu atau kita tidak setuju. Dalam Islam, kiraan tahun bermula kala Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah. Ia digagaskan semasa Saiyidina Umar al-Khattab menjadi pemerintah; bukannya tercetus pada zaman Rasulullah SAW. Manakala, tahun Masehi pula digagaskan oleh golongan Nasrani, berdasarkan kepada tarikh kelahiran Nabi Isa as atau disebut Isa al-Masih.

Di Malaysia, kita menyediakan diri untuk menerima dua kedatangan tahun baharu. Pertama tahun Islam ataupun tahun hijri; keduanya tahun masehi yang sesetengah orang menganggap ia bukan tahun Islami, lantaran pengasasnya adalah golongan Kristian.

Walau apa pun perbahasan mengenainya, kedatangan dua tahun baharu ini sewajarnya memberikan suatu erti yang lebih bermakna buat kita.

Erti tahun baru?

Apakah ertinya tahun baru bagi kita? Sesetengah orang menyambutnya lantaran orang lain juga menyambutnya. Ada orang suka menjadikan tahun baharu sebagai neraca bagi mengukur, sejauh manakah perubahan-perubahan positif telah berjaya dicapai oleh dirinya pada setiap perubahan tahun yang menjelma. Ringkasnya, adakah lebih baik, lebih menurun atau statik tidak ke mana-mana?

Ada pula yang menjadikan tahun baharu sebagai permulaan sesuatu yang baharu, misalnya, mereka akan memulakan tabiat untuk menabung 10 peratus daripada pendapatan bermula pada tahun baharu. Malah, ada orang menjadikan tahun baharu sebagai medan memasang azam baharu, mahu menamatkan aktiviti merokok, misalnya.

Malah, tidak kurang juga ada orang yang kerjanya asyik memperteguhkan azam dan tekad terdahulu yang mungkin belum terkabul sebagaimana yang mereka mahu. Orang seperti ini sepatutnya berawas, bimbang mereka hanya suka memasang azam namun tidak komited merealisasikannya. Orang seperti ini juga, sering dianggap golongan yang rugi di dalam Islam kerana tidak berusaha untuk berubah.

Namun, awas! Memasang azam dan memulainya pada setiap permulaan tahun baharu hanyalah kepada perkara yang harus. Janganlah memasang azam, untuk mulai menunaikan solat fardu bermula tahun baharu atau memberikan zakat yang wajib hanya pada tahun baharu. Perkara yang wajib, perlulah disegerakan, bimbang kematian lebih dahulu mendatangi kita; sedang tahun baharu masih belum bermula.

Umumnya, inilah sebahagian daripada erti tahun baru bagi sesetengah orang. Tidak ada suatu erti yang piawai, malah ia tergantung kepada nawaitu atau maksud akhir seseorang yang mahu dicapai setelah setahun masa dijalaninya.

Harus diingat, tahun baharu itu indikasinya adalah waktu atau masa. Itulah tahun, tidak kiralah jumlahnya 365 hari bagi tahun Masehi atau 354 hari bagi tahun Hijri, ia adalah masa.

Masa ini, diistilahkan oleh pepatah Arab seperti sebilah pedang. Ia disebutkan sebagai al-waqtu ka as-saif iaitu: "Waktu itu ibarat pedang; jika kamu tidak memotongnya, maka ia yang akan memotong kamu."

Sebab itulah, Islam amat berkira-kira dengan waktu dan masa. Di dalam al-Quran dan al-hadis Nabi Muhammad SAW, terdapat pelbagai versi bicara mengenai masa.

Antara yang paling lumrah disebut, ialah: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh; serta berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-'Asr: 1-3)

Surah ini lazimnya menjadi penutup kepada sesuatu acara. Contohnya, mesyuarat yang baik itu, diawali dengan surah al-Fatihah (pembuka) dan ditutupi dengan surah al-'Asr (masa). Inilah hakikat kepentingan masa di dalam Islam, sehingga ia disunnahkan menjadi amalan.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri berpesan dengan pelbagai perkataan, bahawa masa itu apabila sudah berlalu, maka tiada akan kembali lagi walau sesaat. Maka, manusia dianjurkan agar menjaga masa dengan penuh manfaat.

Nabi Muhammad SAW menyatakan yang maksudnya: "Manfaatkanlah lima kesempatan sebelum datang (lima) kesempitan. Manfaatkan usia mudamu sebelum kamu tua, manfaatkan sihatmu sebelum sakit, gunakan kekayaanmu sebelum kamu miskin, gunakan waktu lapangmu sebelum kamu sibuk dan manfaatkan hidupmu sebelum kamu mati." (riwayat al-Hakim)

Inilah kondisi umat Islam dan masa. Bukan namanya umat Islam, jika mereka dengan sengaja membiarkan waktu berlalu dengan percuma. Umat Islam, dijulang di dalam al-Quran sebagai peneraju dunia, sentiasa berusaha untuk berubah menjadi lebih baik setiap masa.

Ini kerana, Allah SWT telah menegaskan: Demikianlah Allah tidak akan merubah kenikmatan yang telah Dia berikan kepada suatu kaum, sehingga mereka merubahnya sendiri. (al-Anfal: 53)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : Perniagaan di Malaysia kekal pada tahap tinggi


Oleh : Suffian A Bakar | suffian@bharian.com.my
    
Kuala Lumpur: Keyakinan perniagaan di Malaysia untuk tahun 2013 kekal berada pada tahap tinggi sungguhpun di peringkat global senario agak berbeza ditunjukkan ekonomi lain.

Mengikut kaji selidik terkini Grant Thornton International Business Report (IBR) membabitkan 3,200 peneraju perniagaan di 44 negara, pemilik perniagaan di Malaysia yakin terhadap ekonomi negara, sekali gus meletakkan kembali kedudukan Malaysia pada kadar 12 peratus berbanding -4 peratus tahun lalu.

Rakan Kongsi Pengurusan SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani, berkata IBR turut mendapati sebanyak 52 peratus perniagaan di Malaysia menjangka meraih pendapatan lebih tinggi pada tahun ini.

“Sebanyak 42 peratus daripada perniagaan di Malaysia dijangka melabur dalam kilang dan mesin dan 35 peratus daripadanya pula dijangka meraih keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan itu juga mendapati pemilik perniagaan di Asia, khususnya di negara anggota ASEAN, turut yakin terhadap ekonomi negara masing-masing tahun 2013.

Filipina muncul paling yakin di rantau ini dengan mencatat kadar keyakinan 72 peratus, disusuli Singapura pada 26 peratus dan Thailand 19 peratus, tetapi susut di Vietnam kepada -10 peratus daripada 34 peratus tahun lalu, kata laporan itu.

Bagaimanapun harapan untuk memulakan tahun baru 2013 secara mantap dengan menyaksikan pemulihan kukuh ekonomi global kelihatan menyusut, khususnya disumbang faktor persekitaran di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Data IBR menunjukkan keyakinan perniagaan global secara keseluruhannya berada pada kadar rendah sebanyak empat peratus menuju 2013, berbanding sifar peratus tempoh sama tahun lalu.

“Bagaimanapun, ramalan dan senario berbeza sama sekali bagi Asia dan khususnya di ASEAN,” kata IBR.

IBR mendapati penyusutan keyakinan perniagaan di peringkat global disebabkan terutamanya oleh kejatuhan ekonomi terbesar dunia, AS.

Laporan itu mencadangkan ketidaktentuan ekonomi disebabkan kebimbangan halangan fiskal AS dan kebimbangan berterusan berhubung daya maju jangka panjang di zon euro mengeruhkan lagi prospek pertumbuhan ekonomi global.

Di peringkat serantau, IBR mendedahkan gambaran bercampur-campur.

Keyakinan perniagaan di pasaran membangun di Amerika Selatan secara relatifnya stabil sepanjang tahun lalu, dan sebenarnya meningkat kepada 69 peratus pada suku keempat berbanding 61 peratus sebelum ini.

Ekonomi negara BRIC, yang meningkat kepada 39 peratus daripada 34 peratus, juga kekal optimistik, sementara Asia Pasifik (tidak termasuk Jepun) menyaksikan peningkatan kepada 28 peratus daripada 23 peratus.

Sebagai perbandingan, tahap keyakinan di Amerika Utara berubah ketara kepada 52 peratus dalam suku kedua daripada enam peratus pada suku keempat 2011, sebelum kembali jatuh sedikit di atas paras satu peratus pada suku keempat 2012.

Ekonomi G7 menyaksikan perubahan serupa, manakala perniagaan Eropah menunjukkan penyusutan perlahan dalam keyakinan perniagaan.

“Ketidaktentuan ekonomi memperlihatkan sikap ‘tunggu dan lihat’ dalam kalangan perniagaan, tetapi kita menggesa pemilik perniagaan supaya tidak mengabaikan matlamat pertumbuhan jangka panjang.

“Peluang wujud bagi perniagaan dinamik yang bersedia mengimbangi antara kemunasabahan dengan naluri dalam membuat sesuatu keputusan,” kata Dasani.

IBR menyediakan pandangan dan jangkaan lebih 12,500 perniagaan setahun merentas 44 negara. Kaji selidik unik itu mengambil kira arah aliran data sepanjang 21 tahun bagi kebanyakan peserta Eropah dan 10 tahun negara lain.

Sampel IBR membabitkan kaji selidik kedua-dua syarikat senaraian awam dan syarikat persendirian. Data bagi terbitan kali ini diperoleh daripada temubual dengan 3,200 perniagaan merentas semua sektor industri di peringkat global yang diadakan pada November / Disember 2012.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Peraturan bina cerun perlu ketegasan


Oleh : Dr Ibrahim Komoo 

Sejak akhir-akhir ini banyak kejadian tanah runtuh atau kegagalan cerun berlaku di negara kita. Ada yang menyebabkan kematian, banyak pula yang menyebabkan kemusnahan harta benda sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas atau ketidakselesaan masyarakat.

Apa yang menarik ialah setiap kali berlaku bencana, pemberita akan menyebarkan pelbagai berita mengenai kejadian ini. Komuniti pula sangat prihatin dan mempunyai pandangan tersendiri mengenai apakah punca berlakunya tanah runtuh.

Tanah runtuh berlaku pada cerun bukit. Semakin curam sesebuah cerun semakin mudah tanah runtuh berlaku. Yang sering menjadi tanda tanya kepada masyarakat, mengapa ia berlaku di tempat tertentu dan tidak di sepanjang cerun bukit? Apakah cerun di belakang rumah mereka bakal runtuh? Apa yang menyebabkan ada bahagian cerun runtuh dan bahagian lain boleh bertahan? Bolehkah kita mengetahui cerun mana yang bakal runtuh dan bila akan berlaku?

Banyak faktor menyebabkan tanah runtuh. Antaranya sudut cerun yang curam, jenis tanah atau batuan yang membentuk cerun, struktur yang ada di dalam batuan, proses luluhawa dan hakisan berterusan. Banyak juga yang berlaku disebabkan perparitan di muka cerun tidak berfungsi atau tembok penahan dibina untuk mengukuhkan cerun gagal. Semua ini dikenali sebagai faktor penyebab kegagalan cerun.

Faktor hujan

Hujan atau air yang bertakung di muka cerun lazimnya menjadi faktor kegagalan. Air yang mengisi rongga tanah atau batuan pada muka cerun boleh melemahkan struktur cerun sehingga berlakunya kegagalan. Apabila hujan berpanjangan dan permukaan cerun mulai tepu dengan air, cerun tidak dapat menampung beratnya sehingga gagal akibat tarikan graviti. Hujan menjadi faktor pencetus terpenting kejadian tanah runtuh di negara kita.

Proses berlaku kegagalan pula boleh pelbagai. Daripada sangat perlahan hingga sangat pantas. Proses ini bergantung kepada jenis batuan yang membentuk cerun, sudut permukaan gelinciran, kandungan air dalam tanah dan mekanisma kegagalan – aliran, gelinciran atau jatuhan. Ada cerun bergerak beberapa sentimeter setiap tahun, bergerak beberapa meter setiap musim hujan. Ada pula bergerak sekali gus, sepantas beberapa meter sesaat.

Oleh itu, jika ahli geologi mengkaji cerun, mereka dapat mengesan apakah sesuatu cerun itu masih stabil, sedang bergerak, atau mengalami kegagalan satu ketika dulu. Mereka juga dapat mengkaji apakah punca kegagalan, apakah kadar pergerakan dan mekanisma kegagalan. Semua maklumat ini penting untuk membolehkan jurutera merekabentuk jenis dinding penahan bersesuaian dan untuk komuniti melihat apakah cerun di belakang rumahnya stabil atau mengalami pergerakan.

Anda perlu sedar, bagi tujuan menilai kestabilan cerun, kita perlu membezakan dua jenis cerun – cerun semula jadi dan cerun buatan manusia. Cerun semula jadi ialah cerun perbukitan atau pergunungan yang belum diganggu manusia. Cerunnya dalam keadaan asal. Cerun semula jadi juga boleh runtuh. Kebanyakan tanah runtuh dilaporkan di negara maju berlaku di cerun semula jadi.

Kegagalan cerun buatan manusia

Cerun buatan manusia ialah apabila manusia meratakan tanah untuk pembinaan, mereka memotong cerun atau menambak untuk menyediakan tanah rata bagi memudahkan pembinaan. Cerun ini adalah buatan manusia dan perlu dipastikan kestabilannya. Jurutera lazimnya bertanggungjawab membina cerun begini. Mereka mempunyai keupayaan dan teknologi memastikan cerun buatannya terus stabil. Malangnya, kebanyakan kegagalan cerun di negara kita adalah pada cerun buatan manusia atau ‘engineered slope’ ini. Mengapa keadaan begini boleh berlaku?

Isu cerun di negara kita masih tiada penyelesaian yang memuaskan. Walaupun kita ada beberapa dasar dan garis panduan pembangunan di kawasan berbukit, pelaksanaan dasar ini kurang mendapat sambutan. Kelemahan ini berpunca daripada kesedaran masyarakat yang masih rendah, pemaju masih ghairah untuk membina rumah di kawasan berbukit dan pihak berkuasa tempatan masih kekurangan keupayaan untuk memantau kepentingan kestabilan dalam pembangunan.

Bencana tanah runtuh adalah isu kebangsaan yang serius. Masanya telah tiba untuk semua pihak – pembuat dasar, perancang, ahli geologi, jurutera dan pemaju – duduk semeja untuk mengatasi isu ini secara bijaksana.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu dan Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/