Rabu, 27 Januari 2010

Malaysia secara rasmi jadi pusat serantau pendidikan khas

CEBU 27 Jan. - Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45 yang berlangsung di sini hari ini bersetuju menubuhkan sebuah pusat serantau mengenai pendidikan khas (SEAMEO SEN) di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pusat serantau itu ketika ini sudah pun beroperasi secara sementara di Melaka.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, pusat serantau tetap pula akan dibina di Nilai, Negeri Sembilan dalam masa terdekat dengan semua perbelanjaan dibiayai oleh Malaysia.

"Pusat itu yang pertama seumpamanya di rantau ini akan memberi tumpuan kepada penyediaan pelbagai kemudahan pendidikan khusus kepada pelajar-pelajar istimewa,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas tamat salah satu sesi perbincangan yang dihadiri beliau di sini, sempena SEAMEC ke-45.

Cadangan pembinaan SEAMEO SEN itu sudah pun dipersetujui ketika Persidangan SEAMEC ke-44 di Phuket, Thailand tahun lalu dan dibawa ke persidangan kali ini bagi membolehkan dua dokumen penting ditimbang dan diluluskan sebelum Malaysia secara rasmi menubuhkannya.

Dua dokumen penting itu ialah perjanjian persefahaman (MoA) dan instrumen penstrukturan.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin memberitahu, Malaysia sependapat dengan Singapura, Filipina dan Vietnam untuk memberi lebih perhatian kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negara masing-masing.

Beliau berkata, persetujuan menyediakan gabungan pakar yang boleh dikongsi oleh negara anggota terutamanya di kalangan empat negara ini juga berjaya dicapai sewaktu berlangsungnya pertemuan dua hala dengan negara-negara tersebut.

"Kerjasama dalam bahasa Inggeris ini ditekankan kerana kita berdepan dengan masalah yang hampir sama iaitu kekurangan guru bahasa Inggeris yang terlatih.

"Malah, perkara ini sebenarnya merupakan fenomena dunia kerana tuntutan untuk mempelajari bahasa Inggeris meningkat dengan mendadak termasuk di China,'' ujar beliau.

Muhyiddin menambah, perhatian negara terhadap pembelajaran bahasa Inggeris itu sebenarnya selari dengan dasar yang diumumkan kerajaan iaitu memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Kementerian Pelajaran terima bantuan tambahan RM700j

CEBU 27 Jan. - Kementerian Pelajaran dijangka menerima bantuan tambahan sebanyak kira-kira RM700 juta bagi membolehkan bantuan untuk pendidikan yang dikurangkan pada Bajet 2010 lalu, diteruskan semula.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu adalah perkiraan kasar yang dibuat kementerian beliau selepas Kabinet hari ini bersetuju meluluskan usul menimbangkan semula pemberian bantuan itu.

Beliau pada mesyuarat Kabinet itu diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjalankan tugas sebagai Menteri Pelajaran.

"Kita akan berunding dengan Kementerian Kewangan berapa bantuan yang disediakan semula itu supaya mana-mana bantuan yang terpaksa kita kurangkan sebelum ini boleh dilaksanakan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat salah satu sesi perbincangan yang dihadiri beliau di sini, sempena Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45.

Pada pembentangan Bajet 2010 lalu, kerajaan terpaksa mengurangkan bantuan tahunan bagi sekolah-sekolah berbanding tahun sebelum ini kerana defisit yang didepani negara.

Pengurangan bantuan itu mencakupi enam perkara iaitu skim bantuan tuisyen, bantuan pakaian sekolah beruniform, bantuan makanan asrama dan rancangan makanan tambahan.

Turut dikurangkan ialah bantuan elaun murid berkeperluan khas dan sukan serta kokurikulum.

Menurut Muhyiddin, keputusan memberikan semula bantuan bagi pendidikan itu menunjukkan kerajaan sangat prihatin dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar.

Dalam masa yang sama, beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan kerana memberi perhatian sewajarnya kepada perkara tersebut.

"Harapan saya isu bantuan kepada pendidikan selepas ini tdak lagi berbangkit di kalangan ibu bapa dan para pelajar pula tidak menjadikannya alasan untuk meneruskan pembelajaran dengan sempurna," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada istilah anak tiri pilih sekolah berprestasi tinggi

CEBU 27 Jan. - Kementerian Pelajaran tidak pernah melupakan atau menganaktirikan mana-mana sekolah dalam pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) seperti yang diumumkan kelmarin, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan asas pertimbangan dalam pemilihan SBT itu dibuat berdasarkan kriteria-kriteria ketat dan standard yang ditetapkan oleh kementerian beliau.

"Kita tidak boleh menganggap pemilihan sekolah SBT ini mesti ada di setiap negeri kerana bukan itu kriteria pemilihan kita.

"Sebaliknya kita menilai prestasi sesebuah sekolah secara keseluruhan dan soal standard dalam perkara ini tidak boleh dikompromi," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai rasa tidak puas hati sebahagian pemimpin persatuan guru di Sabah dan Sarawak apabila tidak ada sebuah sekolah pun dari Malaysia Timur yang tersenarai sebagai SBT.

Menurut Muhyiddin, ketiadaan sekolah dari Sabah dan Sarawak dalam senarai SBT hanyalah satu kebetulan sama seperti sekolah-sekolah di Terengganu dan Pahang yang turut tidak terpilih.

Justeru, beliau meminta kerajaan negeri, pemimpin persatuan guru, pengetua, guru, pelajar dan rakyat di Sabah dan Sarawak serta negeri lain yang tidak terpilih supaya tidak beranggapan Kementerian Pelajaran tidak memberikan perhatian kepada mereka.

"Negeri-negeri yang tidak terpilih perlu melihat dari sudut positif kerana ada pelajar dari negeri berkenaan yang belajar di SBT terutamanya di sekolah berasrama penuh," jelas beliau.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

TIP MENANGANI STRES


Stres adalah respon tubuh seseorang dalam menghadapi pelbagai tuntutan dalam kehidupan. Tuntutan-tuntutan tersebut mungkin merupakan perkara-perkara yang datang dari luar (misalnya: surat pinjaman bank yang tertunggak, teman, pekerjaan, atau hubungan dengan pasangan), atau mungkin juga datang dari fikiran sendiri (misalnya: bagaimana penilaian terhadap diri sendiri). Stres sering kali dicap sebagai sesuatu perkara yang buruk. Namun sesungguhnya setiap orang memerlukan sedikit tekanan agar mereka memiliki hidup yang lebih baik.

Teknik atasi stres yang sihat, antara lain:
  1. Tidur Sejenak
    Tidur sejenak selama 30 - 45 minit akan menyegarkan tubuh kembali. Orang-orang ternama yang memanfaatkan tidur siang untuk menangani stres ialah John F. Kennedy, Thomas Edison dan Salvador Dali.

  2. Pengurutan
    Anda boleh mengunjungi seorang pakar urut profesional ataupun meminta pasangan atau seorang sahabat untuk mengurut otot-otot leher dan bahu anda.

  3. Mengekspresikan diri secara artistik
    Jadilah orang yang kreatif dan alihkan energi anda secara positif. Anda boleh cuba untuk belajar berlakon, atau memainkan alat muzik, mengambil gambar, melukis, menulis puisi ataupun menyanyi. Muzik adalah media pereda stres yang sangat baik. Memainkan alat muzik atau cuma sekadar mendengar muzik sangat membantu untuk melegakan stres.

  4. Kerap ketawa
    Cara ini bukan rahsia lagi. Tertawa boleh menyebabkan stres yang anda hadapi menjadi lebih ringan. Sentiasa tunjukkan ekspresi yang menyenangkan di wajah anda.

  5. Bersikap lembut terhadap diri sendiri
    Sama ada disedari atau tidak, sebenarnya kita secara terus-menerus berbicara kepada diri kita sendiri. Berbicara kepada diri sendiri menunjukkan perilaku dan citra diri. Anda boleh mengubah kedua-dua perkara tersebut melalui pembicaraan yang positif kepada diri anda sendiri. Malahan pembicaraan tersebut boleh menyebabkan perubahan terhadap proses kimiawi tubuh yang menguntungkan, dengan cara mengaktifkan sistem saraf yang menimbulkan relaksasi. Sebaliknya, pembicaraan yang negatif kepada diri sendiri akan menyebabkan rangsangan terhadap sistem saraf simpatik dan menyebabkan tubuh berasa kelelahan.
Atasi stres anda. Hidup dengan sihat dan ceria.

Sumber : http://e-kesihatan.blogspot.com/

Doa Apabila Menghadapi Tekanan (Stress)

Sumber :http://www.darussyifa.org/

20 SBT langkah pertama lonjak sistem pendidikan

MURID-MURID bersama guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru UDA, Johor Bahru, gembira apabila sekolah itu diumumkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi kelmarin.

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

Kuasa autonomi bolehkan sekolah lebih kreatif buat pembaharuan

PENGIKTIRAFAN kerajaan terhadap 20 sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dijangka menyuntik semangat pengurusan pelbagai kategori sekolah iaitu bandar, luar bandar, pedalaman dan sekolah di penempatan Orang Asli untuk meneruskan usaha menjadi sekolah terbaik.

Suntikan semangat yang dapat melonjakkan kecemerlangan sistem pendidikan negara itu dilihat sebagai anjakan baru dalam memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran, selain meningkatkan aktiviti kokurikulum dalam usaha membentuk sahsiah cemerlang di kalangan generasi muda.

Semua sekolah yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin adalah antara yang terbaik di kalangan terbaik. Kecemerlangan yang dikecapi bukan diperoleh dalam tempoh singkat. Ia hasil kesungguhan pihak pengurusan pelbagai peringkat, selain keazaman pelajarnya yang tinggi dalam diri masing-masing untuk menjadi yang terbaik.

Pengiktirafan itu turut mengambil kira pelbagai aspek pencapaian bermula dengan kecemerlangan akademik dan kokurikulum hinggalah kepada sumbangan pihak sekolah kepada negara, terutama dalam usaha memajukan masyarakat sekitar.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran, Ashah Samah, berkata pengumuman kementerian itu dilihat sebagai membuka ruang lebih luas kepada semua sekolah meningkatkan kecemerlangan mengikut kebitaraan masing-masing. Beliau berkata, mana-mana sekolah yang mencapai standard kecemerlangan dengan mengambil kira kejayaan proses kemenjadian pelajar layak mendapat pengiktirafan sebagai SBT.

Ashah berkata, melihatkan kepada pemilihan sekolah berkenaan iaitu Sekolah Berasrama Penuh (10), Sekolah Menengah Harian (empat) dan Sekolah Rendah (enam), masing-masing mencatatkan kecemerlangan menyeluruh, selain mengekalkan prestasi akademik sejak sekian lama.

Penilaian lain ialah ia turut mengambil kira pengorbanan semua pihak, terutama guru dan ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta sokongan masyarakat sekeliling dalam menjayakan aktiviti anjuran sekolah tempat mereka. Sekolah bukanlah institusi pendidikan semata-mata, malah fungsinya menyeluruh dengan menjadikannya sebagai badan penyatuan masyarakat sekitar menerusi aktiviti kebajikan.

Melihat kepada kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St George, Pulau Pinang, Ashah berkata, selain cemerlang akademik dan kokurikulum, pihak pengurusan sekolah berjaya menganjurkan aktiviti kebajikan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat sekitar.

"Selain melaksanakan tugas hakiki sebagai pendidik, guru berjaya menguruskan aktiviti kemasyarakatan dan hasilnya disumbang kepada badan kebajikan yang memerlukan.

Usaha murni itu, kata Ashah mencerminkan kesungguhan semua pihak. Masyarakat berperanan menghidupkan fungsi sekolah dengan turut sama menjayakan program. Inilah acuan kecemerlangan pendidikan yang diharapkan semua pihak.

"Hasilnya usaha ini mendapat pengiktirafan apabila penyelidik dari University of Washington, Amerika Syarikat mengemukakan permohonan untuk mendapatkan modul pembangunan pendidikan Sekolah Kluster untuk diadaptasi dalam sistem pendidikan mereka.

"Begitu juga dengan penyelidik dari University of Osaka di Jepun yang sedia menjalin kerjasama dengan kementerian dalam memperkasakan sistem pengurusan sekolah yang dilihat mereka sebagai yang terbaik dalam membangunkan modal insan pada abad yang semakin mencabar kini," katanya.

Semua sekolah yang terpilih berjaya meningkatkan bidang pengkhususan masing-masing (dan mengekalkan kebitaraan). Sebagai contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma (SMKSA), Alor Setar, Kedah, tersohor dengan pencapaian pasukan pancaragam. Pengetuanya, Kartini Zakaria, berkata kekuatan pasukan itu diperkemaskan lagi dengan mengambil jurulatih dari Thailand sebagai 'colour guards', iaitu elemen kemahiran yang terkandung dalam persembahan pancaragam.

Hasil latihan yang menyeluruh, SMKSA mengungguli dua kejuaraan peringkat dunia, iaitu Kuala Lumpur World Marching Band di Kuala Lumpur dan Malaysia World Band Competition di Putrajaya, tahun lalu. Kedua-kedua pertandingan ini membolehkan pihak sekolah menerima wang tunai AS$21,000 (RM71,400).

"Pasukan kami juga mendapat bimbingan profesional daripada jurulatih Jepun. Kepakaran diperoleh selepas kami mengadakan persembahan orkestra bersama Nakamura Gakuen Girls Senior High School, di Jepun beberapa tahun lalu. Kami juga akan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Shanghai, China April ini dan di Afrika Selatan, Julai ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Panel Sekolah Kluster, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, menyifatkan pemilihan SBT dengan diberikan pelbagai keistimewaan adalah kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara. Pemilihan itu memberi peluang sama rata kepada sekolah pelbagai kategori untuk muncul sebagai yang terbaik. Penilaian secara adil membolehkan semua sekolah berasa selesa berjuang memberi tumpuan khusus kepada kebitaraan.

"Setiap sekolah memiliki kelebihan sendiri, selain kreativiti dalam meningkatkan keupayaan masing-masing. Malah mereka mempunyai cara tersendiri dalam mengaktifkan sekolah menerusi program khidmat bakti kepada masyarakat," katanya.

Pemberian kuasa autonomi dengan memberi hak pengetua dan guru besar memilih 20 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar bertepatan dalam usaha melonjakkan kecemerlangan akademik mahupun kokurikulum sekolah berkenaan. Guru hari ini semakin kreatif dan memiliki kemahiran kepemimpinan unik.

Pemberian lebih banyak autonomi dalam menguruskan sekolah membolehkan mereka kreatif dalam membuat pembaharuan dengan objektif jelas, iaitu melahirkan generasi berilmu, selain membentuk jati diri.

Masing-masing sedia berkorban dan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dengan azam apa yang dibuat sebagai amalan kerana percaya proses mendidik ini bukanlah sekadar mengajar semata-mata. Pengertian mendidik ini boleh diterjemahkan dalam aspek yang lebih besar dengan berkongsi ilmu pengetahuan dan emosi. Pendidik dan pelajar adalah pelengkap kepada proses pembangunan modal insan yang menyeluruh.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/