Oleh : Mohd Nasaruddin Parzi
Kuala Lumpur : Penubuhan
91 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam tempoh tiga tahun sejak 2010 menjadi
platform kepada negara memperkasa kebolehan pelajar sekali gus menyumbang
kepada peningkatan mutu pendidikan di sekolah.
Pada masa sama, Kementerian
Pelajaran menyasarkan penubuhan 19 lagi SBT pada tahun ini yang akan
melonjakkan mutu pendidikan sekolah rendah dan menengah.
Ketua Penolong Pengarah, Sektor
Pengurusan dan Perhubungan Sekolah Berprestasi Tinggi, Bahagian Pengurusan
Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran,
Faridah Yang Razali, berkata fokus utama SBT bukan saja untuk pelajar mempunyai
pengetahuan akademik cemerlang, bahkan turut menguasai kemahiran berfikir
secara kritis, kreatif dan inovatif.
Pelajar serba boleh
Katanya, ia juga sebagai elemen
membentuk kemahiran memimpin, kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa
Inggeris, sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional yang kuat.
"Pemilihan SBT melalui tiga
proses saringan yang ketat oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Sekolah bukan
sahaja perlu cemerlang dalam akademik, tetapi perlu ada pencapaian dalam bidang
kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta mempunyai jaringan
dan jalinan kukuh dengan institusi pendidikan atau agensi keraja an dan bukan
kerajaan dan menjadi penandaarasan dari dalam dan luar negara.
"Calon juga dinilai dari
segi pengurusan kewangan yang baik sebagai prasyarat. Penilaian ke atas calon
dilaksanakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan kualiti bagi memastikan sekolah
benar-benar layak berdasarkan dokumentasi atau bukti yang dikemukakan,"
katanya.
Faridah berkata, pemberian SBT
bukan saja menumpukan kepada usaha menaikkan mutu kecemerlangan di sekolah itu
saja, sebaliknya bertindak sebagai mentor kepada sekolah berhampiran di
kawasannya.
Beri peruntukan khas
Katanya, peruntukan khas
RM700,000 diperoleh selepas berstatus SBT bagi tahun pertama sebelum jumlah
berikutnya, RM500,000 (tahun kedua) serta RM300,000 bagi tahun ketiga dan seterusnya.
"Kita menetapkan empat
kriteria kepada sekolah dalam menggunakan peruntukan disalurkan meliputi
pembangunan modal insan, pengantarabangsaan, penyelenggaraan dan ubah suai
kecil serta harta modal.
"Walaupun ada syarat dari
segi cara penggunaan (peruntukan), namun kementerian secara dasarnya tetap
memberi kuasa autonomi kepada sekolah merancang apa juga program asalkan ia
memfokuskan kepada meningkatkan kecemerlangan sekolah," katanya.
Kemudahan lain dinikmati SBT
termasuk kursus dan latihan khas diberi kepada warga pendidiknya termasuk
pengetua.
Ditanya mengenai pencapaian SBT
berbanding sekolah lain, Faridah berkata, beberapa aspek dilihat termasuk dari
segi pencapaian akademik pelajar serta daya kreativiti, karismatik, kebolehan
memimpin dan komunikasi yang meningkat.
Dari segi prasarana sekolah
katanya, penggunaan alat bantuan mengajar lebih menarik selain penggunaan
teknologi dan kelengkapan makmal yang lebih moden.
Sehingga kini, katanya Johor
adalah negeri paling banyak SBT iaitu 13 diikuti Selangor (10), Terengganu (9),
Kedah (9), Kuala Lumpur (8) serta 7 di Pahang dan Pulau Pinang, manakala
selebihnya di negeri lain.
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/