Rabu, 20 Oktober 2010

Menjulang pemerkasaan bahasa

Oleh - A. Aziz Deraman

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) sepanjang Oktober ini menjadikan 1Bahasa, 1Bangsa dan 1Negara sebagai tema. Tema ini amat selari, kena dan tepat pula dengan Gagasan 1Malaysia yang meletakkan perpaduan sebagai matlamat utama. Bahasa adalah asas pembinaan tamadun dan perpaduan bangsa. Prinsip-prinsip aspirasi berteraskan penerimaan, Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial perlu dihayati rakyat. Rakyat perlu memahami hakikat kepelbagaian negara bangsa kita. Kita akan membina ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ tersebut. Konsep 1Bahasa itu penting kerana kita mempunyai satu bahasa negara, yakni peranan dan fungsi satu bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kita adalah satu bangsa, tetapi terdiri daripada pelbagai etnik dan sukuan tadi, bersatu dengan berkongsi nilai-nilai persamaan, ada rasa sepunya dan kekitaan. Segala-galanya itu mengarah kepada kefahaman bahawa tidak ada negara lain, selain daripada Malaysia, satu-satunya negara kita di dunia ini.

Syabas dan tahniah kepada Kementerian Pelajaran dan Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kerana mulai Oktober 2009 menggerakkan BBK bertujuan mengangkat lagi kesedaran terhadap bahasa dan persuratan bangsa. Selama ini pun Kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membimbing sikap rakyat pelbagai kaum ke arah kenal dan cinta terhadap bahasa kebangsaan melalui kempen-kempen Bulan Bahasa pada tahun 1960-1966. Lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ berkumandang di segala ceruk rantau negara setiap kali program dan kegiatannya dilakukan institusi, organisasi dan badan-badan bukan kerajaan. Pada 1987, DBP memimpin Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang melibatkan pemimpin politik semua kaum dan pegawai di pelbagai peringkat pentadbiran kerajaan. Gerakan itu kemudian digabungkan dengan Minggu Sastera Negara yang dilaksanakan sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) mulai 1999, semasa penulis menerajui DBP. Apakah natijah daripada setiap gerakan ini, jika tidak bagi mengangkat kesedaran setiap lapisan rakyat menghayati dan menjulang keperkasaan sebuah bahasa negara.

Tahun 2010 adalah peralihan dan transformasi Malaysia dalam banyak perkara. Lihatlah cita-cita murni pimpinan Perdana Menteri sekarang, Datuk Sri Najib Razak untuk memajukan kehidupan rakyat dengan gagasan dan dasar-dasar disepadukan bagi Malaysia mencapai status negara maju pada 2020, sekali gus menjadikan kita negara berpendapatan tinggi. Kita tidak mahu ukuran demikian hanya dinikmati sekelompok manusia atau industri sahaja, sebaliknya biarlah kemakmuran nusa bangsa ini merata dan melata dari atas sampai ke bawah. Program transformasi kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia (RMK-10) akan menjadi wahana kepada gagasan, konsep dan slogan 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Itulah cara demokrasi berparlimen.

Kedudukan bahasa kebangsaan kita memang sudah perkasa sejak zaman berzaman, berkembang di rantau ini sejak 2000 tahun lalu. Bahasa ini mencapai kedudukannya yang tinggi mulai abad ke-15 lagi. Kini semakin mantap, apalagi selepas kemerdekaan 1957, bahasa ini kekal menjadi bahasa ilmu. Kenapakah aspek bahasa menjadi sangat penting dalam gagasan 1Malaysia? Jika kita berpegang kepada Perlembagaan Malaysia sebagai teras kenegaraan dan aspirasi perpaduan negara bangsa, maka setiap tonggak negara adalah bersifat hak-hak kenegaraan, khususnya status bahasa ini sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Kita tidak ada jalan lain, kecuali menjulang Dasar Bahasa Negara sebagai wahana ilmu, pendidikan, komunikasi dan alat pembinaan tamadun bangsa. Dari segi logik pun, tidak akan ada bahasa lain yang boleh mengambil alih peranan dan fungsi bahasa kebangsaan sendiri sebagai alat pemersatuan bangsa Malaysia. Bahasa lain, hatta bahasa Inggeris (BI) sekali pun hanya patut menjadi satu keperluan tambahan dalam konteks kita berbahasa atau demi penggunaan dalam konteks tertentu. Jadi bahasa kebangsaan yang sudah memperoleh martabat sebagai bahasa negara, dikanunkan sebagai Perkara 152 Perlembagaan dan diperkukuh dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (disemak 1971), jangan sekali-kali dijadikan dolak-dalik politik.

Muhyiddin semasa merasmikan pelancaran BBK 2010, pada 5 September di Ipoh, antara lain menegur sikap dan tindakan tidak kena yang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membina imej bahasa di tempat-tempat awam. Isu ini bukan baru, sebab sudah lama kedengaran oleh kita. PBT tidak seharusnya mengambil sikap sambil lewa, berpeluk tubuh dan meneruskan tabiat buruk ‘tidak apa’, sebab imej bangsa dan negara terpampang di mana jua. Orang asing yang berkunjung atau melancong akan membandingkan imej kota-kota dan gedung-gedung perniagaan kita dengan apa yang ada di negara mereka. Papan iklan dan papan tanda, penamaan gedung perniagaan, nama taman-taman perumahan dan jalan-jalan menjadi imej pertama di gerbang mata. Ketaatsetiaan kita dan komitmen terhadap bahasa kebangsaan sesungguhnya menjadi tanda dan ukuran kepekaan semua pihak berkuasa dan lapisan rakyat. Jika sudah ada peraturan atau undang-undang kecilnya, maka laksanakan sahaja. Ruangan untuk bahasa-bahasa lain sudah ada sesuai dengan Dasar Bahasa Negara. Kenapa susah sangat untuk kita jadikan aspirasi kenegaraan itu dalam kehidupan kita?

Sepanjang BBK 2010, penulis ikut diundang menyampaikan syarahan, ceramah dan menganggotai panel forum tentang pelbagai aspek menyangkut persoalan bahasa. Antaranya penulis diundang ke Ipoh, Kuching, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru dan satu dua yang lain dalam program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, DBP, Jabatan Arkib Negara, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felcra, institusi pengajian tinggi dan Kerajaan-kerajaan Negeri. Penulis berbicara mengenai ‘Bahasa Dalam Gagasan 1Malaysia’, ‘1Malaysia dan Pembinaan Negara Bangsa’, ‘Dasar Bahasa Negara dan Peneguhan Sikap Bangsa’, ‘Kebudayaan dan Kesusasteraan Dalam Pembinaan Modal Insan Cemerlang’, ‘Wacana Peradaban Malaysia Masa Kini’ dan satu dua tajuk lain. Hal ini belum lagi termasuk undangan kepada rakan-rakan bahasawan dan sarjana yang lain. Nampaknya BBK 2020 mendapat sambutan baik. Rata-rata rakyat mahukan kerajaan bertindak lebih tegas dan kuatkuasakan undang-undang yang relevan.

Lazimnya persoalan dibangkitkan khalayak adalah sejauh manakah pencapaian kita dalam menegakkan fungsi bahasa kebangsaan untuk keperluan negara, sama ada sebagai bahasa rasmi atau atas sifatnya sebagai bahasa kebangsaan itu sendiri. Kini kita perlu bermuhasabah apakah sesudah 53 tahun merdeka, bahasa kebangsaan mencapai fungsi sepenuhnya sebagai bahasa rasmi. Cuba tanya diri kita bagaimana kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan, pengantar pendidikan, bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri. Khabarnya di universiti-universiti awam, peralihan sedang terjadi kepada berleluasanya bahasa Inggeris sehingga boleh menjejaskan hasrat menjadikan BM sebagai bahasa ilmu tinggi atau bahasa sains dan teknologi. Agaknya kedudukan BM masih baik sebagai bahasa kebudayaan, kesusasteraan, kesenian, agama dan falsafah meskipun di sana sini sudah kelihatan keserongan persepsi bahasa dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri, pemilik asal bahasa itu. Mereka masih tidak yakin, menganggapkan BI itu adalah segala-galanya. Kononnya kemajuan hanya boleh dicapai melalui BI. Itulah perbezaan sikap yang nyata antara kita di Malaysia dengan negara-negara maju. Mereka maju melalui bahasa sendiri; seperti di Jepun, Korea dan Jerman.

Najib ketika berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri pada 16 Oktober lalu mengatakan bahawa matlamat mewujudkan masyarakat yang boleh menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa adalah antara fokus baru yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Kebangsaan merupakan jati diri bangsa yang perlu diperjuangkan terus menerus, manakala kemahiran berbahasa Inggeris atau mempelajari bahasa-bahasa tambahan lain akan menambahkan daya saing bangsa Malaysia di persada global. Kita tahu bahawa dunia satu bahasa atau monolingual sudah tiada lagi. Maka memanglah bangsa kita akan kerugian jika rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa asing yang diperlukan itu dengan baik. Cuma kita memerlukan persepsi dan perspektif yang betul dan benar. Mesej perlu kita dukung adalah, apabila kita mengatakan BI itu penting, kita perlu menambah dengan menegaskan bahasa kebangsaan lebih penting. Belajarlah BI tetapi jangan lupakan bahasa kebangsaan. Kita semakin memerlukan gerakan psikologi kesedaran berbahasa. Utuhkan BM sebagai bahasa negara dan atur rancangan menjadikannya sebagai salah satu bahasa komunikasi antarabangsa yang berpengaruh bermula di rantaunya sendiri.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/