Oleh Teo Kok Seong
Kepentingan pengetahuan antara budaya patut jadi asas fahami kaumTIDAK dapat dinafikan bahawa keutuhan perpaduan kaum di negara ini sudah banyak merosot. Daripada sikap yang mudah memperlihat tolak ansur pada satu ketika dulu, kini ia sudah meruncing kepada tahap saling mencurigai antara satu sama lain. Keadaan tidak sihat ini antaranya sudah menular kepada pemikiran bahawa kejayaan serta keuntungan yang diraih oleh sesuatu kaum itu, dianggap sebagai kegagalan dan kerugian yang ditanggung oleh kaum lain.
Beberapa sebab boleh diajukan untuk menerangkan hubungan antara etnik yang bertambah buruk ini. Antaranya adalah pengasingan etnik yang berlaku dan digalakkan pula pada usia yang muda melalui sistem persekolahan pelbagai aliran. Kurangnya apresiasi terhadap kepelbagaian, sama ada etnik, budaya atau agama adalah sebab utama lain yang tidak kurang pentingnya.
Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan kaum tidak mungkin berjaya dicapai sepenuhnya melalui dominasi hanya sesuatu ideologi. Ia sebetulnya amat memerlukan persefahaman menyaling, penghormatan ikhlas dan penghargaan jujur oleh satu kaum terhadap yang lain. Selain ini, ia juga sangat bergantung kepada kewujudan beberapa institusi yang kukuh, misalnya keluarga dan agama yang didukung setiap kaum.
Sebaliknya, ekstremisme etnik dan fanatisisme agama selain tiadanya toleransi budaya, bukan saja boleh membawa mudarat besar kepada usaha penyatupaduan kaum di negara ini. Tetapi ia juga boleh meranapkan hubungan etnik yang terbina sehingga ini.
Pengetahuan antara budaya ini, yakni usaha mengenali cara hidup mereka yang berasal daripada latar, pegangan dan pemahaman yang berbeza daripada kita, adalah prasyarat untuk interaksi antara satu sama lain yang berkesan dalam masyarakat majmuk. Dengan adanya pengetahuan sebegini, selain mendedahkan teori, prinsip dan dinamika pelbagai budaya, ia juga boleh mempermudah kita daripada pelbagai kaum ini untuk bergaul antara satu sama lain dengan lebih selesa, selain bermakna lagi.
Dengan pengetahuan ini, banyak masalah pemahaman mengenai kaum lain boleh diatasi. Ini antaranya dapat dilakukan melalui dorongan, pengetahuan dan apresiasi kita terhadap kepelbagaian budaya dalam negara ini. Sesungguhnya budaya mempunyai impak besar dalam kehidupan manusia. Oleh itu, ia mempunyai pengaruh kuat terhadap kepercayaan, nilai dan pandangan kita mengenai kehidupan.
Pengaruh budaya ini, sama ada terhadap budaya sendiri atau terhadap budaya kaum lain didapati sentiasa terpancar pada pertuturan dan tingkah laku. Semoga dengan mengetahui budaya kaum lain, rakyat Malaysia akan lebih senang lagi menerima cara hidup kaum lain sebagai keunikan, seperti yang disarankan dalam Gagasan 1Malaysia. Penerimaan ini diharapkan akan membawa kepada filsafat yang cuba disampaikan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’, iaitu kita akan lebih mudah menerima sesuatu itu selepas kita mula mengenalinya.
Dalam nada lebih serius, sebetulnya dengan mengetahui budaya kaum lain, banyak buruk sangka, konsep yang salah, stereotaip, sikap perkauman, etnosentrisme dan kejutan budaya dapat diatasi. Ini antara lain adalah kerana kita lebih memahami cara hidup kaum lain melalui pengetahuan antara budaya yang diperoleh itu.
Sehubungan ini, kesan pengetahuan mengenai budaya, iaitu terhadap semua unsur penting dalamnya adalah besar sekali. Budaya mempunyai pengaruh kuat ke atas kepercayaan, nilai dan pandangan kita terhadap kehidupan. Pengaruh kuat ini sebetulnya dapat dilihat pada tingkah laku dan pertuturan kita yang didapati akan kurang atau tidak lagi bersifat prasangka dan perkauman terhadap kaum lain selepas kita mengenali budaya kaum lain.
Untuk perpaduan kaum benar-benar wujud di Malaysia, kita perlu memahami satu sama lain. Ini hanya dapat dilakukan dengan mengenali budaya kaum lain. Inilah satu-satunya cara untuk berfungsi dengan baik dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Sehubungan ini, dalam konteks kebudayaan kebangsaan, pengetahuan antara budaya ini perlu mengambil kira budaya Melayu sebagai budaya dominan. Oleh itu, ia perlu dijadikan rujukan utama ketika rakyat Malaysia mengenali pelbagai budaya lain yang merupakan budaya bersama dalam kebudayaan kebangsaan.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM
Sumber : http : //www.bharian.com/