Khamis, 5 Julai 2012

ISU KESIHATAN : Kesihatan hanya dihargai ketika sakit



Oleh : Norkumala Awang

JIKA dulu penyakit diabetes tidak menjadi satu kegusaran tetapi kini ia menjadi ancaman yang meruncing akibat peningkatan jumlah yang menghidapinya adalah dua kali ganda berbanding lima tahun lalu.

Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 mencatatkan kira-kira tiga juta rakyat Malaysia menghidap diabetes berbanding hanya 1.5 juta pada 2006. Aliran ini agak membimbangkan memandangkan masih ada sebilangan masyarakat yang tidak peka dan tidak menyedari penularan penyakit itu walaupun ia bukan dikategorikan sebagai penyakit berjangkit.

Disebabkan gaya hidup tidak sihat, tabiat pemakanan, merokok, tidak bersenam dan selesa dengan gaya hidup tidak aktif menyebabkan ia terus sebati sebagai amalan kebiasaan.

Lebih mengejutkan lagi, kira-kira dua juta individu dewasa yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi, tetapi belum menjalani pemeriksaan doktor. Bukan sedikit melengah-lengahkan pemeriksaan kesihatan dengan alasan kesihatan masih berada pada tahap memuaskan.

Pada hal, perlu diingatkan bahawa kebanyakan kes pesakit diabetes tidak akan mengalami sebarang gejala atau komplikasi pada peringkat awal dan kadangkala mencapai sehingga tujuh atau 10 tahun dari tempoh awal mula penyakit diabetes dikesan.

Ia dilihat sebagai suatu kebiasaan apabila kita tidak mengendahkan kesihatan dan akan berubah apabila sudah disahkan menghidapinya. Pada saat itu, barulah kita mula melakukan perubahan drastik sedangkan penyakit itu sudah bermaharajalela dalam badan.

Kesihatan adalah mahkota dijunjung orang yang sihat, tidak dapat dilihat kecuali bagi orang yang sakit. Ia hanya dihargai apabila sudah ditimpa sakit.

Direkodkan oleh Imam Ahmad: “Manusia tidak akan diberi yang lebih baik di dunia ini daripada keyakinan dan kesihatan, oleh itu mohonlah kedua-duanya kepada Allah.”

Maka, wajarlah inti pati daripadanya menjadi kekuatan untuk umat Islam menjaga kesihatan supaya tidak terus dibelenggu ancaman yang berpunca daripada diri sendiri.

Purata menunjukkan seorang daripada tujuh rakyat Malaysia menghidap diabetes. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan semakin ramai meninggal dunia pada usia muda akibat penyakit tidak berjangkit termasuklah diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

Mungkin, ancaman sudah pun menular dalam kelompok sekeliling seperti di tempat kerja dan kejiranan. Namun, ia masih terus dipinggirkan kerana kita mengambil sikap ‘tidak mengapa’ dan bertangguh melakukan pemeriksaan kesihatan.

Sebagai umat Islam yang menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah atas nikmat kesihatan, wajar kita memelihara dan memulihara kesihatan dengan cara menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan Tingkatan Enam Akan Lalui Penjenamaan Semula


YOGYAKARTA : Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan prauniversiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara langkah yang akan diambil ialah memisahkan para pelajar berkenaan dari sekolah-sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat-pusat pengajian khas untuk tingkatan enam.

"Kami sedang memikirkan untuk menyatukan tingkatan enam, menggunakan pakaian yang berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang tidak sama, kategori yang lain sedikit (secara perbandingan dengan sekolah biasa)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Khamis.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak semalam kerana menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengannya yang berakhir hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata bagi menjayakan cadangan itu, pelajar-pelajar tingkatan enam wajar ditempatkan di pusat-pusat pengajian khas kerana bilangan mereka kini bertaburan di seluruh negara belajar dalam satu atau dua kelas di sekolah-sekolah tertentu.

Pada tahun ini, ada sejumlah 83,000 pelajar tingkatan enam dan 26,000 pelajar matrikulasi di seluruh negara.

Langkah untuk memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah biasa juga selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelajar prauniversiti.

"Umum pada masa ini melihat pendidikan tingkatan enam adalah kesinambungan daripada pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka di tingkatan enam adalah dalam kategori yang berbeza dan lebih matang daripada segi pemikiran," katanya.

Muhyiddin berkata penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihat bahawa tingkatan enam memang sebenarnya adalah pendidikan prauniversiti yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan pusat asasi sains anjuran universiti-universiti awam tempatan.

Persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi adalah lebih baik daripada di tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing masuk ke universiti awam adalah sama.

Masyarakat, katanya, tidak harus melihat bahawa pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya, pencapaian pelajar tingkatan enam  lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.

Sehubungan itu pelajar-pelajar lepasan SPM harus juga melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga merupakan antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra universiti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan dalam sistem pendidikan tingkatan enam telahpun dimulakan tahun ini melalui sistem pembelajaran tiga semester namun secara perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan pengajian mereka enam bulan lebih awal.

Ditanya tentang kemungkinan pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal supaya bersamaan dengan tempoh pembelajaran di kolej matrikulasi, beliau berkata perkara itu akan dikaji oleh Kementerian Pelajaran.

Muhyiddin hari ini berlepas ke Bali untuk meneruskan lawatan enam hari ke Indonesia sejak 3 Julai lalu dalam rangka meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk berbincang dengan Naib Presiden Indonesia Boediono mengenai isu-isu dua hala antara kedua negara, khususnya yang berkaitan dengan tenaga kerja, masalah di kawasan sempadan maritim yang dipertikaikan serta masalah budaya masyarakat. BERNAMA

ISU SOSIAL : Menghindar jenayah tempat letak kereta


Oleh : Akhbar Satar

Pusat beli-belah perlu aktif anjur kempen keselamatan kepada pengunjung

KES jenayah di kawasan letak kereta pusat beli-belah kini amat membimbangkan. Semakin ramai pengunjung berasa tidak selamat apabila berada di kawasan ini. Oleh itu, ia memerlukan sesuatu tindakan pantas dan berkesan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Jenayah di tempat letak kereta membabitkan pecah kereta, mencuri, vandalisme, ragut, rompak, samun, culik, rogol dan pembunuhan. Kajian menunjukkan 80 peratus jenayah di pusat beli-belah berlaku di kawasan letak kereta, terutama di tempat tertutup. Adalah wajar pemilik pusat beli-belah peka dan mengambil berat keselamatan pengunjungnya dan memastikan mereka sentiasa dalam keadaan selamat, terutama apabila berada di kawasan tempat letak kereta.

Wanita adalah mangsa utama penjenayah di tempat letak kereta. Penjenayah memilih wanita kerana mereka selalunya tidak melawan dan risiko penjenayah ditangkap agak rendah. Penjenayah kini bijak memilih mangsa selain melihat risiko ditahan. Mereka mempelajari teknik dan taktik terkini menerusi internet atau di televisyen.

Di Barat, sebelum sesuatu bangunan dibina termasuk penyediaan tempat letak kereta, biasanya jurubina mendapatkan pandangan daripada pakar ‘Environmental Criminologists’ bagi mengurangkan jenayah dan dapat menjamin keselamatan pengunjungnya.

Kebanyakan jenayah di kawasan tempat letak kereta berpunca daripada peluang untuk melakukannya. Sebagai contoh, kombinasi peluang yang mengundang berlakunya jenayah adalah ada tempat untuk bersembunyi dan kawasan gelap.

Pengurusan pusat beli-belah perlu memberi perhatian terhadap pencahayaan yang baik di kawasan tempat letak kereta, terutama di kawasan tersorok dan sunyi. Kebanyakan pusat beli-belah tidak menyediakan lampu terang di tempat letak kereta.

Kebanyakan pusat beli-belah menyediakan pengawal keselamatan tidak kompeten, tidak terlatih ditambah burukkan lagi apabila mereka ini kurang pasti apa tugas mereka sebenarnya.

Sudah sampai masanya pengawal keselamatan dipilih daripada kalangan lebih kompeten supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan baik. Ketiadaan rondaan berkala dan sistematik oleh pengawal keselamatan juga menggalakkan penjenayah melakukan jenayah sewenang-wenangnya.

Cuma ada beberapa pusat beli-belah di sekitar Petaling Jaya yang dimiliki pelabur asing mempunyai pengawal keselamatan yang baik. Ada rondaan dilakukan (berbasikal atau berjalan kaki) menyebabkan penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak menyerang mangsa. Penjenayah akan lari ke tempat lebih selamat dan mudah meloloskan diri jika menghadapi kesulitan. Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta adalah baik.

Kebanyakan pusat beli-belah memasang CCTV tetapi malangnya ia tidak mengikut prosedur keselamatan ditetapkan. CCTV dipasang berkualiti rendah, tiada penyelenggaraan, kadangkala rakaman tidak dibuat menyebabkan sukar bagi pihak polis mengambil tindakan.

Yang lebih menyedihkan, pengawal keselamatan yang diberi tugas untuk memerhati di dalam bilik CCTV, tidak tahu apa yang patut mereka lihat. Mereka tidak diberi latihan mencukupi dan kadangkala tidak dapat mengenal pasti orang yang berada dalam keadaan mencurigakan berdasarkan gerak-geri seseorang.

Tukang cuci adalah orang penting yang sentiasa berada di setiap kawasan, mereka boleh membantu mengesan pengunjung mencurigakan. Biasanya mereka juga dibekalkan alat perhubungan dan boleh digunakan untuk melaporkan kepada pihak keselamatan jika ada kejadian tidak diingini dan mereka boleh dijadikan sebagai mata dan telinga untuk mengurangkan berlakunya jenayah di pusat beli-belah, terutama kawasan letak kereta.

Pusat beli-belah boleh juga mengadakan kempen keselamatan dari semasa ke semasa. Mereka harus mempamerkan nombor kecemasan bagi memudahkan orang ramai menghubungi pengawal keselamatan dengan segera jika berlaku jenayah.

Peranan orang ramai juga penting agar melaporkan segera tindakan atau situasi mencurigakan kepada pengawal atau polis. Jika seseorang yang mencurigakan menghampiri mereka, pergilah ke kawasan yang mempunyai ramai orang atau masuk kembali ke pusat beli-belah itu.

INFO: Panduan elak jadi mangsa penjenayah :

i. Letakkan kereta berhampiran pintu masuk pusat beli-belah, di tempat terang dan sentiasa patuhi arahan pihak penguat kuasa dan berhati-hati setiap masa.

ii. Pengunjung perlu meminta bantuan rakan atau pengawal keselamatan untuk menemani ke tempat letak kereta sekiranya persekitaran gelap.

iii. Sentiasa peka keadaan sekeliling dengan meletakkan kenderaan di petak jauh jika ia lebih selamat berbanding petak berdekatan, tetapi boleh mengundang bahaya.

iv. Tinjau dulu keadaan di dalam kenderaan sebelum masuk. Pastikan kunci sudah berada di tangan sebelum menghampiri kenderaan. Elakkan dilihat tercari-cari sesuatu di dalam beg.

v. Kunci pintu selepas memasuki kenderaan sebelum menghidupkan enjin, selain elakkan melengahkan masa di tempat letak kereta.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU EKONOMI : Cerminan hidup lebih berkualiti


TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP

Masyarakat Malaysia kini menikmati hidup yang serba moden, canggih dan selesa dalam arus kesibukan kota. Walau bagaimanapun, agak menarik untuk diamati bahawa ramai dalam kalangan masyarakat kini mula bergerak mengikut arus peredaran masa dari cara kehidupan serba ringkas di kampung ke kehidupan generasi moden.

Senario ini dengan sendirinya, menceritakan sebahagian daripada kisah kejayaan masyarakat Malaysia hari ini. Seperti apa yang selalu digambarkan oleh Datuk Lat, suatu ketika dulu kualiti kehidupan di kampung agak berbeza.

Secara amnya, rata-rata masyarakat di kampung berpuas hati dengan kehidupan yang ringkas, umpamanya, walaupun terpaksa berjalan kaki ke sekolah di bawah terik mentari dan deraian hujan, namun mereka akur dengan keadaan seadanya. Sungguhpun tidak kaya, namun makanan sentiasa ada. Walaupun hanya mempunyai alat mainan yang tidak secanggih mana dan ada kalanya mainan buatan sendiri, mereka tetap gembira.

Mungkin ketika itu, kualiti kehidupan di kampung berasaskan sumber pertanian adalah mencukupi, harapan masyarakat pada masa itu rendah, ruang lingkup pula terhad, namun sekiranya masyarakat masih kekal berpuas hati dengan kehidupan sebegini, Malaysia tidak akan maju sebagai entiti ekonomi yang berjaya pada hari ini, justeru kualiti hidup masyarakat tidak akan sebaik sekarang.

Kini, masyarakat berpeluang membaca Laporan Indeks Kualiti Hidup yang menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan perkembangan yang kukuh secara berterusan. Satu kemajuan yang semestinya dirasai oleh semua rakyat negara ini. Hakikatnya di sebalik laporan ini adalah kejayaan pelaksanaan dasar yang mantap dan berani yang mempertingkatkan kehidupan masyarakat ke tahap ini. Dasar ini juga yang memajukan masyarakat menjadi lebih progresif.

Pada 1970, kerajaan menetapkan hala tuju baru bagi kemajuan ekonomi menerusi pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB merupakan tindak balas segera bagi menangani keperluan mendesak pada ketika itu, namun pelaksanaannya tepat pada masanya dan berpandangan jauh. Pada 1991, Wawasan 2020 diperkenalkan. Bagi majoriti rakyat Malaysia, ia adalah satu fantasi, tetapi kepada pemimpin negara, ia adalah satu agenda ke arah mencapai impian negara.

Pada 2010, kerajaan membuat satu lagi inovasi penting ke arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi menerusi Model Ekonomi Baru (MEB). Susulan daripada itu, agensi khusus diwujudkan untuk merancang dan melaksanakan pelbagai perubahan sebagai sebahagian daripada program transformasi negara. Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) merupakan strategi bersepadu untuk memacu pertumbuhan negara ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.

Persoalannya di sini, apakah kaitan semua ini dengan kualiti kehidupan masyarakat? Dalam tempoh pasca kemerdekaan sebelum 1970, kadar kemiskinan dan pengangguran menunjukkan angka yang tinggi dalam kalangan penduduk yang semakin bertambah.

Walaupun terdapat pelaburan besar dalam bidang pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas, namun tumpuan kepada satu dimensi ini terbukti masih belum mencukupi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Kerajaan sedar bahawa parameter lain yang bukan bersifat ekonomi perlu diambil kira dalam proses membina sebuah negara, jika negara inginkan pembangunan yang mampan.

Sejak 1970, kerajaan melaksanakan pelbagai program mega dan berimpak tinggi untuk mengubah status sosial dan ekonomi rakyat.

Ini bertujuan mengimbangi penyertaan pelbagai kumpulan dalam ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan ekuiti dalam konteks pembangunan ekonomi serta dasar yang menyokong perniagaan.

Hasilnya, sub-indeks Pendapatan dan Pengagihan Kualiti Hidup Malaysia bertambah baik dengan ketara. Kadar kemiskinan berkurangan daripada 75.0 peratus pada 1957 kepada 49.3 peratus pada 1970 dan hanya 3.6 peratus pada 2010 manakala kadar kemiskinan tegar hampir dapat dibasmi sepenuhnya.

Kini, Malaysia merupakan negara perindustrian. Berdasarkan Laporan Tahunan IMD World Competitiveness Yearbook, 2012 Malaysia menduduki tangga ke-14 daripada 58 negara, manakala Laporan World Bank Ease of Doing Business, 2012 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-18 daripada 183 negara.

Dari aspek pendidikan pula, World Economic Forum melaporkan Kualiti Pendidikan Sekolah Rendah Malaysia berada di kedudukan ke-21 daripada 142 negara. Ini merupakan pencapaian memberangsangkan dan di luar jangkaan.

Mulai pertengahan 1990-an, kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya satu per lima daripada perbelanjaan pembangunan negara kepada sektor pendidikan dan latihan kerana Kerajaan yakin bahawa ilmu merupakan kunci kepada pendapatan rakyat yang lebih baik.

Ini terbukti benar kerana kadar celik huruf di Malaysia yang meningkat melebihi 93 peratus telah membolehkan tenaga kerja lebih mudah dilatih dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan kualiti pendidikan masih perlu ditambah baik dan ini adalah fokus kerajaan ketika ini.

Bagi tujuan ini, kerajaan sentiasa memastikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Antaranya, Program Peneraju Tunas Potensi diperkenalkan untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar berpotensi daripada golongan berpendapatan rendah serta hidup dalam persekitaran mencabar, yang memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

Pada tahun ini, 225 orang pelajar bumiputera ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran mereka di peringkat pra-universiti, A-level, International Baccalaureate dan ijazah di bawah program ini.

Pembangunan modal insan adalah elemen penting ke arah menjadi sebuah negara yang maju. Menyedari kepentingan menguasai ilmu pengetahuan untuk merubah negara menjadi maju dan progresif, Malaysia menyediakan pendidikan universal kepada semua rakyat di peringkat rendah dan menengah.

Pelaburan dalam modal insan membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan ketaksamarataan, yang seterusnya membolehkan mobiliti sosial yang lebih luas dan kualiti hidup lebih baik kepada rakyat.

Jadi, tidak hairanlah sub-indeks pendidikan mencatatkan pertumbuhan tertinggi berbanding semua komponen dalam kualiti hidup.

Dalam pada itu, kerajaan menubuhkan Talent Corp. yang berperanan sebagai focal point bagi isu-isu berkaitan bakat. Ia juga merupakan pengantara bagi sektor swasta dan agensi kerajaan untuk menambah baik dasar berkenaan di samping memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan jalinan kerjasama dengan majikan untuk mengambil dan membangunkan bakat terbaik.

Kerajaan juga sentiasa menyokong pembangunan dan kemajuan serta penglibatan wanita dalam aktiviti sosial dan ekonomi, bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.

Hari ini, terdapat lebih ramai wanita tampil sebagai ahli politik, pentadbir dan pengurus yang mahir dalam semua bidang utama sosio-ekonomi, termasuk pendidikan, kesihatan, dan dalam sektor korporat dan awam. Bilangan wanita yang berpendidikan sehingga peringkat universiti telah melebihi lelaki.

Ini tidak menghairankan kerana dasar pendidikan Malaysia adalah neutral tanpa mengira jantina. Di samping itu, peratusan bilangan wanita sebagai eksekutif perniagaan di Malaysia adalah lebih besar berbanding dengan beberapa negara di Eropah atau Asia Barat.

Peluang wanita di Malaysia adalah lebih banyak berbanding kebanyakan negara yang mendakwa golongan wanita di negara mereka lebih diberi kebebasan hak dan pengiktirafan yang sama rata.

Penulis ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri / Unit Perancangan Ekonomi

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : Ke arah peningkatan taraf hidup rakyat


TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP

MEMANG benar bahawa penyertaan wanita dalam pasaran buruh di negara ini meningkat daripada 37 peratus pada 1970 kepada 49 peratus pada 2011, namun ia belum mencapai matlamat yang disasar, terutamanya bagi wanita yang berpendidikan tertiari.

Maka, demi mencapai hasrat negara meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan di Invest Malaysia di mana mulai 2013, insentif potongan cukai dua kali akan diberi ke atas perbelanjaan latihan yang ditanggung oleh syarikat yang menggaji semula wanita selepas lama berhenti kerja.

Perdana Menteri juga meminta syarikat utama yang tersenarai di Bursa Malaysia supaya menyatakan dalam laporan tahunan mereka mengenai dasar yang dilaksanakan bagi menggalak dan menyokong penyertaan wanita seperti pelaksanaan waktu kerja yang fleksibel.

Dalam pada itu, untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah menganggur, kerajaan melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia yang dilancarkan pada 1 Jun 2011. Program ini dibangunkan dengan kerjasama syarikat untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Program ini ditawarkan kepada graduan yang mempunyai kelayakan minimum Ijazah Sarjana Muda dan menganggur sekurang-kurangnya enam bulan lepas tamat pengajian. Keutamaan diberi kepada siswazah menganggur daripada golongan berpendapatan rendah. Syarikat yang menyertai program ini diberi potongan cukai dua kali ke atas elaun bulanan tidak kurang daripada RM1,000 yang dibayar kepada graduan.

Satu lagi faktor pertumbuhan ialah pengekalan kos hidup rendah yang meningkatkan kuasa beli yang lebih tinggi. Pendapatan per kapita kini mencatatkan kira-kira AS$9,500, pencapaian 25 kali ganda lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada 1970. Pendapatan per kapita dari segi pariti kuasa beli meningkat 13 kali ganda kepada AS$17,250. Inflasi yang rendah juga sangat penting untuk pembangunan ekonomi.

Sehubungan itu, pengekalan harga yang stabil dan rendah adalah satu daripada tugas utama kerajaan. Walaupun dalam pasaran bebas, harga barang-barang keperluan terpilih dikawal dan pergerakan harga di pasaran dipantau. Aktiviti pengambilan untung berlebihan dibendung. Ini adalah antara cara Malaysia mengekalkan kadar inflasi yang rendah. Sejak 1970, purata kadar inflasi berada di bawah 3 peratus setahun.

Daya saing Malaysia dapat dikekalkan dan taraf hidup meningkat kerana inflasi yang agak rendah, manakala kemahiran dan produktiviti yang tinggi memberikan pendapatan yang lebih baik membolehkan rakyat mempunyai kuasa beli yang tinggi. Tidak menghairankan, Forum Ekonomi Dunia (WEF) meletakkan Malaysia di kedudukan pertama dari segi peratus perubahan tahunan dalam indeks harga pengguna.

Infrastruktur adalah satu lagi elemen penting pembangunan negara kerana ia mengurangkan kos dan menggalakkan pertumbuhan perniagaan. Satu daripada faktor yang menyebabkan sesebuah negara kekal miskin adalah ketidakupayaan untuk membina infrastruktur asas.

Semakin Malaysia membangun, semakin besar peruntukan dibelanjakan untuk pembinaan jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang, bekalan air dan loji janakuasa. Kebanyakannya melalui kaedah perkongsian awam-swasta. Maka, tidak menghairankan apabila Malaysia menduduki tangga ke-18 daripada 142 negara dalam Laporan WEF kerana mempunyai sistem jalan raya dan kereta api yang cekap.

Malaysia juga berjaya memperluas perkhidmatan kesihatan asas yang berpatutan kepada rakyat dan telah mencapai hasil yang membanggakan. Pelaburan yang berterusan dalam bidang kesihatan telah menyumbang kepada jangka hayat yang lebih panjang dan kadar kematian yang lebih rendah setanding dengan negara maju yang lain.

Kini, rakyat Malaysia dijangka hidup lebih lama pada purata umur sehingga 71 tahun bagi lelaki dan 76 tahun bagi wanita. Kadar kematian bayi berkurangan daripada 16 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1990 kepada hanya 6 pada 2010 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup. Penjagaan kesihatan telah mencatatkan kemajuan yang ketara dalam Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM).

Perumahan adalah asas kepada kesejahteraan hidup rakyat. Salah satu objektif pembangunan Malaysia adalah penyediaan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki.

Malaysia memberi keutamaan dalam penyediaan perumahan yang mampu dimiliki yang turut memainkan peranan penting dalam menyokong program pembasmian kemiskinan. Peningkatan kuantiti rumah yang berkualiti adalah penyumbang tertinggi sub-indeks perumahan dalam IKHM. PR1MA merupakan program baru yang dilancarkan pada 2011 untuk membantu isi rumah berpendapatan kurang daripada RM7,500 sebulan untuk memiliki rumah pertama.

Malaysia sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan yang mampan dan konsep ini disepadukan dalam dasar pembangunan negara. Contohnya, kerajaan komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah dikekalkan sebagai kawasan hutan. Pada 2010, kawasan tanah hutan hampir dua pertiga daripada kawasan tanah keseluruhan, tidak seperti di beberapa negara maju yang mana kawasan hutannya menyusut teruk. Di samping itu, peningkatan kualiti air sungai dan udara yang lebih baik telah meningkatkan sub-indeks alam sekitar.

Walaupun berhadapan dengan beberapa krisis ekonomi yang berpunca dari ketidakseimbangan ekonomi global namun, ekonomi Malaysia terus berkembang pesat dengan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus setahun bagi tempoh 1970-2011.

Jumlah dagangan Malaysia mencecah RM1.3 trilion pada 2011 dan merupakan pengeksport ke-25 terbesar dunia. Jika 30 tahun dulu, kerajaan menjadi pemacu utama pembangunan, tetapi hari ini sektor swasta menjadi rakan pertumbuhan yang dinamik dan teguh. Pemodalan pasaran melebihi RM1.3 trilion pada 2011 dan terus meningkat.

Semua kemajuan ini menjawab pertanyaan - bagaimana kerajaan mengukur kualiti hidup dengan cara yang mudah difahami oleh masyarakat. IKHM merupakan komposit indeks yang merangkumi 11 komponen yang berkaitan dengan konsep kualiti hidup. IKHM mula diperkenalkan pada 1999 dan melaporkan peningkatan kualiti hidup sejak 1980.

IKHM 2011 menunjukkan pencapaian pada 2010. Ia mencerminkan rangka kerja dasar kerajaan yang lebih menyeluruh, bukan sahaja meliputi agenda kuantitatif malah merangkumi komponen kualitatif seperti dimensi pembangunan modal insan, sosial dan alam sekitar.

IKHM merupakan instrumen yang boleh diguna pakai dalam memahami perubahan dan peningkatan kualiti hidup rakyat termasuk aspek fizikal, sosial, ekonomi dan psikologi. Ini membolehkan penilaian ke atas keberkesanan dasar sosio-ekonomi sedia ada dengan lebih menyeluruh dan seterusnya boleh dijadikan panduan bagi perancangan masa hadapan.

Namun, kita tidak boleh leka dan hendaklah berpijak di bumi nyata. Pihak kerajaan akui bahawa cabaran masih wujud, namun mempunyai perancangan yang jelas menggerakkan MEB dan Rancangan Malaysia Ke-10, serta program transformasi negara menjadi nyata dan membuahkan hasil.

Pendekatan pembangunan kerajaan mengandungi tiga elemen penting:

i. Model pembangunan kerajaan bersifatkan multi-dimensi yang menggambarkan pertumbuhan berkualiti;

ii.  Program transformasi kerajaan telah mengalami evolusi sejak beberapa tahun yang lalu tetapi masih berpegang kepada matlamat utama iaitu perpaduan negara; dan

iii. Kerajaan sentiasa pragmatik dan konsisten dalam pelaksanaan dasar.

Dunia pada hari ini amat berbeza. Walaupun model pembangunan pertumbuhan berkualiti yang digunakan selama ini menghasilkan kejayaan, namun pihak kerajaan perlu memikirkan cara baru dalam melaksanakan sesuatu perkara. Kerajaan mahu melakukan perkara yang betul dengan kaedah yang betul serta memastikan keperluan semasa dipenuhi tanpa menjejaskan masa depan generasi kini dan masa akan datang.

Apa yang berbeza kali ini adalah penglibatan orang ramai secara lebih meluas, penekanan terhadap ketelusan dan meritokrasi, hala tuju yang jelas dan penanda aras bagi outcome.

Kerajaan akan memastikan negara ini terus makmur dalam semua dimensi iaitu sosial, politik dan ekonomi.

Penulis ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri / Unit Perancangan Ekonomi


Sumber : http : //www.utusan.com.my/