Jumaat, 21 Februari 2014

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Jalan Raya Di Malaysia Tempat Ke-17 Paling Bahaya Di Dunia - Kajian


Oleh : DINA MURAD

PETALING JAYA : Malaysia adalah antara 25 negara yang paling berbahaya bagi pengguna jalan raya, dengan mencatatkan 30 kematian bagi setiap 100,000 individu, menurut kajian oleh Universiti Michigan.

Dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Pengangkutan universiti itu menggunakan data 193 negara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), senarai kajian pada Februari 2014 menunjukkan Malaysia sebagai negara ke-17 yang paling berbahaya untuk pemandu.

Satu-satunya negara Asia Tenggara lain yang berada dalam ranking 25 yang paling berbahaya ialah Thailand yang menduduki tempat kedua paling berbahaya untuk pemandu, dengan 44 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Dalam perbandingan yang dilakukan, Amerika Syarikat hanya 14 mencatatkan kematian, Perancis tujuh, Jerman dan Singapura enam, dan United Kingdom hanya lima kematian bagi setiap 100,000 orang.

Purata kematian dunia adalah 18 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Namibia mendahului senarai yang paling berbahaya dengan 45 kematian dan tempat paling selamat adalah negara dengan pulau kecil, Maldives yang mencatatkan dua kematian.

Semua 25 negara yang tersenarai sebagai paling berbahaya, sama ada negara membangun atau negara kurang membangun.

Sebagai tindak balas mengapa Malaysia berada di kedudukan antara yang paling berbahaya, penyelidik Brandon Schoettle mencadangkan bahawa pembangunan mungkin mempunyai peranan yang besar dalam perkara ini.

"Walaupun saya tidak boleh bercakap secara khusus mengenai Malaysia, kita tahu bahawa dengan peningkatan pembangunan bagi sebuah negara, kemalangan maut juga sering meningkat, " katanya sambil merujuk China dan India sebagai contoh.

Negara-negara pulau seperti Malta (tiga kematian bagi setiap 100,000), Fiji (empat), Kepulauan Marshall (empat) dan Tonga (empat) adalah negara-negara di mana kurang kemungkinan kematian akibat kemalangan jalan raya, mungkin kerana tahap kenderaan bermotor yang rendah.

Di seluruh dunia, didapati bahawa kematian akibat kemalangan jalan raya membentuk hanya 2.1 peratus daripada kematian lain-lain.

Emiriah Arab Bersatu telah menduduki peratusan tertinggi dalam kemalangan maut jalan raya dengan 15.9 peratus.

Kajian ini dijalankan untuk membandingkan nisbah kematian kemalangan jalan raya dengan sebab-sebab utama kematian lain.

Kematian bagi setiap penduduk akibat kemalangan jalan raya dibandingkan dengan kematian daripada sebab-sebab utama kematian yang lain seperti 'neoplasma malignan' (kanser) dan penyakit jantung iskemia serta penyakit serebrovaskular.

Mengikut purata dunia, didapati bahawa manusia enam kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat penyakit jantung daripada mati dalam kemalangan kereta.

Rakyat Malaysia mempunyai 2.5 kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat kanser dan 2.8 kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat penyakit jantung berbanding dengan kemalangan maut.

Walau bagaimanapun, menurut satu kenyataan di laman web WHO, data kajian yang dijalankan mungkin tidak sama dengan angka rasmi di Malaysia kerana perbezaan metodologi yang digunakan oleh WHO dan bancian Malaysia.

"Banyak set data mewakili anggaran terbaik WHO menggunakan metodologi untuk petunjuk tertentu yang bertujuan untuk perbandingan antara negara dan masa.

"Oleh itu, ia tidak sentiasa yang sama dengan anggaran rasmi kebangsaan, walaupun WHO, bila-bila sahaja yang mungkin, akan menyediakan peluang kepada negara anggota meneliti kajian dan mengulas mengenai data dan anggaran sebagai sebahagian daripada perundingan negara."

Oleh itu, pengelasan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbahaya untuk pemandu mungkin berbeza berbanding rekod rasmi tempatan.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Krisis air semakin meruncing


Oleh : AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Krisis air di seluruh negara  semakin  meruncing apabila bilangan empangan yang  mencatatkan bacaan  paras  air di bawah paras normal meningkat  kepada 18  empangan  hari  ini  berbanding 15  empangan  semalam.

Namun  sehingga pukul 7 malam  ini, kesemua 20 stesen  empangan  termasuk 18 empangan tersebut yang  dipantau  menerusi sistem  Info Kemarau  masih   mencatatkan  bacaan  air di atas  paras  minimum.

Menurut laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), empangan yang mencatatkan bacaan air di bawah paras normal adalah Machap, Sembrong, Labong dan Bekok di Johor, Padang Saga, Ahning, Muda dan Beris (Kedah), Bukit Kwong (Kelantan), Timah Tasoh (Perlis), Bukit  Merah (Perak), Langat, Sungai Selangor, Tasik  Subang  dan  Sungai Tinggi (Selangor), Batu dan  Genting  Klang (Wilayah  Persekutuan  Kuala Lumpur)  dan  Anak  Endau (Pahang).

Daripada 18 empangan tersebut, Padang Saga yang mencatatkan bacaan paras air 18.94 meter sudah hampir dengan paras minimum  iaitu 18.50  meter.

Berdasarkan  laman  web itu juga, jelas menunjukkan bahawa sebanyak lima empangan termasuk di Johor dilaporkan mempunyai  simpanan  air  aktif  kurang  daripada  45  peratus.

Tiga  empangan di Johor  itu  adalah  Machap yang mempunyai simpanan  air sebanyak 20.43 peratus, Sembrong (28.30 peratus),  Bekok (20.18 peratus)  manakala  dua  lagi empangan   ialah  Padang Saga (26.96 peratus)  dan  Timah Tasoh (36.23 peratus).

Sebanyak  lapan  lagi  empangan  dilaporkan  mempunyai simpan  air  aktif  kurang  daripada 50 peratus iaitu  Empangan  Muda (46.67 peratus), Bukit Merah (48.73 peratus) manakala Genting Klang, Labong, Beris, Anak Endau, Semenyih (Selangor)  dan  Ulu Kinta (Perak)  masing-masing  sebanyak 48.29 peratus.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Fungsi simbolik bahasa Melayu


Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR

BAHASA Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam bidang pendidikan. Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan, pada 1981 bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua peringkat persekolahan, iaitu darjah satu sekolah rendah hingga tingkatan enam. Kekuatan bahasa Melayu jelas dalam pembinaan `Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara’ yang dilaksanakan sejak dahulu hingga kini.

Mengimbau tahun 1983, semua kursus tahun pertama di universiti tempatan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Seterusnya, Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai satu mata pelajaran di semua sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Melalui penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Di peringkat sekolah dan universiti, bahasa Melayu telah berfungsi sebagai bahasa penyalur ilmu pengetahuan dan bahasa perpaduan. Kejayaannya tidak hanya terletak pada kempen tetapi lebih kepada penggunaan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu itu sendiri.

Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu mampu mengungkap ilmu-ilmu yang tinggi seperti memperkatakan bidang yang berkaitan dengan sains, ekonomi, perundangan, teknologi maklumat dan bidang-bidang lain yang terdapat dalam dunia moden kini.

Ini jelas dilihat menerusi pelbagai laras yang ditulis dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan bidang-bidang tertentu. Setiap laras mempunyai kosa kata tersendiri yang khusus tentang bidang berkenaan.

Kini terdapat banyak buku akademik yang ditulis dalam bahasa Melayu untuk kegunaan pelajar di institusi pengajian tinggi. Justeru, bahasa Melayu terbukti mampu berfungsi sebagai bahasa ilmu.

Komunikasi merupakan proses pertukaran maklumat antara individu yang terlibat dengan menggunakan sistem simbol, tanda atau tingkah laku yang umum. Oleh itu, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi bererti bahasa ini digunakan sebagai alat untuk membolehkan individu bertukar-tukar maklumat.

Dalam sesebuah komunikasi, bahasa Melayu menjadi bahasa perantara yang penting. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Nusantara ini telah berlangsung dalam tempoh yang lama. Hal ini kerana pada masa itu, bahasa Melayu telah menjadi lingua franca, iaitu bahasa perhubungan antara masyarakat yang berlainan bahasa.

Penduduk Tanah Melayu sejak awal lagi terdiri daripada pelbagai kaum dan setiap kaum ini mempunyai bahasa ibunda. Begitu juga dengan masyarakat Melayu sendiri, terdapat pelbagai dialek dan dialek ini hanya boleh difahami dalam lingkungan mereka sendiri.

Bagaimanapun, sebagai lingua franca, bahasa Melayu telah membolehkan masyarakat tanpa mengira dialek atau bahasa ibunda berhubung antara satu sama lain. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa perhubungan berbanding bahasa lain kerana ia bahasa pertuturan harian sebahagian besar penduduk di Nusantara.

Pada masa sama, sebilangan besar daripada kaum yang terlibat mampu menuturkan bahasa Melayu ini. Hal ini disebabkan bahasa Melayu agak mudah difahami dan dipelajari, khususnya dalam kalangan penutur asing.

Dalam menjalankan fungsi komunikasi ini, penggunaan bahasa Melayu tidak terhad kepada komunikasi lisan dalam situasi tidak formal, tetapi bahasa Melayu juga digunakan dalam bidang pentadbiran dan pemerintahan. Oleh itu, dalam situasi pentadbiran, bahasa Melayu turut digunakan misalnya sebagai bahasa perhubungan di pejabat, surat-menyurat, perbualan telefon dan mesyuarat.

Bahasa Melayu juga mampu menyampaikan perasaan dan fikiran seseorang.

Kajian dan pandangan, Garvin dan Mathiot (1968) memberikan tiga fungsi simbolik bahasa baku iaitu penyatuan, pengasingan dan prestij.

Lantaran itu, fungsi penyatuan ialah bahasa Melayu baku bertindak sebagai alat yang menghubungkan penutur-penutur yang menuturkan berbagai-bagai dialek bahasa yang sama. Ini dapat menyatukan mereka ke dalam satu masyarakat penuturan.

Seterusnya, fungsi pengasingan ialah bahasa Melayu baku bertindak sebagai variasi bahasa yang terasing daripada dialek lain daripada bahasa sama yang dapat melambangkan identiti kebangsaan. Fungsi prestij dapat mewujudkan satu bahasa baku yang menimbulkan perasaan atau semangat megah terhadap negara.

Perancangan bahasa Melayu mestilah diteruskan dengan perancangan menaikkan taraf bahasa sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar. Begitu juga dengan perancangan korpus bahasa yang meliputi pengekodan atau kodifikasi serta pemupukan. Di Malaysia, kodifikasi melibatkan aspek ejaan, peristilahan, sebutan, perkamusan dan tatabahasa.

Jelaslah, di Malaysia, ketiga-tiga fungsi yang tersebut iaitu fungsi penyatuan, pengasingan dan prestij dapat menyatukan penduduk dan memberikan satu identiti bagi masyarakat Malaysia. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan disalurkan menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan dan kini diperkuatkan melalui Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Oleh itu, semua pihak mestilah berusaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam percakapan harian, penulisan dan komunikasi yang betul, berkesan dan tepat.

Penulis ialah pengamal media / PhD persuratan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/