Isnin, 6 Julai 2009

Dialog cara terbaik selesai perbezaan pendapat

MENYELESAIKAN sesuatu masalah atau perbezaan pendapat di antara dua pihak yang memiliki pegangan berbeza bukan suatu perkara mudah. Ia harus dilakukan dengan teliti dan berhati-hati kerana perkara yang menjadi isu mungkin agak sensitif di kalangan penyokong kedua-dua belah pihak.

Oleh itu, cara terbaik adalah dialog - satu alternatif yang lebih afdal serta dapat menggantikan perdebatan sebagai medium untuk berhujah pendapat. Anjuran untuk berdialog telah dinyatakan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl, ayat 125)

Ada beberapa garis panduan dalam menjalankan dialog yang perlu dipatuhi supaya ia memberi manfaat dan mencapai hasil yang berfaedah.

Pertama, mereka yang menyertai dialog mestilah mengelak dari menyakiti rakan dialog, sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Segala-galanya harus dilakukan dengan bahasa yang baik dan sopan tanpa mengejek-ngejek, mencerca atau menghina antara satu sama lain.

Ini penting kerana perilaku yang ditampilkan melambangkan tahap pemikiran parti yang diwakili mereka. Jika bersikap negatif dengan mengutuk rakan dialog, sudah tentu persepsi pendengar dan pemerhati terhadap kualiti dan jati diri si pendialog akan berkurangan dan ini akan menjejaskan kredibiliti sesebuah parti itu.

Kedua, tidak bersikap defensif dalam mengutarakan pandangan. Hal ini penting kerana ia berkait rapat dengan panduan pertama. Bersikap defensif dalam berdialog akan membuka ruang kepada berlakunya perilaku negatif yang dinyatakan di atas seperti mencerca, memaki hamun dan sebagainya. Bersikap defensif dalam erti kata sentiasa berucap dalam kedudukan untuk menegaskan bahawa pihak yang diwakili lebih baik dari pihak yang satu lagi. Perbuatan ini menghalang kedua-dua pihak mencapai hasil yang diinginkan. Ia membantutkan pertukaran maklumat, menolak perkongsian pendapat serta buah fikiran yang bernas tidak akan bertukar tangan.

Ketiga, sentiasa memberi maklum balas positif. Seorang pendialog hendaklah bersedia menerima pandangan pihak lain. Idea yang dibentangkan rakan dialog haruslah diteliti tanpa terus menolak dan menidakkan kesahihan fakta yang diberikan. Ruang kebebasan dalam menyuarakan pendapat perlu diberikan kepada setiap pendialog.

Keempat, jangan menyalahguna kebebasan bersuara. Pendialog dilarang mempromosi, memujuk atau mengajak rakan dialog untuk menyertai pihak yang diwakili mereka. Jika dibenarkan, ia akan membawa kepada lahirnya sikap defensif yang menjadi ibu kepada perbuatan hina-menghina seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Kelima, kedua-dua belah pihak hendaklah sentiasa bekerjasama dalam mengurangkan perbezaan pendapat yang boleh mewujudkan pertelingkahan. Sebaliknya, mereka haruslah mencari perkara positif yang menjadi persamaan di antara mereka agar dapat dikongsi faedahnya bersama. Ini lebih baik daripada sentiasa mencari keburukan antara satu sama lain.

Keenam, sentiasa bersikap ikhlas. Pendialog wajib berkata perkara benar bersaksikan Tuhan, tanpa berselindung dengan mengutarakan hujah berlandaskan fakta palsu.

Kesimpulannya, dialog adalah medium paling sesuai berbincang mengenai pelbagai perkara kerana selain menyelesaikan masalah, ia membolehkan kita berkongsi pendapat dan bertukar-tukar fikiran serta mencapai hasil sepakat yang diingini semua pihak.

ZAHID ZAMRI,
Pelajar Tahun Akhir,
Sains Politik dan
Ilmu Wahyu, UIAM Gombak.


Sumber : http://www.bharian.com.my/

DILEMA HALA TUJU PPSMI

ESOK Kabinet dijangka mengumumkan keputusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Dasar itu penting untuk menentukan masa depan pendidikan negara dan sejauh mana persediaan rakyat untuk menembusi 'pagar' globalisasi menerusi penguasaan bahasa asing.

Sememangnya cabaran utama pelaksanaan PPSMI adalah penghayatan konsep 'bahasa jiwa bangsa versus tuntutan bahasa globalisasi'.

Itu dilema PPSMI. Matlamat dasar itu diperkenalkan menerusi keputusan Kabinet pada 19 Julai 2002 sangat relevan.

Globalisasi membuka pintu saingan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan dengan luas.

Salah satu cara untuk menembusi cabaran itu adalah menerusi penguasaan bahasa Inggeris yang diguna pakai secara meluas di serata dunia.

Mekanismenya adalah sistem pendidikan - yang pasti melibatkan mata pelajaran penting di mana para pelajar mahu tidak mahu akan bersungguh-sungguh menguasai bahasa Inggeris untuk memastikan mereka lulus.

Sebab itu mata pelajaran Sains dan Matematik menjadi pilihan. Faktor utama, kedua-dua mata pelajaran adalah sumber ilmu yang berkait rapat dengan globalisasi.

Menggunakan bahasa Inggeris tentunya memudahkan penguasaan ilmu yang kelak diguna pakai untuk menembusi cabaran hebat dunia globalisasi.

Oleh kerana penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini masih rendah, maka PPSMI dilihat sebagai mekanisme terbaik untuk memperbaiki keadaan itu.

Ini kerana sekadar memberi galakan tidak mencukupi terutama di kalangan murid luar bandar yang tidak terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris.

Tanpa 'paksaan', pelajar-pelajar luar bandar tidak akan terdorong untuk menguasai bahasa Inggeris sekali gus usaha untuk menguasai bahasa tersebut akan diperlekehkan.

Namun PPSMI yang menjadi platform untuk membentuk kumpulan rakyat yang fasih berbahasa Inggeris dan mampu meraih ilmu moden berhadapan dengan cabaran lain yang lebih besar.

Guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik menyebabkan proses pengajaran tidak dapat dilangsungkan secara cekap dan berkesan.

Masalah kekurangan tenaga pengajar paling parah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Sedangkan murid-murid di sana amat rendah penguasaan bahasa Inggerisnya. Mereka tidak ada kemudahan kelas tambahan. Pusat-pusat tuisyen tidak bercambah di kawasan itu.

Kekurangan itu menyebabkan PPSMI yang diakui besar manfaatnya tidak dapat dilaksanakan secara berkesan di kawasan luar bandar.

Kajian pihak tertentu untuk menilai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru sains dan matematik menunjukkan peratusan yang kurang memberangsangkan.

Lebih merunsingkan apabila ada kalangan guru-guru berkenaan yang tidak mencapai kredit dalam bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Tentunya dapatan kajian pihak tertentu itu menimbulkan kebimbangan tentang masa depan murid-murid yang dibimbing oleh guru kategori berkenaan. Ditakuti Sains dan Matematik diajar menggunakan bahasa bercampur-aduk iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tetapi sampai masa peperiksaan, pelajar terpaksa menggunakan bahasa Inggeris.

Akan timbul kecelaruan ketika menjawab sehingga memberi kesan kepada keputusan peperiksaan. Dalam hubungan ini, keputusan peperiksaan utama selepas genap enam tahun PPSMI dilaksanakan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan penurunan.

Bagi mata pelajaran Sains, pencapaian dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mencatatkan penurunan ketara dan yang terendah berbanding pencapaian pada 2003 hingga 2007. Keputusan yang sama dicatatkan bagi mata pelajaran Matematik.

Selain masalah guru-guru yang belum bersedia mengajar kedua-dua mata pelajaran dalam bahasa Inggeris, cabaran lain PPSMI adalah kebimbangan dasar tersebut akan membunuh Bahasa Kebangsaan.

Banyak pihak resah apabila PPSMI dipersetujui. Mereka memegang kepada Perlembagaan dan Laporan Razak yang menetapkan bahasa Melayu adalah segala-galanya dalam bidang pendidikan.

Apatah lagi beberapa dasar menyusul selepas itu bertujuan memperkasakan bahasa Melayu bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah merangkumi perundangan, pentadbiran dan ekonomi.

Lebih daripada itu, suara-suara yang menyanggah PPSMI membangkitkan perihal Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dalam bidang pendidikan.

Pihak yang membantah melihat PPSMI bercanggah dengan dasar kerajaan sebelum 2002 sehingga ke satu peringkat mereka percaya bahawa bahasa kebangsaan akan terpinggir akibat PPSMI.

Sememangnya sukar hendak dibentangkan hujah-hujah bahawa bahasa Melayu akan terus menduduki takhtanya walaupun PPSMI diteruskan.

Di situ satu lagi dilema PPSMI - apabila banyak pihak menyokong lantaran sedar manfaatnya bukan sedikit - banyak juga yang menentang kerana bimbang bahasa Melayu terpinggir.

Dan untuk menyediakan jawapan yang memuaskan kedua-dua pihak tentunya tidak mudah kerana masing-masing bertegas untuk tidak menerima apa juga alasan yang dikemukakan.

Berkumandang juga sejarah penguasaan ilmu yang membentuk tamadun awal dunia seperti tamadun Islam dan Yunani.

Kecemerlangan tamadun-tamadun hingga mencapai taraf yang tinggi dicipta menerusi bahasanya sendiri. Tamadun Islam satu ketika dulu begitu terserlah sehingga mampu menyebarluaskan bahasa Arab itu ke seluruh dunia.

Begitu juga bangsa-bangsa lain yang mencapai taraf negara maju menggunakan bahasa ibundanya sendiri seperti Jepun, Perancis, Korea dan Jerman. Betapa kedua-dua mata pelajaran di negara-negara seperti itu tidak diajar dalam bahasa Inggeris tetapi mereka mampu bangkit mencipta sejarah tersendiri. Tradisi mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di negara-negara berkenaan berlangsung sehingga ke hari ini.

Hujah-hujah tersebut dibentangkan satu per satu oleh kumpulan yang menentang PPSMI. Mereka percaya tidak salah berkiblatkan Jepun, Perancis atau Korea untuk 'menceroboh' dunia globalisasi.

Apa pun hujah kedua-dua pihak, terpikul di bahu Kementerian Pelajaran untuk memastikan keputusan yang akan diumumkan esok menguntungkan semua pihak.

Menolak PPSMI maknanya mengorbankan tempoh percubaan selama enam tahun yang sedikit sebanyak telah menampakkan hasilnya biarpun tidak menyeluruh.

Mengetepikan PPSMI juga bermakna segala persediaan dan prasarana yang diusahakan enam tahun lalu perlu menjalani pengubahsuaian semula.

Buku-buku teks dan persiapan minda pelajar serta ibu bapa yang telah dipupuk untuk mempercayai bahawa sains dan matematik mesti dipelajari dalam bahasa Inggeris juga terpaksa disusun semula.

Jika itu pilihan kerajaan, maka satu kaedah lain untuk memperkasakan bahasa Inggeris terutama dari segi penguasaannya di kalangan pelajar mesti dilaksanakan. Bahasa Inggeris tidak boleh ditolak mentah-mentah. Manfaat bahasa itu amat luas dan usaha untuk memastikan pelajar-pelajar menguasai bahasa tersebut pada tahap yang terpuji perlu terus digerakkan.

Hakikatnya jika PPSMI dirombak ia bukan bermakna kemenangan kepada satu pihak. Ia mesti memberi kemenangan kepada semua. Begitu juga jika PPSMI diteruskan. Ia bukan bertujuan mendaulatkan bahasa globalisasi tetapi ke arah mempersiapsediakan rakyat untuk berhadapan dengan cabaran yang tidak berkesudahan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Budaya lepak di kafe siber galak pelajar ponteng sekolah

SELAIN ponteng sekolah, banyak lagi kesan sampingan berpunca budaya melepak di kafe siber, kata Penolong Pengarah Unit Kaunseling Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Raja Mazlan Raja Shahdan.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai laporan mengenai kegiatan negatif pelajar yang gemar melepak di kafe siber, antaranya merokok, berjudi, memeras ugut, melayari laman web lucah dan hisap dadah.

“Demikian juga pinjam-meminjam wang yang ada kala berlaku pergaduhan kerana masalah mendapatkan belanja untuk berseronok di premis itu.

“Namun apabila pelajar terbabit ditangkap, polis dan sekolah tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka masih di bawah umur.

“Polis tidak akan menggari kerana mereka dikategorikan sebagai pelajar sekolah, manakala bidang kuasa pihak sekolah hanya sehingga pintu pagar sekolah, akhirnya mereka diserahkan kepada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Raja Mazlan berkata, kebanyakan laporan diterima berlaku di kawasan pinggiran bandar, pekan kecil dan luar bandar yang mana majoriti pelajar tidak mempunyai kemudahan internet di rumah.

Dalam hal ini, beliau menjelaskan pihak sekolah akan membantu pelajar bermasalah dengan memberi bimbingan kaunseling dan bertanya punca utama mengapa mereka melakukan sesuatu kesalahan.

Dalam nada sama, Pengetua Sekolah Menengah Dato Harun, Tanjong Karang, Ruslan Bustani, juga menyatakan antara faktor pelajar ponteng sekolah adalah kerana ke kafe siber.

Sambil menjelaskan ada pelajarnya lebih rela menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber berbanding sekolah, beliau berkata;

“Kebanyakan kes membabitkan pelajar dari kelas belakang di mana sebahagian besar mereka bermasalah akademik sejak sekolah rendah lagi, selain buta huruf.

“Mungkin disebabkan tekanan belajar, mereka mengambil jalan mudah dengan ponteng dan menghabiskan masa di tujuh kafe siber berhampiran sekolah ini.

“Selain itu, mereka juga didapati melepak di tempat lain, termasuk tidur di bawah jambatan dan tidak kurang pula melakukan hubungan seks di ladang kelapa sawit sambil merakamnya menggunakan telefon bimbit.”

Katanya, surat amaran kes ponteng dikeluarkan pihak sekolah ada yang sehingga 80 hari setahun, kebanyakannya tidak sampai ke tangan ibu bapa.

“Kami terpaksa menelefon sendiri untuk berjumpa ibu bapa sebelum mendenda pelajar. Begitu pun ada juga ibu bapa yang memenangkan anak mereka, namun selepas melihat surat pengakuan ditandatangani pelajar terbabit, mereka akur,” katanya.

Bagi mengurangkan gejala tidak sihat berpunca melepak di kafe siber, beliau berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya akan sering membuat perjumpaan bukan sekadar membincangkan akademik, malah mengatasi masalah disiplin pelajar.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

KETAGIH KAFE SIBER

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


BEBERAPA pelajar lengkap seragam sekolah bermain permainan video dan melayari laman web sosial di sebuah kafe siber di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Pelajar dan kanak-kanak bawah umur ponteng sekolah gilakan permainan komputer, web lucah

KEWUJUDAN kafe siber banyak memberi manfaat kepada masyarakat terutama dalam menghambat perkembangan pesat era teknologi maklumat dan komunikasi kini supaya tidak ketinggalan dek arus pembangunan.

Namun kafe siber yang beroperasi 24 jam dan membenarkan pelajar apatah lagi dengan pakaian seragam sekolah serta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun memasuki premis itu harus diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.

Lebih parah, ada di kalangan bawah umur itu sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk menghabiskan masa di kafe siber kerana ketagih antara lain bermain permainan video dan tidak kurang pula melayari web lucah.

Tinjauan Berita Harian di beberapa kafe siber di Cheras dan Wangsa Maju mendapati kanak-kanak bawah 10 tahun juga bebas keluar masuk premis kafe siber lengkap dengan pakaian sekolah tanpa sebarang sekatan dilakukan.

Berdasarkan pemerhatian, kafe siber bercermin gelap menjadi tumpuan pelajar sekolah untuk mengakses kemudahan internet bagi mengelak kegiatan ponteng mereka dihidu guru, ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

SEJURUS tamat sesi persekolahan lokasi pertama pelajar ini adalah kafe siber yang terletak tidak jauh dari sekolahnya di Wangsa Maju.

Umum mengetahui sebelum ini majoriti PBT mengetatkan syarat untuk operasi pusat siber termasuk mengehadkan aktiviti utamanya kepada aktiviti penyebaran dan mendapatkan maklumat melalui internet.

Selain itu pihak berkenaan melarang aktiviti berbentuk hiburan diadakan dan menetapkan masa beroperasi hanya sehingga pukul 12 tengah malam.

Peraturan lain adalah larangan merokok dalam premis dan terhadap pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis, terutama pada waktu persekolahan.

“Ibarat mencurah air ke daun keladi’ adalah perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan kedegilan pelajar sekolah mahupun pihak pengusaha premis yang tidak mengendahkan syarat ditetapkan PBT.

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, penulis turut bertanya beberapa pengunjung kanak-kanak yang kerap mengunjungi kafe siber biarpun pada waktu persekolahan.

Seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 16, berkata dia sanggup tidak makan tengah hari semata-mata jimatkan wang perbelanjaan sekolah untuk bermain permainan video dalam talian di kafe siber sambil merokok.

“Saya habis hampir RM5 sehari untuk melayari internet selepas waktu persekolahan dan kadang-kadang saya akan ‘serong’ (ponteng) untuk ke mari,” katanya.

Walaupun mulanya enggan menceritakan perkara sebenar, Amran kemudian memberitahu dia bukan saja datang ke kafe siber untuk bermain permainan video, malah kerap melayari laman web lucah untuk memuat turun gambar atau video pendek.

“Saya sudah ketagih melayari laman web lucah selepas melihat pelanggan yang lebih dewasa melayarinya,” katanya.

Rakannya, Halim, 16, pula menjelaskan ibu bapa dan guru tidak menyedari perbuatannya yang kerap ke kafe siber kerana dalam seminggu, ia hanya sekali dua pada waktu persekolahan.

“Jika pulang lambat ke rumah, saya beritahu ibu bapa ada kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum, walhal setiap hari saya dan rakan-rakan ke kafe siber untuk bermain permainan video atau melayari laman web lucah.

“Antara permainan video paling popular ialah ‘Left or Death’, ‘Counter Strike’, ‘Super Dancer Online’, ‘Sudden Attact’, ‘Warcraft Dota’, ‘Half Life’ dan ‘Wolf Team’.

“Saya juga sering melawat laman web sosial bagi golongan dewasa popular iaitu ‘myspace.com’ dan ruang sembang ‘Kampung Chat’ dengan menyamar sebagai orang lebih berumur untuk memikat gadis,” katanya.

Sementara itu, Guru Sekolah Kebangsaan Bangsar, Mohd Haniff Anas, berpendapat polis perlu kerap membuat rondaan, manakala pengusaha kafe siber pula perlu tegas dengan tidak membenarkan pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis mereka selain menyekat laman web lucah.

“Jika tertangkap pihak sekolah akan beri amaran dan panggil pelajar untuk sesi kaunseling.

“Bagaimana pun agak sukar untuk menentukan sama ada pelajar itu ponteng atau tidak kerana mereka akan menukar pakaian sebelum masuk ke premis, tambahan pula bagi sesi persekolahan berbeza (pagi dan petang).

“Jika hendak mencari maklumat mengenai kerja sekolah, ia boleh dibuat di makmal komputer sekolah kecuali di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/