Jumaat, 18 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Kaedah 'buaian ke kerjaya' tambah baik sistem pendidikan


KERAJAAN sering memberi penekanan kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat. Bagi mencapai matlamat itu, beberapa institusi pengajian tinggi membuka peluang pengajian seluas-luasnya bagi membolehkan rakyat melanjutkan pengajian, walaupun mereka sudah menceburi bidang kerjaya. Pada peringkat kanak-kanak pula, kerajaan menyediakan pendidikan awal prasekolah yang sistematik seawal usia lima tahun, malah kini sudah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang terancang ini menjadikan Malaysia antara yang terbaik dalam menawarkan peluang pendidikan kepada rakyat dan menjadi contoh banyak negara membangun. Dalam usaha menambah baik sistem pendidikan negara, kerajaan kini merancang untuk memperkenal metodologi dari ‘buaian ke kerjaya’ yang diguna pakai di Amerika Syarikat, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di New York, kelmarin. Malaysia adalah negara pertama meninjau untuk menggunakan kaedah ini yang kini dilaksana di 27 negeri di Amerika Syarikat. Kaedah itu berjaya meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi. Menerusi pendekatan itu, setiap tahap perjalanan pelajaran murid diberikan pemerhatian dan pengesanan positif bagi memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan dan akhirnya menghindari keciciran. Pelajar dibantu untuk memenuhi petunjuk yang dikesan dalam bidang kritikal seperti matematik dan kemahiran membaca sepanjang tempoh perjalanan pendidikan mereka.


Metodologi menyeluruh ini diperkenalkan oleh Canselor State University of New York (SUNY), Dr Nancy Zimpher dan didapati amat berkesan. Ia mampu mengatasi masalah kekurangan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berikutan kaedah pengajaran yang lemah, kekurangan bantuan dan penyeliaan profesional. Menerusi metodologi itu juga sekolah akan memberi lebih keutamaan kepada subjek berkenaan dan mengatasi masalah ketiadaan maklumat mengenai prospek kerjaya dalam bidang berkaitan sains serta prospek tidak menarik terhadap graduan kelayakan sains. Beberapa kelemahan dalam pembelajaran dan pengajaran yang dikenal pasti itu menyebabkan jumlah pelajar yang terbabit dalam mata pelajaran sains di negara ini tidak begitu memberangsangkan. Melalui kerjasama ini, Kuala Lumpur dan New York sudah tentu dapat menangani beberapa masalah yang ada persamaan dan belajar daripada kesilapan atau kejayaan sistem pendidikan negara masing-masing. Kita harap metodologi ini dapat membantu negara menambah baik sistem pendidikan sedia ada dan dapat memenuhi tuntutan kerjaya dengan lebih tepat pada masa depan, khususnya dalam menyediakan keperluan tenaga kerja mahir seperti yang diperlukan sektor industri tempatan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tingkat ilmu ketika bekerja



Oleh Sharifah Haayati
bhagama@bharian.com.my

Pendidikan mampu bentuk akal, perwatakan

APABILA kita mengamati pencapaian bangsa yang maju dan pembangunan tamadun silam, maka kita akan mendapati pelbagai faktor menyumbang kepada kejayaan itu antara yang utama disebabkan kualiti pendidikan serta ketinggian nilai diri dalam bidang keilmuan.

Kualiti pendidikan bukan semata-mata yang dibentuk secara formal dan sistematik di sekolah atau universiti, tetapi juga di rumah, tempat kerja dan persekitaran masyarakat.

Pendidikan membentuk akal, menajamkan minda serta mempengaruhi perwatakan dan tindakan seseorang.

Justeru, ia sangat penting untuk diteruskan sepanjang hayat sebagaimana seruan supaya menuntut ilmu daripada buaian sehingga ke liang lahad.

Benarlah mengapa ayat al-Quran pertama diwahyukan menjurus kepada seruan pencarian dan pengkajian ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT bermaksud: “(Wahai Muhammad) Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan (sekalian makhluk).”

Sayyid Qutb dalam tafsir fi Zilal al-Quran menyatakan, di samping menjelaskan hakikat penciptaan manusia, ayat ini juga menjelaskan hakikat mengajar iaitu bagaimana Allah mengajar manusia dengan pena yang menjadi alat mengajar paling luas dan mendalam kesannya kepada kehidupan manusia sehingga ke hari ini.

Ayat ini turut memerintahkan amalan iqra’ iaitu membaca menjadi asas penerokaan ilmu. Manakala apa yang dipelajari pula hendaklah membawa kepada kebaikan dan keimanan kepada Allah SWT.

Rasulullah mensyaratkan tawanan Perang Badar yang tidak mampu ditebus dengan harta, menebus diri dengan mengajar orang Islam menulis dan membaca. Namun, yang menyedihkan umat Islam sehingga kini ialah kadar literasi di negara majoriti Islam sendiri masih rendah sekitar 60 ke 70 peratus.

Justeru, dalam merealisasikan kewajipan iqra, dua tindakan utama perlu dipupuk dalam masyarakat iaitu minat belajar dan peka untuk mengambil sebanyak pelajaran atau pengajaran sepanjang kehidupan termasuk ketika bekerja.

Pepatah Arab menyatakan ilmu (terhasil) dengan belajar dan lemah lembut (terhasil dengan perbuatan yang) berlemah lembut. Oleh kerana sebahagian besar daripada hari dan masa kita diluangkan di tempat kerja, maka peluang dan kesempatan belajar dan mengambil pelajaran dalam persekitaran kerja sama ada secara langsung atau tidak, perlu dititikberatkan.

Sering terlintas dalam benak fikiran orang bekerja adalah untuk mendapatkan gaji. Benar, namun peluang keemasan lain yang perlu direbut ialah pengetahuan dan pengajaran supaya bukan saja dapat mencapai matlamat serta hasrat organisasi tetapi menambah nilai bagi kerja termasuk profesionalisme dan lebih utama menjadi ibadat.

Syair Saidina Ali menyatakan, carilah ilmu dan jangan gantinya dengan apa juga, semua orang mati dan ahli ilmu hidup (apabila ilmunya terus dimanfaatkan).

Persekitaran belajar dalam organisasi sering dilakukan melalui penganjuran kursus, latihan, bengkel, percambahan idea, kempen membaca, pengalaman pertukaran ke unit atau bahagian, kenaikan pangkat, kejayaan staf dan organisasi lain, penyelidikan, pergaulan serta bimbingan daripada rakan sejawat dan pegawai atasan.

Manakala usaha mengambil pelajaran pula boleh dijana melalui hasil dapatan audit, teguran pihak atasan, aduan pelanggan, kecuaian pekerja dan kemerosotan pencapaian organisasi lain. Proses mengambil pelajaran amat ditekankan dalam ajaran Islam khasnya melalui peringatan Allah SWT.

FirmanNya seperti perkataan ‘afala yatadabbarun’ bermaksud tidakkah kamu meneliti, mengkaji.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya untuk kamu, pada binatang ternak itu, terdapat ibrah.” (Surah An-Nahl, ayat 66)

Mengambil ibrah atau pengajaran adalah cara ditunjukkan Allah SWT untuk mengelak kegagalan berulang dan meningkatkan kewaspadaan bertindak sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda umat Islam tidak boleh jatuh ke dalam lubang sama dua kali.

Sekali gus, menjadikan umat Islam memiliki daya fikir tinggi serta peka terhadap persekitaran. Kedua-dua usaha belajar dan mengambil pelajaran adalah gambaran kepada ciri masyarakat ulul albab yang disebut tidak kurang daripada 16 kali dalam al-Quran.

Oleh itu, sebagai usaha meningkatkan sumber daya dalam kalangan pekerja khasnya usaha memacu organisasi berdaya saing, berinovasi, berpencapaian tinggi, persekitaran belajar dan mengambil pelajaran ini perlu direbut warga organisasi pelbagai peringkat dan sentiasa dihidup, dimeriahkan dengan mengenal pasti dan merancang keperluan latihan dalam pelbagai bentuk yang dinilai pencapaiannya secara konsisten.

Ini akan menyumbang kepada peningkatan kualiti kendiri, pencapaian organisasi, kepuasan pelanggan dan diri pekerja.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa perlu bantu guru atasi isu remaja



Oleh Ustaz Zaman
bhagama@bharian.com.my

KITA sebagai manusia biasa memerlukan sokongan dan bantuan orang lain dalam mencapai kecemerlangan. 

Sokongan dimaksudkan termasuk daripada ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai dan khususnya warga pendidik atau guru yang diraikan pada 16 Mei lalu.

Sudah pastinya sumbangan dan pengorbanan mereka tidak dapat dibandingkan dengan sebarang anugerah di dunia. Golongan pendidik semestinya diberi penghormatan dan pengiktirafan kerana mereka adalah golongan yang berpotensi untuk melonjakkan transformasi ke arah perkembangan minda lebih dinamik.

Inilah sebenarnya peranan yang perlu dimainkan mereka kerana proses pengajaran dan pembelajaran akan berubah dari masa ke semasa. Jadi merekalah yang yang perlu mengaplikasikan segala sumber ilmu melalui kaedah berinovasi sesuai gelaran ulul albab iaitu mereka yang bijak pandai seperti dicatatkan al-Quran.

Lafaz diulang lebih daripada 15 kali dalam al-Quran menunjukkan kehebatan mereka di sisi Allah SWT.

Firman-Nya bermaksud: “Dia (Allah) memberikan kefahaman kepada siapa yang dikehendaki. Sesiapa yang mendapat anugerah ini, sesungguhnya dia telah mendapat banyak kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Imam Qurtubi berpendapat, ayat ini adalah perintah menggunakan anugerah akal fikiran bagi mengkaji isi alam. Pengkajian dan pembelajaran mestilah diterapkan di kalangan guru bagi menggarap elemen inovasi dalam proses lonjakan transformasi pendidikan.

Untuk melahirkan modal insan beriman dan bertakwa sukar dan memerlukan pengorbanan, ilmu dan kemahiran tinggi. Komitmen serta kesungguhan dalam misi menghapuskan kejahilan adalah asas kejayaan yang harus disemat dalam jiwa setiap warga pendidik.

Mereka juga berperanan sebagai ejen perubahan dalam masyarakat yang dahagakan peradaban dan integriti. Pembangunan minda melalui fardu ain dan fardu kifayah tidak harus diketepikan kerana ia termasuk dalam falsafah pendidikan sejajar kehendak agama.

Sabda Baginda SAW dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah bermaksud: “Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah dikeluarkan, ilmu yang dicurahkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)

Jelas menunjukkan profesion ini akan menjadi putaran di mana ilmu dipelajari akan diajar semula kepada orang lain bagi memastikan kesinambungan pahala ganjaran terus berlarutan walaupun empunya diri sudah meninggalkan dunia yang sementara ini.

Peringatan Baginda SAW mengenai peristiwa akhir zaman dalam sabda Baginda bermaksud: “Akan datang suatu waktu di mana umatku menjauhi orang berilmu dan ahli feqah. Maka mereka akan ditimpakan dengan tiga musibah. Antaranya ialah dihilangkan keberkatan terhadap hasil pendapatannya, dianugerahkan kepada mereka pemimpin yang tidak adil dan mereka akan meninggalkan dunia dalam keadaan tidak beriman.” (Mukasyaf Asrar)

Namun, cabaran yang dihadapi guru dewasa ini adalah pelajar itu sendiri di mana mereka sering terjebak dalam era globalisasi yang menyebabkan pengaruh sosial tidak terkawal, pengaruh jenayah yang berleluasa, tidak menghormati guru dan masalah akhlak.

Ditambah pula ibu bapa tidak memberi kepercayaan penuh kepada warga pendidik untuk memajukan anak mereka sehingga ada yang sanggup menjadikan guru sebagai musuh.

Sebenarnya, bukan tanggungjawab guru saja, ibu bapa dan masyarakat diperlukan dalam usaha menyokong guru membentuk dan mendidik generasi muda hari ini. Mereka mestilah memainkan peranan secara kolektif dengan menggunakan ruang yang ada untuk menjana idea dan bersama menyelesaikan masalah generasi kini.

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Memupuk pemikiran kritikal


AL-QURAN mengajak kita berfikir. Allah menekankan bahawa jalan mengenal-Nya dan menghayati Islam adalah dengan menggunakan potensi akal yang amat berharga. Khazanah kebijaksanaan Tuhan di dalam Al-Quran hanya akan dapat digali jika kita menggerakkan potensi berfikir melalui penguasaan ilmu.

Konsep ilmu dalam Islam tidak pernah terpisah hubungannya daripada hal ketuhanan. Dengan bertambah ilmu, hubungan kita seharusnya semakin dekat dengan Allah swt. Ketakwaan, akhlak dan peribadi kita harus bertambah baik.

Seluruh ilmu itu berpunca daripada-Nya.

Allah berfirman: 'Dia (yakni Allah) mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.' - Al-Alaq: 5.

Pendekatan Al-Quran dan sunah Nabi saw lazimnya mendorong kita memiliki pemikiran kritikal dan suka bertanya perkara yang tidak diketahui.

Nabi saw pernah bersabda: 'Sesungguhnya penawar bagi kejahilan adalah untuk kamu bertanya.' (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah).

Jelasnya, ilmu bukan bermakna kita mengambil maklumat semata-mata daripada seseorang individu, buku, majalah, Internet atau daripada wadah lain. Tuntutan ilmu harus disokong dengan proses menganalisis, bertanya dan ada kalanya mempersoalkan kandungan pelajaran yang kita terima.

Tujuannya supaya kita benar-benar pasti dan jelas akan kandungan ilmu yang diterima agar terbit keyakinan tanpa ragu.

Jika ditinjau sejarah para Anbiya, mereka tidak pernah terlepas daripada budaya berfikir dan bertanya.

Dalam surah Al-Kahfi misalnya, terdapat kisah perjalanan Nabi Musa as dengan Nabi Khidir as. Baginda mempersoalkan beberapa tindakan Nabi Khidir as.

Kisah ini menunjukkan bahawa walaupun Nabi Khidir as dikurnia keistimewaan ilmu, ia tidak menghalang Nabi Musa as daripada bertanya dan meminta penjelasan.

Begitu juga dengan kita. Dengan aliran maklumat yang tidak terbatas pada hari ini seperti Internet dan lain-lain wadah media baru, kita dan keluarga lebih terdedah kepada pelbagai aliran pandangan - suatu yang tidak dapat kita elakkan. Kita perlu membiasakan diri bertanya dan mendapatkan kepastian akan ketepatan maklumat yang diterima.

Bahkan ada ketikanya kita perlu mendapatkan pendapat berbeza daripada sumber yang berlainan agar segala maklumat yang diterima akan memperkayakan pengetahuan kita dan dijadikan panduan dalam mengatur kehidupan kita dengan lebih baik dan sempurna.

Dalam bersikap suka bertanya dan berfikiran kritikal, usah pula ia menjadikan kita sombong dan angkuh. Contohnya, andai kita terlibat dalam sesuatu diskusi atau forum, pastikan kita mengikut etika tertentu. Antaranya:

1. Bersedia dan sabar apabila idea dan cadangan kita tidak diterima, walaupun mungkin kita berasa ia yang terbaik dan perlu diteruskan.

2. Rendah hati dan jujur ketika mengetengahkan pandangan dan cadangan demi sesuatu kebaikan, bukan sombong dan inginkan pujian.

3. Andai cadangan orang lain diterima, kita harus berasa syukur kerana ada idea dan pandangan bernas demi kepentingan bersama. Andai cadangan orang lain yang diterima itu bukan yang terbaik pada hemat kita, bersangka baiklah kerana mungkin ada hikmat.

Ringkasnya:

Konsep ilmu dalam Islam tidak terpisah daripada hal ketuhanan. Dengan bertambah ilmu, hubungan kita dengan Allah swt seharusnya semakin rapat.

Tuntutan ilmu harus disokong dengan proses analisis, bertanya dan bahkan mempersoalkan kandungan pelajaran supaya yakin dan jelas akan ilmu yang diterima.

Berfikiran kritikal, tetapi usah sombong dan angkuh.

Semoga kita menjadi masyarakat yang kukuh beragama, cintakan ilmu pengetahuan dan mampu memberi sumbangan kepada semua.

ISU KESIHATAN : Lebih 15,000 pesakit tunggu organ


KUCHING - Dianggarkan lebih 15,000 pesakit di Malaysia sedang menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ, dan majoritinya adalah pesakit buah pinggang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata memandangkan angka itu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, cabaran utama kementerian ialah merapatkan jurang antara permintaan dan bekalan organ serta sel tisu manusia di negara ini.

"Amat malang untuk mengetahui jumlah pesakit yang menjalani rawatan dialisis meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun lepas, seperti yang dilaporkan Daftar Dialisis dan Transplan Malaysia, iaitu daripada 7,800 pesakit dialisis pada 2001 kepada 23,000 pada 2010," katanya pada pembukaan Mesyuarat Saintifik ke-15 Persatuan Transplan Malaysia 2012 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Zulkifli Jantan.

Meskipun kadar derma organ di Malaysia dianggap rendah, iaitu kira-kira 0.6 untuk sejuta penduduk, Dr Hasan berkata perlu diakui ia menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dengan 29,500 penderma yang meninggal dunia dicatat tahun lepas,  jumlah tertinggi sejak 1975 (47 penderma).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian tidak menggalakkan rakyat ke luar negara untuk melakukan pemindahan komersial, menerusi kajian dan pelaksanaan polisi termasuk yang berkaitan dengan pembekalan imunosupresan.

Baru-baru ini, katanya, kementerian mengeluarkan garis panduan berhubung pendermaan organ daripada penderma hidup yang tidak ada kaitan kekeluargaan, perlu mendapat penilaian dan kelulusan satu jawatankuasa bebas iaitu Jawatankuasa Kelulusan Transplan Tiada Kaitan Kekeluargaan (UTAC). - Bernama

ISU KESIHATAN : Kerajaan mahu gubal akta antiobesiti


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan bercadang mewujudkan undang-undang antiobesiti menjelang 2020 sebagai usaha membendung peningkatan mendadak kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkaitan sebelum undang-undang berkenaan boleh dilaksanakan.

"Beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan ada membincangkan mengenai kerangka kerja bagaimana untuk melaksanakan undang-undang antiobesiti.

"Dalam perbincangan tersebut, Jepun dilihat sebagai model terbaik kerana mereka mempunyai ukuran pinggang kebangsaan yang komprehensif," katanya ketika ditemuramah dalam program 'Dalam Radar' terbitan Bernama Radio24 hari ini.

Dr Zainal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan mendadak kes NCD dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini mencapai tahap membimbangkan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 mendapati, kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap hipertensi, 2.6 juta orang (kencing manis) dan 2.5 juta penduduk mengalami masalah obesiti. - Bernama.

ISU PENDIDIKAN : 4,374 Sekolah Terima Peruntukan RM987.1 Juta Bulan Depan



KUALA LUMPUR : Sebanyak 4,374 buah sekolah di seluruh negara akan menerima peruntukan RM987.1 juta secara berperingkat bermula bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, RM900 juta merupakan Tabung Khas bagi pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

Beliau berkata daripada peruntukan tabung khas, RM500 juta akan diberi kepada sekolah kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan/Sekolah Menengah Kebangsaan dan masing-masing RM100 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) untuk dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata RM87.1 juta lagi adalah bagi Projek Insentif Luar Bandar untuk pembinaan dan menaik taraf surau sekolah di seluruh negara yang akan dibelanjakan pada tahun ini juga.

"Peruntukan ini melibatkan proses mengganti surau lama yang berjumlah 24 buah dan bagi projek menaik taraf 565 buah surau. Ia diharap dapat membantu pihak sekolah menyediakan ruang lebih selesa bagi menjalankan pelbagai program keagamaan selain aktiviti akademik untuk pelajar," katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah di seluruh negara di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan peruntukan besar itu untuk Kementerian Pelajaran pada Bajet 2012 membuktikan bahawa kepimpinan negara sentiasa prihatin terhadap soal pendidikan.

Beliau berkata adalah penting untuk memiliki infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang lengkap dan baik serta berkualiti agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan selesa.

"Untuk itu, dua tahun yang lepas saya telah mengambil inisiatif membuat auditan fizikal di sekolah seluruh negara, ia telahpun siap. Daripada lebih 10,000 buah sekolah (yang diaudit), sebanyak 600 buah sekolah dilaporkan berada dalam keadaan yang cukup parah.

"Disebabkan itu projek-projek penambahbaikan khususnya di Sabah dan Sarawak, kita perlu tentukan mereka mendapat sejumlah peruntukan yang mencukupi".

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata daripada jumlah bajet yang diperuntukkan untuk kementerian, ia tidak dapat menampung kesemua sekolah  itu dan usaha mengadakan peruntukan dilakukan pada tahun-tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima khusus untuk penyelenggaraan agar bangunan-bangunan sekolah kekal dalam keadaan yang baik, sempurna dan selamat untuk proses pembelajaran.

"Jumlahnya (peruntukan untuk penyelenggaraan) saya belum tahu tetapi boleh dikatakan agak besar. Dengan menambah kualiti infrastruktur di sekolah maka mutu pendidikan juga akan dapat ditingkatkan," katanya. -BERNAMA

Nota Hujung :

Perincian Agihan :
1,744 SK/SMK - RM500 juta
817 SJKC - RM100 juta
369 SJKT - RM100 juta
428 sekolah mubaligh - RM100 juta
167 sekolah agama bantuan kerajaan - RM100 juta
849 projek surau - RM87.1 juta

ISU SOSIAL : Jasa ibu, guru terukir di hati



OLEH : HASAN AL-BANNA MOHAMED

"Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku, bila ku berduka, engkau hiburkan selalu. Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku..." Begitulah antara lirik sebuah lagu yang didendangkan kebanyakan mereka yang semestinya mempunyai ibu.

Tiada di dunia ini melainkan wajib mempunyai seorang ibu, walaupun ada juga ayahnya tidak dikenali atau belum ditemui. Besarnya jasa ibu tidak dapat dinafikan lagi.

Ibulah segala-galanya yang berperanan sebagai guru, pendidik, penglipur lara, pencerita, dan segala macam lagi watak yang dimainkannya walaupun dia seorang buta huruf yang tidak pernah menginjakkan kakinya ke alam menara gading.

Pada Mei setiap tahun, kita meraikan sambutan Hari Ibu dan Hari Guru. Ini bertepatan dalam mengingati jasa ibu sejak kehamilan sehinggalah individu itu tiada di dunia ini. Ibulah sebenarnya menjadi teman suka duka seseorang insan.

Benarlah hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa makhluk yang paling layak untuk melahirkan sifat kasihan belas dan kasih sayang adalah ibu kita sendiri.

Dalam Shahih Bukhari diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang menerangkan bahawa penegasan Rasulullah SAW sebanyak tiga kali untuk berbuat baik kepada ibu, selepas itu barulah kepada bapa. Malah keredaan dan kemurkaan ALLAH SWT terletak di bawah lembayung keredaan dan persetujuan ibu bapa kita sendiri (Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim).

Kitab suci al-Quran memberi suatu panduan yang jelas mengenai berbuat baik kepada ibu bapa seumpamanya melalui Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

Jelaslah bahawa Islam amat menekankan sifat hormati ibu bapa sejak dari kecil lagi. Hayatilah firman ALLAH SWT tersebut dalam diari hidup seharian insan, agar terbentuk generasi anak soleh dan solehah.

Tanggungjawab besar

Dalam Surah al-Ahqaf, ayat 15 yang turut membicarakan mengenai hak seorang anak terhadap ibu mereka yang bersusah payah menjaganya sejak dalam perut sehinggalah dilahirkan ke dunia fana ini.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat mu yang engkau kurniakan kepada ku dan kepada ibu bapa ku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunan ku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada mu, dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang tunduk patuh kepada mu)’.

Secara tuntasnya bahawa peranan seorang anak terhadap ibu bapa mereka adalah meliputi dua tanggungjawab besar yang wajib ditunaikannya sama ada ketika mereka masih hidup dan setelah tiada di dunia.

Ketika hidup, berbuatlah sebaik mungkin kepada mereka dengan sentiasa bertanya khabar berita di kampung melalui pelbagai media elektronik dewasa kini. Bukan hanya setakat itu sahaja, berbual dan berbicaralah selembut bahasa yang termampu seolah-olah ombak rindu yang membadai jiwa.

Di samping itu, berilah wang keperluan kepada kedua ibu bapa yang berkemungkinan dapat menghiburkan sedikit hati naluri yang lara. Jagalah mereka sebaik-baiknya walaupun ia tidak sama dengan jagaan mereka terhadap kita semasa kecil dahulu. Sebutkanlah nama mereka dalam doa seharian anda tatkala melafazkan: "Ya ALLAH Wahai Tuhan kami, ampunilah segala dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami. Dan limpahi rahmat kepada kedua mereka seumpama mereka memelihara ku semasa diri ku masih kecil."

Sekiranya ibu bapa meninggalkan anda buat selama-lamanya, maka janganlah lupa hak dan tanggungjawab yang kedua terhadap mereka, iaitu hendaklah sentiasa berdoa demi kesejahteraan mereka di alam sana. Dengan ayat suci al-Quran  yang dibaca semoga dicucuri rahmat buat kedua-dua  ibu bapa.

Tunaikanlah setiap hutang piutang mereka, lunaskan nazar yang tidak sempat dilaksanakan ketika mereka hidup, jangan putuskan hubungan silaturahim antara rakan mereka, gantikan puasa bagi mereka serta lakukan rukun Islam yang kelima iaitu ibadat haji buat kedua-dua ibu bapa kita sekiranya mampu.

Semoga anda tidak tergolong sebagai anak derhaka yang dipanggil Si Tanggang yang penuh dengan noda, sama ada dosa kecil (az-Zunub) atau dosa besar (al-Kaba’ir). Sesungguhnya anak yang tidak menghormati dan mentaati ibu bapa adalah anak derhaka yang sukar untuk menjejak kaki masuk ke syurga. Ini kerana syurga sudah pasti berada di bawah telapak kaki ibu.

Ibu bapa kedua

Merujuk kembali sempena sambutan Hari Ibu dan Hari Guru yang kini disambut seluruh rakyat di negara ini, sebenarnya masih tidak mencukupi sekadar mengucapkan "Selamat Hari Ibu" dan "Selamat Hari Guru", atau sekadar mengadakan jamuan dan hiburan dengan memberikan hadiah sahaja.

Sebagai anak sejati ataupun anak didik, perlu menunjukkan sikap yang lebih baik daripada itu kerana guru adalah ibu bapa kedua ketika berada di sekolah. Sehubungan itu, anak soleh dan solehah seharusnya menanamkan semangat waja dalam mempelajari ilmu pengetahuan serajin yang mungkin bagi membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa dan guru.

Tuntutlah ilmu dengan seikhlas hati, hormati dan taati segala suruhan dan perintah yang mahmudah (selagi tidak menyalahi syariat Islam), jauhi sifat mazmumah (keji) dalam hidup, jangan lupa solat dan amalan yang diperintahkan ALLAH SWT dan rasul-Nya. Dengan keberkatan dan kerahmatan Ilahi, anak bangsa semua pasti memperoleh ganjaran terbaik suatu masa nanti hasil didikan daripada ibu bapa dan guru yang ikhlas menunaikan amanah yang berat ini.

Perkara yang menjadi dugaan buat masa kini adalah cabaran menangani era globalisasi dan amalan hedonisme yang melanda kebanyakan anak muda. Mereka tidak lagi hiraukan ibu bapa atau guru, asalkan boleh makan, minum dan berhibur semata. Semakin kurangnya nilai murni dalam diri anak muda dengan merebaknya virus kebejatan sosial boleh menyebabkan pincang sistem kitaran kehidupan yang selama ini dibina dengan sebaik mungkin.

Masyarakat sudah bosan menatap di dada akhbar tentang berita hina dina seperti anak meninggalkan ibu bapa mereka di rumah orang tua, anak pukul ibu, anak sanggup bunuh ibu bapa sendiri, murid menengking guru, kereta guru dicalarkan, tayarnya dipancit, mengutuk nama guru dan segala macam lagi perbuatan negatif yang semuanya itu nanti akan dihitung di padang Mahsyar.

Wahai anak muda! Kembalilah semula ke pangkuan fitrah keinsanan. Anda sebenarnya manusia ciptaan ALLAH SWT yang terbaik tanpa sebarang kecacatan dan teristimewa daripada segala-galanya. Setiap orang mahukan lebih daripada kesenangan materialistik dan kebahagiaan sejati pada hari akhirat nanti.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya)". (Surah Al-Syams : 7)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Memulia, menyayangi ibu bapa sepanjang masa


ISLAM mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim hingga kita dilahirkan begitu besar. Mereka bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita hingga dewasa.

Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak. Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa mendidik dan membesar anak sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan, ketika mengandung, saat melahirkan dan dari kecil sehingga dewasa.

Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa kita, mungkin ada antara kita ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama. Cuba kita hayati wajah yang telah kedut ditelan usia, namun tetap tersimpul senyuman menggambarkan kasih sayang.

Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak.

Apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil daripada pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini.

Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Tidak dapat dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anaknya walaupun sesaat, kadang kala ibu tidak dapat menyuap makanan, melelapkan mata dan ada kala tergenang air mata kerana teringatkan anaknya.

Rebutlah kesempatan yang ada ketika hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. Hari ini, ada dalam kalangan anak yang sibuk dengan jawatan, mengejar kuasa dan pangkat tiada masa menziarahi ibu bapa walaupun kepulangannya sentiasa dinantikan penuh kerinduan. Ingatlah menziarahi ibu bapa satu tuntutan kepada seorang anak.

Anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah, kita luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.

Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan perlu direnung kita semua sebagai anak, sudahkah menunaikan kewajipan terhadap ibu.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau pernah bertanya Rasulullah SAW amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.”

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutannya.” (Hadis riwayat Ad Dailami)

Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As bertanya Rasulullah SAW mengenai dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”

Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak yang melupai ibunya dan durhaka selepas mendapat kedudukan yang tinggi akibatnya si anak itu diberi balasan oleh Allah SWT di dunia ini.

Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup, tetapi berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari amalan kita diangkat ke langit dan segala amalan itu dipertontonkan kepada roh ibu bapa kita. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Didik dari buaian



Oleh Mior Kamarul Shahid 
mkamarul@nstp.com.my

Malaysia guna kaedah pendidikan jamin kejayaan setiap pelajar

MALAYSIA akan memperkenalkan metodologi pendidikan dari 'buaian ke kerjaya' yang bermula peringkat awal kanak-kanak sehingga tamat pengajian di universiti.

Kaedah yang diasaskan Canselor State University of New York (SUNY), Dr Nancy Zhimper dan digunakan di Amerika Syarikat itu berjaya meningkatkan kejayaan pelajar dari zaman kanak-kanak sehingga tamat belajar di universiti dan berkerjaya.

Perkara itu dibincangkan pada mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC), kelmarin yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak yang kini dalam lawatan kerja dua hari ke sini.

Ia adalah kerjasama strategik antara beberapa kementerian dengan SUNY bersama Akademi Sains New York (NYAS) untuk membangunkan kapasiti modal insan. Selain mencapai matlamat modal insan inovatif, ia bertujuan mendapat pengiktirafan global, seterusnya melahirkan minda pemenang Hadiah Nobel negara.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri berkata, menerusi pendekatan itu, setiap tahap perjalanan pelajaran murid memerlukan pemerhatian dan pengesanan positif bagi memastikan mereka kekal dalam sistem dan akhirnya menghindari keciciran.

Katanya, ia juga mengambil kira permasalahan dan cabaran dalam konteks masyarakat di New York yang mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia.

“Dengan beberapa pemerhatian dan pembabitan kerajaan, kita boleh mengurangkan kadar keciciran dan menambah penyertaan dan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Pada masa ini, jumlah pelajar yang terbabit dalam mata pelajaran berkenaan tidak memberangsangkan. 

Melalui pendekatan buaian ke kerjaya, pelajar akan ditempatkan di universiti melalui program internship (pelatih) supaya mereka mempunyai lebih nilai pasaran apabila memiliki ijazah kelak,” katanya.

SUNY dan NYAS juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung inisiatif itu dengan Kementerian Pengajian Tinggi. Ia membabitkan pelbagai langkah, termasuk mengenal pasti tindakan tertentu seperti jagaan harian atau lawatan ke rumah oleh pekerja khidmat sosial yang menjadi cara paling baik menyediakan kanak-kanak untuk mula belajar di taman didikan kanak-kanak dengan cara yang betul.

Pelajar kemudian dibantu untuk memenuhi petunjuk yang dikesan dalam bidang kritikal seperti matematik dan kemahiran membaca sepanjang tempoh perjalanan pendidikan mereka.

Memorandum persefahaman (MoU) juga dimeterai antara NYAS dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), disaksikan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung program Permata Negara.

Mengikut kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju menjalin kerjasama strategik membangunkan minda pemenang Hadiah Nobel di kalangan pelajar Permata Pintar UKM.

Mereka juga bersetuju menubuhkan program ‘Laureate-in-Residence’ di Permata Pintar UKM dan Makmal Pintar di universiti penyelidikan terpilih di Malaysia bagi penyelidikan asas untuk kemajuan bersama.

MoU juga bagi membolehkan pelajar Permata Pintar UKM dan penyelidik universiti penyelidikan Malaysia melaksanakan program di NYAS untuk mengukuhkan set kemahiran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/