Ahad, 29 November 2009

Keganasan kartun lebih teruk, mudah ditiru kanak-kanak

Oleh Azrul Affandi Sobry

Ibu bapa kena bijak rancang aktiviti berfaedah untuk anak isi masa lapang daripada dibiar terlalu banyak tonton televisyen

"GAIA, Gaia, Gaia!" - Itulah ayat pertama yang terlontar daripada mulut anak kecil penulis yang baru berusia setahun lebih sejurus bangun tidur, menandakan dia mahu televisyen di bilik dipasang filem Ultraman segera. Jika lambat memenuhi kehendaknya, meraunglah jawabnya.

Kuat sungguh pengaruh Ultraman kepadanya sehinggakan ketika dia baru mula pandai bertutur sepatah dua perkataan, nama beberapa watak dalam filem itu sudah boleh disebut dengan lancar selain sekadar boleh memanggil 'mummy, daddy, atuk, nenek, opah dan abang'.

Malah, antara reaksi paling kerap dilakukannya setiap kali menonton filem itu sama ada di televisyen atau laman web youtube ialah menyilang tangan sambil menjerit 'ciah,ciah' iaitu satu daripada adegan ditiru daripada babak pertarungan Ultraman menentang raksasa.

Bagi kebanyakan orang, tingkah laku itu menggelikan hati walaupun ada ketikanya dia terlebih kasar sehingga menumbuk abangnya sendiri ketika melihat aksi di filem itu dan kerap juga bertindak melebihi batasan dengan menumbuk dinding serta menyepak apa saja yang ada di depannya.

Namun, jika diamati secara mendalam, tingkah itu sebenarnya merisaukan kerana dia kini tidak lagi suka menonton filem lain dan saban masa meminta filem Ultraman ditayangkan tak kira di mana saja berada sama ada di rumah atau ketika di dalam kereta yang turut dilengkapi televisyen kecil di alat penghadang cahaya.

Kronik juga melihat tingkah laku dia dan abangnya, bagaikan sudah kemaruk dan ketagih dengan aksi Ultraman sekali gus mendatangkan kerisauan sama ada ia bakal mempengaruhi minda kanak-kanak sekecil itu sehingga mampu menjejaskan disiplinnya ketika remaja nanti.

Mungkin bagi semua orang, ia perkara biasa kerana kanak-kanak memang sukakan aksi sebegitu tetapi memikirkan kanak-kanak adalah golongan yang suka meniru apa yang dilihat, apatah lagi ditonton setiap hari, mana tahu ia juga boleh mempengaruhi pembentukan sahsiah dan emosinya pada masa akan datang.

Ibu bapa pula, mungkin suka memilih jalan mudah melekakan anak supaya tidak mengganggu mereka dengan menyediakan rutin harian, menayangkan filem sedemikian sehingga ia terus menusuk ke jiwa anak kecil itu untuk terus meminati dan mempraktikkan apa yang ditonton.

Terbaru, Kementerian Pelajaran pula menyatakan kerisauan lantaran mereka sudah mengenal pasti pengaruh filem menerusi wayang dan permainan video menjadi antara penyumbang kepada peningkatan masalah disiplin murid sekolah rendah sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pelajar seawal usia muda itu semakin terdedah kepada keganasan menerusi kedua-dua media berkenaan yang mendorong mereka melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

Beliau mengambil contoh filem Terminator sebagai salah satu filem aksi ganas yang memaparkan banyak aksi pergaduhan yang katanya boleh mempengaruhi kanak-kanak tanpa sedar.

Realitinya, tak payah mengambil contoh filem berat sebegitu kerana berapa kerat sangat kanak-kanak yang dibawa ke panggung wayang menonton filem seumpamanya dan tak ramai pula ibu bapa yang ada masa untuk melayan kemahuan anak menonton wayang.

Tak payah juga terlalu kritikal mengambil contoh drama bersiri berunsur ganas seperti CSI dan pelbagai lagi di televisyen kerana tidak semua kanak-kanak gemar menonton drama yang kurang mempunyai elemen khayalan sebegitu.

Mungkin ramai tidak sedar atau sengaja buat tak perasan bahawa banyak sangat rancangan kartun di televisyen memaparkan aksi ganas dalam bentuk lebih kejam dan lebih cepat menular dalam jiwa kanak-kanak.

Ultraman, Ben 10, Dragon Ball, Naruto dan Samurai adalah antara rancangan televisyen kegemaran kanak-kanak yang boleh dikatakan setiap hari disiarkan, malah antara rancangan paling popular dalam saluran 'Cartoon Networks' di Astro.

Pakar motivasi kekeluargaan, Dr Rubiah K Hamzah, berkata rancangan kartun yang menyelitkan unsur pergaduhan sebenarnya lebih ganas dan tidak ada had kerana semua kelakuan dan aksi yang berlaku akan dilebih-lebihkan untuk menonjolkan sesuatu yang di luar kebiasaan.

Beliau berkata, ramai ibu bapa tak sedar bahawa kanak-kanak pada peringkat usia dua hingga 10 tahun sedang dalam proses mempelajari dan meniru apa yang mereka lihat dan menyimpannya sebagai memori yang akan dilepaskan apabila usianya memasuki 12 tahun.

"Kerana itulah kebanyakan kanak-kanak akan menunjukkan sikap tidak baik ketika memasuki usia 12 tahun kerana ia adalah tempoh mereka melepaskan apa yang dipendam sejak kecil hasil pembelajaran secara tak langsung daripada apa yang dilihat.

"Ketika kecil, apa saja yang dipertontonkan tak kira bahan itu ringan atau berat akan mempengaruhi minda dan emosi mereka. Bagi ibu bapa, kartun mungkin satu elemen hiburan biasa, tetapi mereka tak sedar bahawa keganasan dalam kartun lebih teruk dan lebih mudah ditiru kanak-kanak.

"Dalam kartun, pergaduhan digambarkan secara berlebihan. Potong tangan, kepala, teruk dipukul pun boleh bangun melawan semula. Kanak-kanak hanya faham apa yang dilihat. Mereka akan beranggapan, sakit macam mana sekalipun masih boleh bangun. Mereka akan praktikkan semua itu," katanya.

Justeru, katanya, ibu bapa yang bertanggungjawab menyebabkan anak meniru apa yang ditonton dan secara tak langsung melatih anak menjadi ganas dengan kerap membenarkan mereka menonton rancangan sebegitu.

Katanya, kesan rancangan kartun itu boleh dilihat secara jelas apabila kanak-kanak itu suka menendang barang dan berlagak seperti hero dalam rancangan yang ditonton.

"Ibu bapa selalu berfikiran mudah. Bagi mereka itu sekadar kartun tetapi bagi kanak-kanak, ia realiti. Benar-benar berlaku. Lebih teruk lagi, selalunya televisyen kerap memaparkan sedutan aksi paling ganas dalam sesebuah rancangan sebagai promosi dan sinopsis itu akan lebih mudah melekat dalam minda kanak-kanak.

"Silapnya ialah kerana sejak kecil kanak-kanak sudah didedahkan dengan semua itu menyebabkan mereka tak mahu lagi terima rancangan lain sedangkan banyak lagi rancangan kartun yang berfaedah dan banyak nilai positif," katanya lagi.

Justeru, katanya, bagi mengimbangi jiwa kanak-kanak dan supaya mereka tidak terus dipengaruhi dengan semua keganasan dalam rancangan kartun, ibu bapa sewajarnya memenuhi masa terluang dalam hidup anak masing-masing dengan aktiviti yang boleh melekakan mereka dalam bentuk lebih positif.

Sebagai contoh, katanya, ibu bapa boleh menyediakan banyak aktiviti seperti mainan yang boleh mengasah minda, permainan untuk meningkatkan kemahiran psikomotor dan pelbagai lagi.

"Jangan sibuk memikirkan apa anak nak makan hari ini. Ibu bapa juga perlu sibuk fikirkan apa yang anak nak buat hari ini. Jangan benarkan masa lapang mereka sekadar dipenuhkan dengan menonton kartun. Beri mereka buat aktiviti yang lebih berfaedah tetapi menarik minat mereka.

"Nak dikatakan selama ini ibu bapa silap, tak juga tetapi mereka sebenarnya tak ada perancangan atau salah mengatur hidup anak-anak. Mereka tak pandai memikirkan alternatif terbaik mengisi masa anak mereka. Itu mungkin kelemahan ketara ramai ibu bapa," katanya.

Justeru, bagi mengelakkan kanak-kanak sekarang terus membesar dengan jiwa ganas dan merosakkan masa depan mereka, adalah sewajarnya ibu bapa buka mata dan bertindak sebagai pemantau serta menapis bahan yang ditonton anak mereka seterusnya menyediakan mereka dengan aktiviti lebih berfaedah. Jangan nanti, kerosakan hidup mereka adalah berpunca daripada kesilapan dan kealpaan kita sendiri.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Rabu, 25 November 2009

SALAM AIDIL ADHA 1430 HIJRAH


"daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya" (AL HAJJ : 37)

... terhampar pengorbanan sesuci perjuangan ... mengutip manisnya iman, menyunting akrabnya takwa... SALAM AIDIL ADHA.

Sembelih Korban Menurut Mazhab As-Syafie

Sembelihan menurut Mazhab Imam As-Syafie mestilah dengan memutuskan dua urat utama pada leher binatang yang berkenaan iaitu; 1) Urat Halkum(saluran pernafasan), 2) Urat Marih(saluran makanan) kerana dengan putusnya kedua-dua urat berkenaan maka akan mudahnya haiwan berkenaan mati. Dalam Mazhab As-Syafie disunatkan turut sama memotong Urat Al-Wijdan iaitu saluran darah. Jika haiwan berkenaan pendek lehernya seperti lembu disembelih dihujung lehernya manakala jika panjang lehernya seperti unta disembelih dipangkal lehernya.

Berdasarkan Mazhab As-Syafie juga amalan yang sunat ketika menyembelih binatang korban adalah seperti berikut:
1.Mengadap Kiblat.
2.Membaca: "Bismillahi wallahu Akbar"بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر.
3.Membaca Salawat
4.Membaca doa : أللهم هذا منك وإليك
5.Elok juga ditambah doa: أللهم تقبل مني كما تقبلت من إبراهيم خليلك

Rujukan : الفقه الإسلامي وأدلته، الدكتور وهبة الزحيلي ج:4، ص:2736

Sumber : http://zuridanmdaud.blogspot.com/

Ghairah dendang kemajuan tapi minda Melayu masih di takuk lama


Oleh Ramlan Ramli


PERKATAAN Melayu merujuk kepada Kamus Dewan bermaksud nama suatu bangsa dan bahasa terutama di Semenanjung Malaysia. Dilihat dari sudut sejarah, ternyata bangsa Melayu tidak tandus peradabannya.

Bermula dengan kerajaan Sriwijaya yang beragama Hindu, Sambojaya, Langkasuka, Kataha, Syailendra, Kalinga, Mataram, Kediri, Singasari, Majapahit, Darmasyraya, Aditiawarman, Pagaruyung, Majapahit dan Semundra Pasai.


Kerajaan Semundra Pasai adalah kerajaan pertama memeluk Islam daripada agama Hindu. Melayu pertama memeluk Islam bernama Merah Silu raja kepada kerajaan terbabit. Merah Silu kemudiannya menukar nama kepada Sultan Al-Malikul Saleh.

Selepas raja memeluk Islam, maka tiada halangan besar untuk rakyatnya beransur-ansur memeluk Islam. Sesuai dengan ajaran Islam yang tidak pernah menolak adat dan budaya tempatan selagi tidak bercanggah dengan akidah.

Masa berlalu dan generasi berganti, hari ini bangsa Melayu sudah lupa sejarah. Entah kenapa walaupun bangsa Melayu dikatakan sebagai bangsa yang kaya dengan budaya dan adat resam, amalan membaca bukan menjadi tradisi Melayu.

Sering kali didengar perkataan ibu, ayah atau datuk nenek menegur anak cucu ‘kata orang tua-tua...’. Siapa orang tua itu tidak dapat dipastikan. Adakah namanya Socrates, Plato atau Aristotle tak siapa yang tahu. Merakamkan idea dalam bentuk tulisan agaknya bukan budaya Melayu.

Mempelajari sastera klasik, kita akan menemukan nama besar penulis tersohor seorang Bendahara Kerajaan Johor Riau bergelar timang-timangannya Tun Seri Lanang. Walaupun wujud banyak lagi hikayat lama, tidak diketahui pengarangnya. Kemudian kita akan berjumpa lama selepas itu yang digelar Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Munsyi Abdullah. Malangnya Munsyi Abdullah bukanlah Melayu tulen. Beliau berketurunan Tamil beragama Islam.

Bagaimanapun, orang Melayu hari ini patut berterima kasih kepada si Tamil ini kerana jika diharapkan kepada Melayu tulen, maka tiada langsung khazanah sastera bangsa kita. Sedih dan sayu rasa hati apabila diimbas kembali sejarah bangsa. Patutlah ramai Melayu layu tidak mahu membaca dan mengimbas sejarah, mungkin kerana terlalu meruntun emosi jati diri Melayu tulen.

Terlepas daripada persoalan emosi yang kaku dan bisu, mari kita telusuri keadaan bangsa kita kini. Dibandingkan dengan pembangunan fizikal ternyata modal insan kita jauh ketinggalan. Ruang pemikiran antara generasi jauh berbeza. Institusi keluarga di negara ini kian runtuh hari demi hari. Ibu bapa hilang kawalan ke atas anak kerana jika dikawal, anak akan memberontak. (Inilah fakta lazim ditemui setiap kali menjalankan bengkel interaktif).

Maka paling mudah untuk keluar daripada masalah ini ialah keluarga menggunakan mekanisme bela diri menyalahkan orang lain seperti masyarakat, guru, pemimpin dan sebagainya. Menariknya apabila golongan yang disalahkan turut tidak mahu kalah dan bangkit menyalahkan yang lain. Putaran ini sudah sekian lama berlaku dalam negara kita sehingga akhirnya sedar atau tidak seluruh masyarakat sudah menerima budaya menyalahkan ini sebagai sesuatu yang normal sehingga menjadi norma.

Bangsa Melayu menerusi Kerajaan Melayu Melaka mencapai kegemilangannya kerana ramai dagang santeri yang datang berniaga dan kemudian terus bermastautin. Berkahwin dengan wanita tempatan kemudian membentuk generasi berkualiti menerusi asimilasi ini. Sultan Melaka sendiri, Sultan Mansur Shah berkahwin dengan Hang Li Po, puteri Maharaja China.

Kegemilangan Melaka turut disumbang oleh sistem urus tadbir yang baik di bawah kelolaan Bendahara Seri Maharaja, seorang Melayu mempunyai darah keturunan Tamil. Portugis hanya berjaya menawan Melaka selepas Bendahara Seri Maharaja dijatuhkan hukuman bunuh dalam skandal merebut puteri Bendahara, Tun Fatimah.

Sewajarnya dalam keadaan sekarang dengan limpahan warga berbilang kaum, Malaysia sewajarnya lebih maju berbanding negara-negara Harimau Ekonomi yang lain. Ketika Melaka di puncak kegemilangannya, warga Jepun masih leka dengan tradisi jumud mereka mengagungkan budaya Samurai sehingga mereka tewas kepada bangsa Monggul.

Lebih 50 tahun kita masih gagal berasimilasi antara kaum. Perkahwinan campur patut digalakkan. Biarlah kita meriah dengan keluarga yang berbagai warna kulit daripada sekadar meriah dengan paluan kompang dan tepung tawar. Istiadat tepung tawar walaupun terus dipertahankan tetapi gagal menawar geruh dalam rumah tangga. Walaupun sesama bangsa dan sama cara hidup tetapi kadar perceraian dalam kalangan Melayu masih tinggi. Melayu masih menang sorak kampung tergadai.

Walaupun sibuk berkokok ke sana ke mari mendendangkan kemajuan dicapai, sangat menggerunkan apabila didapati minda pemikiran Melayu masih di takuk lama. Melayu sekarang bukan membina kepercayaan, keyakinan terhadap jati diri tetapi terus menerus kekal dalam kepercayaan karut marut yang tiada asas logik dan boleh dijadikan wadah melonjakkan bangsa Melayu ke takah yang lebih tinggi.

Melayu lebih disibukkan saban hari dengan cerita hantu polong walaupun tinggal di tengah kota metropolitan. Tentu ada yang pernah mendengar khabar angin, konon ternampak hantu ketika menaiki LRT Putra melintasi Kampung Baru Kuala Lumpur kerana khabarnya terowong berkenaan melalui bawah kawasan kubur.

Sistem Transit Aliran Ringan dibawa ke negara ini bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang semakin mendesak seluruh warganya. Sepatutnya warga Kuala Lumpur bersungut mengenai masalah kelewatan LRT atau perlunya menambah laluan ke seluruh Kuala Lumpur dan seterusnya keluar ke seluruh Lembah Klang. Sudahnya, cerita hantu pula yang keluar.

Kalau betul sekalipun ada hantu tak mungkin terowong itu ditutup kerana menelan belanja yang besar, sedangkan ada terowong lebih kecil yang ‘hantunya’ merogol gadis bawah umur masih terus dikekalkan dengan ingatan dan amaran agar tidak melalui terowong berkenaan berseorangan demi keselamatan.

Demikianlah kita generasi hari ini berfikir tanpa menaakul. Setiap pemikiran yang dicetuskan seharusnya mengikut landasan yang menghala kepada kemajuan. Dasar yang diwartakan kerajaan sepatutnya boleh menjadi landasan melapangkan kotak fikir Melayu. Tetapi kita lebih senang hidup kita dicorakkan orang lain supaya apabila berlaku kesilapan, dengan mudahnya kita boleh menuding jari.

Bangsa Melayu mempunyai citra budaya yang cukup indah dan tersusun. Ketika bangsa lain memandang wanita sebagai warga kelas kedua, Melayu mencipta budaya Pepatih yang melebihkan golongan ibu. Maju mundur bangsa kita akan terjamin sekiranya kita sedia kembali berasimilasi dengan kaum lain dalam negara ini.

Melayu adalah bangsa pengembara, pelaut yang handal, meredah samudera melangkaui dunia. Selagi Melayu terperuk di hujung kampung seperti dihajatkan penjajah, maka selagi itulah kita tak akan dapat menggapai kembali kegemilangan seperti pernah dicapai oleh Kerajaan Melaka ketika Sultan Mansur Shah memerintah, Bendahara Tun Perak mentadbir dan Laksamana Hang Tuah menjalankan diplomasi antara negara.

Penulis ialah Penolong Pegawai Psikologi, Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah.

Sumber : http://www.bharian.com.my/


Selasa, 24 November 2009

Memahami Sejarah Budaya Makanan Nusantara

Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama)-- Jika di Malaysia terdapat ramai penggemar tempe, begitu juga di Indonesia. Jika di sini ada ramai peminat sate, begitu juga di sana.

Kita ada nasi himpit, mereka ada soto. Jika kita ada kuih bingka, di sana mereka terkenal dengan kuih bika Ambon.

Hakikatnya, bila bercerita tentang makanan, begitu banyak persamaan di antara kedua-dua negara.

Malaysia dan Indonesia, dua negara bangsa, kedua-duanya terikat dengan satu perkara yang mendekatkan mereka -- budaya serumpun yang diwarisi sejak nenek moyang mereka lagi. Disebabkan itu jugalah, kedua-duanya memiliki sejarah budaya kulinari yang sama.

Sewaktu Persidangan Antarabangsa Hubungan Malaysia-Indonesia 2009 (Media dan Budaya) anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya baru-baru ini, selain membincangkan isu dasar dan kebudayaan serumpun, yang adakalanya mencetuskan hubungan turun naik dua negara ini, turut diberi perhatian ialah isu makanan.

Ia mungkin topik terpencil bagi sesetengah pihak, namun tanpa disedari, impak makananlah yang berjaya memasuki hingga ke seluruh peringkat umur dan lapisan masyarakat di kedua-dua negara.

Hasil kajian Prof Dr Ir Sudrajati Ratnaningtyas, dari Universitas Winaya Mukti, Bandung, Jawa Barat, bertajuk "Peranan Media Massa Dalam Mensosialisasikan Sejarah Budaya Kuliner Nusantara Sebagai Akar kebudayaan Yang Sama Antara Indonesia-Malaysia" boleh membuka mata sesetengah pihak yang cenderung memperkata mengenai hak asal usul makanan bagi kedua-dua negara.

Saling menuntut makanan tertentu sebagai milik sesuatu daerah atau sesuatu bangsa ialah satu kekeliruan kerana budaya Indonesia-Malaysia-Singapura terhasil daripada perpaduan budaya yang sama.

Menurut Dr Ratna, budaya ketiga-tiga negara ini berasal daripada pelbagai kebudayaan luar yang bercampur apabila ia berkembang di nusantara. Dengan demikian, tidak ada budaya makanan milik sesuatu daerah atau satu bangsa tertentu.

FAHAMI SEJARAH AWAL

Indonesia dan Malaysia mempunyai nenek moyang yang sama iaitu masyarakat proto-Melayu yang bermigrasi 5,000 tahun sebelum Masehi, kata Dr Ratna.

Datuk Profesor Emeritus Mohamed Ghouse Nasuruddin, pensyarah di Universiti Sains Malaysia dalam ucaptamanya pada majlis itu berkata dunia Melayu merangkumi kawasan Asia Tenggara dari Sumatera di barat ke Spice Islands di timur, Indo China (Kemboja, Thailand, Myanmar dan Vietnam) di utara, Semenanjung Tanah Melayu di tengah hingga ke kepulauan Jawa termasuk Sulawesi dan New Guinea di Selatan, Pulau Borneo dan Filipina di timur. Ia mengandungi penduduk dari satu rumpun dan dikenali sebagai nusantara.

"Tamadun Dunia Melayu bermula dengan pengaruh tiga budaya, iaitu Hindu, Islam dan Barat. Dan sebelum kedatangan pengaruh budaya India dengan agama Hindunya, kawasan dunia Melayu ini dihuni oleh orang yang berasal dari tanah besar Asia yang berhijrah dari sana mengikut laluan darat ke kawasan Asia Tenggara.

Mereka melalui Kemboja, Burma, Thailand, Vietnam, Semenanjung Tanah Melayu dan terus ke kawasan kepulauan rantau ini sehingga ke kepulauan Pasifik," jelas beliau.

NUSANTARA BERKONGSI BUDAYA MAKANAN

Melihat kepada sejarah itu, ternyata budaya yang berkembang di Nusantara terutamanya yang mencakupi Indonesia, Malaysia dan Singapura ialah hasil penyatuan pelbagai budaya iaitu Cina, India, Arab dan Eropah.

Dr Ratna berkata: "Perpaduan budaya ini menghasilkan perpaduan dalam budaya kulinari. Saya percaya ia berlaku kerana masyarakat Nusantara sebenarnya ialah masyarakat yang bertoleransi".

Kadang kala suatu makanan yang dianggap khusus milik suatu bangsa sebenarnya turut dituntut oleh bangsa lain. Sebagai contoh, tempe yang dianggap berasal dari Indonesia, turut terdapat di China yang dinamakan koji.

Bagaimanapun, menurut Dr Ratna lagi, terdapat juga kajian yang mengatakan tempe ialah sumbangan Jawa pada seni masakan dunia. Dengan demikian tempe dianggap asli dari Jawa yang ditemukan pada abad ke-19, tetapi bahan tempe yang berasal dari kacang soya pula berasal dari negara China sejak 5,000 tahun dahulu.

Dr Ratna turut menyentuh beberapa blog dari Malaysia yang menyenaraikan 100 nama makanan popular di negara ini untuk dituntut sebagai makanan asli Malaysia sebagai tindakan membalas balik tuntutan Indonesia ke atas rendang.

Antaranya ialah nasi lemak, nasi ulam, nasi kerabu, Char Kuey Teow Pulau Pinang, laksa, rendang, serunding, kari kepala ikan, roti canai, tosai dan kuih bakul serta berpuluh lagi makanan yang popular di sini.

Bagi Dr Ratna, rendang, laksa atau apa sahaja makanan, baik di Indonesia mahupun di Malaysia, kedua-dua pihak termasuklah negara lain di rantau nusantara, perlu mengkaji semula sejarah perkembangan budaya rantau ini.

Rendang yang turut dituntut oleh kedua-dua negara juga asalnya menggunakan rempah yang dibawa menerusi perdagangan rempah oleh kerajaan Majapahit pada abad ke-14.

Selepas Majapahit menakluki Palembang (ibu kota Sriwijaya), makanan yang digemari ketika itu ialah laksa, malah dianggap makanan pilihan pada abad ke-14 di daerah-daerah yang menjadi kekuasaan Majapahit.

"Laksa berasal dari India dan merupakan padanan kata nama 'mi' yang berasal dari China. Dengan demikian makanan ini ialah hasil percampuran budaya bersama, iaitu India, Cina dan Nusantara. Kini laksa antara makanan istimewa baik di Malaysia, Indonesia dan Singapura," jelas beliau.

Bagi rempah pula, setelah kejatuhan Majapahit, perdagangannya dikuasai pula oleh kerajaan Melaka yang seterusnya cuba dikuasai pedagang Eropah, iaitu Portugis.

USAH BUAT TUNTUTAN MELULU

Penjelasan bersama bukti sejarah yang tidak dapat disangkal ini boleh menjadi satu usaha menjernihkan kontroversi terhadap tuntutan mana-mana pihak mengenai hak eksklusif makanan tertentu.

Pastinya, buat kelompok yang gemar mengambil tindakan melulu tanpa memikirkan kesannya terhadap hubungan kedua-dua negara ini, perlu memahami persamaan budaya masyarakat di Indonesia dan Malaysia, kata Dr Ratna.

Menurut beliau, perkara ini timbul berikutan rantau nusantara mempunyai budaya yang terhasil daripada percampuran pelbagai budaya asing.

"Sebaiknya kita tidak harus saling menuntut budaya sebagai milik sendiri, biarkan budaya itu menjadi milik bersama. Dengan demikian perselisihan yang tidak sepatutnya berlaku dapat dihindari," tegasnya.

Sumber : http://www.bernama.com/

MELENTUR REBUNG


Melentur buluh pada rebungnya

Melentur rebung pada akarnya

Melentur akar pada diamnya

Melentur diam pada akalnya

Melentur akal pada ilmunya

Melentur ilmu pada katanya

Melentur kata pada lidahnya

Melentur lidah pada hatinya

Melentur hati pada takwanya

Melentur takwa pada imannya

M elentur iman pada amalnya

Melentur amal pada ikhlasnya

Melentur ikhlas pada diamnya


Dalam diam

Rebung yang dilentur

Tetap subur menjadi buluh

Dibaluti miang yang kukuh.


Nukilan :

Onn Abdullah

Ipoh, Perak

Sumber : Koleksi Majalah Impiana