PUTRAJAYA 28 Mei - Para
guru diingatkan agar tidak menongkah arus dengan mengambil langkah menyongsang
dalam isu membabitkan dasar pendidikan negara kerana tindakan itu hanya akan
merugikan generasi muda dan diri sendiri.
Ketua Pengarah Pendidikan, Tan
Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata, ingatan tersebut dibuat kerana pelaksanaan
setiap dasar pendidikan negara adalah berada di atas bahu setiap guru.
Menurut beliau, golongan itu
seharusnya memastikan segala tugas pembelajaran dan pengajaran yang sedang
serta bakal mereka laksanakan menepati visi dan misi negara.
''Pihak kerajaan selaku penggubal
dasar telah menjana dasar-dasar yang utuh dan bersepadu dalam usaha
merekayasakan sistem pendidikan negara melalui Pelan Transformasi Pembangunan
Pendidikan Negara (PTPPN) 2013-2025.
''Saya ingin mengingatkan kepada
semua guru bahawa sistem pendidikan negara kini sememangnya sudah berada di
landasan yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap di majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ketiga Institut
Pendidikan Guru (IPG) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Seramai 779 graduan IPG menerima
ijazah masing-masing dalam majlis tersebut.
Mengulas lanjut Abdul Ghafar berkata,
adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru untuk merungkai cabaran
dunia pendidikan yang kini dilihat semakin rumit dan kompleks.
Malah, beliau menambah,
tanggungjawab itu juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam usaha mencapai
Wawasan Pendidikan Negara menjelang tahun 2020.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan