Ahad, 13 Jun 2010

Bersatu hati menangani gejala remaja merokok

MASA depan negara banyak bergantung kepada sejauh mana belia hari ini memiliki kualiti dan kecemerlangan diri yang boleh digunakan untuk membentuk sebuah negara maju.

Antara kriteria yang diperlukan adalah kualiti kesihatan yang baik tanpa dibebani penyakit berbahaya. Ini kerana jika sejumlah besar belia menderita pelbagai penyakit terutama berpunca daripada merokok, maka segala perancangan dan pelaksanaan kerajaan untuk memajukan negara akan terencat.

Sudah tentu wang yang sepatutnya disalurkan untuk tujuan pembangunan, misalnya memantapkan industri kecil dan sederhana atau melahirkan lebih banyak tenaga kerja mahir terpaksa dikongsi bersama hal-hal berkaitan mengurangkan gejala merokok di kalangan remaja.

Justeru, apabila Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mendedahkan hasil kajian menunjukkan 28.8 peratus kanak-kanak perempuan di bawah usia 10 tahun mula berjinak-jinak dengan rokok, maka ia merupakan satu perkara amat membimbangkan.

Lebih mengejutkan apabila lebih banyak kanak-kanak perempuan merokok berbanding dengan kanak-kanak lelaki yang hanya 14.1 peratus.

Apa sudah jadi dengan institusi keluarga kita hari ini, sehinggakan tabiat merokok yang merupakan sesuatu yang tabu dalam kalangan wanita satu ketika dahulu kini menjadi sebaliknya.

Budaya masyarakat kita terutama Melayu yang memandang rendah wanita merokok nampaknya tidak lagi dipedulikan. Ia bukan lagi sesuatu yang perlu dimalukan, malah terdapat wanita berasa bangga merokok di khalayak ramai.

Jika dahulu, tabiat itu dilakukan secara bersembunyi, kini kita boleh melihatnya terang-terangan di pejabat, kawasan beli-belah mahupun dalam bas awam.

Apabila sudah terlalu lama kandungan bahan kimia rokok seperti nikotin 'bersarang' di dalam tubuh kerana mula merokok sejak usia remaja, maka mudah pelbagai penyakit datang menyerang.

Apabila berpenyakit, maka tentulah keluarga (suami dan anak-anak) tidak mendapat layanan sempurna apa yang dideritai menyebabkan wanita terbabit kurang upaya untuk mengurus keluarga, selain terpaksa berhabis banyak wang untuk merawat penyakit.

Tentulah juga jika terlalu ramai wanita seperti itu, maka sebarang pekerjaan termasuk di sektor awam tidak dapat berjalan sempurna.

Cuti sakit yang berlarutan boleh menjejaskan produktiviti syarikat. Maka, kesannya ditanggung oleh kerajaan dalam jangka masa panjang.

Perancangan dan pelaksanaan pembangunan akan terencat kerana negara memiliki ramai penduduk yang sakit. Lebih memburukkan keadaan, wanita yang merokok akan memberi contoh yang tidak elok kepada anak-anak yang sedang membesar.

Akhirnya, ia akan menjadi satu budaya dan beranggapan merokok sesuatu yang biasa dalam masyarakat. Oleh itu, semua pihak, ibu bapa, sekolah, Kementerian Pelajaran perlu bersatu hati tanpa menuding jari bagi mencari formula membanteras gejala merokok dalam kalangan remaja.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/