Sabtu, 27 Mac 2010

Nasib bahasa Melayu di bumi sendiri

Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my


Kita perlu beri contoh terbaik dalam usaha mengantarabangsakan lingua franca sendiri


CADANGAN mewajibkan subjek Bahasa Melayu (BM) untuk sekitar 65,000 pelajar asing yang kini menuntut di Malaysia adalah satu langkah yang sudah tentu baik dalam usaha kita mengembangkan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi untuk mengantarabangsakannya.

Antara kepentingannya dalam konteks ini, bahasa Melayu adalah wadah komunikasi di negara ini, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik akan membolehkan pelajar ini berfungsi dengan baik dalam masyarakat Malaysia, sama ada dari segi kedua-dua kecekapan tatabahasa dan budi bahasa Melayu. Sebetulnya kesan ini cukup sahih dan perlu disokong. Namun, adakah prasarana serta ekologi bahasa Melayu yang wujud kini, sama ada yang formal atau sebaliknya, mendukung keadaan yang kondusif? Kedua-dua ini amat penting dalam membantu serta mendorong pelajar ini untuk menekuni bahasa Melayu, khususnya atas rangsangan integratif, yakni bukan saja untuk bercampur gaul, tetapi mengadunkan diri mereka dalam kehidupan tempatan, sementara mereka berada di Malaysia.

Jawapannya tidak positif seperti yang sepatutnya. Bahasa Melayu walaupun diberi pelbagai paparan baik lagi indah oleh sesetengah pihak, sebenarnya ia melukut di tepi gantang dalam beberapa hal di bumi watannya sendiri. Ekologi linguistik di negara ini tidak selalu memperlihat kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, iaitu dalam konteks sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sebagai contoh, penamaan awam di Malaysia tidak banyak yang menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris lebih menjadi norma. ‘Bangsar South’ untuk sebuah perbandaran baru di Kuala Lumpur serta ‘Mara Liner’ bagi bas yang memberi perkhidmatan di kawasan luar bandar, khususnya penempatan komuniti Melayu adalah antara contohnya.

Mahu tidak mahu, semua ini memberi mesej bahawa bahasa Melayu tidak penting lagi, bukan saja kepada pelajar asing ini, tetapi juga kepada masyarakat Malaysia sendiri. Sehubungan ini, masyarakat tempatan ikut memberi gambaran negatif terhadap bahasa Melayu apabila mereka tidak banyak menggunakannya, khususnya dalam konteks sebagai bahasa negara untuk berkomunikasi sesama sendiri. Mereka lebih gemar dan bangga menggunakan bahasa lain dan jika bahasa Melayu digunakan, ia digunakan dalam bentuk campur aduk pula.

Gambaran yang buruk terhadap bahasa Melayu ikut berlaku apabila kita tidak mahu menggunakannya ketika bercakap dengan sesetengah pelajar asing ini, walaupun ada antara mereka fasih dalam bahasa Melayu. Sebaliknya, kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai ganti. Sikap jelek kita ini memberi gambaran bahawa masyarakat Malaysia tidak bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara sendiri. Sesungguhnya ini bukan gambaran lagi, tetapi kenyataan benar mengenai perbuatan, pandangan dan kepatuhan kita terhadap bahasa Melayu.

Komuniti Melayu selaku penutur natif atau asal bahasa Melayu perlu mempamerkan teladan yang baik dalam memperlihat sikap positif terhadap bahasa itu. Mereka perlu pada setiap masa ‘memperlaku’ bahasa Melayu, yang bukan saja bahasa ibunda mereka, tetapi kini sudah menjadi bahasa negara yang mewakili dan dimiliki oleh semua, dengan penuh tertib dan adab. Dalam hal ini, mereka perlu menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul serta yang tidak bercampur aduk, khususnya pada majlis dan upacara rasmi.

Penggunaan seperti itu bukan saja penting dalam menyampaikan mesej bahawa bahasa Melayu berwibawa, tetapi dibangga selain diyakini sendiri oleh kalangan penutur natifnya mengenai kewibawaan itu. Sebetulnya kewibawaan bahasa Melayu perlu wujud dalam pelbagai bentuk yang mantap. Antaranya ialah pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya yang bukan asal, yang perlu dipertingkatkan agar melepasi bentuk yang dikenali sebagai ‘bahasa pasar’.

Masih ramai dalam kalangan ini yang hanya mampu berbahasa pasar ketika menggunakan bahasa Melayu, misalnya dalam bentuk “Saya atak pompuan punya, balu kawin sama Ipoh punya olang.” Kecekapan bahasa Melayu sebegini, khususnya dalam kalangan muda, selepas menghuni Malaysia sejak 1957 adalah bukan saja tidak baik untuk imej bahasa Melayu sebagai bahasa negara, tetapi yang lebih mudarat lagi ialah pengertian nasionaliti Malaysia mereka dalam konteks bahasa Melayu, iaitu bahasa tanah air mereka!

Sikap begini sudah tentu diperhati oleh kalangan pelajar asing, yang mungkin merumuskan bahawa bahasa Melayu tidak banyak dihormati oleh warga Malaysia sendiri. Hal ini ikut dirumuskan oleh pekerja asing. Sesetengah daripada mereka didapati fasih dalam bahasa Melayu, walaupun baru saja tiba, jika dibandingkan dengan segelintir pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), yang didapati sama sekali tidak fasih dalam bahasa Melayu, walaupun dilahir dan dibesarkan di Malaysia!

Dalam soal pengekalan bahasa Melayu dalam bentuk daif ini, komuniti Melayu boleh ikut dipersalah. Mereka sering berkomunikasi dengan komuniti bukan asal dalam bahasa Melayu sebegini, walaupun ketika berkomunikasi dengan mereka yang amat fasih. Sifat akomodatif ini daripada komuniti Melayu perlu dihentikan dan digantikan dengan komunikasi dalam bahasa Melayu yang baik dan betul, tetapi dalam bentuk yang mudah.

Sebenarnya banyak yang perlu dilakukan sebelum kita memperluas domain penggunaan bahasa Melayu, khususnya kepada pelajar asing di negara ini dan juga dalam usaha kita mengantarabangsakan bahasa Melayu. Untuk tujuan ini, pertamanya, masyarakat Malaysia perlu memperlihatkan sikap yang lebih positif terhadap bahasa Melayu. Sikap ini boleh dipupuk dan seterusnya diperlihatkan oleh semua sektor masyarakat Malaysia dengan agak mudah. Bahasa Melayu yang menjadi alat perpaduan bangsa dan kemajuan negara, sudah ‘dikodifikasikan’ dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam soal ini, tekad terhadap bahasa Melayu perlu diperbaharui semula, melalui teladan yang penuh dengan iltizam dan tanggungjawab daripada komuniti Melayu selaku penutur natif, yang akan pula diikuti dengan kesan yang positif daripada pelbagai komuniti bukan Melayu lain. Ini penting bukan saja dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, tetapi juga untuk melestarikannya pada persada dunia. Sesungguhnya bahasa Melayu yang juga bahasa kelima terbesar di dunia, mempunyai banyak potensi.

Penulis ialah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ilmu munakahat atasi zina

Oleh Harussani Zakaria

DARI Maimunah Binti Harith r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda: Umatku sentiasa berkeadaan baik selama tidak ada orang yang berzina. Namun sekali zina telah meluas di kalangan mereka, maka azab Allah akan turun kepada mereka semua. (Riwayat Ahmad)

Mutakhir ini, media mendedahkan berita pembuangan bayi yang saya percaya cukup menyedihkan kita semua. Sama ada bayi itu Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu,bayi itu tidak berhak diperlakukan sedemikian rupa. Saya merenung permasalahan ini dan bertanya, apakah erti pembangunan yang telah kita bangunkan pada hari ini, jika dalam masa yang sama akhlak manusiawi kita runtuh roboh.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara ( JPN) telah memaklumkan statistik pendaftaran anak luar nikah yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Pada tahun 2007, 16,100 anak luar nikah didaftarkan, tahun 2008 seramai 16,541 dan tahun 2009 seramai 17,303. Malah yang lebih memeranjatkan saya dalam 5 tahun terakhir ini, JPN telah mencatatkan seramai 74,723 anak luar nikah daripada kalangan orang Melayu Islam telah didaftarkan.

Fakta yang dibentangkan pada kita di atas, sememangnya cukup serius dan merisaukan. Saya tidak faham jika ada pihak-pihak yang boleh rasa selesa dengan angka-angka tersebut. Ia cukup bagi kita mengandaikan indeks kebejatan akhlak di kalangan masyarakat kita cukup merosot, iman yang semakin rapuh, perintah Allah dilanggar, larangan Allah juga yang dibuat.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda: Tidak berzina seorang penzina itu dalam keadaan beriman. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hal ini kita sepatutnya menggandakan usaha bagi membanteras punca masalah ini tanpa hanya menuding jari kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Masalah pembuangan bayi seumpama buah busuk di sebatang pokok. Biasanya kita tidak peduli tentang penjagaan pokok hinggalah sampai musim buah. Namun segala sudah terlambat bila buah yang disangka ranum rupanya busuk dimakan ulat.

Saya berpendapat isu pembuangan bayi berpunca daripada perlakuan zina atau sumbang mahram. Saya sukar untuk mempercayai anak-anak ini dibuang kerana tekanan kemiskinan. Namun dua punca masalah yang telah disebutkan iaitu zina dan sumbang mahram yang saya percaya cukup relevan dengan isu ini.

PENDEKATAN

Oleh itu satu pendekatan menyeluruh dan bersepadu perlu kita lipat gandakan melibatkan semua aspek. Contohnya di peringkat sekolah, pentarbiyahan agama dan moral perlu ditekankan dengan sungguh-sungguh. Perlu ada suasana yang konstruktif dalam penerapan agama dan moral di sekolah. Pendidikan agama bukan seperti pendidikan sains, lukisan mahupun matematik. Pendidikan agama satu pendidikan yang bermula daripada penyampaian ilmu, kemudian perlu diamalkan dan akhirnya dihayati hingga berkesan ke dalam lubuk hati.

Saya sejak dulu lagi telah menyarankan ilmu munakahat ini diajarkan dengan lebih serius di sekolah. Ada orang sarankan untuk diajar pendidikan seks di sekolah. Namun saya rasa pendidikan munakahat lebih sesuai. Istilah pendidikan seks itu sendiri dalam masyarakat kita belum dapat kita terima. Tetapi ia istilah dan pendekatan ilmu munakahat lebih sesuai. Dalam munakahat kita bukan saja diajar perhubungan suami isteri, pergaulan lelaki dan perempuan, malah lebih dari itu hubungan dosa dan pahala, hubungan kita dengan Allah. Tiada masalah untuk kita serapkan pendidikan tentang biologi manusia sesuai dengan peringkat umur.

Begitu juga dengan susun atur reka bentuk rumah. Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk mengasingkan bilik anak-anak dari ibu bapa. Bila sampai umur 10 tahun kita perlu pisahkan pula anak-anak lelaki dan perempuan. Hari ini setiap rumah kita perlu ada tiga bilik iaitu bilik ibu bapa, anak lelaki dan anak perempuan. Ini supaya pergaulan anak-anak lelaki dan perempuan begitu juga ibu bapa punya privacy. Dalam perancangan perumahan hari ini juga saya lihat ada kawasan perumahan yang tidak ada surau. Surau sebenarnya berperanan untuk menjadi pusat pendidikan agama mahupun masyarakat. Dalam kuliah-kuliah ilmu, solat jemaah, ceramah-ceramah, aktiviti qiamullail dan pelbagai lagi aktiviti lain, boleh memberikan kekuatan pada individu dan masyarakat membendung masalah ini.

Biarpun begitu, saya ingin menyarankan bahawa kesepaduan yang dibina dalam solat di mana-mana surau atau masjid itu perlu dijelmakan di luar, di mana masyarakat juga mesti bersatu dan berpadu menjaga batasan halal dan haram dan membina sensetiviti terhadap perlakuan sumbang dalam masyarakat.

Pertembungan antara al-amru bil ma‘ruf dan al-amru bil munkar, juga menjadi virus dalam masyarakat kita. Tilawah al-Quran kita anjurkan, namun kita juga dihidangkan program hiburan yang terang-terang melanggar syarak mahupun budaya. Masjid kita bina, namun disekelilingnya juga pusat-pusat hiburan pelbagai peringkat umur dibiarkan beroperasi tanpa kawalan. Remaja dengan pusat siber kafe dan permainan video, orang tua pula dengan disko dan pusat perjudian. Tambahan pula program-program agama dijalankan pada hari ini lebih berupa acara rasmi dan kosmetik. Dengan kekangan, kawalan dan batas-batas yang kadang-kadang tidak munasabah dan tidak profesional, ia sudah tiada ruh dan sentuhan magik seperti satu masa dulu. Jika satu stesen televisyen menyiarkan rancangan forum, satu lagi menyiarkan acara anugerah muzik, saya yakin tanpa perlu kita susah- susah untuk kaji, jawapannya sudah pasti rating acara anugerah muzik yang lebih tinggi. Inilah cabaran buat kita hari ini.

Kerana itulah saya mahu menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk sama memikul bebanan ini. Ini bukan masanya untuk kita menuding jari, namun masa yang terbaik untuk kita mula bekerja bagi memperkembangkan dakwah ini. Jika semua individu mula bekerja memperbaiki masalah-masalah yang telah kita sebutkan, saya percaya dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/