Selasa, 17 November 2009

BEBERAPA PETUA BUAT CALON SPM 2009


1.Bisikkan kepada diri sendiri saranan yang positif yang mendorong anda ke arah kejayaan. Lakukan ini sekerap yang mungkin. Masa terbaik melakukan saranan positif ialah tempoh antara tidur dan jaga. Bayangkan hanya yang positif dan fikirkan yang “saya boleh”. Saranan positif dalam tempoh beberapa saat sebelum anda tidur amat berkesan.Anda boleh membelai diri anda sendiri dengan berkata ” saya akan buktikan kepada ibu dan bapa yang saya adalah anak yang baik” atau apa-apa sahaja yang positif hingga anda tertidur.

2.Di peringkat ini juga anda boleh meminta ibu atau bapa anda membisikkan ke telinga anda kata-kata perangsang dan bersemangat agar anda tidur dalam keadaan penuh ceria dan tenang. Anda akan bangun keesokannya dengan penuh bermotivasi. Minta ibu atau bapa anda melakukannya pada setiap hari dari malam ini hingga malam terakhir peperiksaan. Ia merupakan suntikan bisikan bermotivasi yang keramat dan sangat berkesan.

3.Pastikan minda anda dimanja dan dibelai dalam tempoh yang sangat penting ini. Minda terbahagi kepada dua; bahagian paling atas merupakan minda terancang dan bahagian bawah yang merupakan bahagian paling banyak ialah minda terpendam. Sifat minda terancang ialah celik (nampak) sedangkan minda terpendam buta. Terima saranan yang positif sahaja dalam tempoh 13 hari ini dan sepanjang hari-hari peperiksaan.Tolak saranan yang negatif walau dari mana ia datang yang cuba memperlekeh kemampuan anda. Anda mesti melakukan tolakan itu di peringkat minda terancang lagi.Gantikan semua saranan yang negatif tadi dengan saranan yang positif. Tukarkan sangka buruk kepada sangka baik. Tukarkan dendam kepada ghibtah (dendam yang positif).Maknanya anda hanya akan membenarkan saranan yang positif sahaja masuk ke dalam minda terpendam. Apabila sudah dibawa masuk ke dalam minda terpendam, minda terpendam tak boleh menolak lagi sebab minda terpendam tidak nampak. Minda terpendam akan menerima sahaja semua saranan yang masuk. Sebab itu pastikan jika anda hendak menolak sesuatu yang negatif atau buruk, pastikan lakukan di peringkat minda terancang lagi.Dan pastikan yang masuk ke dalam minda terpendam hanya yang positif.

4.Kenal pasti zon masa optimum anda. Setiap individu, Tuhan berikan zon masa optimum iaitu suatu tempoh masa yang paling berkesan untuk mengulang kaji pelajaran. Maksudnya jika anda menggunakan tempoh masa ini untuk mengulangkaji pelajaran, anda mudah faham dan sesuatu yang ditelaah akan kekal lama dalam ingatan.Peruntukkan sekurang-kurangnya 2 jam dalam zon masa optimum itu untuk mengulang kaji. Jangan lakukan secara berterusan selama 2 jam. Pecahkannya kepada beberapa tempoh masa lebih pendek, umpamanya 20 minit dan diikuti 5 minit rehat sebelum anda melanjutkan ulang kaji anda. Jika anda lakukan secara berterusan selama 2 jam anda hanya mendapat satu titik optimum, tetapi jika anda pecahkannya kepada 20 minit dan 5 minit rehat anda telah mempunyai 5 titik optimum. Semasa rehat 5 minit itu jangan berfikir dan bercakap lagi mengenai topik yang dibuat ulang kaji. Jika anda melakukannya juga sebenarnya otak anda telah bekerja secara berterusan selama 2 jam. Otak manusia tidak boleh dipaksa untuk sentiasa bekerja. Otak perlu rehat. Jadi yang boleh anda lakukan dalam tempoh rehat pendek itu ialah berbual atau buat perkara lain yang tidak ada kena mengena dengan topik atau subjek yang berkaitan. Itu jauh lebih baik kerana otak tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi. Contohnya otak tidak dapat membezakan sama ada anda benar-benar berlari atau anda hanya membayangkan yang anda sedang berlari.

5.Buat latihan “pengeluaran” sekerap yang mungkin sebab di dewan peperiksaan calon hanya melakukan “pengeluaran” bukan lagi membuat simpanan. Masa membuat simpanan sepatutnya sudah berlalu. Pengeluaran akan mengasah minda anda. Sudah sekian lama anda menggunakan otak anda, tidak mustahil otak anda akan tumpul. Mengapa tidak luangkan masa untuk mengasah dan menajamkannya. Lebih kerap anda melakukan “pengeluaran’ seperti menjawab soalan latihan, menulis pelbagai jenis karangan, berbincang-bincang dan menjawab soalan objektif lebih tajamlah minda anda. Apabila minda anda semakin tajam lebih berkeyakinanlah anda untuk membawa “senjata tajam” itu ke medan pertempuran.

6.Banyakkan perbincangan dalam kumpulan kecil, soal jawab, bercakap sendirian mengenai sesuatu topik, gunakan nota berwarna, banyak mendengar dan melihat carta aliran dan rajah. Ini juga merupakan bentuk pengeluaran yang berkesan dan yang paling cepat dipanggil semula dalam dewan peperiksaan.

7.Elakkan mengambil daging merah dari sekarang hinggalah selesai peperiksaan. Banyakkan mengambil daging putih seperti ikan dan ayam. Elakkan mengambil minuman dan makanan yang merangsang (stimulate) pada waktu malam seperti kopi dan nescafe. Sebaik-baiknya minum sekurang-kurangnya 8 gelas air mineral pada setiap hari, segelas susu segar sebelum tidur dan kopi hanya pada waktu pagi sebelum melangkah ke sekolah atau ke dewan peperiksaan.

Selamat menduduki peperiksaan dengan penuh ketenangan dan cikgu doakan agar anda berjaya dengan cemerlang. Amin.

Sumber: http : //gurubashid.com/blog/