Penguasaan pengetahuan perlu
dimanfaat bangunkan masyarakat
Ketika memberi syarahannya yang
bertajuk 'Sahsiah Intelektual Pemimpin Fikir Anjakan Paradigma Pembinaan Budaya
Kecemerlangan' kepada kira-kira 2,000 orang mahasiswa baharu jarak jauh
Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid meminta
agar mereka mempunyai 'ghairah ilmu' dan berusaha untuk menguasainya sebaik
mungkin dalam menyiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan serta dapat
membangunkan sahsiah intelektual dan maruah diri.
Katanya, hanya dengan ilmu
pengetahuan seseorang itu berupaya untuk membangunkan kapasiti intelektualnya
dan menjadikannya berbeza daripada mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan?
Keghairahan menuntut ilmu
sememangnya amat ketara dan jelas dalam kalangan masyarakat. Lihat saja
permohonan untuk mengikuti pengajian pada peringkat ijazah di semua universiti
tahun ini. Di USM saja lebih 25,000 permohonan diterima untuk mengisi hanya
6,000 tempat termasuk untuk mengikuti pengajian secara jauh jauh.
Dapatkan ijazah
Walau pun keghairahan ini lebih
tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan segulung ijazah sebagai tanda
pengiktirafan terhadap penguasaan ilmu dan mencapai status ekonomi dan sosial
yang baik, hakikatnya semua berlumba-lumba untuk mengikuti pengajian setinggi
yang mungkin.
Malah beberapa minggu lalu,
kegagalan untuk mendapat tempat di universiti dikaitkan dengan isu yang tidak
relevan dan mula menuding jari terhadap banyak perkara, termasuk mempertikaikan
mereka yang diterima masuk mengikuti pengajian berdasarkan persepsi dan
prasangka. Ada yang juga yang sengaja bermain api perkauman dan membuat tuduhan
berlakunya perkara di luar meritokrasi dalam membuat pemilihan berasaskan
beberapa kejadian yang ditafsirkan sedemikian.
Sedangkan pada masa ini terdapat
begitu ramai pelajar lepasan persekolahan termasuk matrikulasi yang mencapai
kelulusan yang amat tinggi dan berlumba-lumba untuk mendapat tempat yang
terhad. Persaingan ini bukan sekadar dalam kalangan sesuatu kaum secara khusus
malah semua kaum termasuk anak Melayu yang mencapai keputusan sangat cemerlang.
Keghairahan menuntut ilmu ini
adalah satu petanda betapa inilah antara nikmat kemerdekaan negara hasil
perjuangan mereka yang terdahulu yang impikan tegaknya banyak menara ilmu yang
dapat membantu melahirkan sumber manusia yang akan memajukan dalam mengikut acuan
sendiri. Berdasarkan catatan penubuhan universiti, ternyata yang ingin
ditegakkan ialah memastikan agar universiti melahirkan sumber manusia yang
dapat menyumbang dalam pembinaan negara bangsa, pengekalan jati diri dalam
acuan sendiri dan membangunkan masyarakat saintifik yang berdaya saing dengan
pelbagai disiplin ilmunya.
Penguasaan sesuatu bidang ilmu
itu perlu disusuli dengan semangat cintakan negara yang utuh dan melihat
kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam menjaga
kesejahteraan sosial yang ada supaya tercapai hasrat pejuang yang ingin melihat
kelangsungan negara pada masa hadapan terjamin dan berada pada landasan yang
betul.
Sebaliknya, jika keghairahan ini
hanya untuk mendapat kesenangan peribadi dan menuding jari apabila tidak
mendapatnya, maka laluan untuk mewujudkan masyarakat yang berpendidikan tinggi
dengan set minda yang betul, sayangkan masyarakat dan negara, agak dan perlu
diperbetulkan.
Justeru, seruan tokoh akademik
seperti Profesor Ibrahim yang sudah lama bergelumang dalam dunia pendidikan
harus diambil serius. Pengajian tinggi dan ilmu pengetahuan semestinya menjadi
satu mekanisme utama untuk meningkatkan maruah diri, mematangkannya dengan
pengalaman melalui interaksi sosial yang berterusan, perdebatan ilmiah, wacana
ilmu dan komunikasi yang berkesan dengan melihat kepentingan negara dan
masyarakat sebagai suatu asas penting untuk kelangsungan masa hadapan.
Kejayaan peribadi amat penting
Walaupun kejayaan peribadi itu
amat penting sebagai asas untuk berbakti kepada masyarakat, kejayaan sebenar
ialah apabila ia dapat dikongsi dan dimanfaatkan untuk melakukan perubahan yang
diingini masyarakat, menghargai kebebasan, menggunakan imaginasi, kreativiti
serta inovasi untuk meningkatkan daya saing dan mempertahankan keharmonian
negara.
Kita sudahpun melihat bagaimana
orang yang berilmu dan berijazah dengan pemikiran terbuka mempertikaikan
sesetengah perkara yang menjadi asas dan teras keharmonian, menggunakan lesen
kreatif untuk mempersendakan Jalur gemilang dan lagu Negaraku serta yang buta
budaya dengan mempersendakan agama sehingga mengheret kepada perdebatan dan
keributan dalam masyarakat.
Hakikatnya, ilmu pengetahuan,
jati diri, kemerdekaan dan cinta akan negara, etika, moral dan agama adalah asas
untuk diintegrasikan sebagai teras kelestarian masa hadapan.
* Penulis ialah Timbalan
Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/