Selasa, 28 Mei 2013

ISU PENDIDIKAN : Guru jangan menongkah arus


PUTRAJAYA 28 Mei - Para guru diingatkan agar tidak menongkah arus dengan mengambil langkah menyongsang dalam isu membabitkan dasar pendidikan negara kerana tindakan itu hanya akan merugikan generasi muda dan diri sendiri.

Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata, ingatan tersebut dibuat kerana pelaksanaan setiap dasar pendidikan negara adalah berada di atas bahu setiap guru.

Menurut beliau, golongan itu seharusnya memastikan segala tugas pembelajaran dan pengajaran yang sedang serta bakal mereka laksanakan menepati visi dan misi negara.

''Pihak kerajaan selaku penggubal dasar telah menjana dasar-dasar yang utuh dan bersepadu dalam usaha merekayasakan sistem pendidikan negara melalui Pelan Transformasi Pembangunan Pendidikan Negara (PTPPN) 2013-2025.

''Saya ingin mengingatkan kepada semua guru bahawa sistem pendidikan negara kini sememangnya sudah berada di landasan yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ketiga Institut Pendidikan Guru (IPG) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Seramai 779 graduan IPG menerima ijazah masing-masing dalam majlis tersebut.

Mengulas lanjut Abdul Ghafar berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru untuk merungkai cabaran dunia pendidikan yang kini dilihat semakin rumit dan kompleks.

Malah, beliau menambah, tanggungjawab itu juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam usaha mencapai Wawasan Pendidikan Negara menjelang tahun 2020.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tanggungjawab guru era globalisasi


Oleh : DR AMINUDIN MANSOR

Seorang guru adalah pendidik, pembimbing dan pengajar di dalam kelas. Sekali gus, guru juga bertugas membabitkan murid dan pelajar di sesebuah sekolah. Guru juga bertanggungjawab terhadap masalah disiplin, kedatangan, kelakuan dan budi pekerti pelajar. Jelasnya, guru adalah orang terpenting di setiap sekolah.

Guru pendidik yang mendidik akal budi murid dan pelajarnya adalah pendidik yang memahami tugasnya sebagai guru. Mendidik akal budi menjurus kepada kecemerlangan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan akhlak serta budi pekerti pelajar itu sendiri.

16 Mei  adalah hari mengingati jasa dan pengorbanan guru.

Kualiti yang kita harapkan daripada guru-guru ini pastinya tidak terhad kepada kualiti akademik semata-mata. Guru yang berkualiti harus bijak mengadunkan ilmu dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan dan jelas kepada pelajarnya. Penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) seperti internet, gambar berkesan dan penyampaian menarik akan menjadikan seseorang guru itu diminati dan disanjung tinggi.

Pengajaran adalah apa yang disampaikan oleh guru, manakala pembelajaran apa yang diterima oleh murid dan pelajarnya. Jika pengajaran tidak berkesan, murid atau pelajar tidak akan menerima pembelajaran yang baik dan berkesan. Kini, segulung ijazah, atau diploma yang dimiliki oleh guru mesti dilengkapkan dengan ilmu pendidikan dan pengalaman mengajar yang meluas.

Ilmu yang diperoleh itu perlu diberikan tambah nilai dari semasa ke semasa. Kaedah P&P yang dipelajarinya hari ini mungkin sudah tidak relevan lagi dua atau tiga tahun akan datang. Oleh itu, melalui pembacaan, kursus dan juga perbincangan antara guru akan dapat meningkatkan P&P di sesebuah sekolah.

Bagaimanapun tugas dan  peranan utama guru untuk mendidik anak bangsa yang berilmu pengetahuan, berbudi pekerti, bersemangat waja serta mampu bersaing harus dikekalkan sampai bila-bila. Perubahan masa hanya menukarkan kaedah pelaksanaannya, tetapi tidak kepada peranan hakiki guru.

Guru berkualiti juga harus bijak menangani konflik dan tekanan sepanjang kerjayanya serta dalam  masa sama memenuhi sedaya mungkin harapan masyarakat yang mahukan mereka menghasilkan generasi boleh diharap meneruskan kecemerlangan negara. Guru juga mesti mampu membimbing murid dan pelajar ke arah kecemerlangan akal dan budi.

Sebagai guru berkualiti, mereka juga seharusnya tidak tunduk dengan desakan dan tekanan serta keghairahan masyarakat kini yang begitu tergoda dengan pencapaian akademik, sedangkan nilai-nilai murni anak-anak ini semakin hari semakin nipis.

Keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan akhlak mestilah ditumpukan dalam P&P di dalam kelas dan sekolah.

Konflik keyakinan masyarakat terhadap mutu guru dan sistem persekolahan juga memerlukan guru berkualiti untuk menanganinya secara bijak. Bagaimanapun, guru tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam memikul tanggungjawab berat ini.

Pembentukan sesebuah generasi dalam sesebuah negara adalah tanggungjawab individu itu sendiri dan juga masyarakat secara keseluruhan. Pada masa kini, ahli masyarakat seakan membiarkan guru sahaja atasi permasalahan ini.

Sebagai ahli masyarakat, iaitu ibu bapa kepada murid dan pelajar, kita harus memberi sokongan padu kepada guru dari segi kebendaan, ganjaran terhadap guru perlu dinilai dari semasa ke semasa supaya setimpal dengan peranan dan tugas mereka. Dari segi bukan kebendaan pula, menghargai jasa dan pengorbanan guru adalah sumbangan yang perlu diberikan oleh semua orang.

Kita mempunyai ramai guru yang bukan sahaja berkualiti intelek dan ilmunya, tetapi juga berkualiti daripada segi rohaninya. Guru yang sudah lama mengajar mestilah mempunyai pengalaman luas yang seharusnya dipelajari dan diteladani oleh guru-guru baru. Sebab itu, guru akan berusaha memastikan anak muridnya berjaya dengan cemerlang di dalam pelajaran. Contoh dan teladan daripada guru berkaitan akhlak dan rohani akan menjadi ikutan murid dan pelajarnya.

Nama pun “cikgu”, mereka tidak akan puas jika anak muridnya tidak memahami apa yang diajar. Panggilan keramat ini amat sesuai dipadankan dengan tugasnya yang mencabar. Guru adalah arkitek bangsa yang berjasa. Panggilan ini akan kekal sepanjang hayat, mati pun masih dipanggil “cikgu”.

Jika ditinjau, apabila ada waktu terluang, seorang guru, tanpa mengira duit akan mengadakan kelas tambahan. Kegiatan kokurikulum sebenarnya banyak mengambil masa dan wang ringgit. Oleh sebab sudah menjadi tanggungjawab, hal ini jarang dirungutkan oleh guru. Bagai lilin yang menyala, dan kemudian membakar dirinya, guru tetap bertanggungjawab memberikan pendidikan yang terbaik bagi mewujudkan masyarakat berilmu.

Selamat Hari Guru untuk semua pendidik anak bangsa!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/(16 MEI 2013)

Tan Sri Ainuddin Wahid Meninggal Dunia

Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid

KUALA LUMPUR : Tokoh pendidikan Tan Sri Ainuddin Wahid, 83, meninggal dunia di kediamannya di sini Selasa kerana sakit tua.

Anak sulung Allahyarham, Saifudin, 53, berkata ayahnya meninggal pada pukul 5.25 petang di rumahnya di No 3, Jalan 7, Taman Tunku Abdul Rahman (TAR), Ampang. Selain Saifudin, Allahyarham turut meninggalkan seorang anak perempuan, Aida. Isterinya, Puan Sri Rahmah Abdul Hamid meninggal dunia pada 1989.

Ainuddin, naib canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memainkan peranan penting dalam mentransformasi Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) kepada Institut Teknologi Kebangsaan pada 1972, sebelum dinaik taraf kepada UTM tiga tahun kemudian.

Beliau memegang jawatan Naib Canselor UTM sejak 1975 hingga bersara pada 1989.

Ainuddin merupakan anak Melayu pertama dilantik sebagai pengetua MTKL pada 1969. Allahyarham, anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu turut dikenali sebagai 'orang kuat' di sebalik penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersama rakan senegerinya Allahyarham Aminuddin Baki, seorang lagi tokoh pendidikan negara.

Ainuddin lulusan Sarjana Muda Sains dalam bidang kejuruteraan dari Bristol University, United Kingdom pada 1956, dan kemudian mengambil ijazah lanjutan dalam bidang trafik dan kejuruteraan jalan raya di Ohio State University, Amerika Syarikat pada 1962 dengan dianugerahkan Fellowship dari International Road Federation Amerika Syarikat. Sekembalinya dari United Kingdom pada 1957, Ainuddin bertugas sebagai pembantu jurutera dengan Jabatan Kerja Raya.

Setelah menyelesaikan pengajian lanjutan di AS pada 1962, beliau dilantik sebagai pembantu jurutera untuk Lebuhraya Persekutuan Sungai Way-Klang selama setahun sebelum dinaikkan ke jawatan jurutera eksekutif kanan pada 1965.

Pada 1969 dilantik sebagai pengetua MTKL, dan apabila MTKL dijadikan institut, beliau dilantik rektor pertamanya pada 1972 dan kemudian sebagai Naib Canselor pertama UTM pada 1975.

Ainuddin, anak seorang guru besar, dibesarkan neneknya setelah kematian ibunya ketika Ainuddin berusia sembilan tahun.Beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pelajar Malaya dan Singapura di Bristol pada 1953 hingga 1955, dan merupakan ahli majlis Institut Kejuruteraan Malaysia pada 1975 hingga 1977.

Di sektor swasta, beliau pernah menjadi Pengarah Sapura Telecommunications Bhd (Sapura Telecoms) dan Pengarah Cement Industries of Malaysia.

Beliau juga merupakan pemegang gelaran Doktor Kehormat dari University of Strathclycle, Glasgow, United Kingdom; Doktor Kehormat Pendidikan Universiti Malaya; dan Doktor Kehormat Kejuruteraan UTM.

Pada tahun 2000, Ainuddin dinamakan Tokoh Ma'al Hijrah 1421.

Sebuah biografi mengenai beliau turut diterbitkan pada September 2011 bertajuk "Ainuddin: Pejuang Degil Melayu" yang ditulis oleh Datin Seri Fatini Yaacob dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan penubuhan "Ainuddin Wahid Endowment Fund" dengan dana RM10 juta bagi membiayai pelajar peringkat doktor falsafah di UTM untuk tempoh lima tahun. -BERNAMA

ISU BAHASA : Baha Zain Terima Anugerah Sasterawan Negara Ke-12

DATUK DR BAHARUDDIN ZAINAL

KUALA LUMPUR : Bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain malam ini menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada Baharuddin.

Beliau menerima wang tunai RM60,000, watikah Sasterawan Negara Ke-12 selain kemudahan berkarya.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-12.

Muhyiddin dalam ucapannya menyifatkan Baha Zain sebagai seorang penulis yang amat prolifik dalam genre puisi dan kritikan sastera.

"Semoga anugerah yang diberikan ini akan menyuntik semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menyumbangkan buah fikiran ke arah pembangunan bangsa dan sastera kebangsaan," katanya.

Pada 15 Mac lepas, Muhyiddin mengumumkan Baharuddin sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan serta sumbangan berterusan beliau dalam seni kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Antara karya Baha Zain, 74, ialah puisi Topeng-Topeng (2003), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (DBP, 1978) dan Tiga Catatan Perjalanan (DBP, 1980).

Puisi-puisi beliau antaranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Russia dan Sepanyol.

Baharuddin juga pernah menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010), dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).

Anugerah Sasterawan Negara merupakan anugerah tertinggi negara kepada sasterawan.-BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Sekolah Cempaka terima Trofi Piala Dunia daripada TPM


PUTRAJAYA - Sekolah Cempaka Malaysia (CSM), yang muncul sebagai johan keseluruhan bagi tahun kelima berturut-turut pada Sukan Pendidikan Dunia (WEG) menerima trofi Piala Dunia daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran I, dalam ucapan di majlis penyampaian di pejabatnya di sini, memuji CSM atas pencapaian itu dan berkata kejayaan berulang oleh CSM membuktikan pelajar Malaysia boleh menjadi johan dunia.


"Dengan memenangi sembilan trofi dunia dalam tempoh lima tahun, Cempaka telah mencipta reputasi akademik yang kukuh, pada tandaras antarabangsa.

"Ia sebuah sekolah kelas antarabangsa, menewaskan pesaing 5.1 juta kanak-kanak dari 30,000 sekolah, dari lebih 226 negara di serata dunia," kata beliau. 

Beliau berharap kejayaan CSM akan memberi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain di tanah air.

Muhyiddin juga menghadiahkan dua lagi trofi - World Literacy dan World Science.

Kesemua tiga trofi diterima oleh pengasas CSM Datuk Freida Mohd Pilus.

Turut hadir ialah dua timbalan menteri pelajaran, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P.Kamalanathan; serta Pengurus Serantau 3P Learning Australia, Paul Mc Mahon, penganjur pertandingan itu. 

Pertandingan terbesar dunia secara online itu yang disokong UNICEF berlangsung dari 5 hingga 7 Mac dalam tiga kategori - literasi, matematik dan sains.

Ia menyaksikan 23 pelajar dari CSM mencapai kedudukan 10 teratas, termasuk Daniel Muhammad Syafiq yang memenangi juara 'Champion of Champions' meliputi ketiga-tiga kategori.

Daniel memenangi tempat teratas bagi kategori sains, kedua dalam literasi dan kesembilan dalam matematik. - Bernama