Oleh Noraini Razak
ISRAEL, kuasa tanpa negara menghalang penganjuran Mesyuarat
Luar Biasa Peringkat Menteri Jawatankuasa Pergerakan Negara-Negara Berkecuali
(NAM) yang dijadualkan di Ramallah, Palestin.
Mesyuarat sepatutnya berlangsung
dari 5 hingga 6 Ogos lalu. Alasan Israel ada kalangan negara anggota pergerakan
itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan kuasa besar itu dan Malaysia salah sebuah negara yang dimaksudkan.
Justeru mesyuarat luar biasa
peringkat menteri NAM tidak boleh dilangsungkan.
Dalam hal ini seperti mana juga
hal-hal lain, sifat bongkak, angkuh dan gila kuasa rejim Zionis amat terserlah.
Kuasa besar itu mahu meneruskan cengkaman ke atas Palestin sehinggakan
persidangan yang sepatutnya berlangsung di Ramallah iaitu bumi Palestin
mendapat tentangan.
Apa hak Israel? Memang benar ada
kalangan negara anggota NAM seperti Malaysia tidak mempunyai hubungan
diplomatik dengan kuasa besar itu. Tetapi apa perlunya dan apa kaitannya
hubungan diplomatik dengan Israel jika mesyuarat luar biasa NAM mahu
dilangsungkan di bumi Palestin?
Di mana rasional kata dua Israel
itu atau sememangnya Israel telah memaktubkan keseluruhan Palestin adalah
haknya sehingga terserlah keberanian menghalang mesyuarat khusus bagi
membincangkan perihal negara yang tinggal sekangkang kera itu.
Mesyuarat luar biasa peringkat
menteri jawatankuasa NAM adalah mengenai Palestin. Sebab itu ia diadakan di
bumi yang hampir 90 peratus daripada tanahnya telah dirampas oleh Israel. Ia
juga telah diputuskan ketika menteri-menteri luar bermesyuarat di Sharm
El-Sheikh pada Mei lalu. Tidak ada pula Israel berbunyi ketika itu, biar pun
satu dunia mengetahui pemilihan Ramallah sebagai pusat pertemuan seterusnya.
Hakikatnya, menteri-menteri luar
yang menjadi ketua delegasi tidak menjejakkan kaki ke tanah Israel kerana kuasa
besar itu tidak mempunyai tanah. Mereka memilih Ramallah yang merupakan wilayah
Palestin, waima jika NAM bermesyuarat luar biasa di Israel sekali pun, tanah
itu adalah darah dan air mata rakyat Palestin.
Israel sememangnya tidak memiliki
apa-apa melainkan kekejaman menindas penduduk Palestin yang kini menjadi
pelarian di negara sendiri. Kekejaman dan kezaliman itu menjadikan Israel kuasa
besar sekarang ini sehingga mempunyai kekuatan untuk mencatur politik di
negara-negara Islam. Israel digeruni sehinggakan tidak ada satu negara mahu pun
pertubuhan mampu merungkaikan penderitaan rakyat Palestin apatah lagi mahu
melunasi nyawa-nyawa yang telah terkorban.
Sekadar menghulurkan bantuan yang
sarat dengan sekatan, curahan simpati selain mesyuarat tidak berkeputusan oleh
NAM, Pertubuhan Persidangan Islam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan
lain-lain, dunia tidak mampu berbuat lebih daripada itu.
Selebihnya, dunia hanya mampu
menjadi pemerhati kekejaman demi kekejaman dan semakin tipisnya harapan
Palestin untuk memiliki semula haknya yang sejak puluhan tahun dirampas Israel.
Penderitaan rakyat Palestin
hakikatnya telah menjadi sejarah. Menunggu mentari muncul tanpa sisa-sisa abu
nuklear di bumi itu bermakna akan ada satu catatan sejarah baru dalam
perjuangan penduduk Palestin. Sehingga hari ini apa yang disaksikan dunia
adalah ulangan sejarah kekejaman dan penindasan Israel tanpa ada belas ihsan
jauh sekali mahu tunduk menjenguk sekelumit keperluan penduduk di situ.
Kelukaan penduduk Islam di
Palestin sudah terlalu parah. Malah dunia Islam baik di mana-mana menangisi
satu persatu tragedi yang mengorbankan nyawa demi nyawa tanpa ada ihsan baik di
bulan Ramadan mahu pun sebaliknya.
Sementelah konflik di negara-negara
Islam di Asia Barat sendiri tidak pernah berkesudahan, manakala di ASEAN
seperti Myanmar umat Islam terus dijajah malah diratah nyawa mereka tanpa ada batasan.
Siapa dalang di sebalik peristiwa
berdarah ini? Adakah segala-galanya tercetus sendiri tanpa ada sebab atau
provokasi? Atau darah umat Islam memang dihalalkan di mana saja oleh satu kuasa
besar yang tidak akan tenteram selagi mereka tidak mendapat pengiktirafan
dengan menjadikan Palestin bumi mereka secara muktamad. Akan adakah detik itu,
atau akan adakah yang mampu mengubah sejarah? Tentunya ada.
Somber : http : //www.utusan.com.my/