Rabu, 18 Mei 2011

ISU ALAM SEKITAR : JPS pantau paras laut

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan S Anand Kumar bhnews@bharian.com.my

Infrastruktur di pesisir pantai dipertingkat elak hakisan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memantau rapi kenaikan paras air laut akibat pemanasan global serta mengkaji keupayaan infrastruktur di negara untuk menangani kesan fenomena itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Husaini Sulaiman, berkata pemantauan akan mengenal pasti tahap ancaman akibat fenomena itu, di samping meneliti aspek penting berkaitan seperti hakisan di kawasan pantai.

Beliau berkata, JPS tidak menolak pendapat profesional dan pakar termasuk dari universiti berhubung fenomena itu dan akan mengambil kira cadangan mereka dalam usaha menghadapi kesan peningkatan paras air laut.

“Jabatan mengkaji sama ada infrastruktur sedia ada boleh menampung masalah itu atau tidak. Mungkin ada struktur tertentu yang perlu dipertingkat atau diubah suai,” katanya, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan beberapa bandar di kawasan rendah, terutama berhampiran pantai berkemungkinan ditenggelami air laut dalam tempoh sembilan tahun akan datang berikutan fenomena paras air laut yang semakin meningkat akibat pemanasan global.

Jika fenomena berterusan secara konsisten dan tiada langkah pencegahan dirangka dari awal, antara kawasan berisiko tinggi ditenggelami pada 2020 ialah Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang, Selangor serta Pekan. Kemungkinan mengenai kejadian itu ditemui pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil analisis data paras air laut yang direkodkan JPS sejak 2004.

Walaupun tiada kepastian kemungkinan ia akan berlaku, Ahmad Husaini berkata, memang tidak dinafikan pemanasan global memberi kesan terhadap kawasan pantai negara.

Penasihat Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia, Gurmit Singh, pula berkata kemungkinan beberapa bandar ditenggelami air laut yang semakin meningkat bergantung berapa serius kecairan bungkah ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan.

“Justeru, usaha mesti dilakukan oleh semua negara untuk mengawal pelepasan gas karbon dioksida (CO2) termasuk daripada kenderaan bagi mengurangkan kesan pemanasan global. Kerajaan harus menghentikan pembangunan di kawasan tepi pantai, selain mengkaji pembinaan benteng yang berkesan tapi pada kos mampu dibiayai oleh negara. Pembinaan benteng sudah dilakukan di Belanda,” katanya.

Pakar kaji cuaca tempatan, Profesor Dr Fredolin Tangang, berkata komitmen negara maju amat penting dalam mengurangkan pembebasan karbon dioksida bagi mengawal perubahan iklim.

“Dunia perlu mengekang pembebasan karbon dioksida dalam usaha mengurangkan pemanasan global kerana ia antara lain turut menyumbang kepada peningkatan paras air laut,” katanya.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran mengakui paras laut semakin meningkat akibat pemanasan global yang mula memberi ancaman kepada bandar di kawasan rendah, terutama berhampiran pantai.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tenang, teruskan tugas mengajar

KPPK yakin kerajaan akan tangani rintihan 400,000 guru kelas biasa

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yakin kerajaan akan menangani rintihan dan masalah yang dihadapi kira-kira 400,000 guru kelas biasa dan memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata guru terbabit adalah ‘teras’ pendidik peringkat akar umbi, seharusnya bertenang dan meneruskan tugas murni mereka seperti biasa, dan menyerahkan kepada kesatuan soal perjuangan menjaga kebajikan mereka.

Yim Pheng berkata, kenyataannya adalah sebagai menyuarakan rasa kecewa dan kebimbangan guru terbabit dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru, baru-baru ini yang membawa berita gembira kepada segelintir guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.

“Ironinya disebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan,” katanya.

Beliau berkata, kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan mengenai rintihan dan masalah dihadapi guru kelas biasa.

Yim Pheng berkata, KPPK tidak akan menghampakan guru terbabit kerana mereka adalah tonggak pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Tanpa dedikasi guru kelas, guru besar dan pengetua saja tidak akan dapat mengendalikan sekolah,” katanya.

Tinjauan yang dilakukan semalam, mengesahkan kenyataan kesatuan itu bahawa ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya untuk ketua sekolah.

Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.

“Setiap hari saya biasanya pulang ke rumah satu atau dua jam lebih lewat kerana saya perlu melanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah,” katanya.

Seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Tan, berkata beliau sangat sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan sejawatannya tidak memperoleh apa-apa manfaat daripadanya.

“Kami juga bekerja keras, tapi pengumuman insentif itu seperti memperlihatkan dedikasi kami tidak dihargai,” katanya. – BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Pelajar dulu, pelajar sekarang

Terlalu diberi kemewahan

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

DIBANDINGKAN kehidupan dan cabaran pelajar dulu dan sekarang, memang banyak perbezaan.

Jika dulu hanya berjalan kaki atau menaiki basikal, sekarang ada pengangkutan ke sekolah atau kereta yang menanti di depan rumah malah jika dulu hanya menjamah makanan asas sebagai alas perut, kini dilambakkan pelbagai juadah hebat.

Mereka yang lebih bernasib baik dibekalkan dengan wang melebihi keperluan selain pelbagai gajet elektronik seperti telefon bimbit canggih dan komputer riba.

Bagaimanapun, di tengah segala kemudahan itu, terbit pula kesannya apabila melihat jati diri dan semangat belajar mereka tidak sekental pelajar dahulu.

Pencapaian pelajar hari ini juga tidak sehebat mana walaupun dikelilingi kemewahan yang tidak dimiliki pelajar generasi lama. Apa puncanya?

Senario itu mewujudkan jurang ketara hingga membenarkan tanggapan pelajar hari ini terlebih dimanjakan hingga menyebabkan jati diri dan prinsip hidup menjadi lembik serta rapuh.

Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, membandingkan kedua-dua zaman pelajar perlu asas yang kukuh bagi membolehkan golongan terbabit dihakimi dengan seadilnya.

Beliau berkata, meskipun ketara kerenah pelajar hari ini manja dan mewah, bukan semua tidak mampu berdikari malah ada menunjukkan prestasi luar biasa jika keadaan memaksa.

“Mendefinisikan pelajar hari ini dengan tanggapan itu tidak salah namun perlu disokong bukti yang kukuh. Biarpun sekilas pandang mereka manja dan mewah, bukan semua begitu.

“Skop mewah itu sesuai ditujukan kepada pelajar dalam negara tapi jika di luar negara, tidak boleh kerana kebanyakannya matang dan berdikari dalam segala tindakan serta pemikiran.

“Bagaimanapun, masyarakat tidak boleh dipersalahkan jika mempunyai tanggapan begitu tetapi sebaiknya dilakukan dengan skop lebih luas,” katanya.

Memang pelajar moden diakui cukup bertuah kerana menikmati kemudahan dan kesenangan tanpa perlu berusaha keras hinggakan masyarakat melabelkan mereka dengan pelbagai pandangan serta isu skeptikal.

Apatah lagi, didorong sikap ibu bapa yang ‘menyogok’ anak-anak dengan pelbagai material atas alasan menutup rasa bersalah kerana pengukuhan kerjaya menjadikan keadaan semakin kronik.

Pelajar dulu perlu berusaha keras dengan kudrat sendiri bagi memenuhi keinginan, menjadikan mereka lebih berjaya meskipun dihambat kemiskinan.

Ibu bapa memberi sepenuh kepercayaan kepada institusi pendidikan menjadikan anak mereka berjaya berbanding hari ini, mereka mudah melenting jika anak ‘disentuh’.

“Siapa tidak sayang anak tapi jika keterlaluan akan menyebabkan mereka ‘rosak’. Apabila sikap ini dibentuk sejak awal, apabila memasuki institusi pengajian tinggi (IPT), keadaan sukar diubah.

“Di IPT, mereka melalui frasa pendidikan berlainan yang segalanya perlu bergantung pada diri sendiri. Malangnya, kerana sering terbiasa mewah dan manja, kebanyakannya gagal bertahan, banyak merungut atau menimbulkan masalah.

“Apatah lagi faktor persekitaran seperti rakan sebaya menjadi ancaman kuat, mereka mudah terpengaruh.

“Biarpun turut mempunyai kecenderungan dan kehendak serupa seperti rakan lain, mereka gagal mengawal diri kerana terlebih manja,” katanya menolak tanggapan faktor latar belakang keluarga punca kerapuhan jati diri pelajar hari ini.

“Jangan berikan alasan latar belakang keluarga sebagai penyebab, namun keperluan perlu dilihat melalui cara didikan ibu bapa.

“Kebanyakannya salah memilih dan membiarkan diri terus hanyut mengikut arus kesenangan tanpa memikirkan implikasi masa depan.

“Akhirnya, mereka sukar keluar daripada kepompong lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Belajarlah untuk merasai kesukaran supaya tidak membebankan diri kelak,” katanya.

Bagaimanapun, akuinya, sikap ini berbeza dengan pelajar luar negara kerana tanpa pilihan, mereka terpaksa bergantung kepada diri sendiri.

“Pelajar manja perlu sedar, kesenangan dinikmati tidak mungkin bertahan lama, justeru segeralah berubah untuk menyelamatkan diri pada masa depan,” katanya.

INFO

Antara kriteria penting untuk menjadi cemerlang:

  • Optimistik iaitu sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk menempah kejayaan.

  • Tidak bersikap pesimistik, mengalah atau mudah berputus asa.

  • Kesedaran memikul tanggungjawab akan menjadikan pelajar lebih gigih berusaha untuk mencapai matlamat.

  • Tumpuan sepenuh hati.

  • Mulakan dari awal dengan membuat persediaan dan tidak menjadi bidan terjun ke dewan peperiksaan.

  • Sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran.

  • Sering masuk perpustakaan kerana perpustakaan ialah gedung ilmu pengetahuan.

  • Sanggup dan terbuka menghadapi cabaran.
  • Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

    ISU ALAM SEKITAR : BANDAR 'HILANG'



    Paras air laut meningkat akibat pemanasan global ancam 7 kawasan di Malaysia

    JOHOR BAHRU: Beberapa bandar di negara ini yang terletak di kawasan rendah, terutama berhampiran pantai berkemungkinan ditenggelami air laut dalam tempoh sembilan tahun akan datang berikutan fenomena paras air laut yang semakin meningkat akibat pemanasan global.

    Jika fenomena itu berterusan secara konsisten dan tiada langkah pencegahan dirangka dari awal, antara kawasan berisiko tinggi ditenggelami pada tahun 2020 kelak ialah Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang, Selangor dan Pekan.

    Kemungkinan mengenai kejadian itu ditemui pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004. Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu, berkata data paras air laut yang dianalisis Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Persekitaran, Dr Tan Lai Wai, mendapati sejak 2004 sehingga awal tahun ini, paras air laut negara meningkat secara purata 10 sentimeter (sm) setiap tahun.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/