teokok@ukm.my
Sistem pendidikan, kurang pergaulan kekangan penguasaanDASAR mengenai kaedah mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan yang digubal pada 2000, yang didakwa sesetengah pihak tidak pernah dilaksanakan, kini akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2011. Dasar ini mengkehendaki mata pelajaran wajib ini diajar guru dwibahasa, iaitu mereka yang mahir dalam bahasa ibunda masing-masing dan kemudiannya baru diikuti kemahiran dalam bahasa Melayu.Penguatkuasaan dasar ini mulai 2011 antaranya adalah ekoran aduan masyarakat bukan Melayu mengenai pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular yang masih diajar guru yang tidak mengetahui bahasa Mandarin dan Tamil. Untuk ini, Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan bahawa guru mengajar mata pelajaran ini khususnya kepada pelajar tahap satu dan dua hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh berbahasa Mandarin atau Tamil, selain bahasa Melayu. Mereka juga perlu mempunyai kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Pelajar tahap tiga sehingga enam pula hendaklah diajar guru yang bidang pengkhususannya adalah bahasa Melayu. Untuk sekolah vernakular yang mempunyai bilangan pelajar kecil, mata pelajaran ini hendaklah pula diajar guru dwibahasa berpengalaman dan mereka ini perlu memiliki kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap SPM.
Dengan penekanan menggunakan guru dwibahasa, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini dikendalikan melalui kaedah penterjemahan. Kaedah ini adalah pendekatan tradisional dan popular pada abad ke-19. Walaupun begitu, kaedah ini adalah pendekatan dominan dalam perkaedahan pendidikan bahasa pada awal zaman moden ini.
Namun hanya segelintir pendidik mendapatinya masih sesuai dengan keperluan pelajar dan kebahasaan semasa. Sebaliknya, ramai guru bahasa mendapati kaedah ini tidak banyak membantu pelajar menguasai bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik.
Pendidikan bahasa yang tidak menggunakan bahasa ibunda pelajar dan mereka digalakkan berfikir dalam bahasa yang sedang dipelajari itu adalah pendekatan dikenali sebagai kaedah langsung. Melalui kaedah ini, tidak ada usaha menterjemah sebarang apa diajar dan dipelajari itu. Dengan ini, pelajar diajar segala kemahiran berbahasa berdasarkan situasi bahasa berkenaan dengan serealistik yang mungkin dalam bilik darjah.
Kaedah ini sangat diminati dan pelbagai kelainan berkembang daripada yang asal. Oleh sebab diajar oleh guru yang dilatih khas, pelajar didapati bukan saja berjaya menguasai sistem nahu bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik. Tetapi yang lebih penting ialah mereka didapati berjaya menguasai sebutan dan intonasi bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik.
Semua ini kurang berjaya digarap menerusi kaedah penterjemahan. Ini antaranya kerana pemilihan guru amat bergantung kepada mereka yang cekap berbahasa ibunda, walaupun tidak dilatih khas untuk mengajar sesuatu bahasa itu. Oleh itu, mutu pendidikan bahasa yang sedang dipelajari itu, sering didapati tidak sebaik yang dikendalikan melalui kaedah langsung.
Persoalan lebih penting mengenai dasar ini ialah bukan mengenai kaedah pendidikan bahasa Melayu di sekolah vernakular, tetapi implikasi desakan menggunakan kaedah penterjemahan sebagai satu-satunya pendekatan berkesan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada pelajar Cina dan India yang baru memasuki alam persekolahan formal.
Dengan penggunaan kaedah penterjemahan, bahasa Melayu tidak dapat dinafikan diajar dan dipelajari sebagai bahasa asing oleh rakyat Malaysia sendiri di bumi Malaysia ini, iaitu tanah tumpah darah mereka. Perkara ini bukan saja pelik tetapi menyedihkan, selain sangat memalukan sehingga boleh menjejaskan imej negara dari segi kebahasaan di mata masyarakat luar.
Bahasa Melayu adalah bahasa negara di Malaysia. Sebagai bahasa negara, sama ada dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan mahupun bahasa rasmi, ekologi linguistiknya cukup agam dan banyak sekali.
Ia dituturkan di seluruh pelosok negara dan kedengaran di media elektronik pada setiap masa sepanjang hari. Dengan kata lain, bahasa Melayu adalah bahasa fungsional di negara ini, iaitu digunakan meluas, selain amat penting untuk kebanyakan tujuan.
Dengan kepentingannya yang begitu utama sifatnya, mengapakah anak kecil ini tidak disediakan ibu bapa mereka melalui persekitaran bahasa Melayu yang begitu lawas di bumi watannya, untuk menguasai bahasa Melayu secara tidak formal, sebelum menjejak kaki ke sekolah?
Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu gagal disanjungi banyak pihak sebagai memiliki status kudus apabila didaulatkan sebagai bahasa negara.
Ia dianggap mereka ini sebagai bahasa etnik kaum Melayu semata-mata, yang dipaksakan penguasaan kepada kaum bukan Melayu. Tanggapan begini salah sama sekali dan perlu diperbetul segera agar penghormatan kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara itu, mendapat sanjungan yang khalis sifatnya oleh semua pihak dan tidak yang sebaliknya.
Sehubungan ini, pada satu pihak lain, masyarakat Cina dan India tidak pun kedengaran mendesak agar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah vernakular juga diajar guru dwibahasa, seperti yang berlaku pada bahasa Melayu. Ini adalah kerana ibu bapa membuat persediaan awal secara tidak formal, agar anak mereka didedahkan kepada bahasa antarabangsa ini, melalui ekologi linguistik bahasa Inggeris yang ada di negara ini.
Pendedahan yang kurang dan dalam sesetengah kes tiada langsung terhadap bahasa Melayu, rata-ratanya diakui sebagai sebab utama keperluan kaedah penterjemahan ini digunakan untuk pendidikan bahasa Melayu pada peringkat permulaan di sekolah vernakular.
Sehubungan ini, apakah yang sudah berlaku kepada kurikulum pendidikan bahasa dan pergaulan secara formal antara anak bukan Melayu dengan Melayu ketika bersama-sama di institusi pendidikan prasekolah yang boleh memberi pendedahan awal itu?
Sesungguhnya pendidikan bahasa dan pergaulan ini tidak pernah wujud secara berleluasa. Sistem pendidikan pelbagai aliran diamalkan di negara ini. Melalui sistem begini, semenjak usia muda lagi, kanak-kanak sudah dididik melalui bahasa ibunda secara dominan dan untuk bergaul sesama sendiri daripada kelompok sebangsa saja.
Sehubungan ini, pergaulan secara tidak formal antara kanak-kanak daripada pelbagai bangsa dalam kejiranan sama juga tidak wujud di kebanyakan tempat. Tidak dapat dinafikan pergaulan semasa pada peringkat prasekolah dan dalam kejiranan sama, selain dapat memupuk semangat muhibah yang penting untuk menjalin perpaduan, sudah tentu penting dalam memberi pendedahan awal itu, selain membantu anak bukan Melayu menguasai bahasa Melayu secara tidak formal.
Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/