Isnin, 5 April 2010

JPA Tawar 1,500 Biasiswa, Penajaan RM1.24 Bilion Menerusi Program Ijazah Luar Negara

PARIS, 5 April (Bernama) -- Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan 1,500 biasiswa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) tahun ini dengan penajaan berjumlah RM1.24 bilion untuk sepanjang pengajian.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program untuk menyediakan biasiswa yang berprestij itu bertujuan melahirkan modal insan yang berkualiti bagi menjamin kesinambungan keupayaan negara di masa akan datang.

"Fokus penajaan PILN 2010 adalah kepada bidang-bidang kritikal dan keutamaan yang diperlukan oleh negara pada masa hadapan, seperti perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan," katanya kepada wartawan Malaysia Isnin.


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berada di sini bagi menghadiri mesyuarat ke-184 Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang bermula esok.

Penajaan PILN, katanya, akan ditawarkan mengikut empat kategori iaitu populasi kaum (60 peratus), kecemerlangan akademik (20 peratus), Bumiputera Sabah dan Sarawak (10 peratus) serta golongan 'socially disadvantaged' (10 peratus).

Kriteria yang diguna pakai untuk pemilihan atau penawaran biasiswa JPA termasuk pencapaian akademik, penglibatan dalam kegiatan kokurikulum, sosioekonomi dan latar belakang keluarga serta prestasi temu duga.

Muhyiddin berkata kejuruteraan dan perubatan merupakan dua bidang yang paling popular di kalangan calon dengan United Kingdom, Australia dan New Zeland menjadi negara pengajian pilihan majoriti 18,844 pemohon, termasuk 10,114 permohonan yang diterima oleh JPA.

Bagaimanapun, katanya tempat yang disediakan bagi pelajar-pelajar yang memohon bidang kritikal adalah di pelbagai negara, termasuk Australia, New Zealand, India, Republik Czech dan Poland selain program berkembar di Penang Medical College, Melaka Manipal Medical College dan International Medical Universiti.

Bagi bidang kejuruteraan, tempat yang disediakan adalah di Perancis, Jerman serta Amerika Syarikat manakala bakinya adalah untuk bidang keutamaan dan strategik yang lain, kata Muhyiddin.


Selain penajaan ke luar negara, beliau berkata kerajaan turut memberi keutamaan kepada penajaan pelajar cemerlang ke institusi pengajian tinggi tempatan dengan menyediakan 100 penajaan untuk mengikuti pengajian di empat buah universiti penyelidikan iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.


Pelajar-pelajar yang dipilih akan menerima kadar elaun sara hidup 50 peratus lebih tinggi daripada kadar biasiswa persekutuan sedia ada di dalam negara, katanya.


Muhyiddin berkata memandangkan terdapat persaingan yang sengit bagi penajaan PILN, sebanyak 1,900 penajaan lagi akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih di bawah PILN untuk mengikuti pengajian ke IPT tempatan.

"Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi, asasi, pra-universiti dan seterusnya ke peringkat ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik semasa di peringkat persediaan yang ditetapkan," katanya.


Beliau berkata anggaran kos program penajaan dalam negara untuk 10,500 pelajar ialah sebanyak RM1.2 bilion untuk sepanjang pengajian.


Permohonan telah dibuka melalui laman web JPA www.jpa.gov.my mulai 11 Mac.


Sumber : http : // www.bernama.com/