Selasa, 28 Mei 2013

ISU PENDIDIKAN : Tanggungjawab guru era globalisasi


Oleh : DR AMINUDIN MANSOR

Seorang guru adalah pendidik, pembimbing dan pengajar di dalam kelas. Sekali gus, guru juga bertugas membabitkan murid dan pelajar di sesebuah sekolah. Guru juga bertanggungjawab terhadap masalah disiplin, kedatangan, kelakuan dan budi pekerti pelajar. Jelasnya, guru adalah orang terpenting di setiap sekolah.

Guru pendidik yang mendidik akal budi murid dan pelajarnya adalah pendidik yang memahami tugasnya sebagai guru. Mendidik akal budi menjurus kepada kecemerlangan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan akhlak serta budi pekerti pelajar itu sendiri.

16 Mei  adalah hari mengingati jasa dan pengorbanan guru.

Kualiti yang kita harapkan daripada guru-guru ini pastinya tidak terhad kepada kualiti akademik semata-mata. Guru yang berkualiti harus bijak mengadunkan ilmu dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan dan jelas kepada pelajarnya. Penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) seperti internet, gambar berkesan dan penyampaian menarik akan menjadikan seseorang guru itu diminati dan disanjung tinggi.

Pengajaran adalah apa yang disampaikan oleh guru, manakala pembelajaran apa yang diterima oleh murid dan pelajarnya. Jika pengajaran tidak berkesan, murid atau pelajar tidak akan menerima pembelajaran yang baik dan berkesan. Kini, segulung ijazah, atau diploma yang dimiliki oleh guru mesti dilengkapkan dengan ilmu pendidikan dan pengalaman mengajar yang meluas.

Ilmu yang diperoleh itu perlu diberikan tambah nilai dari semasa ke semasa. Kaedah P&P yang dipelajarinya hari ini mungkin sudah tidak relevan lagi dua atau tiga tahun akan datang. Oleh itu, melalui pembacaan, kursus dan juga perbincangan antara guru akan dapat meningkatkan P&P di sesebuah sekolah.

Bagaimanapun tugas dan  peranan utama guru untuk mendidik anak bangsa yang berilmu pengetahuan, berbudi pekerti, bersemangat waja serta mampu bersaing harus dikekalkan sampai bila-bila. Perubahan masa hanya menukarkan kaedah pelaksanaannya, tetapi tidak kepada peranan hakiki guru.

Guru berkualiti juga harus bijak menangani konflik dan tekanan sepanjang kerjayanya serta dalam  masa sama memenuhi sedaya mungkin harapan masyarakat yang mahukan mereka menghasilkan generasi boleh diharap meneruskan kecemerlangan negara. Guru juga mesti mampu membimbing murid dan pelajar ke arah kecemerlangan akal dan budi.

Sebagai guru berkualiti, mereka juga seharusnya tidak tunduk dengan desakan dan tekanan serta keghairahan masyarakat kini yang begitu tergoda dengan pencapaian akademik, sedangkan nilai-nilai murni anak-anak ini semakin hari semakin nipis.

Keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan akhlak mestilah ditumpukan dalam P&P di dalam kelas dan sekolah.

Konflik keyakinan masyarakat terhadap mutu guru dan sistem persekolahan juga memerlukan guru berkualiti untuk menanganinya secara bijak. Bagaimanapun, guru tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam memikul tanggungjawab berat ini.

Pembentukan sesebuah generasi dalam sesebuah negara adalah tanggungjawab individu itu sendiri dan juga masyarakat secara keseluruhan. Pada masa kini, ahli masyarakat seakan membiarkan guru sahaja atasi permasalahan ini.

Sebagai ahli masyarakat, iaitu ibu bapa kepada murid dan pelajar, kita harus memberi sokongan padu kepada guru dari segi kebendaan, ganjaran terhadap guru perlu dinilai dari semasa ke semasa supaya setimpal dengan peranan dan tugas mereka. Dari segi bukan kebendaan pula, menghargai jasa dan pengorbanan guru adalah sumbangan yang perlu diberikan oleh semua orang.

Kita mempunyai ramai guru yang bukan sahaja berkualiti intelek dan ilmunya, tetapi juga berkualiti daripada segi rohaninya. Guru yang sudah lama mengajar mestilah mempunyai pengalaman luas yang seharusnya dipelajari dan diteladani oleh guru-guru baru. Sebab itu, guru akan berusaha memastikan anak muridnya berjaya dengan cemerlang di dalam pelajaran. Contoh dan teladan daripada guru berkaitan akhlak dan rohani akan menjadi ikutan murid dan pelajarnya.

Nama pun “cikgu”, mereka tidak akan puas jika anak muridnya tidak memahami apa yang diajar. Panggilan keramat ini amat sesuai dipadankan dengan tugasnya yang mencabar. Guru adalah arkitek bangsa yang berjasa. Panggilan ini akan kekal sepanjang hayat, mati pun masih dipanggil “cikgu”.

Jika ditinjau, apabila ada waktu terluang, seorang guru, tanpa mengira duit akan mengadakan kelas tambahan. Kegiatan kokurikulum sebenarnya banyak mengambil masa dan wang ringgit. Oleh sebab sudah menjadi tanggungjawab, hal ini jarang dirungutkan oleh guru. Bagai lilin yang menyala, dan kemudian membakar dirinya, guru tetap bertanggungjawab memberikan pendidikan yang terbaik bagi mewujudkan masyarakat berilmu.

Selamat Hari Guru untuk semua pendidik anak bangsa!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/(16 MEI 2013)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan