Rabu, 24 Ogos 2011

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Ops Sikap masih relevan untuk kurangkan kemalangan maut

Oleh Wan Faizal Ismayatim

WALAUPUN pada mulanya timbul ura-ura Ops Sikap ke-24 yang bermula Selasa lalu hingga 6 September ini akan ditukar kepada nama baru dengan pelbagai pendekatan berbeza selepas 10 tahun dilancarkan, ia tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengekalkan Ops Sikap yang masuk siri ke-24 sempena Aidilfitri kali ini dengan pendekatan yang tidak banyak bezanya sejak kali pertama dilancarkan pada 8 Disember 2001 oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai bagi menggantikan Ops Statik.


Ada pihak menganggap Ops Sikap tidak lagi menggerunkan pengguna jalan raya dan kaedah pelaksanaannya perlu diberi nafas baru, namun apa yang penting sebenarnya bukan pada nama kerana tukarlah kepada apa-apa nama atau apa juga pendekatan sekalipun, kemalangan maut tetap berlaku setiap kali musim perayaan jika mentaliti dan sikap pemandu tidak berubah.

Ops Sikap ke-24 selama 15 hari bermula 23 Ogos hingga 6 September ini menyaksikan lebih 10,000 anggota polis bertugas di seluruh negara dengan matlamat memastikan perjalanan selesa dan selamat buat pengguna jalan raya pulang ke kampung halaman menerusi sasaran pengurangan lima peratus kemalangan maut berbanding sebelumnya.

Walaupun ia lebih bertujuan mendidik serta memberi ingatan kepada pengguna jalan raya agar lebih berhemah ketika memandu, PDRM awal-awal lagi memberi amaran tidak akan berkompromi sesiapa saja yang melakukan kesalahan hingga membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Sempena Ops Sikap kali ini, PDRM akan menggunakan kamera perangkap laju berteknologi tinggi terbarunya yang dipasang di kebanyakan laluan utama dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan maut di seluruh negara.

Pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan akan dirakam oleh kamera berkenaan yang dikendalikan seorang anggota sebelum notis saman bersama bukti bergambar kesalahan yang dilakukan itu dihantar ke alamat pemandu secepat mungkin.

Menerusi Ops Sikap kali ini, PDRM sekali lagi menggunakan pendekatan yang memastikan orang ramai merasai kehadiran anggota polis (omnipresence) di sepanjang laluan pulang ke kampung melalui konsep Ronda dan Statik di 40 lokasi lebuh raya serta 160 lokasi jalan Persekutuan seluruh negara.

Konsep itu menggunakan kanopi di R&R sebagai tempat pertemuan petugas polis trafik dan agensi lain selain dijadikan pusat sumber maklumat asas bagi pengguna jalan raya yang menghadapi masalah sepanjang perjalanan. Malah, ia juga menjadi pusat ‘tindakan pantas bantuan’ sekiranya berlaku kecemasan.

Bagi memudahkan orang ramai membuat laporan kesesakan atau kemalangan serta mendapatkan maklumat trafik dan bantuan, PDRM dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) menyediakan talian bebas tol 1800 88 1412 yang boleh dihubungi 24 jam.

Sesuatu kelainan pada ciri Ops Sikap kali ini, PDRM turut melancarkan Kempen Rumah Selamat yang menekankan keselamatan harta benda atau rumah yang ditinggalkan selama beberapa hari bagi tujuan balik kampung.

Bagi memudahkan orang ramai, PDRM menyediakan Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh dimuat turun menerusi laman facebook rasmi PDRM sebelum maklumat itu dihantar ke IPD tempat tinggal pemilik rumah bagi membolehkan polis membuat rondaan dan ‘memerhatikan’ rumah mereka sepanjang musim perayaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 23 Ogos 2011

ISU BAHASA : PLM mahu PPSMI dihentikan serta-merta

MERUJUK kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akhbar semalam mengenai pilihan bahasa oleh sekolah untuk mengajar sains dan matematik, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) berharap kerajaan dan Kementerian Pelajaran bertegas menolak sebarang usaha menghidupkan semula PPSMI dengan menggunakan dua bahasa iaitu sekolah tertentu diizin menggunakan bahasa Inggeris manakala sekolah lain menggunakan bahasa Melayu.

PLM tetap mahu PPSMI dihentikan. Segala usaha membina tamadun ilmu berbahasa Melayu seperti penulisan dan penerbitan ilmu sains dan teknologi terencat dengan serta-merta akibat PPSMI. Masa yang panjang perlu diambil untuk membangun tamadun atau menebus kembali masa enam tahun yang hilang ketika pelaksanaan PPSMI tetapi untuk meruntuhkan tamadun berkenaan cukup dengan hanya membuat satu keputusan.


Kesannya mungkin tidak nampak segera di depan mata bagi kebanyakan kita. Namun fenomena antara dua darjat seperti terpapar dalam filem P Ramlee akan wujud dan seterusnya dalam jangka pendek dapat dijangka bahasa Melayu akan terus terpinggir buat selama-lamanya kerana kecenderungan rakyat yang lebih terpesona dengan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Akhirnya sekolah ‘bersains dan matematik’ dalam bahasa Inggeris akan menjadi kelas pertama dan rebutan berbanding sekolah ‘bersains dan matematik’ dalam bahasa Melayu yang akan terus dipinggir. Ibarat diberi betis hendakkan paha, ibu bapa dan anak akan berkejar-kejar ke sekolah sana dan akhirnya permintaan akan bertambah dan tinggallah sekumpulan kecil sekolah berbahasa Melayu.

Ketika sains, matematik dan teknologi diajar dalam bahasa Melayu di sekolah hingga di universiti sejak 1972 hingga 2002 tiada sebarang masalah kronik sehingga menggendalakan kemajuan negara ini.

Malah puluhan ribu jurutera, doktor serta profesional lain daripada pelbagai bangsa di Malaysia dilahirkan oleh universiti tempatan dan juga mereka yang lulus dari luar negara sedangkan mereka berpendidikan dalam bahasa Melayu.

PLM berharap hasil murni selama ini yang selaras dengan acuan dan jati diri negara ini tidak dihancurkan buat kali kedua yang kesannya dalam jangka panjang akan lebih parah dari segi membangun modal insan yang mempunyai roh dan jiwa Malaysia yang sejati.


KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden,
Persatuan Linguistik Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 18 Ogos 2011

ISU BAHASA : Mengapa sukar kuasai bahasa Inggeris.

Ubah kepada komunikasi intensif

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

SEJAK dulu, isu bahasa Inggeris tidak pernah surut mencipta kontroversi menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat selain mewujudkan polemik tidak berkesudahan.

Biarpun banyak cara dilakukan bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa ini, kejayaannya masih samar dan gagal memuaskan hati pihak tertentu hingga menjadikannya sentiasa panas.

Sejarahnya bermula apabila bahasa ini terpaksa ‘ditamatkan’ bagi memberi laluan kepada bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Selepas itu timbul konflik apabila ia digunakan sebagai bahasa penghantar dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik dengan harapan mampu mempertingkatkan lagi penguasaannya dalam kalangan pelajar.

Bagaimanapun, ia tetap mencetuskan pelbagai insiden pro dan kontra hingga akhirnya memaksa kerajaan mengembalikan semula penggunaan ke bahasa Melayu.

Terbaru, bahasa ini dipersalahkan pula dalam insiden kegagalan pelajar menguasainya dengan baik biarpun mempelajarinya di institusi pendidikan.

Persoalannya, sampai bila masyarakat terpaksa menerima pelbagai ‘cerita’ kurang menarik mengenai bahasa Inggeris?

Apakah tiada jalan penyelesaian efektif untuk menanganinya?

Mantan pensyarah pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Tajol Ariffin Nordin, berkata isu itu tetap sensasi sampai bila-bila jika kekeliruan yang melanda masyarakat tidak ditangani.

Beliau berkata, kekeliruan itu bukan hanya wujud pada pengenalan atau perubahan dasar semata-mata, malah mencakupi pelbagai aspek remeh atau tidak diselesaikan hingga menjadikannya satu polemik besar.

“Hakikatnya ia bukanlah isu besar yang tiada jalan penyelesaian cuma sering diprovokasi pihak tertentu. Dan, setiap kali ia timbul pasti menjadi panas.

“Dengan kata lain, masyarakat tetap keliru dan mempersoalkan apa jua aspek jika disogokkan dengan isu bahasa Inggeris kerana pemikiran mereka masih lagi dibayangi dasar pendidikan lama,” katanya.

Dasar pendidikan kebangsaan kini berpaksikan kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar juga menjadikan pihak tertentu beranggapan pelajar gagal berbahasa Inggeris.

Melalui dasar pendidikan kebangsaan ini, katanya, bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, justeru kebergantungan terhadap bahasa Inggeris tidak kukuh.

“Masalahnya, ramai beranggapan bahasa Inggeris ‘wajib’ dan sangat istimewa hingga perlu diberi penekanan secara menyeluruh sedangkan ia bukan bahasa utama. Sistem pendidikan kebangsaan kita adalah bahasa Melayu.

“Jadi sudah tentu bahasa itu diberi keutamaan kerana ia bahasa rasmi.

“Hakikatnya, sudah termaktub bahasa Melayu adalah bahasa penghantar utama, justeru lebih penting jika pelajar dapat menguasainya dengan lebih baik berbanding bahasa Inggeris meskipun ia bertaraf antarabangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini berkata, Kementerian Pelajaran sedang menilai semula kurikulum pengajaran bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan meskipun selepas 13 tahun belajar di peringkat rendah dan menengah.

Langkah itu perlu kerana kementerian meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Ditanya adakah benar tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar masih di takuk lama, beliau berkata perbandingan tidak boleh dilakukan secara rawak.

“Dibandingkan kemampuan pelajar luar bandar dengan bandar, ada bezanya, begitu juga mahasiswa yang mengambil Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dengan yang lain. Kemampuan mereka tidak sama.

“Pasti ada kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum membuat rumusan muktamad,” katanya mengakui komen yang tidak membina juga boleh melunturkan semangat guru bahasa Inggeris untuk terus berkhidmat lebih dedikasi.

Katanya, alasan kegagalan itu ibarat mencerminkan kelemahan guru bahasa Inggeris sewaktu menjalankan tugas. Ini mencalar kredibiliti, integriti serta profesionalisme golongan itu.

“Masyarakat juga akan mempersoalkan adakah guru berkenaan melaksanakan tugasan dengan baik atau apakah mereka memiliki kriteria sesuai.

“Ini akan menimbulkan polemik atau konflik lain sedangkan isunya tetap sama iaitu kegagalan menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Mengulas kegagalan segelintir pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik, beliau berkata puncanya bahasa itu subjek manakala latihan tidak dilakukan secara intensif.

Untuk fasih, katanya, pelajar bukan saja perlu rajin malah memerlukan satu mekanisme atau latihan intensif yang agresif serta berterusan.

Katanya, subjek bahasa Inggeris diajar dalam tempoh singkat justeru sukar untuk dikuasai oleh pelajar yang tidak menggunakan bahasa itu sebagai bahasa percakapan.

“Untuk mengatasinya, tukar konsep pengajaran kepada komunikasi intensif kerana boleh membantu. Corak pembelajaran sekarang lebih menumpukan kepada latihan penulisan semata-mata menjadikan mereka boleh menulis tapi gagal berkomunikasi.

“Yang menjadi masalah ialah pelajar tidak boleh bercakap dengan baik, justeru ubah corak pembelajaran kepada komunikasi intensif. Saya percaya ia mampu membantu kerana majikan juga hanya mementingkan aspek ini terutama ketika temu duga,” katanya.

Beliau juga mengakui sistem pendidikan kebangsaan tidak gagal dengan kejayaan melahirkan ramai bijak pandai yang cemerlang mengemudi dunia kerjaya.

“Jika ada pihak menyatakan ia puncanya, saya tidak bersetuju kerana kejayaannya sudah ada. Hanya kerana isu bahasa Inggeris, kita tidak boleh memuktamadkan sebagai tidak berjaya.

“Realitinya, masalah bahasa Inggeris bukan saja berlaku di negara kita malah seluruh dunia. Menyalahkan sistem pendidikan sedia ada bukan jalan penyelesaian.

“Yang penting, mesej ingin disampaikan berjaya, itu lebih baik daripada melakukan perubahan drastik atau menyalahkan pihak tertentu akibat kegagalan yang boleh diperbaiki,” katanya.

INFO:

Penyata Razak 1956 adalah cadangan yang dibuat satu jawatankuasa oleh kerajaan Malaysia bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Malaysia. Jawatankuasa pelajaran ini ditubuhkan pada September 1955 dan dipengerusikan Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak Hussein.

Cadangan yang dikemukakan Penyata Razak ini diluluskan kerajaan persekutuan Tanah Melayu dan antara perkara penting yang dicadangkan adalah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) serta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi SRK. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Selasa, 16 Ogos 2011

ISU ANTARABANGSA : Somalia dilanda kebuluran teruk

Oleh Abdul Halim Saad
rencanabh@bharian.com.my

Perang saudara berlarutan punca berjuta-juta rakyat tak cukup makan

SOMALIA kini dilanda kemelut kebuluran teruk yang menyaksikan jutaan rakyatnya terdedah kepada kekurangan makanan dan perubatan. Negara itu mengalami kemarau panjang terburuk sejak 1960 dan sejumlah 3.2 juta orang atau hampir sepertiga rakyat Somalia kini memerlukan bantuan hayat.


Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memohon bantuan tambahan AS$83 juta untuk menampung operasi kecemasan, terutama di wilayah tengah dan selatan Somalia. Presiden ICRC, Jakob Killenburger berkata, situasi di Somalia akan bertambah buruk sekiranya bantuan segera tidak diperoleh.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengisytiharkan Somalia dalam kebuluran yang mana 3.7 juta rakyat memerlukan bantuan makanan dan perubatan. PBB juga melaporkan 30,000 kanak-kanak mati akibat kurang makanan dan 600,000 kanak-kanak masih dalam keadaan bahaya. PBB memerlukan AS$2.48 bilion untuk menangani krisis ini.

Sebenarnya, Somalia ialah sebuah ‘negara gagal’ akibat dilanda konflik dalaman yang berlanjutan. Negara gagal ialah negara yang tidak dapat menjamin keselamatan rakyat dan juga tidak berupaya menyediakan program pembangunan asas ekonomi dan sosial kepada penduduknya.

Somalia yang merdeka pada 1960 daripada Britain dan Itali sebenarnya tidak mempunyai kerajaan Pusat. Negara itu dilanda perang saudara sejak 1991 apabila Mohamed Said Barre yang berkuasa sejak 1969 digulingkan. Negara berkeluasan 640,000 kilometer (km) persegi atau hampir dua kali ganda keluasan Malaysia itu mempunyai 9.4 juta penduduk.

Negara padang pasir itu mempunyai 18 wilayah dan beberapa wilayah mempunyai kuasa autonomi sendiri seperti Puntland dan Somaliland. Pemerintahan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa ialah Kerajaan Persekutuan Transisional (TFG) yang ditubuhkan pada 2004 yang hanya berkuasa di beberapa kawasan Mogadishu dan kawasan tengah Somalia saja.

Dari segi pentadbiran, TFG ada cabang eksekutif dan perundangan dengan diketuai oleh Presiden Sharif Ahmad dan dibantu oleh Perdana Menteri, Abdiweli Mohamed Ali. Mengikut Bank Pusat Somalia, walaupun dalam pergolakan, Somalia memperoleh ekonomi yang sempurna berasaskan ternakan, telekomunikasi dan penghantaran wang.

Pada 2009, Somalia mencatat kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.6 peratus dan pendapatan perkapitanya AS$600. Kebanyakan aktiviti perdagangan dan pelaburan yang dibiayai oleh rakyat Somalia di luar negara atau diaspora terutama dalam bidang urusan pemindahan wang, telekomuniksi, penerbangan, perhotelan pengangkutan, kesihatan pembinaan dan pendidikan. Rakyat Somalia yang tinggal di luar negara menghantar balik sejumlah AS$1 bilion setahun.

Mogadishu, kota terbesar yang juga ibu negara Somalia, terletak di wilayah Benadir di tepi Lautan India. Sebelum perang saudara pada 1991, Mogadishu yang mempunyai dua juta penduduk digelar White Pearl of the Indian Ocean berasaskan pada bangunan yang serba putih berlatar belakangkan kebiruan Lautan Hindi.

Selain itu, Mogadishu juga terkenal sebagai tempat kelahiran model ternama, Iman yang menjadi hiasan kulit majalah terkenal Vogue pada 1976. Iman dilahirkan pada 1955 di Mogadishu anak kepada seorang diplomat Somalia berkelulusan Sains Politik dari Universiti Nairobi. Iman menjadi model untuk Gianni Versace, Calvin Klein, Issey Miyake, Donna Karan dan Yves Saint Laurent. Iman Cosmetics yang mengeluarkan bahan kosmetik memperoleh pendapatan AS$25 juta setahun.

Konflik yang berlaku di Somalia bertumpu kepada pertentangan bersenjata antara Al Shabab dengan pemerintahan TFG yang mendapat sokongan Barat. TFG juga dibantu oleh pasukan pengaman PBB yang terdiri daripada tentera Burundi dan Uganda yang membekalkan tentera untuk misi pengaman PBB di Somalia di bawah misi UNOSOM.

Siapakah Al Shabab? Pada 2006, Ethiopia dengan bantuan Amerika Syarikat menyerang Somalia yang diperintah oleh Islamic Courts Union (ICU) yang dikatakan mengamalkan dasar ekstremis Islam. Akibat daripada serangan Ethiopia itu, wujud Al Shabab yang sebelumnya menjadi pasukan bersenjata bagi ICU.

Anggota Al Shabab senang dikenali dengan pakaian tentera dan kopiah merah putih serta bersenjatakan Kalashnikov, berumur antara 19 hingga 25 tahun serta mempunyai seramai 7,000 anggota. Al Shabab menguasai 50 peratus bumi Somalia dan diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika. Kumpulan radikal ini bertujuan menggulingkan regim TFG yang memerintah sekarang dan menentang tentera UNOSOM. Al Shabab dipimpin oleh Ibrahim Jama Meeaad.

Somalia juga terkenal dengan aktiviti lanun samudera. Mengikut Biro Maritim Antarabangsa (IMB), lanun sudah menahan 42 kapal besar bersama 815 tebusan. Lanun Somalia pernah mengenakan wang tebusan sehingga AS$8 juta sebuah kapal, menggunakan bot laju berkuasa tinggi dan berkeupayaan menahan kapal sejauh 1,800 kilometer dari pantai Afrika. Jumlah kerugian kepada agensi perkapalan dan insurans dunia dianggarkan sebanyak AS$10 bilion setahun.

Antara tindakan jangka pendek masa kini ialah penubuhan pasukan tentera antarabangsa yang diwakili Kesatuan Eropah, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan misi berasingan yang terdiri dari Jepun, India, Russia, China, Korea Selatan, Iran dan Malaysia. Komando tentera laut Malaysia pernah membebaskan kapal tangki kimia Malaysia, MT Bunga Laurel di Teluk Aden dan menahan tujuh lanun Somalia. Lanun Somalia sebelum ini menahan dua kapal tangki Malaysia, MT Bunga Melati Dua dan MT Bunga Melati Lima.

Somalia juga terkenal di Malaysia melalui Perang Mogadishu pada 1993 apabila tentera Amerika diserang militan Somalia. Dalam serangan itu, dua helikopter termoden Amerika, Black Hawk ditembak jatuh dan tentera Amerika terperangkap dan diselamatkan oleh anggota tentera Malaysia. Perang Mogadishu mengorbankan 1,000 militan Somalia.

Dalam politik antarabangsa, Somalia ada segala-galanya – kemiskinan, kebuluran, peperangan, kemarau, pengganas, penyakit, puak dan ketiadaan institusi pentadbiran. Di samping itu, negara Islam itu digam pengganas oleh Amerika akibat adanya sekumpulan militan di dalamnya. PBB juga mengikut resolusi 733 mengenakan sekatan ke atas Somalia sejak 1992. Keadaan ini menyulitkan sebarang proses bantuan kemanusiaan.

Bantuan makanan dan perubatan sangat penting masa kini untuk menyelamatkan Somalia, Djibouti, Kenya dan Uganda. Nampaknya dunia bertindak lambat, kurang peka dan masih bermain politik dalam isu ini. Pope Benedict XVI sendiri menyatakan bahawa dunia tidak ada rasa belas kasihan mengenai bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan 12 juta umat manusia di negara ‘tanduk’ Afrika.

Di samping itu Kesatuan Afrika (AU) sendiri masih belum dapat merangka pelan tindakan berkesan untuk mengatasi krisis ini. Negara pertubuhan itu yang kaya seperti Libya kini dalam kancah peperangan dengan pakatan NATO, manakala Mesir pula berada di dalam krisis dalaman yang masih berlanjutan.

Penulis ialah pensyarah jemputan Universiti Pendidikan Sultan Idris

ISU BAHASA : Ramai pelajar lemah bahasa Melayu

Oleh Teo Kok Seong

teokok@ukm.my


Isu kurang dibincang berbanding gagal kuasai bahasa Inggeris

PERSOALAN kegagalan penguasaan bahasa Inggeris yang baik oleh kebanyakan pelajar Malaysia selepas 13 tahun mempelajarinya, ikut mencetuskan pelbagai soalan, selain mengundang banyak komen. Ada yang menyoal keberkesanan kurikulum bahasa Inggeris sedia ada, kesesuaian dasar baru untuk memartabatkan bahasa Melayu, memperkukuh bahasa Inggeris dan kebijaksanaan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada awal tahun ini.


Ada juga yang mencadangkan pengembalian sekolah aliran Inggeris, menyalahkan guru yang dikatakan tidak cekap, mengaitkan sikap negatif pelajar dengan pen-capaian yang lemah dan menuduh Kementerian Pelajaran enggan mewajibkan kelulusan mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.


Kita boleh terus menyoal dan mengulas persoalan ini, lebih-lebih lagi untuk mempromosikan bahasa Inggeris. Sebetulnya pada masa sama, kebanyakan pelajar kita termasuk Melayu sendiri, apatah lagi yang bukan Melayu juga tidak menguasai bahasa Melayu iaitu bahasa negara ini dengan baik. Namun, hal ini tidak banyak diperkata dan kalau cuba diperkata, ia tidak mendapat sambutan serta tempat untuk dibincangkan dengan rinci.

Ikut bersikap begini ialah pihak media, antaranya akhbar bukan bahasa Melayu yang kurang bersedia untuk memberi liputan adil mengenai bahasa ini. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa leluhur, etnik dan ibunda orang Melayu, dianggap sebagai kualiti bangsa Melayu. Justeru, ia adalah tanggungjawab dan kewajipan bangsa Melayu saja.

Dalam kes bahasa Melayu di Malaysia, ideologi begini adalah salah. Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa negara, yakni sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sehubungan ini, martabatnya hendaklah dipertahan setiap masa oleh semua warga negara.

Sebenarnya, persoalan ketiadaan kecekapan berbahasa Inggeris, pengetahuan dan penguasaan rendah terhadap bahasa Melayu, termasuk kegagalan memahami sejarah tanah air oleh kebanyakan pelajar antara tanda dan gejala kemerosotan sistem pendidikan kita. Hal ini dapat dilihat pada bahkan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang.

Kebanyakan mereka tidak mampu menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris, tidak cekap berbahasa Melayu persuratan ketika bercakap dalam situasi formal, dan tidak memahami hubung kait peristiwa lampau negara yang penting dengan masa kini baik dalam konteks tempatan mahupun sejagat.

Kelemahan sistem pendidikan kita disedari kerajaan dan sedang dikaji semula untuk diperbaiki.

Dalam konteks kecekapan berbahasa Inggeris, kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa kecekapan yang bakal generasi muda kita peroleh, mungkin tidak dapat menandingi tahap yang diperlihatkan golongan lama. Ini antaranya adalah pada masa dulu, bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar, manakala kini ia hanya satu mata pelajaran.

Walaupun begitu, dengan penekanan serius kerajaan melalui pelbagai usaha pendidikan untuk memastikan generasi muda cekap berbahasa antarabangsa yang paling penting ini, golongan ini dengan sikap belajar yang betul serta bimbingan dedikasi guru, pasti memperlihat kecekapan yang jauh lebih baik daripada yang ada sekarang.

Dalam pada kita berikhtiar untuk menguasai bahasa Inggeris pada tahap baik, kita tidak boleh sekali-kali mengetepikan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan. Pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik oleh rakyat Malaysia bukan saja penting, tetapi wajib.

Bahasa Melayu adalah maruah dan citra, selain jati diri bangsa dan negara. Maruah bahasa Melayu terletak pada martabatnya. Oleh itu, ia perlu diperlakukan dengan penuh tertib, sesuai dengan syiarnya sebagai bahasa utama di negara ini. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah selalu diutamakan dan tidak boleh diketepikan dalam sebarang ranah penggunaan yang sememangnya menjadi hak dan kuasanya.

Perilaku kita semua terhadap bahasa Melayu, khususnya yang bertentangan dengan syiarnya, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai tanggapan. Oleh itu, tindakan yang boleh merendahkan citra bahasa Melayu hendaklah dihindari kerana ia boleh ikut merendahkan citra kita semua sebagai bangsa berharga diri dan negara berdaulat.

Sesungguhnya dalam bahasa Melayu tersimpan nilai, salasilah serta akar kita sebagai bangsa Malaysia. Dengan ini, hanya bahasa Melayu mampu memberi capaian langsung kepada warisan budaya serta pandangan dunia kita sebagai bangsa Malaysia, untuk melengkapi dan juga menolak perspektif yang disaji oleh tamadun lain.

Bahasa Melayu juga satu-satunya warisan budaya yang dengan penuh keyakinan dan pengertian, boleh bukan saja mempertahan tetapi menjamin kemuliaan kita sebagai satu bangsa bermaruah dan negara yang berdaulat di dunia ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kepentingan strategik Program 6P

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN

Terlampau banyak yang diperkatakan mengenai Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau dikenali sebagai Program 6P yang sedang dilaksanakan di seluruh negara. Ada laporan yang positif. Namun, ada juga cerita dan perspektif negatif yang diberikan kepada program pendaftaran pekerja asing dan tanpa izin yang amat besar dan rumit ini.

Program 6P bukanlah satu program yang boleh dilihat dalam konteks 'untung dan rugi' kepada kerajaan. Ia lebih besar dan komprehensif daripada banyak perspektif negatif yang cuba dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu.

Pujian mestilah diberikan kepada kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia yang bekerja keras hampir beberapa minggu kebelakangan ini bagi melaksanakan program yang sedemikian besar dan menyeluruh. Setakat ini, hampir 2 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah pun didaftarkan.

Apakah pernah kita bayangkan bahawa seramai 2 juta pendatang tanpa izin yang ada di halaman negara kita; tanpa sebarang pengenalan diri?

Sejauh mana kita pasti bahawa tidak ada waima seorang pun daripada mereka ini mempunyai niat yang serong dan mampu mengganggu gugat keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara?

Semua ini menimbulkan soal 'keselamatan' yang amat serius. Justeru, sememangnya amat tepat bahawa 'rasional keselamatan' menjadi faktor teras kepada pelaksanaan program 6P.

Kita tidak boleh terus-terusan membiarkan sempadan negara menjadi terlalu poros dengan kehadiran pendatang tanpa izin. Benar, kita bukanlah terlalu kejam sehingga mahu meletakkan tembok kebal kepada mereka daripada mencari rezeki di negara ini.

Namun kita juga tidak rela soal keselamatan negara menjadi taruhan dan permainan mana-mana pihak sekalipun. Jangan kita ambil mudah, saat ada kumpulan tertentu yang kemaruk kuasa, kelemahan-kelemahan ini boleh mendatangkan masalah jangka panjang.

Oleh yang demikian, 'rasional keselamatan' yang diungkapkan dalam niat pelaksanaan Program 6P ini adalah sangat strategik dan wajar. Kita sememangnya memerlukan suatu platform pengurusan data warga asing yang lebih mampu mengawal selia kehadiran mereka di negara ini.

Soal ini tidak boleh diambil mudah. Kita tidak perlu menjadi terlalu defensif dan takut untuk menegakkan kebenaran dan sesuatu yang menjadi keperluan negara.

Cerita-cerita sensasi seperti isu 'Mismah' akhirnya gugur dengan sendirinya apabila cerita sebenar didedahkan kepada media. Ini sekali gus membawa makna, sememangnya wujud niat media tertentu untuk merosakkan imej Program 6P dengan mempakejkannya dengan isu-isu lain. 6P, biometrik, Mismah, pendaftaran warga asing, pendaftaran pemilih - dipakejkan sebagai satu 'cerita konspirasi' yang berniat meruntuh imej institusi kerajaan.

Tidak sukar untuk kita mengesan 'keuntungan politik' yang boleh diperoleh sekiranya 'pakej dan agenda merosakkan imej' ini dapat dicerna oleh minda rakyat.

Soal integriti sempadan, soal keselamatan, soal 'jenayah rentas sempadan' tidak menjadi penting kepada kelompok ini. Rakus kuasa lebih menarik selera.

Mereka yang cuba meletakkan apa sahaja keraguan kepada pelaksanaan Program 6P adalah mereka yang tidak melihat gambaran lebih besar kepada suasana sebenar yang berlaku. Sampai bila kita mahu terus berteka-teki dengan jumlah sebenar pendatang tanpa izin; sekiranya sebuah program seperti 6P tidak dilaksanakan sebaiknya?

Apakah kita boleh memperjudikan isu keselamatan dan menganggap semuanya akan berada di bawah kawalan anggota keselamatan?

Untuk itu, Program 6P ini bukan sahaja soal majikan dan pekerja. Program 6P bukan juga soal statistik dan mengisi keperluan industri semata-mata.

Masanya sudah tiba untuk kita melihat Program 6P sebagai suatu tindakan proaktif dalam memastikan integriti sempadan kita tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak sekalipun. Inilah matlamat yang lebih perlu menjadi prioriti.

Pengenalan sistem biometrik adalah sesuatu yang sesuai dengan masa dan zaman. Ya, kalaupun memang wujud kelemahan tertentu yang melambatkan sedikit pendaftaran; ia tidak boleh menjadi alasan untuk kita meruntuhkan segala-galanya.

Apa yang menjadi ironi, kumpulan sama adalah mereka yang selalu menjerit-jerit dan mempertikai kononnya kerajaan tidak mengurus warga asing dengan tuntas dan baik. Hari ini, kumpulan sama yang membuat dan menjual pelbagai tohmahan kepada program yang mempunyai niat yang sangat murni.

Dengan data yang lebih komprehensif, mantap dan kebal daripada pembohongan dan penipuan, kita dapat memastikan sempadan negara tidak dibolosi oleh kumpulan-kumpulan ekstrem dan cuba untuk mengganggu gugat keamanan. Jangan kita ambil mudah perkara yang asas dan penting ini.

Kita perlu faham bahawa penjenayah antarabangsa tidak lagi bergerak dalam model lama. Mereka sendiri juga melakukan 'kerjasama strategik' dalam memastikan risiko ditangkap oleh pihak berkuasa berada di tahap yang paling minimum.

Kita bukan sahaja berbicara tentang pemerdagangan orang; malahan ia boleh menerjah kepada jenayah-jenayah yang lebih dahsyat, termasuk pengedaran dadah dan kegiatan militan!

Biometrik ini bukanlah satu program yang istimewa buat Malaysia sahaja. Ia sudah menjadi teknologi dunia dalam memastikan mobiliti manusia dapat dikawal dengan lebih baik dan tersusun. Masing-masing kerajaan punya niat dan rasional tersendiri dalam melaksanakan pendaftaran identiti biometrik.

Di India, projek yang dinamakan sebagai Unique Identification Authority of India (UIDAI) sedang dilaksanakan dengan belanja hampir AS$500 juta dolar. Hampir 500 juta rakyat India akan didaftarkan di bawah projek UIDAI - berbanding jumlah keseluruhan rakyat India yang dikatakan hampir 1.2 bilion!

UIDAI mempunyai rasional yang bersifat domestik. UIDAI diharap dapat menyelesaikan isu ketirisan bantuan sosial - agar dapat terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

UIDAI juga mahu dijadikan platform bagi menyelesaikan banyak isu yang melibatkan penipuan perbankan di India. Malahan, UIDAI dikatakan lebih canggih kerana turut melibatkan imbasan iris mata kepada semua rakyat!

Amerika Syarikat (AS) turut melaksanakan program pendaftaran biometrik di bawah projek khas United States Visitor and Immigrant Status Indicator Technology (US-VISIT). Pendaftaran ini dilakukan bagi memastikan sempadan AS tidak sewenang-wenangnya dicerobohi oleh mana-mana pihak.

Fobia AS terhadap keganasan militan masih lagi terasa. Oleh yang demikian, US-VISIT jarang sekali berhadapan dengan serangan 'politik'! Rasanya, ahli-ahli politik di Amerika faham bahawa soal integriti sempadan ini bukanlah satu isu yang boleh 'dipolitikkan' dengan sesuka hati.

US-VISIT adalah pangkalan data komprehensif yang akhirnya boleh diakses melalui apa yang dipanggil sebagai Interagency Border Inspection System yang dijadikan rujukan kepada usaha mengenal pasti pelawat ke AS. Dengan pangkalan data yang sedemikian lengkap, risiko untuk Amerika berdepan dengan cabaran keselamatan akan berada di tahap yang minimum.

Tidak kiralah atas nama apa sekalipun, UIDAI, US-VISIT ataupun Program 6P; semua ini dilakukan di atas niat mahu menjaga keselamatan negara dalam erti kata yang sebenar. Sikap ambil mudah, mempolitikkan semua perkara, sebenarnya akan meletakkan negara dalam tekanan keselamatan jangka panjang.

Risiko ini tidak boleh diambil enteng; kecuali mereka yang gemar dan mahu sempadan negara yang poros demi kepentingan politik jangka panjang. Siapa tahu, jika sentimen 'anti-kerajaan' boleh disemaibenihkan kepada kumpulan yang tidak mempunyai ikatan kenegaraan - sekali gus meletakkan negara dalam risiko yang tinggi.

Sekurang-kurangnya, 6P lebih fokus dan menjurus kepada golongan sasar yang tepat. Kita perlukan pangkalan data pekerja asing yang lengkap dan berintegriti. Tidak ada jalan lain untuk ini, kecuali menggunakan teknologi yang terkini.

Program 6P tidak boleh terus diserang dan diburukkan dengan niat 'politik'. Kita perlu melihat kepentingan strategik Program 6P dalam konteks keselamatan negara dan bukannya soal akhiran 'untung rugi' yang sangat kecil berbanding tujuannya yang sebenar.

Inilah masanya majikan tampil ke hadapan dan menyelesaikan masalah mereka; yang akhirnya nanti boleh menjadi masalah negara. Jabatan Imigresen mesti diberikan sokongan dalam mengisi matlamat 6P yang menjaga kepentingan negara dalam jangka masa panjang.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen tidak perlu tertekan dengan apa sahaja laporan negatif yang diberikan kepada 6P.

Keputusan telah diambil oleh kerajaan dan majoriti rakyat merasakan ia tindakan yang tepat dan berpandangan jauh. Pelaksanaan 6P wajar diteruskan tanpa perlu tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

PENULIS ialah pemerhati sosio-politik

Sumber : http : //www.utusan.com.my/ (17 Ogos 2011)

ISU BAHASA : Kita belum cinta bahasa sendiri

PENUTUP siaran berita stesen radio Klasik Nasional menuntut pendengar menggunakan bahasa kebangsaan dalam pertuturan harian kerana bahasa itu jiwa bangsa.

Rayuan itu berisi sedikit kerunsingan kerana sebelum ini pun pelbagai slogan kita laungkan menuntut masyarakat mengguna dan memperkasa bahasa sendiri daripada berkiblatkan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.

Malangnya, masih ramai antara kita mendewa-dewakan bahasa Inggeris sehingga di kampung pun orang Melayu sudah bercakap Inggeris sesama Melayu sedangkan kita kaya dengan kosa kata bahasa sendiri, malah ada antara kita yang tidak tahu semuanya makna dan untuk menggunakan bahasa kita.

Sikap itu menunjukkan kita memperlekeh bahasa sendiri dan bagaimana kita mampu mengetengahkan bahasa kita ke peringkat antarabangsa kalau kita sendiri malas atau memandang rendah kepada bahasa sendiri.

Pelbagai kempen diadakan oleh pihak pemerintah melalui media massa dan slogan dapat ditemukan seperti ‘Cintailah Bahasa Kita’, ‘Bahasa Jiwa bangsa’, diharap tidak tinggal sebagai slogan saja tetapi usaha untuk memperkemas serta merealisasikan slogan itu patut disertakan dengan tindakan bersepadu.

Apa yang dapat kita lihat, di sekolah kita sudah mempunyai ‘minggu’ atau ‘bulan bahasa’ tetapi di manakah silapnya sehingga kita tidak dapat melahirkan generasi yang benar-benar sayang dengan bahasa sendiri, menggunakan bahasa sendiri tanpa segan silu.

Apakah pengisian sebenar ‘minggu’ atau ‘bulan bahasa’ di sekolah sehingga pelbagai gaya bahasa diguna pakai oleh pelajar sehingga menjejaskan imej Bahasa Kebangsaan.

Di sekolah, pelajar Melayu gemar menggunakan bahasa pasar, bahasa rekaan mereka sendiri sedangkan mereka inilah yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa sendiri.

Jika kita toleh kepada rancangan televisyen membabitkan temubual dengan remaja, yang mereka gunakan bahasa pasar dan bahasa ciptaan mereka yang sukar difahami golongan dewasa.

Untuk mengembalikan kegemilangan dan martabat bahasa Malaysia, kesedaran tinggi amat penting bagi setiap warga negara terutamanya masyarakat Melayu sama ada di peringkat rendah, pertengahan dan atasan bagi memastikan bahasa kita berada di tahap sewajarnya.

Pelbagai kempen susulan perlu mengekori kempen yang telah sedia ada dan mesti juga disertai dengan usaha meyakinkan khalayak terhadap bahasa kebangsaan supaya ia diguna pakai dan dipercayai keberkesanannya.

Selama ini, kita nampak subjek bahasa Malaysia (dulu bahasa Melayu), di sekolah belum cukup memberi keyakinan kepada masyarakat menggunakan bahasa berkenaan sebagai bahasa komunikasi secara keseluruhannya kerana ramai yang mempelajarinya hanya untuk lulus peperiksaan dengan tujuan menjawat jawatan yang mensyaratkan lulus mata pelajaran terbabit.

Di papan tanda kedai, sudah banyak kali diperkatakan mengenai kesalahan bahasa termasuklah papan tanda yang mengetepikan bahasa kebangsaan. Malah, percubaan membuang perkataan bahasa Malaysia di papan tanda pernah dicuba oleh pihak-pihak tertentu.

Masalah juga timbul apabila golongan elit Melayu di bandar lebih banyak bercakap bahasa Inggeris sesama bangsa daripada menggunakan bahasa sendiri. Di samping menggunakan bahasa rojak yang bercampur-campur ‘I’ dan ‘you’ dan pelbagai lagi, persepsi orang asing kepada kita mudah saja iaitu kita sebagai negara bekas tanah jajahan masih terjajah dari segi bahasa, pemikiran dan kebanyakan aspek hidup lain.

Mustahil golongan muda Cina dan India tidak boleh bercakap bahasa Malaysia kerana di sekolah mereka sudah diajar dengan bahasa tersebut malah ada antara mereka lebih pandai berbahasa Malaysia daripada orang Melayu.

Sikap orang Melayu yang awal-awal lagi mendidik bangsa asing bercakap Inggeris memburukkan keadaan. Maka oleh itu, tidak hairanlah dalam pelbagai urusan surat-menyurat sesetengah bank, syarikat pemaju perumahan dan sebagainya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Tidak ketinggalan juga sikap pakar bahasa yang sering menukar itu dan ini dalam bahasa Malaysia merumitkan keadaan. Tidak hairanlah nama bahasa kita sendiri sudah ditukar beberapa kali, sekejap ‘bahasa Melayu’, sekejap ‘bahasa Malaysia’ dan tidak mustahil suatu masa nanti, akan digunakan semula ‘bahasa Melayu’.

Orang asing melihat kita tidak mempunyai identiti dalam bahasa apatah lagi orang kita. Inilah antara masalah yang menunjangi bahasa kita dan nasib masa depannya kerana keyakinan kita sendiri terhadap bahasa ibunda tidaklah menebal.

Kita tidak tahu nasib bahasa kita sepuluh atau dua puluh tahun akan datang. Adakah bahasa kita akan lebih teruk dicampur-aduk dengan bahasa asing atau sebaliknya bergantung kepada generasi sekarang mendidik, memandu arah dan meletakkan bahasa di peringkat sewajarnya.

Soalnya, sekarang pun ramai yang menganggap bahasa kita sudah terpinggir. Jika tidak diwajibkan mata pelajaran bahasa Malaysia di sekolah, sudah lama bahasa kita tinggal sebagai sejarah.

Bahasa kita sudah dikenali dan dipertuturkan dengan meluas sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka sebagai lingua franca yang menyatukan pelbagai bangsa pada zaman itu.

Sehingga kini, bahasa tetap memainkan peranan yang sama iaitu ke arah membentuk dan memperkukuh perpaduan kaum di negara kita yang dihuni oleh pelbagai bangsa. Jika tidak menerusi bahasa yang sama, kehidupan dan aktiviti masyarakat kelihatan akan berkelompok, berpuak-puak dan tidak akan mencapai keharmonian seperti yang diharap-harapkan.

James T Collins dalam bukunya ‘Bahasa Melayu Bahasa Dunia’, terjemahan Alma Evita Almanar, 2005, antara lain menulis bahawa Reid (1988) menyimpulkan kedudukan bahasa Melayu pada abad Perdagangan sebagai bahasa yang menjadi alat perhubungan kerana masyarakatnya berbual menggunakan bahasa Melayu, walaupun mereka berasal dari pelbagai negara termasuk Filipina, Cina, India dan sebagainya. Mereka menjalankan urusan perniagaan dalam bahasa Melayu di pelabuhan.

Kesimpulannya, bahasa kita sudah mantap penggunaannya sejak zaman berzaman, cuma kita sendiri yang mampu meneruskannya jika kita benar-benar sayang akan bahasa kita.

Penulis ialah seorang guru

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sistem peperiksaan mesti fokus kemenjadian murid

PENGETAHUAN yang diperoleh daripada ibu bapa, guru dan pakar serta daripada buku dan media biasanya boleh diterima sebagai betul. Sumber pengetahuan seperti ini dikenali sebagai autoriti dan ia mempunyai kebaikan terutama dari segi mudah dan cepat mendapatkan pengetahuan.

Bagaimanapun, terdapat batasan tertentu sebab kepakaran seseorang itu mungkin lebih rendah daripada apa yang dijangkakan. Mereka mungkin memberi maklumat atau pengetahuan yang salah sebab terdapat juga pakar yang mempunyai tujuan tertentu yang tidak profesional dengan sengaja memberi maklumat yang salah untuk mengembangkan idea yang bias.

Kepakaran seorang guru sekolah tidak sama dengan pengetahuan seorang peguam, jurutera atau pegawai perubatan. Guru mempunyai pertimbangan sosial yang lebih konkrit untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Indikator penerimaan ilmu dapat diukur melalui perubahan tingkah laku, atau lebih dikenali sebagai kemenjadian murid dan proses ini berterusan hingga ke akhir persekolahan.

Kerjaya guru kini tersepit antara menyampaikan ilmu dan mencari kecemerlangan prestasi. Guru terarah untuk memilih akibat perubahan sistem penilaian terhadap kecemerlangan dan kepakaran serta kemenjadian individu yang diajar. Ini bersangkut paut dengan proses kecemerlangan guru dan kenaikan pangkat.

Umum tahu bahawa prestasi sekolah diukur melalui pencapaian akademik murid dalam peperiksaan awam yang menuntut guru memberi lebih penekanan terhadap persediaan murid untuk menghadapi peperiksaan. Dengan itu, proses penyampaian ilmu sedikit terabai disebabkan guru lebih terarah untuk mengajar kaedah menjawab soalan, latih tubi, membincangkan soalan dan meramal topik untuk peperiksaan.

Kita berharap sistem peperiksaan di sekolah lebih fokus kepada perkara-perkara kemenjadian murid yang diajar oleh guru. Ini merangkumi tiga aspek penting yang menjadi domain utama pembelajaran iaitu, ilmu pengetahuan, kemahiran sosial dan mengamalkan nilai murni dalam kehidupan. Matlamat akhir kelak adalah membentuk masyarakat Malaysia yang lebih toleran, menghormati orang lain dan berilmu pengetahuan.

MOHD ASRAN AMISAH,

Kajang, Selangor.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 15 Ogos 2011

ISU SOSIAL : Memerangi kemalangan jalan raya

DATUK ABDUL RAHIM BAKRI

Timbalan Menteri Pengangkutan

SEMPENA menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, sekali lagi akan ada usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kesedaran peri pentingnya keselamatan di jalan raya bagi mengelak kemalangan.

Tragedi kemalangan melibatkan pengangkutan awam sering mendapat liputan media dan menimbulkan reaksi orang ramai yang paling banyak. Ini mungkin kerana ia kematian berkelompok.

Namun pada hakikatnya jika dilihat dari segi statistik, kematian melibatkan pengangkutan awam adalah jumlah terendah sekali - berbanding kenderaan pelbagai jenis lain khususnya motosikal.

Pada 2010, misalnya kematian di jalan raya berjumlah 6,872 orang dan daripada jumlah itu, kematian pengangkutan awam melibatkan bas hanya 77 orang iaitu lebih kurang 1.1 peratus (%) berbanding kereta 20.7% (1,421 orang) dan yang paling tertinggi sekali adalah penunggang dan pembonceng motosikal iaitu 4,036 kematian atau lebih kurang 58.7%. Oleh itu penggunaan kenderaan awam boleh menjamin keselamatan yang lebih secara perbandingan.

Setiap hari secara purata 18 orang mati di jalan raya, dan setiap 1 jam 20 minit juga ada seorang mati akibat kemalangan maut. Manakala setiap hari secara purata sekurang-kurangnya 11 orang mati melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Kos sosial bagi kemalangan yang berlaku (melibatkan kos perubatan, kos sebagai orang kurang upaya dan lain-lain) dianggarkan RM9 bilion setiap tahun. Persatuan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) menganggarkan hampir 300,000 orang menjadi anak yatim di negara ini berkait dengan kemalangan jalan raya.

Secara perbandingan Malaysia berada di tempat ke-47 daripada 174 negara menurut sumber Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). China diberitakan mencatat kematian seramai 120,000 orang setahun dan India 98,000 orang.

Apa yang membimbangkan kemalangan di jalan raya berkembang pesat mengikut pertambahan kenderaan. Di negara kita, ketika ini terdapat 20 juta kenderaan berdaftar dan pemandu berlesen ada 12.1 juta. Setiap bulan kereta bertambah 70,000 sehingga 80,000 dan setiap tahun dianggarkan 1 juta kenderaan berdaftar bertambah di jalan raya.

Jalan-jalan yang dibina juga bertambah setiap tahun. Setakat ini terdapat 27 jalan konsesi dan difahamkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 ini akan ada 7 batang lebuh raya lagi akan dibina. Ini tidak termasuk jalan negeri dan persekutuan yang dibina di seluruh negara.

Peningkatan angka-angka ini akan menjadikan jalan-jalan dan lebuh raya kita sebagai landasan maut jika tidak ada pelbagai pencegahan dibuat untuk mengatasi masalah ini.

Atas sebab itu kerajaan melaksanakan pelbagai pendekatan holistik danpencegahan bagi menangani permasalahan ini.

Pendekatan ini tidak akan berjaya selagi tidak ada sokongan dari setiap golongan masyarakat sama ada pemimpin keluarga, pemimpin masyarakat, parti politik, NGO, badan korporat dan kerajaan. Ini adalah sesuai dengan slogan "Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama" dan "Kemalangan tidak mengenal sesiapa".

Kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya hanyalah bertindak sebagai pemudah cara. Mereka boleh mewujudkan pelbagai pendekatan dan strategi tetapi tanpa kesedaran di kalangan rakyat dan sokongan semua golongan tidak mungkin pendekatan itu mencapai kejayaan.

Berdasarkan kajian Malaysian Institute of Road Safety (MIROS) beberapa strategi telah dikenal pasti yang perlu dilaksanakan. Di antaranya ialah strategi 4E's iaitu melibatkan Education (pendidikan) yang menjurus ke arah penambahbaikan sikap pemandu yang menjadi punca utama kemalangan iaitu menurut kajian MIROS berjumlah 67%.

Oleh itu penambahbaikan sikap menjadi lebih berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab akan diberikan penekanan dalam intervensi tersebut.

Strategi pendidikan jangka pendek dan berterusan ialah melalui kempen dan advokasi. Ia perlu dilaksana melalui saluran pelbagai media dan community based programme.

Ia adalah program berterusan dengan bantuan media massa, NGO seperti Road Safety Marshall, Majlis Keselamatan Jalan Raya, Persatuan Permotoran Malaysia (AAM), Malaysian United For Road Safety.

Badan organisasi korporat yang prihatin turut terlibat misalnya melalui badan korporat Shell, Petronas yang melibatkan kempen traffic game bagi pelajar sekolah. Kumpulan Genting turut menyumbangkan berjuta-juta ringgit bagi menaja kegiatan kempen keselamatan jalan raya sepertihelmet programme selain syarikat-syarikat yang memberikan grant secara 'adhoc' seperti PLUS dan beberapa pemegang konsesi lebuh raya.

Melalui kerjasama dan bantuan Kementerian Pelajaran, sekolah digalakkan menubuhkan Kelab Keselamatan Jalan Raya yang bertindak sebagai pemangkin kesedaran khususnya generasi baru. Sebagai langkah jangka panjang, Jabatan Keselamatan Jalan Raya menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan Kurikulum Keselamatan Jalan Raya di setiap sekolah di negara ini. Ia diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (subjek wajib) bagi satu jam setiap minggu.

Aspek kedua yang tidak kurang pentingnya juga ialah kejuruteraan iaitu melibatkan kejuruteraan jalan dan kejuruteraan kenderaan.

Setiap kenderaan yang masuk dan didaftar di negara ini diperlukan untuk mendapatkan Vehicle Type Approval (VTA) iaitu keperluan ujian wajib setiap model kenderaan bari bagi memenuhi Malaysian Standard (MS) dan piawaian keselamatan kenderaan.

Bagi kenderaan pengangkutan awam beberapa protokol dan piawaian antarabangsa tertentu perlu digunapakai seperti piawaian UNECE (United Nations Economic Commission of Europe) khususnya piawaian superstructure bas dan piawaian berkaitan tayar.

Kenderaan pengangkutan awam dan perdagangan diwajibkan melalui pemeriksaan teknikal Puspakom sebelum didaftar dan pemeriksaan berkala diwajibkan untuk menentukanroadworthiness sesebuah kenderaan. Ini termasuklah kenderaan offroad supaya setiap pemilik kenderaan mempunyai tanggungjawab duty of care. Kegagalan melakukannya boleh menjadikan satu kesalahan besar di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Kejuruteraan dan reka bentuk jalan juga suatu isu yang perlu ditangani. Kementerian Kerja Raya perlu mengadakan audit secara berterusan dan merawat jalan-jalan yang dianggap black spot dan memastikan reka bentuk jalan memenuhi piawaian jalan antarabangsa dan bersifat selamat.

Di seluruh negara setakat ini terdapat 566 kawasan black spot (accident prone area) yang telah dikenal pasti. Kawasan ini akan menjadi tempat di mana Automated Enforcement System (AES) dipasang sebagai langkah membendung pengguna jalan raya memandu laju di lokasi berbahaya ini.

Satu aspek yang penting ialah berkaitan penguatkuasaan. Penyelarasan di antara agensi penguatkuasa seperti PDRM, JPJ, SPAD perlu dipertingkatkan supaya ia menjadi lebih berkesan dan digeruni. Di musim perayaan ini agensi penguat kuasa sekali lagi akan menggembleng tenaga bagi melaksanakan Ops Sikap.

Saman yang dikenakan haruslah mampu dikutip dengan cekap supaya pemandu dapat merasa keperitan dan meningkatkan persepsi ditangkap. Mereka akan mendapat pengajaran sewajarnya daripada kesalahan mereka.

Diharap dengan pelaksanaan AES, kaedah saman akan menjadi lebih cekap, tepat, konsisten dan dengan sendirinya membentuk sikap pemandu lebih berhemah dan bertanggungjawab di jalan raya.

Dalam melaksanakan bermacam kaedah dan pendekatan ini, perkara paling pokok adalah bagaimana mengubah sikap pemandu. Sikaplah yang boleh mengubah pola pemanduan.

Kita berharap pada musim perayaan ini, kita dapat merayakannya dengan kegembiraan, bukan kesedihan apabila angka yang mati di jalan raya meningkat seolah-olah tiada hujungnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Natijah kebebasan atasi prinsip moral

Oleh Shamrahayu A Aziz


Rusuhan di London wajar jadi panduan dalam perjuangkan hak asasi

PERISTIWA rusuhan di London yang mengakibatkan kerugian besar harus kita beri perhatian. Mungkin pembaca sudah dilambakkan dengan penerangan mengenainya. Namun dalam ruangan ini saya mahu berkongsi pemerhatian saya mengenai rusuhan itu untuk kita sama-sama menjadikannya sama ada teladan atau sempadan.

Britain ialah negara yang sering dijadikan penanda aras hak asasi bagi sesetengah pihak di negara kita. Britain dikatakan antara negara yang begitu tinggi nilai hak asasinya. Tetapi peristiwa rusuhan menunjukkan bahawa Britain sebenarnya tidaklah begitu baik pencapaian hak asasinya. Sekiranya hak asasi dilihat dalam konteks yang luas, ia termasuklah dua hak utama, iaitu hak untuk mendapat kehidupan sempurna dan tahap sosial dan ekonomi yang dapat menyokong kehidupan asas. Malangnya perkara ini tidak begitu sempurna di sana.

Di sana ada kemiskinan dan tekanan hidup. Di sana juga ada jurang sosial dan ekonomi yang tinggi. Kedua-dua perkara pokok dalam prinsip hak asasi ini disebut-sebut sebagai punca rusuhan. Ini menunjukkan Britain masih terkial-kial dalam amalan hak asasi. Sekiranya segala keperluan atau hak asasi diambil berat dan dipenuhi, kemungkinan rusuhan tidak berlaku.

Satu perkara lain yang saya perhatikan ialah kebebasan berdemonstrasi yang diberikan kepada generasi muda menzahirkan kesan negatif kepada negara itu. Tindakan pasukan polis yang begitu berlembut pada awalnya mendorong kepada berlakunya kerosakan yang lebih besar. Jika kita bandingkan dengan tindakan kepolisan negara kita ketika demonstrasi, ia menampakkan perbezaan. Tetapi apa yang pasti ialah, kita tidak mahukan demonstrasi jalanan bertukar menjadi demonstrasi vandalisme yang sudah tentu merugikan negara seperti yang berlaku di London – bukan saja kerugian harta dan wang ringgit, tetapi reputasi negara di mata dunia. Ketegasan pihak berkuasa menyelamatkan negara, walaupun ada yang menganggap kita mencalar prinsip hak asasi.

Selain daripada hak asasi, perkara berkaitan moral juga antara perkara pokok di dalam rusuhan ini. Keruntuhan moral generasi muda nampak begitu jelas. Menerusi temu ramah yang dijalankan kita dapati bahawa angkuhnya anak muda mereka. Mereka tidak menyesali apa yang dilakukan, malah berbangga dengan perlakuan jenayah.

Mereka tidak gentar dengan pendakwaan jenayah yang akan dikenakan. Mereka bukan saja gagal menghormati masyarakat sekeliling, tetapi gagal menghormati negara mereka umumnya. Keadaan ini menunjukkan tahap kerosakan moral yang amat serius – mereka nazak dalam sarat masalah kemoralan ini.

Fenomena materialistik yang mementingkan duniawi dan kebendaan dengan meninggalkan nilai agama dan budaya juga antara faktor yang mendorong kepada rusuhan. Ada penulis Britain yang menggambarkan keadaan masyarakat negara itu yang mementingkan diri dan tamakkan harta benda.

Kita lihat kepada realiti masyarakat kita sekarang, tidakkah kita mempunyai persamaan dengan mereka? Sudah tentu pembaca sudah maklum. Kita tidak boleh mendabik dada menganggap negara kita bebas daripada gejala seperti ini. Kita tidak boleh menyatakan kita ‘maksum’ atau terpelihara daripada keadaan ini. Kita mengetahui dengan nyata, masalah sosial kita kian melata dan melarat.

Sekiranya kita berterusan memberi kebebasan dan hak asasi, pada masa sama gagal mendidik dan menjaga moral serta ditambah dengan beberapa perisa politik dan perkauman, tidak mustahil peristiwa seumpama di London boleh berlaku di sini. Saya tidak mendoakan ia berlaku, tetapi kita harus mengambil pengajarannya.

Bagi menjaga negara kita, kita hendaklah sentiasa memantau hak kebebasan. Maksud saya ialah, prinsip kebebasan kita hendak sentiasa dikawal selia oleh prinsip kemoralan, terutama perasaan menghormati masyarakat dan undang-undang. Saya sedar, ia bukanlah perkara mudah untuk kita dilakukan sekiranya kita tidak merujuk kepada perspektif kita. Kita harus membina kesedaran dan jati diri serta bersungguh-sungguh menjaga kesejahteraan dan ketenteraman negara bukan untuk orang lain, tetapi untuk kita.

Selain itu, kita juga harus menanam dan menyuburkan perasaan menghargai dan menghormati perbezaan pendapat. Pembaca juga sedar, kita sudah banyak kali menemui jalan payah. Mungkin pembaca juga tahu yang kita sudah beberapa kali gagal untuk bersetuju kepada perbezaan pendapat. Walau apa pun kepayahan dan kesukaran yang kita lalui sudah berakhir dengan selamat.

Namun ia belum tentu berakhir dengan selamat pada masa hadapan. Inilah yang harus mendorong kita membuat persediaan. Kita seharusnya pandai mengendalikan perbezaan pendapat dengan hati terbuka dan cuba mencari cara terbaik untuk umum, bukan mengambil peluang mencari kemenangan dan meraih sokongan politik.

Tidak salah sekiranya kita meniru yang baik, tetapi kita hendaklah menjauhi apa yang tidak baik menurut perspektif kita. Dalam menentukan apa yang baik dan apa yang buruk mengenai perspektif kita, kita hendaklah sentiasa mempunyai nilai kita yang tersendiri, mengikut acuan kita.


Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

JALUR GEMILANG


Merahmu bara semangat waja,

Putihmu bersih budi pekerti,

Kuning berdaulat payung negara,

Biru perpaduan kami semua.


Puncak dunia telah kautawan,

Lautan luas telah kauredah,

Membawa semangat jiwa merdeka,

Semarak jaya kami warganya.


Empat belas melintang jalurnya,

Semua negeri dalam Malaysia,

Satu suara satu semangat,

Itu sumpah warga berdaulat.


Jalur Gemilang di bawah naunganmu,

Jalur Gemilang kami semua bersatu,

Perpaduan, ketaatan,

Amalan murni rakyat Malaysia.


Jalur Gemilang megah kami terasa,

Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan,

Merah, putih, biru, kuning,

Jalur semangat kami semua.


Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah,

Jalur Gemilang.


Lagu : Pak Ngah / Lirik : Siso Kopratasa

Ahad, 14 Ogos 2011

DUA ATLET NEGARA DENGAN NASIB BERBEZA

"KEKALAHAN ini memang perit, tetapi saya sudah mencuba sedaya upaya, mungkin nasib tidak menyebelahi saya. Lin Dan memang seorang pemain yang berani mengambil risiko ketika berdepan detik genting apabila dia terus mengasak menyebabkan saya tertekan dan melakukan kesilapan. Walaupun kecewa tetapi kekalahan ini belum mematikan semangat saya untuk cuba memenangi kejuaraan berprestij ini. Jadi, saya akan cuba memenanginya pada penampilan terakhir 2013 nanti,"kata jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei yang berlinangan air mata sejurus tunduk kepada musuh tradisi, Lin Dan pada final Kejohanan Dunia di Arena Wembley, semalam.

“Dengan banyak nama besar di trofi itu, anda juga rasa mahu turut mendapatkan kejuaraan dan saya gembira memenanginya. Saya tahu hari ini (semalam) akan menjadi final yang sukar, dia tahu permainan saya dan kami selalu bermain bersama.Saya perlu kekal konsisten semasa bermain di sini, saya bergerak dengan baik, fokus dan kekal bermain cara saya,” - Nicol David, Jagoan Skuasy Negara sejurus gah menjuarai Terbuka Australia, mengalahkan musuh tradisinya, Jenny Duncalf dalam final di Canberra, semalam.