Isnin, 5 September 2011

ISU PENDIDIKAN : Membetulkan matlamat Sekolah Berasrama Penuh

Oleh : TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM

RAMAI yang merasa lega dan sangat bersetuju apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kriteria baru bagi pelajar miskin dan luar bandar untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mulai tahun 2012.

Kelulusan UPSR 3A dan 1B bagi pelajar daripada keluarga miskin dan 4A dan 1B bagi pelajar luar bandar sangat berpatutan dan sesuai dengan kekurangan yang mereka alami jika dibandingkan dengan pelajar lain yang dikira lebih bernasib baik. Ini memberi peluang kepada pelajar yang kurang mampu tetapi berkebolehan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan seterusnya dapat mengubah nasib serta masa depan mereka.

SBP yang terawal ditubuhkan ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar yang didirikan pada tahun 1905. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak Melayu dan setelah menamatkan pengajian mereka diserapkan dalam pentadbiran kerajaan Inggeris.

Kejayaan Kolej Melayu yang dihuni sepenuhnya oleh pelajar lelaki telah membawa kepada penubuhan sebuah lagi SBP iaitu Kolej Tengku Khursiah, Seremban. Sekolah ini menempatkan sepenuhnya pelajar perempuan dan ke semua mereka tinggal di asrama. Dengan kemudahan dan kelengakapan pendidikan yang mencukupi termasuk guru yang terlatih, sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang.

Sesungguhnya untuk memahami perkembangan pendidikan SBP kita seharusnya merujuk kepada sejarah kedatangan penjajah ke negara ini. Penjajah Inggeris bukan sahaja memperkenalkan sistem pentadbiran negara yang moden tetapi turut membawa bersama mereka sistem pendidikan yang baru. Sekolah rendah dan menengah mula didirikan dengan menggunakan kurikulum pengantar bahasa Inggeris.

Sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh badan-badan mubaligh Kristian yang berpusat di England, Belanda, Perancis dan Itali. Sesungguhnya penubuhan sekolah-sekolah Inggeris ini telah melebarkan lagi jurang pendidikan di kalangan kanak-kanak pelbagai kaum kerana kebanyakan pelajar di sekolah tersebut adalah terdiri daripada pelajar keturunan Cina dan India. Sementara itu kebanyakan kanak-kanak Melayu lebih berpusat di sekolah-sekolah Melayu atau sekolah aliran agama yang menggunakan sistem Pondok.

Terdapat beberapa sebab mengapa jumlah pelajar Melayu sangat sedikit bilangannya yang belajar di sekolah Inggeris jika dibandingkan dengan pelajar bukan Melayu. Faktor utama ialah kerana lokasi atau kedudukan sekolah-sekolah tersebut terletak di kawasan bandar, misalnya Penang Free School, Victoria Institution Kuala Lumpur, St. Micheal Ipoh, Malacca High School, Muar High School dan puluhan sekolah yang lain.

Kekurangan pelajar Melayu disebabkan juga faktor persepsi. Kebanyakan ibu bapa Melayu merasa kurang selesa dan bimbang terhadap pengaruh agama Kristian.

Pada hakikatnya pelajar-pelajar yang belajar di sekolah Inggeris ini sangat beruntung kerana mendapat pendidikan akademik yang baik berasaskan kurikulum dan sistem pendidikan di United Kingdom. Pelajar-pelajar lepasan sekolah ini dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan mereka diajar oleh guru-guru terlatih yang pada peringkat awalnya kebanyakan berasal dari India dan Sri Lanka. Sementara itu kebanyakan pengetua dan guru besar sekolah adalah terdiri daripada orang Inggeris yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan sekolah di negara asalnya.

Kenyataannya ramai pelajar lepasan sekolah tersebut berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara khususnya ke England, Australia atau New Zealand. Di samping itu pelajar-pelajar lain mempunyai pilihan yang luas dalam memilih bidang kerjaya masing-masing. Dengan kebolehan menguasai bahasa Inggeris yang baik amat mudah mereka diserapkan dalam pentadbiran penjajah atau bekerja di syarikat-syarikat swasta kepunyaan Inggeris yang menguasai ekonomi negara ketika itu.

Datuk Abdul Razak Hussain yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran sangat menyedari situasi tersebut dan implikasinya terhadap pembinaan negara bangsa. Itulah sebabnya dalam Laporan Razak (1956) beliau mencadangkan ditubuhkan SBP untuk memberi peluang kepada anak-anak Melayu yang miskin dan tinggal di luar bandar tetapi berbakat untuk diberikan pendidikan yang terbaik dan setaraf dengan sekolah-sekolah Inggeris.

Melalui cadangan dan pengakuan dalam Laporan Razak itu maka tertubuhlah Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh pada tahun 1956 untuk menempatkan pelajar luar bandar yang berkebolehan. Kemudian diikuti SBP lain seperti Sekolah Alam Shah, Cheras; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban; Sekolah Seri Puteri Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur; Sekolah Sultan Abdul Halim, Jitra dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Dengan tertubuhnya SBP di awal era kemerdekaan ini telah memberi peluang kepada ribuan pelajar-pelajar miskin dan mereka yang datang daripada luar bandar mendapat pendidikan yang terbaik. Semua pelajar tinggal di asrama dengan mendapat makanan yang berzat, kehidupan di asrama yang teratur, diajar oleh guru-guru yang terlatih dan pengurusan sekolah sentiasa dipantau oleh Unit SBP, Kementerian Pelajaran.

Penubuhan SBP yang lebih banyak berlaku selepas terlaksananya Dasar Pendidikan Kebangsaan (1970) di mana sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains.

Kejayaan yang dibuktikan melalui pendidikan SBP menyebabkan ramai ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka bersekolah di sana. Permintaan yang tinggi untuk memasuki SBP dan pencapaian pelajar yang telah terbukti menyebabkan Kementerian Pelajaran menambah bilangan SBP setiap tahun. Hingga kini bilangannya lebih 60 buah yang terdapat di seluruh negara.

Kini isu yang dihadapi oleh Kementerian Pelajaran sejak beberapa tahun yang lepas ialah terlalu ramai bilangan permohonan untuk memasuki sekolah itu. Walaupun kelulusan minimum yang ditetapkan ialah 4A dan 1B dalam peperiksaan UPSR tetapi bilangan pelajar yang mendapat 5A adalah jauh lebih besar daripada tempat yang disediakan di SBP. Pelbagai cara digunakan oleh ibu bapa untuk memastikan agar anak mereka dapat ditempatkan di sekolah berkenaan.

Dasar meritokrasi yang diamalkan dalam pemilihan untuk memasuki SBP telah melenyapkan peluang anak-anak daripada keluarga miskin dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Secara logiknya anak-anak dari golongan berada dan sederhana serta tinggal di kawasan bandar mempunyai peluang lebih besar untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Oleh itu perubahan dasar seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri sudah lama dinantikan dan ada kaitan dengan usaha untuk memperbetulkan semula matlamat asal penubuhan SBP. Diharapkan peluang ini membolehkan pelajar miskin dan pelajar daripada kawasan luar bandar mendapat pendidikan yang lebih baik melalui sistem pendidikan di SBP. Inilah yang dinamakan 'pendemokrasian dalam pendidikan.'

Moga-moga anak-anak yang kurang bernasib baik ini akan terbela nasib mereka dan mempunyai masa depan yang lebih cerah melalui peluang pendidikan yang disediakan di SBP.

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Misi Kemanusiaan perlu operasi standard

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

Sukarelawan mesti ada persiapan rapi

SEMALAM, Kementerian Penerangan mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara terutama di negara sedang bergolak atau berlaku perang saudara.

SOP akan menjadi panduan kepada sesiapa saja yang menyertai misi kemanusiaan termasuk sukarelawan dan wartawan yang membuat liputan mengenai misi itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk terkena tembakan curi kumpulan bertelagah.

Saranan itu terbit selepas jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, maut akibat terkena peluru sesat pada Jumaat lalu ketika membuat liputan misi kemanusiaan selama 10 hari bermula 29 Ogos hingga 8 September lalu bagi membantu mangsa kebuluran di Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia.

Kematian Noramfaizul membuka mata banyak pihak mengenai langkah wajar perlu diambil sebelum mengikuti misi kemanusiaan, lebih-lebih lagi di negara diklasifikasi sebagai tidak selamat untuk dikunjungi.

Keberanian 55 sukarelawan termasuk 17 wakil media ke Somalia bagi menjayakan misi kemanusiaan terutama menjelang Aidilfitri wajar dihargai kerana ia satu pengorbanan berjauhan dengan keluarga di samping membawa nama Malaysia di luar negara.

Pelbagai persiapan juga perlu diambil kira pengamal media sebelum mengikuti misi kemanusiaan. Antaranya mengikuti kursus khas dikendalikan pakar keselamatan atau peperangan yang biasanya veteran tentera berpengalaman.

Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata menghantar peserta misi kemanusiaan mengikuti kursus khas satu kemestian jika negara dituju itu berdepan konflik termasuk perang saudara atau perbalahan berpanjangan. Kursus itu penting supaya peserta mendapat pengetahuan am dan asas keadaan geografi, lokasi dan risiko berada di kawasan itu, sekali gus membolehkan mereka membuat persediaan rapi.

“Pakar yang memberi kursus perlu mahir selok-belok sesuatu negara atau kawasan, memberi tunjuk ajar menyelamatkan diri jika diserang termasuk memilih tembok atau tempat berlindung,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi, Kolej Universiti HELP menjelaskan, segala input dan maklumat dibekalkan pakar perlu dijadikan pedoman kepada anggota misi kerana ia menentukan hidup mati mereka.

“Memang ajal dan maut adalah ketentuan Allah, namun persediaan rapi membantu mengurangkan risiko kematian atau kecederaan jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Anggota misi juga wajar dibekalkan peralatan khas seperti jaket dan topi kalis peluru. Sambil mengakui jaket dan topi kalis peluru tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan pemakainya kerana masih mempunyai kelemahan, ia juga banyak membantu mengurangkan kematian dan kecederaan.

“Jaket kalis peluru mempunyai jenis dan kualiti berbeza. Jaket kalis peluru diperbuat daripada seramik dan besi mampu menahan peluru mesingan dan jaket biasa mampu kalis tembakan pistol.

“Tidak semua tempat selamat untuk memakai jaket kalis peluru kerana negara Amerika Selatan seperti di Colombia, pemakainya dianggap ejen pihak berkuasa dan tidak akan terlepas daripada sasaran penembak,” katanya.

Selain itu, penganjur misi kemanusiaan perlu menjalin hubungan rapat dengan kumpulan pemerhati antarabangsa dan NGO kemanusiaan negara asing yang sudah lama bertapak di sesuatu kawasan. Kumpulan atau NGO ini biasanya sudah ‘masak’ dengan kegiatan pihak tertentu termasuk pemberontak atau penembak hendap, sekali gus membolehkan penganjur menyusun jadual perjalanan lebih selamat.

Paling penting, anggota misi kemanusiaan tidak terlalu menonjolkan diri kepada penduduk setempat bagi mengelak menjadi sasaran pihak yang tidak senang dengan kehadiran mereka.

“Sebolehnya, kita bersikap pasif, merendah diri dan tidak terlalu ghairah menonjolkan kehadiran di tempat berisiko tinggi.

“Bukan semua orang di tempat yang kita hantar bantuan itu suka dengan kita. Mungkin puak yang berperang tidak suka kehadiran kita kerana dianggap menjejaskan kepentingan dan pengaruh mereka. Berbaik dengan pasukan pemerhati antarabangsa kerana mereka lebih tahu bila masa terbaik boleh keluar. Hubungan dengan wartawan tempatan juga penting kerana mereka mahir keadaan di sana,” katanya.

Akhbar turut mencadangkan supaya SOP atau apa juga panduan yang ditetapkan itu mewajibkan sukarelawan mengikuti kursus kaunseling sebelum dan selepas misi bagi mengatasi masalah trauma yang mungkin dilalui.

“Aspek emosi dan tekanan mereka juga perlu diambil kira. Dalam kes Noramfaizul, ada wartawan trauma dengan kejadian itu dan perlu diberi kaunseling. Trauma mungkin sehingga enam atau lapan minggu. Jika tidak dirawat, ia memberi kesan seperti hilang selera makan dan lemah semangat kerana tidak dapat melupakan peristiwa berdarah menimpa rakan mereka,” katanya.

Paling penting wartawan yang membuat liputan di kawasan bergolak perlu bersikap neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak selaras dengan Protokol Tambahan, Konvensyen Geneva 1949, berkaitan Perlindungan Terhadap Mangsa Konflik Bersenjata Antarabangsa (Protokol I) 1977.

Protokol itu menetapkan wartawan yang membuat liputan dalam misi profesional berbahaya di kawasan konflik senjata dianggap sebagai orang awam, mereka dilindungi mengikut konvensyen dan protokol berkenaan dan memiliki kad pengenalan yang sah dikeluarkan kerajaan di mana wartawan itu menetap.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Seratus nama pejuang merdeka

MENCARI seratus nama yang memperjuang kemerdekaan perlu dimulai sekarang. Selepas 54 tahun usia kemerdekaan, sekurang-kurang seratus nama mereka yang berjuang untuk merdeka perlu ditampilkan kepada rakyat.

Sebelum ini Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dilihat sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi sama ada Dato’ Onn atau Tunku, mereka tidak boleh berjuang sendiri tanpa gerakan daripada segenap sudut. Kerana itu sebelum sampai era Dato’ Onn dan Tunku, gerakan memperjuangkan kemerdekaan telah bermula. Golongan ulama, sasterawan dan wartawan sudah berkerja untuk merdeka sejak lebih awal lagi.

Kalau kita mempunyai senarai seratus nama tokoh pejuang kemerdekaan, kita tentu boleh melihat akar dan sejarah kemerdekaan secara lebih menyeluruh dan adil. Dalam perjuangan kemerdekaan, sumbangan golongan berhaluan kiri misalnya tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini kerana makna kiri ketika itu adalah gerakan penentang kepada penjajahan termasuk penjajah British.

Tokoh seperti Pak Sako, A. Samad Ismail, Said Zahari, Ahmad Boestamam, Syed Sheikh Al Hadi, Burhanuddin Helmi serta banyak tokoh ulama barangkali boleh disenaraikan dalam seratus nama pejuang merdeka. Kecenderungan mengangkat tokoh tertentu seolah-olah kita tidak sedar telah memadam sejarah. Sejarah tetap sejarah.

Ini membuatkan orang bertanya, apa halnya dengan pejuang yang lain? Adakah mereka tidak menyumbang sesuatu dalam perjuangan kemerdekaan sama ada secara langsung atau tidak langsung? Kita lebih melihat acara pengisytiharan kemerdekaan daripada orang yang menggerakkan kemerdekaan di peringkat rakyat. Tiga tokoh wartawan, Pak Sako, A. Samad Ismail dan Said Zahari hampir tidak pernah disebut pada acara mengenang kemerdekaan. Adakah mereka ini langsung tidak berjasa?

Sebenarnya usaha menyenaraikan seratus nama ini adalah langkah supaya tidak wujud kecenderungan memadam sejarah. Ini kerana kita seolah-olah diasuh melupakan perjuangan golongan kiri kerana fahaman politik di luar arus zaman penjajah. Generasi selepas ini perlu tahu sumbangan pejuang kemerdekaan selain Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman. Sekurang-kurangnya kalau kita mempunyai seratus nama, kita akan melihat secara menyeluruh proses perubahan dari aspek sosial dan politik menuju kemerdekaan.

Tetapi kita hanya perlu mencari seratus nama, tidak kira siapa mereka termasuklah Tunku Abdul Rahman. Dalam kata lain, setiap penglibatan mereka menyumbang kepada satu gerakan perjuangan kemerdekaan.

Senarai ini bukanlah bertujuan menafikan sumbangan pihak atau tokoh tertentu tetapi mengingatkan nama-nama yang barang kali asing kerana kealpaan kita. Sejarah kemerdekaan jangan jadi seperti sejarah perfileman Melayu yang banyak nama terpadam kerana memberi laluan kepada P. Ramlee. Dunia perfileman Melayu telah memadamkan banyak tokoh besar dan ini tidak boleh turut berlaku dalam perjuangan kemerdekaan kerana generasi baru mempunyai banyak laluan untuk mengkaji sejarah. Biarlah dunia filem sahaja yang memadamkan nama Hussein Haniff dan Jamil Sulong untuk mengangkat P. Ramlee.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/