Sabtu, 30 Julai 2011

Selamat Datang Ramadan 1432 Hijrah

Ramadhan basuhlah hatiku
dengan mata air pahalamu
agar kerak-kerak dosa di hatiku
luruh tersapu aliran sungai cahaya
yang mengalir siang dan malammu...

ISU BAHASA : Memahami makna karya kreatif

oleh RAHMAN SHAARI

Tidak semua orang berkeupayaan menghasilkan karya kreatif. Daripada 1,000 kita mungkin menemukan seorang sahaja yang berbakat menghasilkan novel, skrip drama, sajak atau cerpen. Dalam kuliah penulisan kreatif, saya mendapati antara 20 pelajar, hanya seorang dua yang dapat memahami konsep karya kreatif secara dalaman. Selebihnya berpendapat, penciptaan karya kreatif sama seperti kerja memasak bihun atau nasi lemak.

Sebenarnya, orang memasak makanan (bertukang dan lain-lain) akan menghasilkan sesuatu yang tetap, tepat seperti yang dirancang. Karya kreatif berbeza daripada itu semua. Sesebuah novel oleh seseorang pengarang, berbeza daripada novel orang lain.

Novel Anwar Ridhwan dan skrip drama Zakaria Ariffin ada ciri khas keperibadian mereka. Jika kita memikirkan novel-novel karya pengarang terkenal Malaysia, dengan menyenaraikan A Samad said, Shahnon Ahmad, Arenawati dan banyak lagi, kita akan menemukan kaedah penciptaan yang pelbagai. Demikian jugalah skrip drama Usman Awang, Noordin Hassan, Syed Alwi, Ismail Kassan dan beberapa lagi. Kesemuanya mempunyai ciri-ciri khusus kepengarangan mereka. Apabila kita memasuki bidang puisi, kita akan mendapati alangkah berbezanya karya Muhammad Haji Salleh berbanding karya Latiff Mohidin. Karya Zurinah Hassan juga amat berbeza daripada karya Marsli N.O dan Siti Zainon Ismail.

Karya kreatif yang berbentuk fiksyen selalu disamakan dengan cerita. Novel ialah cerita, demikian juga cerpen dan skrip drama. Jika kita menonton filem (wayang gambar), kita akan tertumpu pada cerita juga. Oleh itu, dapat kita simpulkan, selain penyair, pengarang karya kreatif ialah pencerita.

Apakah makna karya kreatif? Jika kita fikirkan cerita, kita akan mengatakan bahawa pengarang kreatif menghasilkan kisah tidak berlaku. Bersandarkan hal ini, Lim Teck Leong, mantan Pensyarah Kesusasteraan Inggeris di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, secara bergurau mengatakan pencerita ialah pembohong. Saya membahaskan kenyataan tersebut, dengan mengatakan bahawa story telling ialah satu bidang. Apabila kita berada dalam satu bidang, kita tidak bolehlah mengatakan bidang kita itu bidang untuk berbohong.

Penghasilan karya kreatif memerlukan kemahiran. Sesebuah novel yang tebal masih dapat mengawal perwatakan, misalnya jika watak itu mempunyai ciri panas baran, atau intelektual, atau penakut, perwatakan itu dapat dikekalkan, dan jika dia dinamik, perubahannya dapat disandarkan pada sesuatu peristiwa. Watak yang dinamik akan berubah apabila berlaku sesuatu yang menyebabkan munculnya kemarahan, kejutan, keinsafan dan sebagainya.

Perwatakan, plot dan peristiwa-peristiwa yang berupa episod dalam sesebuah karya kreatif, adalah rekaan pengarang. Kebolehan mencipta kesemua itulah yang menyebabkan karya tersebut dinamakan karya kreatif. Laporan berita, penulisan sejarah dan lain-lain tidak disebut karya kreatif, kerana tumpuan pengarang ialah perkara yang sedia ada. Di situlah letaknya perbezaan asas antara penulisan kreatif dan penulisan karya nonkreatif.

Kebolehan pengarang kreatif terletak pada daya kreativitinya. Peniruan isi, plot dan gaya ialah musuh kreativiti. Ertinya, pengarang kreatif yang tulen tidak ada kecenderungan meniru. Memang terdapat unsur-unsur tertentu yang masuk ke dalam karya seseorang melalui pengaruh yang tidak disedarinya, tetapi itu tidak dapat dielakkan. Analoginya begini: Kita bercakap sekarang pun hasil pengaruh percakapan orang lain juga. Namun, kita bercakap dengan berasaskan keperibadian kita. Jadi, kita tidak meniru.

Untuk menjadi pengarang karya kreatif, seseorang penulis perlu mendapatkan ilmu yang cukup - memahami psikologi, sosiologi dan ilmu sejarah untuk melukiskan watak-watak setepat-tepatnya. Seterusnya memperkukuh bahasa kreatif dengan keupayaan menghasilkan metafora, personifikasi, enumerasia dan lain-lain.

Akhir kata, jika anda berbakat menghasilkan karya kreatif, laksanakanlah, jangan biarkan bakat anda terpendam dan terus padam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kebebasan, hak asasi agama baru dunia

Perkahwinan sejenis : Jika tidak ada langkah-langkah membendungnya, tidak mustahil budaya kuning yang dikutuk oleh Allah di dalam al-Quran ini menular ke Malaysia suatu hari nanti

ENAM ratus lima puluh sembilan (659) pasangan dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan sejenis di New York pada Ahad lalu, mencatatkan rekod jumlah perkahwinan gay dan lesbian yang terbanyak dalam sehari.

New York adalah negeri yang keenam di Amerika Syarikat (AS) yang 'menghalalkan' perkahwinan sejenis. Ini bermakna 44 negeri sahaja lagi di negara pengeskport ideologi demokrasi, kebebasan dan hak asasi itu yang belum mengiktiraf seks dan perkahwinan sejenis. Lambat-laun negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah New York. Logiknya hanya masa yang menunda pelaksanaan kebebasan yang amat bertentangan dengan syariat agama Islam ini.

Berita ini mungkin dibaca dengan senyum sinis oleh umat Islam di Malaysia. Pada akal kita, tidak mungkin budaya kuning yang Allah kutuk di dalam al-Quran itu akan menular ke Malaysia suatu hari nanti. Persoalannya adakah semua umat Islam benar-benar menjiwai dan beriman dengan al-Quran?

Senyumlah atau ketawalah. Syaitan-syaitan juga sedang ketawa. Banyak perkara yang dulu kita ketawakan sudah menjadi budaya tiruan di Malaysia. Lihatlah betapa ada kumpulan wanita Islam di Malaysia yang mahu menghapuskan poligami walaupun ia dibenarkan Allah SWT.

Apabila nilai-nilai budaya itu datangnya dari masyarakat yang lebih maju dari segi keduniaan, akan mudahlah masyarakat yang kurang maju terkeliru dan meniru.

Seks sejenis sebenarnya turut diamalkan oleh segelintir kalangan masyarakat Malaysia termasuk mereka yang dilahirkan sebagai orang Islam. Secara senyap-senyap ia mungkin merebak. Cuma mereka yang mengamalkannya masih menyorok daripada pengetahuan umum. Malu kepada manusia atau malu kepada Allah?

Bayangkan jika bilangan pengamal seks sejenis bertambah dan turut menular di kalangan yang berpengaruh. Betapa jika terdapat kalangan pemimpin politik yang juga melakukan seks sejenis. Jangan lupa bahawa Malaysia juga mengamalkan demokrasi berpilihan raya sama seperti di AS.

Lazimnya dalam pilihan raya, kemenangan ditentukan oleh puak majoriti. Tetapi di Malaysia sendiri kita dapat melihat betapa suara minoriti boleh mempengaruhi suara majoriti apabila kalangan yang bertanding dalam pilihan raya mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada puak majoriti. Akhirnya satu demi satu kehendak minoriti disuarakan secara terbuka dan lambat-laun terpaksa diterima oleh kalangan ahli politik yang memburu undi sokongan.

Peluang

Itulah yang berlaku di AS. Perebutan kuasa yang sengit antara parti Demokrat yang lebih liberal dengan parti Republikan yang konservatif akhirnya memberikan peluang kepada golongan minoriti untuk bersuara. Tuntutan mereka dipenuhi setelah bilangan mereka bertambah dan suara mereka semakin lantang melalui demonstrasi di jalan raya.

Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah! Allah telah menauliahkan nabi demi nabi dan menurunkan kitab demi kitab untuk membimbing manusia ke jalan yang betul, tetapi manusia mudah lupa, lekas tewas kepada nafsu dan tunduk kepada kemewahan dunia.

Nabi yang terakhir ialah Muhammad SAW dan kitab terakhir ialah al-Quran. Tiada lagi pembimbing manusia ke jalan yang lurus selepas Muhammad dan al-Quran. Jika kita tergelincir daripada cara hidup yang Allah perintahkan, rasailah akibatnya di dunia dan akhirat sebagaimana yang menimpa umat-umat dahulu termasuk kaum Nabi Lut, Nabi Nuh, Tsamud, Aad dan Madyan yang dinyatakan dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia sepanjang zaman.

Berhati-hatilah dengan sebarang nilai yang sedang dieksport dengan agresif dari Amerika Syarikat ke negara-negara yang penduduk majoritinya beragama Islam. Janganlah mudah terperangkap dengan apa jua yang disuakan atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka yang ghairah menerima fahaman ciptaan nafsu manusia ini juga termasuk orang-orang yang dilahirkan beragama Islam.

Yang berserban dan menuntut di Universiti Al-Azhar juga sudah terjebak sebelah kaki. Di mana iman mereka? Ini semua adalah gara-gara mahukan kejayaan di dunia, bukan kejayaan di akhirat yang Allah janjikan untuk orang-orang yang beriman. Jika ditanya, mereka akan memberikan dalil yang palsu. Disebabkan mereka ini berkelulusan tinggi agama, ramai yang turut percaya.

Dulu ramai yang tertarik dengan fahaman sosialis yang diasaskan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels, sekalipun mereka berteori bahawa agama itu adalah candu yang boleh merosakkan kehidupan manusia. Daripada teori mereka lahirlah fahaman komunisme yang menganjurkan keadilan sosial dan ekonomi sama rata untuk semua manusia.

Akhirnya komunisme runtuh dan tinggal sisa cebisan di beberapa buah negara sahaja. Bangkit pula demokrasi, kebebasan dan hak asasi. Apa bezanya fahaman komunisme yang menentang agama dengan fahaman kebebasan bawaan Amerika yang turut mengizinkan seks sejenis? Tidakkah fahaman yang dieksport dari Amerika ini juga menghancurkan institusi agama?

Fahaman

Bezanya, hanyalah dari segi pendekatan. Komunis menggunakan pendekatan yang lebih keras, tetapi fahaman kebebasan dan hak asasi dari Amerika menghancurkan agama melalui proses demokrasi yang penuh manipulasi dan penipuan. Betapa ada pemimpin-pemimpin politik yang dulu menganut fahaman sosialisme, sekarang beralih kepada demokrasi, kebebasan dan hak asasi sebagai 'agama baru' mereka.

Allah menyuruh orang-orang beriman supaya berdoa memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad juga menyuruh kita bekerja seolah-olah akan hidup selama-lamanya, tetapi beribadatlah seolah-olah akan mati esok.

Bagaimanapun, matlamat kebanyakan manusia hanyalah mencari kekayaan dan berseronok dengan kekayaan itu. Budaya kebendaan ini turut meresap ke segenap sendi kehidupan masyarakat Islam. Zahirnya majoriti umat Islam menunaikan solat dengan menghadap ke Mekah, tetapi dalam banyak hal kehidupan kita berkiblat ke Amerika dan Eropah.

Betul tidak semua yang datang dari Barat itu bertentangan dengan nilai Islam, tetapi realitinya semakin ramai umat Islam yang sudah kelabu dan tidak tahu membezakan yang benar dan tidak benar. Puncanya kerana terlalu cintakan kehidupan dan kemajuan dunia. Seolah-olah mahu hidup selama-lamanya dan tidak akan mati.

Kejayaan masyarakat dan individu tidak lagi dilihat dari segi pegangan agamanya, tetapi kekuatan ekonominya. Apabila mencapai tahap ekonomi yang dihajati, mereka menuntut pula kebebasan yang dalam beberapa hal sangat bertentangan dengan ajaran agama.

Inilah agama baru yang turut diimport ke Malaysia oleh badan-badan dakyah yang menyamar atas nama pelbagai NGO yang sebilangan besar hanya mempunyai beberapa kerat ahli. Malangnya suara mereka sangat mendapat tempat di media. Turut menyokong penyebaran agama baru ini ialah tokoh-tokoh politik yang dilahirkan beragama Islam dan mendakwa berjuang untuk Islam.

Maka senyum dan ketawalah membaca laporan perkahwinan sejenis beramai-ramai di Amerika. Dan syaitan-syaitan pun turut ketawa kerana mereka yang berserban juga sudah berjinak-jinak dengan agama baru bertopengkan kebebasan dan hak asasi ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Makna di sebalik serangan di Norway

Oleh ZIN MAHMUD

APABILA mendapat tahu satu serangan berkembar mengejutkan di Oslo, Norway pada Jumaat minggu lalu, hati tergamam.

Persoalan menerjah di kepala, adakah ia serangan daripada orang Islam? Keganasan Islam? Al-Qaeda?

Pihak berkuasa Norway pada awal kejadian memberitahu bahawa mereka masih tidak mengetahui siapa yang melakukan serangan.

Kalaulah orang Islam yang melakukan searangan itu, pastinya gelombang baru Islamofobia akan melanda Eropah. Bukan saja orang Islam di Eropah yang akan menjadi sasaran tetapi pengunjung, termasuklah para pelajar Islam yang mahu melanjutkan pelajaran di Eropah akan juga menghadapi bahananya.

Lebih-lebih lagi Norway, sebuah negara Eropah yang dianggap "baik" pada orang Islam. Tidak seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

Dalam laporan awal, Presiden Amerika, Barack Obama menyatakan kesediaan negaranya bekerjasama dengan Norway untuk memerangi keganasan.

Maksud daripada kenyataan itu ialah kejadian tersebut merupakan keganasan bersifat antarabangsa, dan hampir pasti beliau merujuk kepada keganasan Islam, khususnya Al-Qaeda.Siapa lagi?

Lebih-lebih lagi Amerika dan Eropah menjangkakan akan berlaku satu serangan besar ekoran daripada pembunuhan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.

Laporan agensi-agensi berita termasuk Reuter yang kemudian disiarkan di seluruh dunia walaupun tdiak menyebut mengenai pengganas Islam tetapi dalam beritanya dinyatakan bahawa Norway sejak akhir-akhir ini mengakui bahawa mereka bersedia menghadapi ancaman daripada serangan pengganas Islam.

Perisikan

Maknanya perisikan mereka menilai bahawa kemungkinan ada ancaman daripada keganasan Islam. Mereka menduga sebabnya ialah Norway, sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut serta dengan Amerika memerangi Afghanistan.

Tetapi apabila keesokannya diumumkan bahawa pelaku keganasan yang mengorbankan 76 orang adalah seorang warganegara Norway berkulit putih, beretnik Nordic dan beragama Kristian, Anders Behring mengejutkan semua pihak.

Tentu bagi orang Islam, pengumuman bahawa pelaku keganasan itu bukan seorang Islam adalah melegakan.

Bagi orang Barat pula, pendedahan bahawa pengganas itu bukan Islam juga menuntut mereka untuk melihat ke dalam masyarakat sendiri. Bagaimana boleh seorang Barat melakukan tindakan yang amat kejam sekali.

Membongkar

Maka apa yang didapati ialah penyerang itu walaupun pernah menganggotai parti haluan kanan, Parti Kemajuan yang anti pendatang, tetapi telah melakukan tindakan itu secara bersendirian.

Lantaran itu, mereka berusaha untuk menganggap Behring sebagai tidak siuman. Hinggakan dia pun tidaklah disebut sebagai pengganas tetapi hanya penyerang.

Hakikatnya ialah kejadian kejam di Norway itu adalah bersejarah dan penuh makna. Dalam hal ini, umat Islam di seluruh dunia tidak wajar berasa lega apatah lagi bergembira kerana penyerang itu bukan seorang Islam.

Ini kerana tindakan Behring yang walaupun mengorbankan bukan orang Islam tetapi sasarannya adalah orang Islam.

Peluru yang dimuntahkan oleh senjatanya itu adalah penuh dengan kebencian terhadap orang Islam. Behring bukan saja anti Islam tetapi membenci Islam hingga dia sanggup membunuh orang sebangsanya.

Hakikat bahawa dia bertindak bersendirian adalah lebih berbahaya. Sesiapa saja orang kulit putih di Eropah yang memiliki perasaan benci pada Islam atau Islamofobia boleh dengan tiba-tiba melakukan serangan pada sesiapapun, termasuk orang sebangsa mereka. Perlu diingat juga bahawa tujuan serangan Behring itu. Dia melakukannya untuk menyampaikan mesej secara ledakan besar supaya dunia, baik Barat mahupun Islam sedar.

Maka sasarannya kepada anak-anak muda parti pemerintah Norway, iaitu Parti Buruh juga bukanlah kebetulan. Baginya Parti Buruh yang berfahaman sosialisme demokratik atau sosial demokrat itu memberi tempat dan muka kepada pendatang Islam di Norway melalui dasar kepelbagaian budaya.

Sedangkan dia dan sebahagian kecil penduduk Norway sudah mula resah dengan kehadiran pendatang orang Islam. Mereka melihat orang Islam mengancam cara hidup dan kebudayaan mereka kerana keengganan atau kesukaran pendatang Islam berasimilasi menjadi bangsa Norway.

Walaupun tentulah rakyat Norway dan penduduk Eropah umumnya mengutuk perbuatan ganas Behring dan akan mempertahankan dasar kepelbagaian budaya, tetapi jika mesej anti-Islam ini masuk ke benak banyak orang, maka orang Islam perlu waspada.

Maka tentulah dalam perbincangan yang diadakan pada masa-masa akan datang, diselidik mengapa muncul orang seperti Behring di Norway, sebuah negara yang bukan saja aman dan makmur tetapi juga contoh kejayaan peradaban Barat.

Norway adalah salah sebuah negara Scandinavia yang mengamalkan sistem sosialisme demokratik di mana negara memberi kebajikan penuh kepada rakyatnya sepanjang hayat. Tetapi pada waktu yang sama memberi kebebasan dan bersifat terbuka. Tentulah ciri-ciri ini menepati dasar kepelbagaian budaya.

Lain-lain negara Scandinavia ialah Sweden, Finland, Denmark dan Iceland. Negara Eropah lain yang dianggap aman, makmur dan berkebajikan ialah Switzerland dan Austria.

Boleh dikatakan negara-negara ini adalah sebagai mercu kejayaan peradaban Barat. Kebajikan, kebebasan, persamaan dan keadilan yang dinikmati warganya menjadikan mereka negara unggul dunia. Dan bukannya negara-negara Barat yang besar dan terkenal seperti Amerika, Britain dan Perancis.

Kemakmuran, kebajikan dan kebaikan negara-negara inilah yang membawa kepada kehadiran orang Islam yang berhijrah ke sana.

Kesemua negara-negara itu mempunyai tradisi Kristian yang kuat. Kecuali Austria, negara-negara yang disebut itu mempunyai bendera yang tertera di atasnya lambang salib.

Namun kini, agama sudah tidak menjadi teras atau penting dalam masyarakat mereka. Umumnya mereka sudah tidak meyakini sebarang agama. Justeru jika mereka bersikap anti-Islam, ia bukanlah kerana mereka kuat memegang agama Kristian. tetapi adalah kerana mereka mahu mempertahankan cara hidup sekular dan demokratik.

Tetapi semakin besar penduduk Islam di Eropah dan bertambah tertonjolnya identiti mereka, maka Eropah akan berasa terancam. Kini pun sedang berlaku perbahasan mengenai kepelbagaian budaya dan isu pendatang.

Maka tidak hairanlah parti-parti sosialis demokrat yang mendokong kepelbagaian budaya boleh kalah pilihan raya jika sentimen ini berterusan. Sebagai ganti nanti ialah parti-parti berhaluan kanan Neo-Nazi dan Neo-Fasis yang akan menghalang kehadiran pendatang.

Jika melihat keinginan besar orang Islam hendak berhijrah ke negara-negara Barat, maka ia bermakna juga bahawa negara-negara Islam telah gagal.

Sumber : http ; //www.utusan.com.my/

Jumaat, 29 Julai 2011

ISU DEMOGRAFI : Penduduk Malaysia kini 28.3 juta


PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia kini berjumlah 28.3 juta, pertumbuhan dua peratus untuk tempoh 10 tahun lalu dengan bilangan lelaki mencecah 14.56 juta orang, iaitu lebih tinggi berbanding 13.77 juta wanita.
Data muktamad Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, pada sidang media Pemakluman Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-Ciri Asas Demografi Banci 2010 di sini, semalam.
Berdasarkan data itu, bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah 106:100. Mengikut negeri pula, Pahang mempunyai paling ramai lelaki (113), diikuti Johor (112), Negeri Sembilan (107), Sabah (107), Selangor (107), Labuan (107) dan Sarawak (106), manakala bilangan lelaki kurang daripada perempuan untuk Putrajaya (89) dan Perlis (97).

Sumber : http : //www.bharian.com.my

ISU BAHASA : Kemelut Bahasa Melayu

LEBIH separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut. Sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar? Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Jika diambil kira senario ratusan tahun lampau, malah hampir dua alaf lalu, nasib bahasa Melayu tidaklah seburuk itu. Bahasa Melayu diiktiraf bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan umum dan bahasa antarabangsa.

Begitu tingginya martabat bahasa ibunda tetapi mungkin ramai yang sudah lupa dan alpa.

Di samping menjadi bahasa ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera dan pensejarahan, bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu lebih 700 tahun dahulu juga unggul sebagai bahasa penting perhubungan diplomatik.

Justeru apabila kemampuan tinggi Bahasa Melayu kembali dipersoal selepas lebih setengah abad negara merdeka dan dasar penggunaannya seperti air laut yang pasang surut, sudah tentu isu itu meruntun hati, terutamanya pejuang bahasa seperti Prof. Dr. Awang Sariyan, Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing.

Terdapat andaian bahawa pada akhir abad ini, antara 50 peratus hingga 90 peratus daripada kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari.

Dr. Awang bagaimanapun optimis Bahasa Melayu tidak termasuk dalam andaian tersebut kerana terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu di mayapada ini.

"Namun yang paling merisaukan, kalau pun tidak pupus, Bahasa Melayu tidak berfungsi sebaik atau sewajarnya sebagai bahasa tamaddun, terutama sebagai bahasa ilmu.

"Bahasa Melayu wujud lebih sebagai bahasa pasar untuk keperluan perhubungan yang asas atau sehari-hari. Kalau jadi bahasa pasar, sedangkan Bahasa Melayu ialah bahasa negara," keluhnya.

Sejak abad ketujuh pada zaman Sriwijaya (di Sumatera), Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang bukan kecil peranannya.

Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa pentadbiran bagi Sriwijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.

Begitu tinggi kedudukan Bahasa Melayu ketika itu boleh disimpulkan melalui pelbagai dokumen dan penulisan jika mahu digarap dari sudut sejarah.

Antaranya catatan pengembara Cina, I-Ching yang juga seorang pendita Buddha mengenai pusat pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan bahasa Melayu.

I-Ching dalam misi penjelajahannya telah bermastautin selama enam bulan di Sriwijaya pada sekitar abad ketujuh.

Dr. Awang turut berkongsi pengamatan yang dibuat oleh Van Linschotten, seorang pegawai Belanda yang bertugas di Indonesia antara 1586 hingga 1592 tentang kebesaran Bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamaddun tinggi.

"Van Linschottenmenyatakan mereka yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu boleh dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu," jelasnya.

Menurut Dr. Awang, seorang ahli sejarah Belanda Francois Valentijn menulis pada awal abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di Eropah.

"Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari Bahasa Melayu.

"Sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.

"Jadi ertinya nilai orang asing, termasuk orang Barat kepada Bahasa Melayu cukup tinggi, sedang ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memandang rendah," kata Dr. Awang.

Zaman kesultanan Melayu (meliputi antaranya Melaka, Acheh, Sumatera, Pasai) sekitar abad ke-13 hingga ke-19 sesudah kedatangan agama Islam menyaksikan bahasa Melayu menjangkau puncak kegemilangan sebagai bahasa tamaddun Melayu.

Seperti kata Dr. Awang, peranan Bahasa Melayu meliputi pelbagai ranah atau bidang tamadun, baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan diplomatik.

"Jadi Bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamaddun ketika itu, apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun ke-15 ke atas, seperti Hukum Kanun Melaka yang amat terkenal itu, di samping Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Johor, Undang-undang Siak dan sebagainya," kata Dr. Awang.

Beliau merujuk kepada seorang ulama besar dari Gujerat, Nuruddin al-Raniri yang datang ke alam Melayu sekitar abad ke-16 dan dilantik sebagai mufti oleh Sultan Acheh.

"Yang menariknya Nuruddin al-Ranini ini menulis kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu walaupun dia bukan orang Melayu.

"Ini menunjukkan kekuatan Bahasa Melayu. Sesiapa sahaja yang datang ke alam Melayu perlu belajar dan menguasai Bahasa Melayu, hendak mentadbir pun dalam Bahasa Melayu, hendak berhubung dalam perdagangan pun dalam Bahasa Melayu dan hendak menjadi ulama pun dalam Bahasa Melayu," kata Dr. Awang yang pernah menyandang Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).

Kegemilangan Bahasa Melayu beransur pudar dengan penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas Tanah Melayu dan wilayah lain di alam Melayu.

Soal peminggiran Bahasa Melayu ini semakin ketara ketika penjajahan Inggeris dan nilainya diturunkan ke darjat yang rendah.

"Kalau dulu Bahasa Melayu merentas semua bidang tetapi dalam kes pendidikan, misalnya, Bahasa Melayu disamatarafkan dengan bahasa vernakular Cina dan India.

"Kurikulum untuk sekolah Melayu pun sangat terbatas dan matlamat pendidikan Inggeris untuk sekolah Melayu tidak lebih daripada menjadikan anak-anak Melayu itu lebih pandai sedikit daripada ibu bapanya sebagai petani dan nelayan. Hal ini disuratkan dalam dokumen penjajah Inggeris.

"Ada juga catatan lain yang mengatakan paling tinggi anak-anak Melayu ini cukup jika dapat menjadi kerani atau peon, itu sahaja. Tidak ada satu rancangan penjajah Inggeris hendak menjadikan sekolah Melayu sebagai batu loncatan untuk peningkatan masyarakat atau mobiliti sosial orang Melayu," kata Dr. Awang.

Jadi katanya, fasa pertama peminggiran Bahasa Melayu ialah kerana penjajahan.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu melalui Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 (Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua) menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 kemudian memperkukuh dasar itu.

Itulah dasar negara terawal yang memartabatkan Bahasa Melayu.

Dasar itu sebenarnya menjadi satu daripada asas penggubalan Akta Pendidikan 1961 dan kemudian akta itu dipinda dan diperkukuh pada tahun 1996.

Menurut Dr. Awang, Bahasa Melayu juga dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Bahasa Kebangsaan bermakna bahasa untuk semua rakyat. Ini cukup jelas dalam perlembagaan, iaitu bahasa yang digunakan bagi semua maksud rasmi, maksudnya segala urusan seperti mesyuarat, perhimpunan, surat rasmi, pekeliling, penggunaan bahasa di tempat awam dan juga dalam sistem pendidikan.

"Urusan negara meliputi pentadbiran persekutuan (kementerian, jabatan dan semua agensi kerajaan), kerajaan negeri serta pihak penguasa awam seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga badan-badan berkanun," katanya.

Jika sudah jelas kedudukan tinggi Bahasa Melayu dalam perlembagaan, lalu mengapa masih ada yang memperlekehnya?

Bagi Dr. Awang, ibu kepada masalah ini ialah apabila perlembagaan tidak dihormati atau mungkin tidak difahami, tidak dihayati dan natijahnya tidak dilaksanakan seperti sewajarnya.

"Ia tinggal sebagai dokumen bertulis sahaja sedangkan salah satu prinsip Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembagaan.

"Jadi apa ertinya Keluhuran Perlembagaan apabila pelaksanaan itu tidak menepati peruntukan perlembagaan," katanya sinis.

Jika Bahasa Melayu masih menjadi isu debat dan bahas, senario di negara-negara seperti Jerman, Jepun, China, Rusia mahu pun negara jiran terdekat Indonesia dan Thailand ternyata jauh berbeza.

Pengamatan yang dibuat pejuang bahasa ini menunjukkan mana-mana bahasa ternyata mempunya potensi untuk maju dengan syarat ada usaha untuk memajukannya.

Cuma seperti kata Dr. Awang, untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perlu dipastikan tidak ada gangguan dan dasar yang sering berubah.

"Kadang-kadang ada aspek Bahasa Melayu tinggi yang sudah mula terbudaya melalui sistem pendidikan dan penyiaran, tetapi dicantas. Contohnya sebutan bahasa baku yang dimansuhkan pada 2000, sedangkan semua bahasa yang maju memiliki satu bentuk sistem sebutan rasmi yang merentas pelbagai dialek dan ragam bahasa. Salah satu tugas DBP sendiri, seperti dalam Akta DBP ialah membakukan ejaan, istilah dan sebutannya.

"Jadi Bahasa Melayu yang digunakan, malangnya dalam sebahagian sektor rasmi seperti dalam mesyuarat dan beberapa program penyiaran (seperti wawancara) adalah Bahasa Melayu pasar untuk hubungan komunikasi biasa sahaja.

"Usaha membudayakan Bahasa Melayu tinggi atau Bahasa Melayu yang rasmi masih memerlukan lonjakan yang bersungguh-sungguh oleh semua sektor, baik pentadbiran, penyiaran, media cetak, pendidikan dan yang lain," katanya.

Dr. Awang melihat bidang pendidikan sebagai teras untuk pemajuan bahasa dan Bahasa Melayu perlu dikembalikan peranannya sebagai bahasa penghantar utama bukan sahaja di sekolah tetapi juga di institusi pengajian tinggi.

Sehingga ini, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia yang cukup jelas dasar bahasanya, sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Melayu.

Bahkan, katanya, menurut Akta Pendidikan 1996, institusi pengajian tinggi swasta juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Beliau turut menekankan supaya pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu kembali dilaksanakan seperti yang diuar-uarkan tanpa sebarang penangguhan.

Adakah Bahasa Melayu akan hanya layak dikenal sebagai bahasa pasar? Adakah kegemilangan bahasa tamadun Melayu dan negara ini akan tinggal sekadar kenang-kenangan? Setakat gah di atas lembaran dokumen dasar atau gemilang dalam lipatan sejarah? - BERNAMA

ISU ANTARABANGSA : Legasi pembunuhan rambang

PEMBUNUHAN rambang atas agenda peribadi, agama mahupun politik bukannya sesuatu yang baru atau begitu mengejutkan lagi bagi masyarakat dunia.

Suatu ketika dahulu mungkin ramai tertanya-tanya kenapa sesuatu yang begitu dahsyat boleh berlaku tetapi kini, soalan itu telah berubah kepada 'mengapa ia masih berlaku'.

Setiap tempoh tenang selepas satu kejadian tembakan rambang atau pengeboman oleh 'pengganas' tidak akan bertahan lama sebelum satu lagi kejadian serupa berulang.

Ini terbukti apabila bandar Oslo dan pulau Utoeya, Norway menjadi tapak tumpahan darah 76 mangsa di tangan seorang pelampau Kristian yang mahu menghapuskan masyarakat imigran dan Islam di Eropah.

Anders Behring Breivik, 32, seorang anti-Islam, berhaluan kanan yang tiada hubungan dengan kumpulan pelampau atau jenayah berat sebelum ini, bertindak mengebom pejabat kerajaan di Oslo sebelum melepaskan tembakan rambang di kem belia pulau Utoeya.

Kebanyakan mangsa yang maut atau cedera adalah golongan imigran muda atau remaja, anak imigran yang ingin mencari kehidupan lebih baik di negara itu. Turut terbunuh, abang tiri Puteri Norway, seorang anggota polis tidak bertugas yang cuba melindungi orang ramai dan menahan suspek ketika dia melepaskan tembakan rambang di pulau tersebut.

Suspek yang mengakui bertindak demi menghalang Eropah diambil alih orang Islam, dilaporkan mahu membunuh bekas perdana menteri Norway, Gro Harlem Brundtland tetapi terlewat beberapa minit selepas beliau beredar dari pulau tersebut.

Breivik dilaporkan sering melahirkan pandangan haluan kanan dan anti-Islam di Internet dan memiliki beberapa senjata api berdaftar serta menyertai sebuah kelab senjata api.

Fahaman pelampau suspek dapat dikaitkan dengan kejutan akibat kebanjiran pendatang asing ke Eropah dari benua Afrika, Pakistan dan Bangladesh yang ramai beragama Islam.

Sebilangan rakyat Eropah, sama ada individu atau kumpulan, melihat kebanjiran ini satu gerakan mengislamkan Eropah dan menghalangnya.

Sikap sebahagian pendatang membawa cara hidup yang tidak boleh diterima warga Eropah turut meluaskan jurang dan menghakis penerimaan penduduk tempatan.

Ditambah masalah Islamofobia yang melanda dunia dan media Barat yang prejudis, tidak mengejutkan media baru termasuk akhbar di United Kingdom dari awal lagi menuduh serangan itu dilakukan 'pengganas Islam'.

Hakikatnya, pembunuhan rambang melalui tembakan, bom atau senjata lain yang dilakukan mana-mana individu atau kumpulan merupakan tragedi yang tiada kaitan dengan mana-mana agama, bangsa atau ideologi.

Pembunuhan sedemikian banyak melibatkan fahaman peribadi dan situasi minda individu atau sekumpulan kecil manusia yang mengambil pendekatan ekstremis pelampau yang taksub kepada sesuatu agenda atau perjuangan.

Lebih malang jika mereka yang menyerang itu sebenarnya mangsa keadaan seperti mangsa buli di sekolah atau golongan tertindas di tempat kerja yang membalas dendam menggunakan senjata api.

Menurut maklumat dikumpulkan Reuters, 10 kes pembunuhan rambang paling teruk selepas serangan pengganas ke atas menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 direkodkan berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk serangan di Norway itu.

Beberapa bulan sebelum kejadian di Oslo, Tristan van der Vlis melepaskan tembakan rambang di pusat beli-belah Ridderhof, Alphen aan den Rijn, Belanda pada 9 April lalu, membunuh enam orang sebelum suspek membunuh diri.

Pada 30 Ogos tahun lalu, seorang lelaki bersenjata menembak mati enam sekeluarga bersama seorang lagi wanita di Bratislava, Slovakia, mencederakan 14 yang lain sebelum dia membunuh diri.

Dua bulan sebelum itu, Derrick Bird melepaskan tembakan rambang di beberapa pekan sekitar wilayah luar bandar Cumbria, Britain pada 2 Jun 2010 menyebabkan 12 terbunuh dan 11 cedera sebelum membunuh diri.

Senarai kejadian pembunuhan rambang itu sangat panjang jika dilihat daripada rekod paling awal selepas senjata api mudah diperoleh orang awam.

Barat, Eropah dan dunia perlu mengakui hakikat kejadian begini bukan pelik dan dijangka terus berlaku jika gerakan pembunuh gagal dipintas lebih awal.

Kejadian di Norway mungkin dapat dihalang jika gerakan ekstremis dan fahaman pelampau dibendung dari awal, bukannya dibiar merebak atas dasar 'hak asasi individu'.

Seperti juga serangan di sekolah, universiti mahupun tempat kerja, sasaran perlu diberi kepada mencari punca kejadian, bukannya menuding jari kepada 'pengganas Islam' semata-mata.

Jika titik kesederhanaan dan toleransi gagal dicapai, bukan sahaja Barat malahan seluruh dunia akan digegarkan dengan lebih banyak tembakan oleh mereka yang hilang akal dan hilang sabar kelak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/(30/7)

Khamis, 28 Julai 2011

ISU ANTARABANGSA : PBB Perlu Tubuh Badan Alam Sekitar Dunia

Oleh Soraya Jamal

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Sebuah pertubuhan Alam Sekitar Sedunia patut diwujudkan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memandangkan aspek pengurusan aspek alam sekitar pada masa kini gagal mencapai apa yang diharapkan.

Sejak adanya Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) pada tahun 1972, cabarannya telah membesar daripada sistem yang ada, kata Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid.

Katanya kerangka pentadbiran alam sekitar yang ada sekarang tidak lagi sesuai dengan kepentingan antarabangsa kerana ia gagal menangani isu alam sekitar yang muncul sejak beberapa dekad yang lampau.

"Kini isu alam sekitar antarabangsa dikawal oleh segelintir institusi di bawah PBB. Terdapat lebih daripada 40 agensi PBB yang terlibat dengan isu alam sekitar," kata Dr Zakri.

Kata beliau hanya pengubahsuaian besar dan ketara dalam sistem pentadbiran boleh menjayakan reformasi yang perlu bagi negara di dunia menikmati alam sekitar yang lestari.

SISTEM RUMIT

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, komuniti antarabangsa menggunapakai banyak perjanjian multilateral mengenai alam sekitar dengan menggunakan sekretariat dan pentadbiran masing-masing.

Pada bengkel dua hari di sini baru-baru ini, Dr Zakri berkata dalam lima tahun kebelakangan ini hanya sebahagian kecil daripada persetujuan yang dicapai telah mengeluarkan 5,000 rumusan yang sepatutnya diikuti oleh negara-negara yang terlibat.

Bengkel itu diadakan atas usaha Asean, UNEP, Pejabat Penasihat Sains kepada Perdana Menteri serta Universiti Sains Malaysia (USM). Ia adalah sebahagian daripada persiapan bagi Persidangan PBB mengenai Pembangunan Lestari di Rio De Janeiro (Rio+20) tahun depan.

"Sistem itu telah menjadi begitu rumit serta hampir mustahil bagi negara-negara membangun melibatkan diri dengan cara yang bermakna," kata beliau.

Negara yang mampu melibatkan diri dengan sistem ini adalah negara yang kaya manakala negara yang miskin mula menjauhkan diri.

"Senario ini memerlukan perubahan. Negara membangun perlu memikirkan keperluan mereka terhadap alam sekitar dan meninggalkan stigma tentang agenda alam sekitar hanya untuk negara yang kaya," terang Dr Zakri.

PERTUBUHAN GLOBAL

Sejarah menunjukkan kebanyakan pertubuhan global masa kini diwujudkan serta diarahkan oleh dunia maju manakala negara membangun hanya sekadar berupaya melihat proses ini berlaku.

Tetapi isu alam sekitar merupakan 'nadi' pembangunan serta mata pencarian bagi kita semua. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan ekonomi yang berasaskan pasaran khusus dalam teknologi hijau, barangan dan perkhidmatan hijau - satu peluang pasaran yang mula disedari oleh Malaysia dan negara Asia yang lain.

"Kita memerlukan WEO yang boleh menjana idea baru, berkongsi pengalaman serta membantu negara-negara membuat transisi kepada ekonomi hijau. Kita perlu membantu negara termiskin menjadi rakan kongsi dalam ekonomi hijau dan tidak menjadikan laluan perkembangan selari, satu bagi yang 'ada' dan satu lagi bagi yang 'tiada'," kata Dr Zakri.

BADAN DEMOKRATIK

Pendekatan ketika ini perlu diubah terutama dalam mencorak semula pentadbiran alam sekitar yang baru.

Ia perlu mempunyai fokus pembangunan dalam menyahut keperluan negara-negara yang sedang membangun, kata Dr Zakri.

Maknanya WEO perlu ada keutamaan tertentu dan ketara.

"Ia hendaklah merupakan sebuah badan yang demokratik dengan keahlian universal di mana setiap negara mempunyai satu undi dan tidak seperti undi yang berat sebelah contohnya dalam agensi bantuan kewangan di mana negara yang menyumbang bantuan kewangan mempunyai lebih undi dibandingkan dengan negara yang menerima bantuan.

Negara sedang membangun memerlukan sokongan pelaksanaan terutama dari segi bantuan teknikal selain kapasiti bangunan dan sokongan teknologi.

Oleh itu WEO perlu mempunyai bahagian pelaksanaan bagi memenuhi keperluan negara membangun. Pada masa sekarang sokongan implementasi gagal kerana ketirisan sistem PBB disebabkan tiada agensi yang bertanggungjawab dalam skop alam sekitar dan ini akhirnya akan merugikan negara membangun.

Ini disebabkan kerana dalam banyak perjanjian multilateral terdapat janji yang diberi tetapi hanya sedikit mekanisme dan tiada institusi yang nyata bagi membantu negara-negara melaksanakan komitmen mereka.

TIDAK SEPERTI WTO

Bagaimanapun syor menubuhkan WEO sebagai penggerak utama usaha global mengenai alam sekitar mungkin menjadi isu sensitif bagi beberapa negara, kata Dr Zakri.

"Perkataan 'dunia' dan 'organisasi', boleh mendatangkan bantahan daripada perwakilan negara membangun kerana mereka akan menganggap ia sama seperti Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO)," kata beliau.

Realitinya adalah memang ada keperluan yang serius terhadap penubuhan WEO yang pada hakikatnya tidak menyamai WTO. Kebanyakan agensi khusus PBB sebenarnya tidak mempunyai peranan seperti WTO, kata beliau.

Kata Dr Zakri organisasi seperti WHO, FAO dan Unesco adalah pertubuhan yang mempunyai fungsi konsultatif dan fasilitatif selain membantu negara-negara terhadap komitmen global mereka.

Pertubuhan-pertubuhan ini bukanlah bercorak kawalan seperti WTO yang menetapkan piawai dan mengurangkan halangan bagi perdagangan. Negara rantau Asean serta negara membangun perlu melibatkan diri dalam perbincangan dan merumuskan syor yang merangkumi keperluan mereka kepada Rio+20.

"Jika tidak, kita akan mempunyai satu lagi badan global yang diwujudkan bukan untuk keperluan kita atau lebih buruk, meminggirkan negara yang membangun," kata Dr Zakri.

-- BERNAMA

Rabu, 27 Julai 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kesan sosial apabila pelajar perempuan atasi lelaki

Oleh Rejal Arbee

Institusi kekeluargaan mampu porak-peranda jika masalah tak ditangani


PENGAKUAN Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran bahawa nisbah songsang antara pelajar perempuan dan lelaki di institut pengajian tinggi awam (IPTA) perlu ditangani, diharapkan bukan usaha menyekat kemasukan pelajar perempuan yang layak untuk memberi laluan kepada pelajar lelaki yang lebih lemah.

Usaha menangani nisbah 65 peratus pelajar perempuan dan hanya 35 peratus pelajar lelaki sekarang kepada kedudukan lebih berimbang seharusnya dilakukan dengan meningkatkan keupayaan pelajar lelaki.

Antaranya ialah dengan mengatasi masalah keciciran pelajar lelaki yang lebih ketara berbanding pelajar perempuan bermula daripada kemasukan ke sekolah menengah, kemudian memasuki Tingkatan Empat. Usaha mencari jalan kenapa berlakunya keadaan demikian seharusnya ditekankan bukannya dengan menyekat kemasukan pelajar perempuan ke universiti.


Diakui nisbah songsang itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak harus dipertahankan kiranya negara dan rakyat dikehendaki maju dalam suasana baik tanpa menimbulkan masalah sosial pula.

Nisbah tidak seimbang antara lelaki dan perempuan ini bermula pada 1990 lagi apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan sudah sama rata dengan jumlah pelajar lelaki. Sejak itu kemasukan pelajar perempuan berterusan meningkat hingga pada 2005 jumlah nisbahnya sudah mencecah 63:37. Dikatakan juga nisbah ini adalah lebih bagi orang Melayu yang sudah menjangkau kepada 70:30 hingga menimbulkan persoalan di mana perginya pelajar atau pemuda Melayu.

Apakah benar ramai pemuda Melayu merengkok di pusat serenti sebagai satu daripada puncanya tidak pula diketahui kerana tidak ada statistik yang boleh memberikan gambaran sebenar. Tetapi yang tidak boleh dinafikan ialah lebih ramai pemuda Melayu yang terjerumus dengan pengambilan dadah daripada pemuda bangsa lain.

Kenapa perkara begini boleh berlaku tidak pula ada jawapannya. Mungkin sudah sampai masanya pihak universiti di negara ini mengadakan suatu kaji selidik menyeluruh untuk mengetahui kedudukan sebenar mengenai penagihan dadah di kalangan pemuda Melayu serta kenapa berlaku keciciran ketara di kalangan pelajar Melayu lelaki di sekolah.

Universiti juga perlu melakukan penyelidikan terhadap implikasi sosial berikutan dengan fenomena lebih ramai graduan wanita setiap tahun berbanding graduan lelaki.

Sememangnya pada zahirnya tidak menjadi kesalahan jika terdapat lebih ramai graduan wanita. Malah kita harus mengucap syabas kepada kaum Hawa kerana berjaya dalam pelajaran hingga mendominasi kemasukan ke universiti. Mereka sememangnya mempunyai hak untuk mendapatkan pelajaran setinggi mungkin.

Kita juga harus menyalahkan kaum lelaki yang diketahui bukan saja tidak fokus terhadap pelajaran kerana banyak sangat perkara yang mengalihkan fokus mereka hingga mengabaikan pelajaran dalam kelas. Dan tentunya mereka ini tidak bersedia menghadapi peperiksaan berbanding pelajar perempuan.

Yang menjadi persoalan ialah implikasi fenomena lebihan graduan wanita daripada lelaki setiap tahun kebelakangan ini terhadap kedudukan sosial kiranya berpanjangan bertahun-tahun.

Penulis tidak berhajat mempersoalkan kegigihan pelajar perempuan yang sememangnya diketahui amat tekun dan fokus dalam pelajaran hingga membawa kepada kedudukan songsang ini.

Apakah tidak mungkin akan berlaku keadaan yang mana semakin ramai gadis memasuki alam perkahwinan lebih lambat. Itu pun kiranya graduan perempuan itu boleh mendapat pasangan. Jika pasangannya setaraf mungkin tidak timbul banyak kerenah, tetapi dalam keadaan isteri memegang jawatan lebih tinggi daripada suami apa pula implikasinya.

Apa implikasi jangka panjang kiranya wujud keadaan demikian yang mana ramai isteri yang menjadi ‘main bread winner’ membawa balik pendapatan lebih daripada suami. Maknanya keluarga akan lebih bergantung kepada pendapatan isteri. Apakah ada implikasinya terhadap perkembangan kekeluargaan apabila isteri mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerjanya hingga boleh menjejaskan tanggung jawabnya kepada keluarga?

Tuhan menjadikan manusia lelaki dan perempuan dengan naluri semula jadi yang tidak mungkin boleh diketepikan atau diabaikan. Maka naluri kewanitaan bagi seseorang perempuan tidak akan hilang setinggi mana pun berjaya dalam kerjaya.

Seorang ibu tetap memberi tumpuan kepada keluarganya dan kehendak anak. Umum mengetahui apabila seseorang anak jatuh sakit yang dihubungi ialah ibunya bukan bapa. Demikian juga dengan kehendak sekolah dan kerja rumah. Yang sering bertanya khabar mengenai kerja sekolah atau membimbing anak mengenai kerja rumah bagi sekolah mereka ialah ibu.

Dalam suasana yang mana ibu mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerja berbanding ayah, ibu tentunya akan menghadapi tekanan lebih. Demikian juga dengan persediaan makanan harian untuk keluarga. Isteri mungkin mempunyai tanggungjawab mendesak di tempat kerja kerana memegang jawatan kanan berbanding suami yang mungkin hanya seorang pekerja biasa.

Maka itu isteri sudah terpaksa menjadi ‘superwoman’ untuk memikul kehendak kerjayanya dan keluarganya serta suami.

Sememangnya suami seharusnya boleh memberi bantuan lebih atau mengambil alih tanggungjawab keluarga, tetapi ini adalah suatu yang tidak akan dapat ditanggung suami sebaik mana yang boleh diharapkan daripada isteri.

Maknanya institusi kekeluargaan akan menghadapi suatu tekanan yang mungkin tidak dapat ditangani dengan baik. Jadi apa penyelesaiannya?


Penulis ialah Felo Kanan UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Sastera siber pemusnah industri kreatif?

Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com

Dakwaan berkenaan dianggap tidak semestinya benar

OLEH sebab ruang penulisan karya sastera terhad dalam media dan penerbitan arus perdana, semakin ramai pengkarya sastera terutama yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini mengambil kesempatan menerbitkan karya mereka di alam siber.

Laman seperti www.eSastera.com dan www.penulisan2u.com adalah antara laman sesawang yang kerap digunakan oleh pengkarya siber pada masa ini untuk menerbitkan karya mereka bagi tatapan peminat.


Kedua-dua laman sesawang terbabit menyediakan gelanggang pengkarya siber untuk menerbitkan karya sastera seperti puisi, sajak, pantun, syair dan cerpen dengan mudah, sebaik mendaftarkan nama mereka.

Selain ruangan penerbitan sastera yang terhad, pengkarya siber juga menjadikan laman sesawang bagi menerbitkan karya kerana ia menyediakan perkhidmatan percuma, mudah dan pantas bagi sesebuah karya itu dibaca pembaca.

Tidak dapat dinafikan juga, sesebuah karya sastera yang diterbitkan di alam siber akan dapat dicapai lebih ramai pembaca kerana pada masa kini, kemudahan internet boleh didapati secara meluas dan digunakan oleh sesiapa saja.

Namun, tidak seperti penerbitan karya sastera terbitan media arus perdana, hasil kerja pengkarya siber kebanyakannya tidak melalui proses suntingan serta kawalan kualiti kerana cara penerbitan menerusi internet menyukarkan perkara itu untuk dilaksanakan.

Hal ini menimbulkan persoalan sama ada penerbitan sastera elektronik oleh pengkarya siber sebenarnya pemusnah atau pembina industri sastera di negara ini kerana menerusi internet, ia boleh diterbitkan sesuka hati dalam jumlah yang banyak tanpa mengira mutu.

Penulis yang pernah terbabit dalam penulisan karya sastera dalam media arus perdana dan internet, Shamsudin Othman, mengakui sastera elektronik boleh menjadi pemusnah kepada industri sastera jika penulis yang terbabit, sebagai contoh, menolak unsur moral dalam karya mereka.

“Perkara ini sebenarnya bergantung kepada penulis itu sendiri kerana sesetengah laman sesawang memberi kebebasan sepenuhnya kepada penulis,” katanya ketika diminta Sastera mengulas perkara terbabit.

Shamsudin bagaimanapun berkata, laman sesawang karya sastera yang sudah terkenal kebiasaannya mempunyai editor dan moderator yang memantau karya yang diterima bagi menjaga kualiti karya yang diterbitkan dalam laman sesawang mereka.

“Jika dilihat daripada satu sudut, ruang internet hakikatnya memainkan peranan penting dalam perkembangan sastera tanah air kerana ia boleh dibaca oleh peminat sastera di seluruh dunia. Ada pengkarya tersohor meletakkan karya mereka di internet sebelum diterbitkan dalam media arus perdana seperti novelis, Azizi Abdullah dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 1980, Datuk (Dr) Baharuddin Zainal,” ujarnya.

Tidak ketinggalan, ada juga laman sesawang sastera yang mengambil langkah menerbitkan buku daripada karya sastera yang pernah diterbitkan dalam simpanan mereka atas permintaan penulis terbabit.

Laman sesawang www.eSastera.com sebagai contoh, sentiasa bersedia menerbitkan karya sastera yang pernah diletakkan di laman mereka, dengan kos penerbitan ditanggung oleh eSastera atau penulis sendiri.

Walaupun eSastera tidak akan terbabit dalam mengawal mutu karya yang diterbitkan, Pengerusi eSastera, Dr Irwan Bakar mengakui tidak timbul isu yang mengatakan langkah terbabit akan merendahkan kualiti sastera negara.

Selain setiap karya yang diletakkan dalam laman sesawang perlu melalui sistem penilaian daripada pembaca, penulis juga tidak akan berani menerbitkan karya tidak bermutu kerana setiap karya sudah mendapat maklum balas daripada pembaca selepas diterbitkan di laman sesawang.

Dr Irwan menjelaskan, salah satu kelebihan sastera elektronik ialah setiap karya akan mendapat maklum balas pantas daripada pembaca, termasuk mereka yang lebih berpengalaman dalam menghasilkan karya sastera.

“Tidak timbul isu mutu kerana penulis akan menjaga kualiti karya yang ingin diterbitkan dalam bentuk buku berdasarkan maklum balas pembaca di internet,” ujarnya.

Antara karya eSastera yang diterbitkan dalam bentuk buku termasuk Doa Penyair oleh Mohd Dahri Zakaria, Jalan Baru (Nimoiz TY), Tikaman Madah (Anbakri), Ratib Timur (As Syramy, Kale Mas, Merdu Andika, MN Iskandar dan Ariff Abadi) serta Berkarya di Alam Siber (Dr Irwan dan Hasimah Harun).

“Saya melihat sastera perlu bergerak di internet selain dari di medium konvensional agar terus kekal,” katanya.

Dr Irwan menambah, jika dilihat daripada situasi perkembangan sastera pada masa kini, penggunaan internet untuk berkarya adalah perlu kerana medium konvensional agak statik, memaksa generasi muda lebih banyak menggunakan internet dan kos percetakan medium konvensional yang tinggi.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Cegah konflik di Laut China Selatan

Oleh Ruhanie Ahmad

Konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan adalah ancaman keselamatan yang sangat dikhuatiri di Asia Tenggara mutakhir ini. Oleh sebab itulah ASEAN sentiasa serius untuk menghindarkan kemungkinannya.

Potensi tercetusnya konflik ini tidak mustahil apabila sumber petroleum dunia kian pupus, penggunaan tenaga sejagat – terutamanya di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur – makin meningkat, kebergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap tenaga import pada tahun 2020 juga kian bertambah, dan punca tenaga alternatif pula terlalu mahal atau gagal memenuhi permintaan.

Lantaran itulah Laut China Selatan dikategorikan sebagai salah satu flashpoint atau kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi yang mungkin mencetuskan konflik maritim berasaskan petroleum di abad ke-21. Ini kerana Laut China Selatan kaya dengan rizab petroleum. Menurut Energy Profile of South China Sea (17 Jun 2008), Laut China Selatan mempunyai rizab minyak ditaksirkan sebanyak 7 bilion tong, dan rizab gas asli sejumlah 2,000 trilion kaki persegi.

Jumlah ini kecil berbanding lain-lain wilayah dunia. Namun rizab petroleum di Laut China Selatan ini adalah strategik kerana ia membabitkan China – pesaing utama AS di abad ke-21 – selaku salah satu pihak yang terlibat dengan tuntutan bertindih ke atas telaga petroleum di perairan tersebut.

Oleh sebab itu, ancaman terjangka atau perceived threat di Laut China Selatan ini boleh tercetus berdasarkan dua senario. Senario pertama berpuncakan tuntutan bertindih. Senario kedua berpunca daripada ancaman keselamatan kepada pengangkutan petroleum ke Asia Timur yang melalui Laut China Selatan.

Senario pertama boleh tercetus jika tuntutan bertindih oleh kuasa-kuasa pesisir Laut China Selatan terhadap telaga petroleum – terutamanya di sekitar gugusan Spratly – gagal diselesaikan menerusi diplomasi. Senario ini membabitkan Brunei, China, Indonesia, Filipina, Kemboja, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum menyelesaikan masalah ini. Tetapi, seluruh negara terbabit telah dimestikan olehnya supaya menyelesaikan tuntutan mereka secara damai.

Forum Serantau ASEAN atau ASEAN Regional Forum (ARF) pula makin fokus dalam inisiatif mewujudkan keamanan di Laut China Selatan. Ini dibuktikan menerusi keputusan ARF di Bali baru-baru ini di mana ASEAN dan China menyetujui garis panduan pelaksanaan The Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang diwujudkan sejak 4 November 2002.

Seterusnya, wujud ASEAN Defence Ministers’ Meeting Plus (ADMM Plus) yang dibentuk pada tahun 2010 untuk mewujudkan kerjasama di kalangan kuasa besar bagi membantu negara-negara membangun, terutamanya di ASEAN, menangani ancaman keselamatan bukan tradisional, termasuk keselamatan maritim.

Seluruh inisiatif dan mekanisme di atas pasti boleh menangani konflik di Laut China Selatan berasaskan senario pertama. Tetapi, adakah inisiatif dan mekanisme yang sama boleh menangani konflik maritim di Laut China Selatan mengikut senario kedua yang membabitkan geopolitik AS di Asia Tenggara dan Asia Timur?

Dalam senario kedua, konflik boleh tercetus di Laut China Selatan jika salah satu negara di Asia Timur bertindak unilateral untuk mengancam keselamatan bekalan petroleum sama ada ke China atau ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Dalam konteks ini, walaupun AS menganggotai ARF dan ADMM Plus yang dihuraikan di atas, dan kedua-dua entiti ini juga turut dianggotai oleh lain-lain kuasa besar dunia, konflik senario kedua ini tetap dijangka mendorong keterlibatan AS selaku adikuasa dunia.

Antara sebabnya, Jepun yang bergantung penuh kepada petroleum serta lain-lain tenaga yang diimport, telah berusaha mendapatkan sokongan ketenteraan AS jika berlaku ancaman terhadap keselamatan pengangkutan petroleum di Laut China Selatan.

Oleh sebab itu, jika konflik maritim di Laut China Selatan berasaskan senario kedua ini terjadi dan gagal ditangani oleh PBB serta lain-lain organisasi serantau, ia mungkin merebak menjadi peperangan yang besar.

Kemungkinan ini tidak mustahil. AS telah membentuk perancangan agung geopolitiknya terhadap China sejak dekad akhir abad ke-20. Ini dimanifestasikan menerusi kajian RAND Corportion oleh Khalilzad et al. (1999), Laporan Project for the New American Century atau PNAC (2000), dan satu lagi kajian RAND Corporation oleh Sokolsky et al.(2001).

Intipatinya, Khalilzad (1999) mencadangkan mobilisasi pasukan tentera AS disesuaikan dengan seluruh kemungkinan di China; PNAC (2000) mengesyorkan AS menukarkan corak mobilisasi tenteranya bagi mencerminkan keprihatinan strategik AS di Asia Timur; Sokolsky (2001) menghuraikan pentingnya perairan utama di Asia Tenggara kepada mobilisasi angkatan tentera AS.

Ini bermakna kajian-kajian di atas ditumpukan khusus kepada China. Menurut Barry (2004) dan Twinning (2007), inilah sebabnya beberapa perakuan penting kajian berkenaan dimaktubkan ke dalam pelbagai dokumen rasmi AS, termasuk strategi keselamatan dan pertahanan AS dalam era pasca-911 (11 September 2001).

Sebahagiannya pula dimaktubkan ke dalam The US National Strategy for Maritime Security (NSMS) 2005 yang disifatkan oleh segolongan panganalisis Barat sebagai strategi utama yang mendukung pelaksanaan perang terorisme AS di Asia Tenggara.

Seluruh strategi keselamatan dan pertahanan AS terhurai di atas, kini menjadi sebahagian paksi kepada dasar luar AS di abad ke-21, terutamanya terhadap Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Tetapi, walaupun secara lahiriahnya strategi dasar luar AS di seluruh wilayah ini hanya dicerminkan menerusi perang terorisme global, secara rencam dan tersirat, strategi ini adalah untuk mencegah rintang apa jua kemungkinan membabitkan Asia Timur, terutamanya mengenai China.

Lantaran itulah tindakan untuk memungkinkan keterlibatan AS berasaskan dalam konflik senario kedua di Laut China Selatan ini sudah bermula sejak Januari 2002 menerusi mobilisasi tentera AS ke Basilan, Selatan Filipina, atas alasan perang terorisme global di Asia Tenggara.

Mulai 2005, AS pula melaksanakan NSMS 2005 yang antara matlamatnya adalah menyelaras serta mengukuhkan angkatan laut AS bagi menghadapi sebarang kemungkinan keselamatan, termasuk konflik maritim yang membabitkan kuasa besar dunia.

Berasaskan huraian di atas, senario kedua ini membayangkan rumitnya konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan di hari-hari mendatang. Ini kerana konflik yang dijangka hanya tercetus akibat pertindihan tuntutan telaga petroleum di perairan berkenaan, sebenarnya boleh jadi lebih serius jika AS masuk campur demi kepentingan geopolitiknya terhadap China di abad ke-21.

Kesimpulannya, konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan boleh tercetus berasaskan dua senario khusus. Oleh sebab itu, walaupun tindakan ARF di Bali baru-baru ini boleh disifatkan sebagai hedging atau tindakan mengimbangkan minat, pengaruh serta kehadiran AS di Laut China Selatan yang kian menonjol, adalah penting bagi ARF mengetengahkan kaedah mengurus serta menyelesaikan kemungkinan konflik di Laut China Selatan ini berasaskan kedua-dua senario ini.

Kaedah ini perlu disegerakan supaya kemungkinan kedua-dua senario di atas jadi semakin minimum dan ASEAN menerusi ARF pula muncul sebagai satu forum serantau yang boleh dijadikan contoh dalam pengurusan serta penyelesaian konflik keselamatan secara multilateral.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Ketepikan Stigma Berkaitan Kemurungan

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

Bahagian akhir tiga siri rencana mengenai kemurungan.

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Masalah mental, termasuk kemurungan, sudah lama dikaitkan dengan stigma dalam masyarakat Malaysia walaupun ia mudah berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk selebriti.

Seseorang yang mengalami kemurungan akan terhalang daripada mencapai apa yang sepatutnya menjadi potensi dirinya.

Lebih teruk lagi, kemurungan menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), didapati menjadi penyebab utama kes bunuh diri.

Sebagai contoh pelukis era 'post-Impressionist' Vincent van Gogh (1853-1890), yang menghasilkan banyak karya agung termasuk 'The Starry Night'.

Van Gogh menterjemah isu gangguan mental yang dihadapinya ke atas kanvas lalu menghasilkan karya-karya hebat zaman itu yang kemudian mempengaruhi corak dan halatuju dunia seni moden.

Sayangnya, kemurungan yang teruk dan ditambah dengan tekanan sosio-ekonomi yang dihadapinya, menyebabkan beliau membunuh diri. Beliau mati sendirian dalam keadaan yang menyedihkan.

MENGATASI KEINGINAN BUNUH DIRI

Rekod menunjukkan Malaysia mencatat 731 kes bunuh diri dalam tempoh 2007 hingga 2010, atau secara purata sekitar 20 kematian dalam sebulan. Ini bukanlah angka yang kecil.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The Befrienders, S. Gangadara Vadivel berkata individu yang memerlukan sokongan emosi tidak harus menunggu lama sebelum mendapatkan bantuan. Ini boleh mengelak situasi menjadi lebih teruk.

"Befrienders, banyak menghadapi situasi di mana pemanggil mahu membunuh diri atau mempunyai keinginan yang kuat untuk membunuh diri angkara kemurungan," katanya sambil menambah bahawa mereka sebenarnya berada di dalam situasi keliru.

Beliau menjelaskan bahawa mereka ini memerlukan bantuan tetapi tidak tahu arah mana harus dituju, tetapi dengan hanya berbicara dan berkongsi perasaan dengan orang yang memahami meskipun kepada orang asing seperti Befrienders, mampu membantu mengurangkan tekanan yang terbuku dalam hati.

"Sukarelawan Befrienders seterusnya, akan membantu mereka meneliti semula masalah yang dialami dari sudut pandangan yang lebih luas supaya mereka dapat berfikir dengan lebih tenang dan mencari jalan menghadapinya," jelas Gangadara.

Beliau berkata sukarelawan Befrienders bukan pegawai kesihatan profesional, tetapi telah mendapat latihan insentif untuk membantu pemanggil mengatasi kesakitan emosi yang dialami dan membantu mereka mencari kekuatan diri.

"Talian Befrienders iaitu 03-79568145 dibuka 24 jam sehari dan bersedia menerima sebarang panggilan tanpa prejudis," jelas Gangadara.

Gangadara bersetuju bahawa berbincang tentang keinginan bunuh diri secara lembut dan simpati akan memberi peluang kepada individu berkenaan untuk melahirkan perasaan mereka dan boleh membuka kepada jalan penyelesaian.

Dalam kebanyakan kes, ini akan menghalang individu berkenaan daripada melaksanakan keinginan membunuh diri, katanya.

HAKIKAT SEBENAR KEMURUNGAN

Justeru, dapat disimpulkan bahawa, senario bunuh diri boleh terus berlaku jika masyarakat enggan bersikap terbuka untuk memahami hakikat sebenar kemurungan selain terus mempercayai pelbagai mitos berkaitan dengannya.

Secara umumnya, kesihatan fizikal dan mental yang baik penting bagi membolehkan seseorang mencapai kehidupan sosial yang stabil dan menyumbang ke arah kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam temu bual yang diadakan sempena Hari Kesedaran Kemurungan baru-baru ini, Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menyatakan bahawa pelbagai mitos mengenai masalah mental dan kemurungan boleh dirungkaikan dengan pengetahuan.

Beliau turut menegaskan bahawa penyakit itu tidak boleh direka, justeru seseorang tidak patut disalahkan jika menghidap kemurungan.

"Antara mitos popular ialah kemurungan berlaku ekoran faktor luar yang mengganggu pesakit atau diwarisi, tetapi pakar kini mendapati bahawa ia berkait rapat dengan ketidakseimbangan bahan kimia tertentu dalam otak terutama serotonin.

"Mitos lain berkaitan kemurungan ialah pengidap dianggap terkena sihir atau diganggu makhluk halus sedangkan kemurungan boleh disebabkan oleh faktor biologi dan persekitaran," jelas beliau.

Dr Abdul Bakar menjelaskan bahawa kemurungan tidak mengenal batasan sosio-ekonomi, negara, agama atau budaya, malah sesiapa sahaja di negara maju atau membangun boleh mempunyai risiko kemurungan.

PESAKIT MESTI DIRAWAT

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk rantau Asia Tenggara (SEARO) menyatakan bahawa masih terdapat kekurangan dari segi pemahaman dalam kalangan doktor berkenaan diagnosis dan rawatan sewajarnya.

Masyarakat juga perlu menukar sikap termasuk menyalahkan pengidap kemurungan selain menganggap mereka malas atau gila.

Dua faktor ini, menurut laman web rasmi SEARO berkenaan, menyebabkan masih ramai pengidap kemurungan takut mendapatkan bantuan dan terpaksa menderita sendirian.

Menurut kenyataan itu, anggapan bahawa pengidap kemurungan tidak memerlukan rawatan perubatan profesional juga tidak benar. Kemurungan tidak boleh dirawat dengan semangat diri, percutian atau melalui pengambilan alkohol.

"Masih banyak komuniti yang mempercayai petua ini, bagaimanapun, pengidap kemurungan sebenarnya tidak mampu menikmati percutian malahan alkohol hanya akan memburukkan lagi keadaan," jelasnya.

Abu Bakar turut mengakui bahawa kemurungan boleh dirawat menggunakan ubat perskripsi doktor serta sokongan sosial daripada keluarga dan masyarakat.

"Ahli keluarga pengidap terutamanya, perlu bersikap lebih terbuka dengan tidak cuba menyembunyikan pesakit, kerana pesakit perlu diberi peluang untuk mendapat rawatan sewajarnya," jelas beliau.

Rawatan sewajarnya boleh membantu pesakit untuk kembali sihat dan membolehkan mereka melakukan semula pelbagai aktiviti normal dalam kehidupan.

-- BERNAMA

Selasa, 26 Julai 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pengambilan Pelajar Ke IPTA Berasaskan 90% Akademik & 10% Kokurikulum

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan calon-calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Peringkat Ijazah Pertama adalah berasaskan prinsip meritokrasi.

Ia dilakukan dengan mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum untuk menentukan nilai merit seseorang calon.

Dasar ini, kata Khaled, bertujuan bagi meningkatkan peluang yang adil dan daya saing yang sihat kepada para pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.

“Pelaksanaan dasar mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum telah dikuatkuasakan mulai sesi akademik 2006/2007 lagi. Usaha penyebar luasan maklumat mengenai dasar ini melalui taklimat kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah serta pelaksanaan Karnival Pengajian Tinggi Negara(KPTN) di seluruh negara sejak tahun 2005 turut kita lakukan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Selasa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jelas Khaled prihatin terhadap masa depan pelajar bagi memenuhi cita-cita dan impian hidup untuk berjaya.

“Pemilihan program pengajian yang tepat mengikut cita-cita, minat dan hasrat pelajar, ibu bapa dan masyarakat mestilah seiring dengan pencapaian akademik serta kokurikulum. Oleh yang demikian KPT melaksanakan prinsip meritokrasi yang mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum.

“Pemohon juga perlu memenuhi Syarat Am, Syarat Khas Program dan kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan. Pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan pilihan pelajar serta bilangan tempat yang disediakan mengikut program pengajian di IPTA,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan calon untuk memperoleh tawaran tempat adalah bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA yang dipohon.

Katanya, jika merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan (8) pilihan dalam program pengajian kompetitif, kemungkinan besar mereka tidak terpilih untuk tawaran program pengajian yang dipohon itu.

“Begitu juga jika mereka memohon hanya di IPTA yang popular, mereka mungkin akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.

“Namun begitu, prosedur permohonan membenarkan calon menyatakan persetujuan untuk memilih sama ada bersetuju atau tidak untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan program pengajian yang dimohon.

"Jika calon ada menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan semasa mengemukakan permohonan, maka calon akan dipertimbangkan ke program pengajian di IPTA yang masih ada kekosongan selaras dengan bidang pengajian yang dipohon tanpa mengira IPTA pilihan,” jelas beliau.

Justeru itu, tambah Khaled, bagi calon yang memperoleh merit yang tinggi tetapi tidak mendapat tempat, pihak UPU akan menawarkan program pengajian di luar pilihan calon yang mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan tempat.

“Bagaimanapun, jika calon memilih tidak bersetuju, pihak KPT tidak akan mempertimbangkan sekiranya masih ada kekosongan pada program pengajian yang lain.

“Berdasarkan rekod permohonan yang diterima oleh UPU bagi Sesi Akademik 2011/2012, sejumlah 4,436 (8.3%) dari 53,216 pemohon dari Lepasan STPM/Setaraf yang layak telah menyatakan ‘TIDAK SETUJU” menerima tawaran di luar lapan (8) pilihan program pengajian yang telah dimohon.

“Sehubungan itu, semua calon ini tidak akan dipertimbangkan tawaran ke program pengajian lain walaupun layak kerana menghormati keputusan pemohon,” katanya lagi.

Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baharu pada awal September 2011.

Semua calon yang mengemukakan rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan kekosongan tempat bagi program pengajian yang ada sahaja.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/