Khamis, 17 April 2014

ISU SOSIAL : Kes gengster remaja tuntut perhatian serius semua pihak


Oleh : Mohd Ayob Abd Razid

Isu peningkatan gengsterisme dalam kalangan remaja hari ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa keselamatan negara. Pembabitan remaja dalam aktiviti itu jelas tidak bertanggungjawab.

Ia bercanggah dengan nilai yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara. Tindakan mereka menunjukkan kurangnya kefahaman dan penghayatan terhadap prinsip berkenaan.

Lima prinsip Rukun Negara adalah tunjang penting yang perlu diamalkan oleh generasi kita bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Jika ramai remaja kita terbabit dalam aktiviti tidak sihat ini maka ia akan memberi kesan tidak baik kepada masyarakat.

Remaja yang membabitkan diri dalam kumpulan gengsterisme tidak mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi. Pastinya mereka tidak lagi menghormati undang-undang negara. Mereka juga dianggap menyimpang daripada tata susila kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan perpaduan.

Aktiviti tidak sihat ini juga akan mendorong mereka terbabit dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, alkohol, perjudian, peras ugut, kekerasan dan rogol.

Mengikut statistik, pembabitan remaja dalam jenayah menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua tahun (2012-2013).

Peningkatan kes jenayah

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Jaafar, peningkatan dalam jenayah kekerasan yang dilakukan remaja membabitkan tujuh kategori iaitu bunuh, rogol, samun berkumpulan dengan senjata api, samun berkumpulan tanpa senjata api, samun bersenjata api, samun tanpa senjata api dan mencederakan.

Jenayah harta benda yang dilakukan remaja pula membabitkan curi motokar, curi motosikal, curi kenderaan berat, ragut dan lain-lain. Menurut Wan Junaidi, walaupun berlaku peningkatan kes jenayah yang serius agak terpencil serta tidak sampai ke tahap membimbangkan masyarakat (BH 9 April 2014).

Pada pendapat penulis, walaupun ia dianggap terpencil, namun berdasarkan statistik didapati setiap kategori jenayah itu meningkat hingga dua kali ganda. Contohnya, bunuh meningkat daripada 35 kes (2012) kepada 74 kes (2013), samun tanpa senjata api meningkat daripada 39 kes (2012) kepada 116 kes (2013), samun berkumpulan tanpa senjata api juga meningkat daripada 238 kes (2012) kepada 685 kes (2013) dan rogol daripada 386 (2012) meningkat kepada 824 kes (2013).

Tindakan tegas

Justeru, polis wajar memberi perhatian serius terhadap isu ini. Remaja yang terbabit dalam aktiviti gengsterisme ini mesti dipantau dan diambil tindakan tegas. Bagi remaja yang baru terbabit dalam aktiviti ini, tindakan awal dapat menyelamatkan mereka daripada terus tersasar daripada landasan dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

Tindakan awal juga boleh dilakukan oleh pihak sekolah dengan memberikan kaunseling dan bimbingan kepada pelajar yang sering mempunyai masalah disiplin seperti kerap ponteng sekolah dan buli. Pelajar bermasalah ini mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk terbabit dalam kumpulan gengsterisme.

Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kerana kegagalan mereka memberikan didikan dan bimbingan yang sempurna antara punca anak mereka terbabit dalam pelbagai gejala sosial.

Diingatkan bahawa negara memerlukan remaja dan belia yang sihat bagi membolehkan mereka memperkukuh kemajuan dan pembinaan negara bangsa.

Kesimpulannya, pembabitan remaja dalam aktiviti gengsterisme perlu dibendung dan mereka yang terbabit wajar dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang ada di negara ini.

Sebagai pelapis kepada negara, mereka harus mempamerkan sikap terpuji dengan mematuhi undang-undang negara agar negara aman dan rakyat dapat hidup harmoni.


Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Implikasi kesalahan bahasa


Oleh : Dr Mohd Awang Idris

SEKIRANYA membaca mesej pesanan ringkas atau kiriman e-mel yang dihantar oleh golongan remaja, pastinya terdapat banyak bahasa baharu yang sukar difahami maksudnya. Ayat dan perkataan telah diringkaskan menjadi kosa kata yang baharu.

Anehnya, walaupun ia sukar difahami oleh kebanyakan yang sudah berumur, generasi muda mudah memahami penggunaan bahasa ringkas itu.

Walaupun tiada alasan yang menghalang manusia menggunakan pelbagai bahasa atau istilah yang mereka fahami, tetapi penularan bahasa baharu harus menjadi kebimbangan. Ia bakal merosakkan keindahan bahasa.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan masyarakat tidak lagi beranggapan bahawa bahasa merupakan suatu unsur penting dalam sesebuah budaya bangsa.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sesuatu bahasa juga akan pupus sekiranya tidak dipelihara. Ia bukanlah suatu hal yang aneh kerana banyak bahasa dunia telah pupus.

Seorang sarjana dalam bidang bahasa, Michael Krauss meramalkan bahawa separuh daripada 6,000 bahasa yang ada di dunia hari ini akan pupus dalam tempoh satu abad lagi.

Sebagai contoh, Marie Smith Jones adalah satu-satunya individu yang tahu berbahasa Eyak di Alaska, Amerika Syarikat. Bahasa Eyak merupakan satu daripada 20 bahasa yang ada di Alaska. Kematiannya pada Januari 2008 telah menyebabkan bahasa tersebut pupus ditelan zaman.

Sementara itu, hanya dua orang individu yang tahu berbahasa Warrwa di Kimberley, Australia Barat pada tahun 2009. Di selatan negara Vanuatu pula, hanya enam orang warga tua yang tahu dan fasih berbahasa Ura.

Sekitar tahun 1992, Tefvic Esenc manusia terakhir yang diketahui fasih berbahasa Ubykh (bahasa yang dituturkan di satu wilayah Rusia) telah meninggal dunia. Kematiannya sekali gus menamatkan sejarah bahasa Ubykh.

Lihatlah, bagaimana keindahan bahasa boleh sama sekali pupus apabila ia tidak dijaga atau digunakan sebaik-baiknya.

Walaupun kita tidak beranggapan bahawa bahasa Melayu bakal menghadapi nasib yang sama seperti bahasa-bahasa lain yang telah pupus, tetapi ia mungkin terjadi sekiranya manusia mula mengabaikan keindahan bahasanya.

Proses kepupusan

Hakikatnya, banyak bahasa yang sedang mengalami proses kepupusan di dunia masa kini. Ethnologue misalnya menganggarkan bahawa terdapat 204 bahasa yang kini hanya dituturkan kurang daripada 10 pengguna, 34 bahasa yang dituturkan hanya kurang daripada 99 orang dan 548 bahasa yang dituturkan oleh lebih 99 orang. Semua bahasa itu berpotensi dan bakal pupus.

Salahkah sekiranya kita sebagai rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu dengan cara yang betul? Mengapa harus digubah bahasa Melayu menjadi satu bahasa lain dan tiada maknanya lagi?

Sekiranya, kita melihat kepada bahasa-bahasa besar dunia, ia terus kekal sepanjang zaman bukan sahaja kerana jumlah penggunanya yang besar, malah mereka juga sangat mencintai bahasa mereka. Bahkan, dalam masyarakat tertentu, mereka tidak melayan orang lain yang berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa asing.

Sayangnya, dalam masyarakat di Malaysia khususnya, kita beranggapan bahawa bahasa Inggeris adalah segala-galanya. Mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dianggap bijak dan hebat. Secara realitinya, ia hanyalah sekadar satu daripada bahasa yang ada di dunia.

Tidak menjadi kesalahan untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi bukanlah bermakna kita cenderung untuk tidak menghargai bahasa ibunda.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa utama dunia. Seorang sarjana bahasa yang ternama, David Graddol meramalkan bahawa terdapat seramai 10.5 juta pengguna bahasa Melayu pada tahun 2050.

Bahasa Inggeris juga bukanlah bahasa terbesar dunia. Ia hanya dituturkan di kebanyakan negara. Sebenarnya bahasa terbesar yang dituturkan manusia ialah bahasa Mandarin, dengan jumlah sekitar 873 juta pengguna.

Bahasa Inggeris hanya dituturkan oleh kira-kira 309 juta pengguna iaitu lebih rendah daripada penutur bahasa Sepanyol yang berjumlah kira-kira 322 juta manusia.

Ini bermakna, bahasa Melayu bukanlah suatu bahasa yang sepatutnya dipandang rendah. Pengguna bahasa Melayu bersamaan dengan pengguna bahasa Jerman.

Kesilapan

Oleh itu, kita tentu akan lebih gembira sekiranya anak muda di negara ini tidak melihat perbuatan mencipta istilah baharu atau meringkaskan sesetengah ayat sebagai sesuatu yang bersifat biasa sahaja.

Walaupun ia bukan satu bentuk kesalahan dalam konteks undang-undang, tetapi secara psikologikalnya kita mungkin sedang melakukan satu kesilapan. Masyarakat telah membiarkan khazanah pusaka bangsa diubah bentuk kepada sesuatu yang sangat aneh dan janggal.

Sayangilah bahasa kita. Janganlah hanya kerana ingin menjimatkan caj khidmat pesanan ringkas atau kesibukan melakukan perkara lain, kita telah melakukan sesuatu yang mencemarkan keindahan bahasa.

Mungkin kita tidak berasa apa-apa buat masa sekarang. Bayangkan dalam tempoh 100 tahun lagi, ada seorang sahaja manusia yang tahu dan boleh berbahasa Melayu. Perkara itu tidak mustahil untuk berlaku sekiranya kita tidak menghargai penggunaan bahasa yang betul.

Sumber : http : //www. kosmo.com.my/