Oleh : ABDUL RAHIM
NOOR
INSIDEN yang kita hadapi sekarang
iaitu pencerobohan kumpulan bersenjata terdiri hampir 200 orang Islam dari
selatan Filipina dan mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu mempunyai sejarah
tersendiri yang relevan dan berkait rapat dengan penubuhan Malaysia serta
pembentukan negara Filipina moden.
Sebelum Malaysia diwujudkan pada
16 September 1963, Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara British merupakan
sebuah wilayah di bawah pemerintahan kolonial Inggeris. Kedudukan Borneo Utara
British yang begitu hampir dengan selatan Filipina menjadikan sempadannya,
seperti dikatakan banyak pihak, bolos atau mudah ditembusi.
Pada ketika itu, seolah-olah
tiada sempadan yang kukuh memisahkan kedua-dua wilayah itu. Hanya Laut Sulu
yang menjadi sempadan. Keadaan geografi yang sedemikian memudahkan penduduk
dari selatan Filipina memasuki Borneo Utara British sehingga menyebabkan
masyarakat yang berasal dari Sulu menjadi kumpulan etnik ketiga terbesar di
negeri itu selepas kaum Kadazandusun dan Cina. Malah, majoriti umat Islam di
Sabah hari ini berasal dari selatan Filipina. Itu memang fakta sejarah.
Era Filipina sebagai sebuah
republik yang bebas dan merdeka bermula pada 1946. Sebelum itu, negara
berkenaan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat iaitu Sepanyol (1565-1821) dan Amerika
Syarikat (1898-1946). Saya pernah terbaca dalam sebuah buku yang menyatakan
Manila yang kini menjadi ibu negara Filipina pernah diperintah oleh seorang
sultan.
Mungkin sistem kesultanan yang
diamalkan oleh wilayah-wilayah lain di Filipina sebelum kepulauan itu dijajah
Sepanyol bukan terhad di kawasan selatan sahaja. Namun, hanya Kesultanan Sulu
yang masih lagi wujud dan kawasannya meliputi Sulu, Basilan, Palawan dan
Tawi-Tawi. Dalam situasi yang kita hadapi sekarang, waris-waris Kesultanan Sulu
mendakwa mereka mempunyai hak yang sah ke atas Sabah dan berhasrat
menjadikannya sebahagian daripada kawasan di bawah naungan kesultanan itu.
Hasrat menggabungkan Persekutuan
Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara British dan Sarawak disuarakan oleh
Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, ketika berucap dalam
satu majlis yang dianjurkan Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara di Singapura
pada 1961. Indonesia dan Filipina menunjukkan reaksi yang agak cepat dan keras
terhadap idea tersebut. Indonesia yang pada ketika itu di bawah pentadbiran
Presiden Sukarno menuduh penubuhan Malaysia sebagai penjajahan bentuk baharu
atau neokolonialisme.
Pentadbiran Presiden Diosdado
Macapagal dari Filipina pula tidak bersetuju kerana pada pandangannya,
pemerintah Filipina yang mewakili Kesultanan Sulu mempunyai hak ke atas Borneo
Utara British. Bantahan itu diasaskan kepada satu perjanjian yang
ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Borneo Utara British pada
1878.
Berdasarkan perjanjian itu,
Borneo Utara British adalah sebahagian daripada wilayah Kesultanan Sulu.
Terdapat kemungkinan kerajaan Filipina telah dihubungi waris-waris Kesultanan
Sulu dan mereka meminta Macapagal menyuarakan tuntutan mereka terhadap Borneo
Utara British secara terbuka serta menjadikan tuntutan itu sebahagian daripada
dasar luar Filipina terhadap penubuhan negara Malaysia.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia
yang dianggotai Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16
September 1963 disahut dengan konfrontasi oleh Indonesia. Beberapa rundingan
tiga penjuru antara Tunku Abdul Rahman, Macapagal dan Sukarno diadakan di
beberapa lokasi termasuk di Bangkok dan Tokyo namun tidak meredakan tentangan
kedua-dua negara itu.
Pungutan suara yang dianjurkan
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada masa itu mengesahkan majoriti
penduduk di Sabah dan Sarawak mahu merdeka daripada pemerintahan kolonial
British menerusi penyertaan dalam Malaysia. Macapagal terpaksa menerima
keputusan pungutan suara itu tetapi sehingga sekarang, kerajaan Filipina masih
belum menarik balik tuntutannya terhadap Sabah. Ketegangan antara Filipina dan
Malaysia nampaknya seperti sudah reda tetapi sebenarnya belum reda lagi. Bagi
Indonesia, dasar konfrontasi tamat dengan berakhirnya pemerintahan Sukarno pada
1965.
Apabila Ferdinand Marcos menjadi
Presiden Filipina mulai 1965 hingga 1986, tuntutan ke atas Sabah dihangatkan
semula. Pendekatan Marcos yang bersifat autokratik itu tidak sama dengan
Macapagal yang lebih mengutamakan diplomasi. Marcos kelihatan menggalakkan
waris Kesultanan Sulu menuntut Sabah dan sikap Marcos ini menimbulkan masalah
dalam hubungan antara dua negara. Dipercayai, waris Kesultanan Sulu meneruskan
tuntutan ke atas Sabah selari dan sehaluan dengan dasar luar kerajaan Filipina.
Semasa pentadbiran Marcos,
tuntutan waris Kesultanan Sulu turut membabitkan tentera Filipina dalam
projek-projek tertentu. Salah satu projek yang mereka laksanakan ialah Operasi
Merdeka pada 1967. Operasi ini semacam mirip dengan insiden yang berlaku di Lahad
Datu. Tentera Filipina telah melatih sekumpulan pemuda etnik Tausug dan Sama di
selatan Filipina yang beragama Islam bagi membentuk satu pasukan komando yang
objektifnya adalah untuk menimbulkan suasana kacau-bilau dan tidak stabil di
Sabah. Tujuan operasi itu adalah untuk menunjukkan kononnya rakyat Sabah tidak
suka dengan Malaysia, justeru membuktikan pungutan suara oleh PBB adalah tidak
betul.
Namun, sebaik sahaja mendarat di
Sabah, pasukan itu sedar mereka telah diperalatkan untuk menentang sebuah kerajaan
di Sabah yang ditadbir oleh orang Islam. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah
Tun Datu Mustapha Harun. Pemuda-pemuda Tausug dan Sama terbabit berpatah balik
ke Filipina. Malangnya, mereka kemudiannya telah dibunuh oleh tentera Filipina
bagi mengelakkan insiden ini terbongkar. Insiden pembunuhan antara 50 hingga 60
pemuda malang itu dinamakan sebagai Pembunuhan Corregidor dan orang Tausug
menamakannya Pembunuhan Jabidah.
Jadi, bagi saya, pencerobohan
terbaharu oleh kumpulan bersenjata yang menggelarkan diri mereka tentera
Kesultanan Sulu di Lahad Datu ini semacam ulangan terhadap insiden Operasi
Merdeka yang berlaku pada 1967. Walaupun dalam bentuk dan skala yang berlainan,
Operasi Merdeka mempunyai latar belakang yang sama dengan insiden di Lahad Datu
sekarang.
Saya hairan mengapa sehingga
kini, kerajaan Filipina masih belum menggugurkan tuntutan terhadap Sabah
sedangkan ada beberapa sebab yang mewajarkan mereka berbuat demikian. Pertama,
pungutan suara oleh PBB telah mengesahkan kehendak majoriti penduduk Sabah untuk
bergabung di dalam Malaysia. Kedua, kerajaan Filipina sendiri sudah tidak
mengiktiraf kewujudan wilayah Kesultanan Sulu.
Setelah Sultan Sulu terakhir yang
diiktiraf Manila iaitu Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mangkat pada 1986,
kerajaan Filipina tidak melantik waris baginda sebagai Sultan Sulu yang baharu.
Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mempunyai tiga waris terdekat iaitu Sultan
Jamalul Kiram III yang kini menetap di Manila; Sultan Ismail Kiram di Jolo dan
Raja Muda Agbimuddin di Simunu, Pulau Tawi-Tawi. Perlu diingat, kerajaan
Filipina di bawah pentadbiran Marcoslah yang telah menghidupkan semua
Kesultanan Sulu apabila secara rasmi melantik Mahakutta Mohamad Kiram sebagai
Sultan Sulu pada Mei 1974. Mungkin, pentadbiran Marcos mengambil tindakan itu bagi
merancakkan lagi tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah.
Memajakkan
Seperkara lagi, merujuk kepada
perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara
British pada 1878, Kesultanan Sulu bersetuju memajakkan Sabah kepada syarikat
tersebut dengan bayaran cession money sebanyak 5,000 ringgit setahun. Ia
semacam bayaran ufti. Jika dilihat pada istilah cession yang digunakan, ia
bermaksud penyerahan.
Kerajaan Malaysia semacam masih mengiktiraf perjanjian ini kerana masih membayar
ufti. Yang aneh bagi saya, perjanjian itu seperti telah digantikan dengan
perjanjian yang dibuat oleh kerajaan Sepanyol sebagai kuasa yang menjajah
Filipina atau lebih dikenali sebagai Protokol Madrid pada 1885. Menurut
perjanjian yang dibuat bersama Britain dan Jerman itu, Sepanyol bersetuju
melepaskan segala tuntutan Filipina terhadap Borneo Utara British.
Kemudian, setelah Amerika
Syarikat menggantikan Sepanyol sebagai penjajah di Filipina, Perjanjian
Carpenter telah ditandatangani antara kuasa kolonial itu dan Kesultanan Sulu
pada Mac 1915. Di bawah perjanjian ini, tuntutan Kesultanan Sulu terhadap
Borneo Utara British dianggap tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II
menandatangani perjanjian tersebut dan menyerahkan kuasa politik kepada Amerika
Syarikat.
Melihat kepada sebab-sebab yang
dinyatakan tadi, saya tidak faham mengapa kerajaan Filipina tidak mahu menarik
balik tuntutan terhadap Sabah. Walaupun kita kini saling bekerjasama di dalam
semangat perpaduan ASEAN, tuntutan itu masih lagi wujud sejak era Macapagal
sehingga era Presiden Filipina ketika ini, Benigno Aquino.
Saya fikir kumpulan yang
menggelarkan diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu kini dalam keadaan
terdesak kerana konsep wilayah autonomi Bangsamoro tampak mengetepikan kepentingan
kesultanan itu. Soal kewujudan Kesultanan Sulu tidak disentuh dalam gagasan
tersebut sedangkan beberapa pulau di selatan Filipina termasuk Basilan,
Palawan, Sulu dan Tawi-Tawi adalah wilayah mereka. Waris-waris Kesultanan Sulu
semacam menyedari mereka tidak lagi mendapat sokongan daripada kerajaan
Filipina seperti yang pernah berlaku di bawah pentadbiran Macapagal dan Marcos.
Selain itu, pada pandangan
mereka, kerajaan Malaysia juga seperti tidak melayan tuntutan waris Kesultanan
Sulu walaupun kita masih membayar ufti kepada mereka. Waris Kesultanan Sulu
menganggap bayaran ufti itu seperti obor yang menyalakan seribu harapan atau
impian. Dalam perspektif ini, mungkin mereka membuat tuntutan kini atas sebab
ekonomi. Dalam hal ini, mereka mungkin hendakkan bayaran pampasan itu dibuat
mengikut penilaian semasa.
Kesimpulannya dalam kalangan
negara-negara ASEAN, Malaysia merupakan negara yang banyak bersempadan dengan
negara lain. Kita bersempadan dengan Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand
dan Brunei. Sempadan maritim kita dengan negara-negara lain termasuk Filipina
sememangnya agak panjang. Bagi saya, tugas mengawasi sempadan maritim sesebuah
negara bukan kerja mudah. Sempadan maritim mudah dicerobohi, terutamanya jika
mereka menyusup masuk dalam kumpulan kecil seperti menyamar sebagai nelayan.
Jika tiada risikan awal, bukan mudah untuk mengesan penyusupan. Pakar strategi
China purba, Sun Tzu dalam bukunya yang berjudul Seni Peperangan banyak
menyebut tentang perlunya perisikan untuk memenangi peperangan.
Apa yang penting, tentera, polis
dan pihak berkuasa maritim perlu mempunyai rangkaian perisikan yang lebar dan
berkesan bagi mencegah pencerobohan sempadan maritim kita.