Jumaat, 4 Jun 2010
Pelaku vandalisme 'sakit mental', dorong jenayah kecil
Perlakuan dan perbuatan vandalisme atau laku musnah kebanyakannya dilakukan di tempat dan terhadap harta benda awam. Pelaku sengaja ingin menunjukkan bukti bahawa perbuatan mereka hebat dan hasilnya dapat dilihat orang ramai.
Tempat-tempat yang selalu menjadi mangsa laku musnah adalah perhentian bas, tandas awam, taman permainan, dinding rumah kedai, paip air, papan tanda dan pondok telefon awam. Perbuatan ini dikatakan berpunca daripada masalah rohani dan emosi pelaku yang tidak seimbang dan stabil. Di sekolah terdapat perbuatan memecahkan cermin tingkap, menconteng dinding dan merosakkan tandas.
Perbuatan vandalisme ini yang berleluasa dalam masyarakat harus dikikis. Anak-anak yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada kedua ibu bapa dikatakan cenderung melakukan kegiatan vandalisme. Keadaan ini sebagai pelarian terhadap keadaan yang dialami dalam rumah tangga kucar-kacir.
Bayangkan jika anda masuk ke tandas awam yang tidak dijaga akan dapati pelbagai tulisan, maki hamun, carutan dan lukisan porno. Begitu juga di taman permainan awam, segala alat permainan yang dikhaskan untuk kanak-kanak semuanya rosak. Rantai besi yang mengikat buaian juga boleh putus dan yang lebih hebat tempat permainan gelongsor kanak-kanak habis terbakar. Begitu juga jika ingin menggunakan telefon awam, gagang telefonnya sudah tiada.
Kajian ahli psikologi pembangunan manusia, Brewer dan Campbell, mendapati budaya vandalisme mempunyai kecenderungan iaitu apa yang berlaku di rumah (tingkah laku yang tidak baik) akan ditunjukkan di luar rumah. Cara dan gaya hidup di rumah yang tidak menghargai harta benda akan terikut-ikut dibawa keluar.
Selain itu, perasaan dendam yang tidak dapat diluahkan akan menyebabkan seseorang itu melakukan perbuatan vandalisme di luar untuk melepaskan geram dan kemarahan. Gaya hidup bebas tidak menghiraukan kepentingan orang lain menyebabkan mereka melakukan perbuatan ini.
Pendidikan disiplin dan memahami peraturan di rumah tidak berkesan. Sikap dan perlakuan tidak baik yang dilakukan kanak-kanak sejak kecil tidak dihalang dan tidak boleh melihat sesuatu perkara yang baik. Pengaruh rakan sebaya yang sering melakukan perbuatan vandalisme menyebabkan pelaku terlibat.
Ada pendapat mengatakan, pelaku vandalisme ini ada masalah mental dan keresahan dalam jiwanya. Perbuatan mereka sesetengahnya dilakukan dalam separuh sedar dan bertujuan melepaskan kemarahan. Ada juga yang melepaskan kata-kata lucah, makian dan carutan. Perbuatan ini mempunyai kaitan dengan jenayah kecil.
Menurut Marcus Tullius Cicero, keghairahan paling besar bagi mereka melakukan jenayah adalah harapan bahawa mereka akan terlepas daripada hukuman. Semua jenayah, sama ada kecil atau besar adalah penyakit dan harus dirawat seperti penyakit. Konflik dalam diri darjah tekanan dan trauma yang tinggi serta kurang kasih sayang menyebabkan seseorang itu melakukan jenayah.
Oleh itu, penawar dan penyucian jiwa sangat penting kepada pelaku vandalisme. Mereka ini wajar diberikan hukuman membaiki kerosakan yang telah dilakukan. Kesedaran dan keinsafan terhadap perbuatan sangat penting bagi menimbulkan kedamaian jiwa dan membuang sifat marah dan dendam.
Kebaikan dan ketaatan serta kesihatan jiwa akan mendekatkan diri kepada ketenangan dan kedamaian. Kesihatan jiwa akan menentukan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Perosak harta benda awam harus dihukum kerana menyusahkan orang lain yang memerlukan penggunaannya. Orang yang beradab tidak akan melakukan perbuatan biadab!
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Hari Alam Sekitar pacu kesedaran insan
ALLAH SWT telah berfirman di dalam surah al-Anfaal, ayat 53 yang bermaksud: “…sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Ayat itu jelas menggambarkan kepada kita seruan Allah agar setiap manusia di atas muka bumi ini sentiasa berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik di dalam semua aspek kehidupan. Salah satu aspek penting yang perlu dititikberatkan adalah berhubung isu pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta segala komponen yang ada di dalamnya. Dalam konteks ini, kita disaran agar mengambil segala manfaat daripada alam dengan tidak mengabaikan aspek-aspek pelestariannya.
Dewasa ini, kita dapati manusia dengan sewenang-wenangnya telah melanggar hukum Allah. Buktinya telah banyak kepincangan yang berlaku ke atas alam sekitar kita lantaran kerakusan sikap manusia yang lebih mengutamakan kepentingan duniawi semata-mata berbanding ukhrawi. Saban hari, kita masih lagi dipaparkan dengan pelbagai berita berhubung permasalahan alam sekitar seperti pencemaran, pembalakan haram, eksploitasi sumber alam secara berlebihan sehingga membawa kepada ancaman kepupusan dan sebagainya.
Keterlanjuran sikap manusia mengingkari alam dikhuatiri akan menimbulkan kemurkaan Allah. Antara tanda-tanda kemurkaan Allah yang dapat kita lihat ialah berlakunya pelbagai bencana alam yang kerap serta sukar diramal seperti tanah runtuh, banjir kilat dan pemanasan global.
Hal ini telah diingatkan di dalam firman-Nya (surah al-Rum, ayat 41) yang bermaksud: Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Namun malangnya, amaran-amaran Allah terhadap larangan mencabuli hak alam hanya ‘persis angin lalu’ sahaja. Ia sedikit pun tidak meruntun hati segelintir golongan manusia yang telah sebati dengan sikap angkuh dan sombong yang terus-terusan bertindak rakus menodai alam sehinggakan ia kian diselubungi kelemasan.
Sikap seumpama ini perlu segera diusir dari jiwa setiap individu. Ini kerana jika ia berlarutan, kelak akan mengundang padah yang lebih besar lagi bukan sahaja kepada alam sekitar, bahkan juga kepada seluruh hidupan yang menghuninya. Justeru, langkah proaktif untuk membendungnya perlu diambil agar roh cintakan alam sekitar dapat disemai di dalam jiwa setiap anggota masyarakat.
Lantaran itu, pelbagai program kesedaran alam sekitar telah dianjurkan bagi memastikan matlamat tersebut dapat direalisasikan. Antara program yang cukup besar ialah Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada tarikh 5 Jun setiap tahun di seluruh dunia. Ia bertujuan menyuntik semangat kesedaran di kalangan masyarakat dunia agar lebih menghargai dan mensyukuri nikmat alam sekitar.
Menyoroti sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, ia merupakan salah satu daripada agenda utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan meningkatkan kesedaran alam sekitar serta meraih perhatian dan tindakan politik di seluruh dunia berhubung isu dan permasalahan semasa alam sekitar.
Sambutan tersebut merupakan inisiatif bagi menggalakkan ekonomi karbon yang lebih rendah serta gaya hidup hijau seperti penggunaan tenaga yang lebih efisien, penggunaan sumber tenaga alternatif, pemuliharaan hutan dan penggunaan mesra alam dalam aktiviti seharian.
Saban tahun ia disambut dengan pelbagai tema yang berbeza dengan tujuan dapat memberi kesedaran yang lebih menyeluruh di dalam semua isu berkaitan alam sekitar. Namun, persoalannya sejauh manakah program-program yang dianjurkan sempena sambutan tersebut mampu mencapai matlamat penganjuran? Adakah ia benar-benar berkesan dan dapat mendidik jiwa masyarakat atau sebaliknya?
Jika diimbas kembali, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia setiap tahun dengan pelbagai aktiviti bagi mendekatkan masyarakat dengan alam sudah mampu menitipkan kesedaran dan membuka mata masyarakat untuk lebih prihatin terhadap alam. Cuma, adakah tahap kesedaran tersebut mampu bertahan lama atau akan menjadi ‘suam-suam kuku’ setelah beberapa bulan sambutan tersebut berlalu.
Ini kerana, jika hanya aspek teknikal sahaja yang dititikberatkan di dalam setiap program alam sekitar yang dianjurkan, dikhuatiri kesedaran yang hadir tidak mampu ‘melekat’ selamanya di dalam jiwa masyarakat. Justeru, adalah lebih molek sekiranya sambutan tersebut disuntik dengan pendekatan agama dan tarbiah rohani bagi memastikan ia akan betul-betul tersemat kukuh di dalam jiwa dan sanubari setiap individu.
Oleh itu, sambutan-sambutan hari alam sekitar seharusnya menerapkan elemen ‘mengajak dan mendidik’ manusia untuk melihat alam dengan pandangan ‘mata hati’. Ini kerana, hanya dengan mendidik manusia melihat alam dengan pandangan mata hati sahaja dapat mematikan sikap rakus manusia terhadap alam yang selama ini hanya berkiblatkan ‘pandangan nafsu’ semata-mata.
Sedangkan, terdapat banyak manfaat yang bakal kita peroleh apabila kita melihat alam dengan pandangan mata hati. Antaranya kita akan terasa kewujudan, kehebatan dan keagungan Allah, di samping dapat mempertingkatkan keyakinan kita kepada al-Quran dan hari akhirat.
Apabila bibit-bibit kesedaran yang ikhlas lahir daripada kalbu yang berpaksikan pandangan mata hati, maka kita akan lebih kenal dan dekat dengan Maha Pencipta.
Seterusnya, apabila kita dekat dengan Pencipta, ia sekali gus dapat mengusir segala sikap pesimis kita terhadap alam serta dapat mengelakkan diri daripada melakukan penderhakaan terhadap alam yang telah banyak memberi manfaat kepada kita. Bahkan, ganjaran yang lebih hebat yang bakal kita peroleh apabila hati kita dekat dengan Allah serta amanah dalam melunaskan tanggungjawab terhadap alam ialah ia akan menjadikan kita seorang yang lebih berkeperibadian luhur dalam semua aspek kehidupan.
Oleh itu, sewajarnya sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang dianjurkan di negara kita melakukan transformasi dengan menerapkan unsur pendekatan agama di dalam setiap aktiviti yang dianjurkan sepanjang sambutan tersebut.
Mudah-mudahan dengan penerapan nilai-nilai agama di dalam setiap program sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dapat menjadi pemacu kesedaran kepada semua anggota masyarakat untuk berusaha merubah diri agar lebih prihatin dan menyayangi alam sekitar.
Malah, ia seharusnya menjadi wadah kepada masyarakat untuk mengumpul segala maklumat dan mengambil manfaat daripada setiap program yang dianjurkan sempena sambutan tersebut.
Penglibatan semua pihak sempena sambutan ini adalah penting bagi memastikan matlamat penganjuran tercapai. Sudah tiba masanya, setiap anggota masyarakat bermuhasabah diri agar lebih bersikap adil dan telus terhadap alam sekitar dengan berpaksikan sikap jujur, amanah, bertanggungjawab, prihatin serta menyingkirkan sifat tamak haloba dalam meneroka khazanah alam. Jika sifat-sifat sedemikian mampu diterapkan dalam jiwa setiap insan, pastinya tidak akan goyah iman manusia walau dilanda badai sekalipun.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my