Selasa, 24 Januari 2012

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (SIRI 16)


MARAHKAN NYAMUK, KELAMBU DIBAKAR

Peribahasa ini cukup popular, bagi menggambarkan keadaan apabila disebabkan timbul suatu masalah kecil, kita mengambil tindakan drastik yang terburu-buru, sehingga menyebabkan kerugian kepada diri kita sendiri.

Telah menjadi kelaziman bagi masyarakat kita, terutama bagi mereka yang tinggal di kampung menggunakan kelambu apabila tidur malam bagi mengelakkan daripada gangguan nyamuk. Lebih-lebih lagi kalau rumah itu terletak di tepi paya atau belukar, memang gangguan nyamuk ini terlalu merimaskan.

Mungkin situasi dalam peribahasa ini berlaku apabila individu yang terlalu marah akan nyamuk yang tidak henti-henti menggigit walaupun telah dipasang kelambu, lantas membakar kelambu dengan harapan bahawa nyamuk tersebut akan terbakar; atau nyamuk tersebut lari dan tidak menggigit lagi.

Kiasan di sebalik peribahasa ini memang tajam terhadap seseorang yang cepat hilang pertimbangan apabila menghadapi sesuatu masalah. Apabila keadaan terdesak, kewarasan fikirannya menjadi buntu. Perhitungan yang diambil menjadi terburu-buru sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja tindakan tanpa menyedari bahawa perbuatannya itu merugikan diri dan keluarganya (malahan mungkin agama dan bangsanya).

Apabila keadaan sedemikian terjadi, baharulah perasaan menyesal datang, namun, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, sebarang perbuatan atau tindakan yang kita ambil sewajarnya disertakan dengan akal fikiran yang berpandangan jauh.

Agama mengajar kita bahawa seseorang yang dalam keadaan marah itu sebenarnya sedang digoda oleh syaitan, justeru, jika kita menghadapi keadaan tersebut, kita disarankan untuk beristighfar, mengambil wuduk dan bersolat. Apabila kita tunduk sujud menghadap Allah S.W.T, insya-Allah kita akan dapat meredakan perasaan marah lantas jiwa kita akan menjadi tenteram. Tindakan seumpama inilah yang sebenarnya jalan terbaik sekiranya kita menghadapi masalah yang sedemikian.

Dalam meniti kehidupan ini , kita semua sememangnya tidak boleh lari daripada membuat kesilapan sama ada secara sedar ataupun tidak. Itu adalah hikmah yang hanya Allah mengetahui kebaikannya. Oleh sebab itu diadakan saranan untuk kita sentiasa beristighfar moga dengan itu dosa-dosa yang kita lakukan dapat diampunkan oleh Allah S.W.T.

Apabila bercakap pasal kesilapan ini, ada kesilapan yang besar dan ada kesilapan yang kecil. Selagi kesilapan itu tidak menjejaskan aqidah maka sebagai mukmin kita harus berlapang dada dan berusaha untuk membaiki dengan segala kemampuan yang ada. Punca kesilapan ini juga pelbagai, ada kerana desakan ekonomi rumahtangga, ada disebabkan dorongan merebut kekuasaan, ada disebabkan desakan kawan-kawan sekelililng, ada disebabkan dorongan nafsu serakah, ada juga disebabkan faktor suasana sekeliling.

Tidak ada seorangpun boleh mendabik dada mengatakan bahawa diri mereka tidak pernah membuat dosa. Kita bukan malaikat. Cuma dalam banyak keadaan kita melihat dosa itu hanya pada apa-apa yang kita lihat dengan mata kasar saja seperti rasuah, menipu, mencuri, membunuh, berzina dan yang seumpamanya. Sangat sedikit daripada kalangan kita yang menyedari bahawa dosa-dosa “tersembunyi” yang ada dalam diri kita itu juga tidak kurang bahayanya seperti takabbur, riak, ujub, bakhil dan seumpamanya. Boleh saja amalan kita terhapus dengan dosa-dosa ini dan dicampakkan ke dalam neraka, nauzubillah. Namun, yakinlah selagi dosa itu tidak membawa kepada terkeluar daripada Islam, maka sikap kita ialah cuba untuk membaikinya sedaya yang mampu .

Nota Hujung :

Peribahasa lain yang sama maksud :

i. Marahkan pijat(pepijat), kelambu dibakar, tidur terdedah.
ii. Marahkan tikus, rengkiang dibakar.
* rengkiang bermaksud kepuk, jelapang, atau tempat untuk menyimpan padi.

ISU PENGAJIAN TINGGI : Hubungan baik sesama siswa patut diutamakan


Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

KETIKA ini puluhan ribu mahasiswa dengan pelbagai kecenderungan, keinginan, matlamat dan gaya penampilan sedang membina kecerdikan sebelum diijazahkan dengan pelbagai ilmu di menara gading. Kehidupan mereka di kampus tersedia dengan cabaran, likuan dan dugaan. Bergantung kepada kecenderungan mereka memilih untuk bertembung dengan isu semasa, kepemimpinan, keilmuan, pergerakan politik, perjuangan peribadi dan selebihnya kelompok kecelaruan mencari pengertian hidup atau membiarkan masa menentukan perjalanan mereka.

Kelompok mahasiswa aktif berpersatuan giat dalam merancakkan suasana kampus dengan pelbagai aktiviti keilmuan, kemasyarakatan dan pembangunan potensi diri terkecuali daripada tergolong dalam kelompok kecelaruan peribadi.

Golongan mahasiswa yang tiada matlamat, visi dan penampilan intelektual ini terdedah kepada dunia luar bersifat negatif seperti terbabit dengan budaya liar, seks bebas, pesta hiburan, murtad, jual maruah, hedonisme dan sebagainya. Terlalu bahaya sekiranya kuatnya falsafah keseronokan jiwa lebih mencengkam pemikiran pelajar dan mereka meletakkan keutamaan dalam kehidupan kampus. Terpinggirnya mereka daripada aktiviti kampus yang lebih tertumpu kepada pemupukan ilmu dan kekuatan agama menjadikan kelompok ini kian terbiar dan berhadapan kemusnahan masa depan.

Sebaik menjejak kaki di kampus, mahasiswa dihidangkan dengan pelbagai kemelut yang menguji tahap keimanan, kemantapan jati diri dan kekuatan rohani. Bila berjauhan daripada keluarga, kebebasan dimiliki bukanlah tiket mendapatkan kepuasan diri secara mutlak.

Mendekati rakan yang elok akhlaknya dan kuat ibadatnya kepada Allah SWT antara cara membina ketahanan diri daripada melakukan perbuatan mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas. (Surah al-Kahfi: ayat 28)

Sebenarnya peluang dan dasar keterbukaan kehidupan kampus perlu direbut oleh siswa sebagai persediaan ke arah kerjaya dengan memperoleh pengalaman pengurusan persatuan, kepemimpinan, penerbitan, pembinaan rangkaian perniagaan serta pembinaan penampilan diri yang terbuka dan bijak.

Pemandangan kurang menyenangkan apabila kita melihat ada sebilangan siswa dalam kelompok yang tidak mencerminkan kebijaksanaan daripada pertuturan, pemakaian, pergaulan dan cara bertindak. Golongan inilah antara prospek kelompok boleh dipergunakan oleh mana-mana pihak yang melihat mereka mudah dipengaruhi dan boleh diaruskan akal dan pilihan tindakan.

Dalam konteks Islam, keperluan wujudnya golongan melakukan amal makruf dan nahi mungkar di dalam sesebuah penempatan, kawasan dan komuniti. Dalam masyarakat kampus, penempatan siswa yang datang dari pelbagai kelompok, daerah dan pedalaman terpencil akan membawa masuk ke kampus dengan pelbagai gelagat, budaya serta bentuk cara hidup bervariasi. Semuanya terkandung nilai kebaikan mahupun tidak bermoral. Firman Allah SWT: “Dan hendaklah (sebahagian) kamu menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh yang makruf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Ali Imran 3:104)

Oleh itu, perlulah mahasiswa membentuk kumpulan memainkan peranan mengajak rakan seperjuangan ke arah kebaikan serta menasihati atau istilah ‘mendekati’ kelompok terbabit melalui pendekatan sederhana dan berhikmah, bukan memilih untuk menghukum, memberi label, memulau dan memisahkan kelompok ini daripada aktiviti yang dianjurkan.

Kecenderungan pimpinan mahasiswa dalam kelompoknya atau mana-mana persatuan memisahkan atau memberikan tanggapan negatif kepada segelintir siswa dilihat bermasalah, kecelaruan peribadi dan kelihatan berbeza penampilan melangkau norma wajar diperbetulkan. Kita khuatir dengan pemulauan dan pemisahan dalam konteks hubungan sesama pelajar menjadikan kelompok ini terdedah mencari perlindungan luar berbaur maksiat, penyalahgunaan dadah, dan lebih parah apabila memilih untuk murtad.

Menghidupkan suasana hubungan sesama pelajar terjalin dengan harmoni menjadi tanggungjawab utama ke arah menjadikan mahasiswa lebih dihormati, lebih terarah kepada ilmu dan kekuatan ilmu. Selagi wujudnya kegagalan membentuk suasana baik di kampus, maka peningkatan kes tidak bermoral, salah laku dan kadar jenayah sosial dalam kalangan mahasiswa terus diperkatakan.

Sebaiknya kepemimpinan di kampus menekankan aspek hubungan baik sesama pelajar dan memberi penekanan kepada matlamat persatuan adalah menyatupadukan masyarakat pelajar untuk mengelakkan wujudnya kelompok kecelaruan peribadi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim).

Sumber : http: //www. bharian.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Cabaran pendekatan wasatiyyah dalam politik antarabangsa


Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK

DALAM satu persidangan antarabangsa 'International Conference on Global Movement of Moderates (IGCMM), yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), baru-baru ini telah menganjurkan satu konsep yang disebut sebagai 'pendekatan Wasatiyyah'.

Tujuan utama pengenalan pendekatan ini adalah meneutralkan fahaman ekstremisme serta memupuk kaedah penyelesaian konflik dan hal ehwal antarabangsa dengan cara yang lebih baik dan bersederhana.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, manusia tidak boleh mengubah dunia yang ekstrem menerusi kekerasan, sebaliknya ia boleh dibuat secara pemujukan dan perundingan. Dunia, menurut beliau, mesti menerima kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan untuk memerangi fahaman ekstremisme dan segala cabaran yang dihadapinya.

Beliau turut menambah dengan mengatakan bahawa pertentangan yang sebenar bukannya antara Islam dan bukan Islam, atau antara negara maju dan negara membangun, tetapi ia ialah antara golongan yang bersikap sederhana dan golongan ekstremis.

Sementara itu, pengerusi persidangan, Tan Sri Razali Ismail pula mengatakan bahawa nilai kesederhanaan adalah interaksi yang akan dapat menyatukan pelbagai pendapat untuk menerima jalan tengah dalam usaha mengelakkan ketegangan dan konflik.

Jelas sekali bahawa idea pendekatan wasatiyyah ini bukan sahaja baik untuk negara seperti Malaysia tetapi juga demi keamanan dunia sejagat. Sekali pandang, pendekatan wasatiyyah bakal menjadi tonggak utama dalam pelaksanaan dasar luar Malaysia era Najib.

Pun begitu, cabaran yang bakal menanti Malaysia dalam usaha merealisasikan pendekatan ini adalah sangat hebat dan besar. Selain cabaran normal dalam politik antarabangsa (sebagai contoh, era globalisasi, fahaman liberalisme, ekstremisme dan terrorisme), cabaran paling besar dan kritikal pada ketika ini adalah peranan 'sulit' pihak ketiga dalam merencana, mengatur dan memanipulasi senario politik antarabangsa untuk manfaat segelintir pihak tertentu dalam yang sebenarnya paling berkuasa pada hari ini.

Cerita mengenai peranan 'sulit' pihak ketiga dalam merencana senario politik antarabangsa ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Beberapa orang penulis Barat seperti William Guy Carr, Profesor Carrol Quigley, Lyndon LaRouche dan Profesor Kevin MacDonald pernah menulis dan membincangkan dengan panjang lebar mengenai peranan 'sulit' pihak ketiga ini dalam konteks politik antarabangsa walaupun semua hasil penulisan mereka ini dikategorikan sebagai 'teori konspirasi' semata-mata.

Pun begitu, apabila Robert Cox (bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa) menulis sebuah artikel yang bertajuk 'Social forces, states and world orders: Beyond international relations theory' terbitan jurnal The Millenium (1981), persoalan mengenai kebenaran wujudnya peranan 'sulit' pihak ketiga dalam politik antarabangsa ini mula terjawab secara ilmiah dan empirikal.

Istilah 'social forces' yang digunakan oleh Cox sebenarnya menggambar satu gerakan besar-besaran yang bersifat bukan negara (non-state) dan bebas daripada apa jua ikatan perundangan dan peraturan antarabangsa yang sanggup menggunakan apa sahaja 'senjata' yang ada untuk tujuan merencana dan menguasai dunia sejagat dengan cara mencetuskan konflik di mana perlu yang bertujuan untuk melemahkan semangat solidariti masyarakat dunia sejagat yang telah lama sedia terjalin.

'Social forces' yang bersifat bukan negara ini boleh dikategorikan dalam pelbagai kelompok seperti gerakan pengganas antarabangsa, gerakan pemisah, individu-individu yang sangat kaya dan berpengaruh, pertubuhan-pertubuhan sulit dan fraterniti, institusi-institusi kewangan antarabangsa, syarikat multinasional, dan badan bukan kerajaan.

Cara dan kaedah yang digunakan oleh 'social forces' ini dalam menjalankan modus operandi mereka adalah sangat hebat dan kadang-kala lebih berkemampuan daripada apa yang ada bagi sesebuah negara.

Dunia era globalisasi telah memberikan kelebihan kepada 'social forces' ini untuk bergerak dan berperanan dengan lebih aktif. Pengaruh mereka bukan lagi hanya berlegar di sekitar luar sempadan negara, malah telahpun memasuki ke segenap pelosok dan ceruk rantau di semua negara, sama ada negara besar ataupun kecil.

Kelibat 'social forces' atau pihak ketiga ini dalam merencana senario politik antarabangsa dilindungi dengan mudah apabila mereka bergerak bukan atas platform negara tetapi sebagai aktor bukan negara yang seringkali dilihat kononnya sebagai neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana negara pun termasuk negara kuasa besar dunia.

Jadi, tidak hairanlah kalau nanti, kita tidak akan lagi dapat melihat senario peperangan yang biasa kita lihat dan dengar, di mana ia melibatkan perang antara dua buah negara atau lebih. Sebaliknya, peperangan akan berlaku dalam sesebuah negara tersebut yang melibatkan pertembungan antara tentera yang setia kepada kerajaan dengan rakyat jelata yang bangkit menentang apa yang disifatkan sebagai kekejaman kerajaan dan rejim.

Sementara semua ini berlaku, gerakan 'people's uprising' ini sebenarnya dipimpin oleh pihak-pihak tertentu yang 'berpangkalan' di luar sempadan negara tersebut yang tidak pernah jemu menawarkan segala bentuk bantuan dan pertolongan kepada rakyat tempatan untuk menjatuhkan kerajaan di negara mereka sendiri.

Contoh yang paling jelas adalah senario 'Arab Spring' yang sedang hebat melanda dunia Arab dan rantau Asia Barat, serta gerakan 'Reformasi' dan 'Bersih' yang pernah berlaku di Malaysia. Semua senario ini jelas didalangi oleh pihak-pihak luar yang ingin mengambil kesempatan untuk menjatuhkan pemerintahan sesebuah negara dengan cara keganasan.

Jadi, jelas sekali di sini bahawa peranan 'sulit' pihak ketiga ini sememangnya benar wujud dan bukan sekadar rekaan semata-mata ataupun satu teori konspirasi. Kita perlu sedar bahawa fahaman realisme yang mana matlamat negara masih menjadi idea utama banyak negara terutamanya negara kuasa besar dunia dalam aktiviti mereka di peringkat antarabangsa masih lagi kukuh. Dan hari ini, kita tidak lagi membincangkan mengenai ancaman dan peranan negara, sebaliknya kita mesti memberi perhatian kepada ancaman dan peranan 'sulit' pihak ketiga untuk memanipulasi senario politik antarabangsa.

Inilah sebenarnya cabaran utama yang mesti dihadapi oleh Malaysia dalam usahanya untuk merealisasikan pendekatan wasatiyyah dalam konteks politik antarabangsa. Sementara Malaysia berpegang teguh dengan pendekatan ini untuk kebaikan sejagat, ia juga tidak harus lupa bahawa realiti sebenar kehidupan sesebuah negara dalam dunia global tanpa sempadan ini sebenarnya bersifat 'anarki'.

Memang benar sebagaimana ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis penutupan di persidangan itu, bahawa pendekatan wasatiyyah ini bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian. Ia satu kemestian hanya kerana Malaysia adalah sebuah negara kecil yang sangat cinta akan keamanan dan kesederhanaan.

PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah Darulaman

ISU PENGAJIAN TINGGI : Menjana pekerjaan menerusi pendidikan tinggi


Oleh Dr Sharifah Hapsah

Sekolah, universiti perlu lahir graduan berkualiti, bukan hanya pentingkan kelulusan

PADA masa lampau semua lulusan universiti terjamin memperoleh pekerjaan yang baik, khususnya dalam perkhidmatan awam yang sedang pesat berkembang. Apabila negara mencebur diri dalam perindustrian, ramai pula diterima bekerja dengan pihak swasta. Malah ada mahasiswa yang terus mendapat tawaran pekerjaan ketika masih berada di tahun akhir pengajian mereka.

Namun keadaan ini sudah berlalu. Graduan termasuk yang memperoleh biasiswa pun tidak lagi terjamin akan diberi pekerjaan. Keadaan ekonomi ialah antara faktor penyebab seperti juga faktor kebolehupayaan graduan itu sendiri mendapat pekerjaan.

Kita perlu berusaha menangani kedua-dua faktor ini supaya pengangguran tidak akan menjadi satu masalah rumit dalam kalangan graduan.

Nampaknya masalah yang amat meresahkan kita dewasa ini bukannya peningkatan kos rawatan pesakit, puak pelampau dan keganasan global atau pun pencemaran alam sekitar tetapi ketandusan pekerjaan yang baik untuk semua.

Dalam buku The Coming Jobs War yang berdasarkan satu bancian pendapat orang ramai, penulisnya Jim Clifton, yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gallup, menyatakan dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, masyarakat telah berubah daripada menginginkan kasih sayang, wang, makanan, perlindungan, keselamatan, kedamaian dan kebebasan kepada desakan untuk mendapat pekerjaan yang baik untuk diri dan anak-anak mereka.

Bancian ini juga mendapati bahawa tiga bilion daripada sejumlah lima bilion manusia berumur 15 tahun ke atas memaklumkan kepada Gallup bahawa mereka sedang bekerja atau mahukan pekerjaan. Masalahnya, kini ada 1.2 bilion pekerjaan formal sekurang-kurangnya 30 jam, dengan pendapatan tetap.

Keadaan ini boleh mewujudkan tekanan yang boleh menggugat kestabilan masyarakat akibat 1.8 bilion orang, merangkumi hingga seperempat daripada keseluruhan jumlah manusia di dunia, tidak mempunyai pekerjaan tetap. Pengangguran ialah masalah besar yang boleh mendatangkan kekecewaan dan kehampaan rakyat sesebuah negara. Ini dengan sendirinya boleh menyebabkan kemerosotan nisbah kesejahteraan negara. Penganggur ialah rakyat yang amat murung sehingga ada yang memerlukan lebih banyak rawatan kesihatan.

Pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai perhubungan rapat. Tanpa pertumbuhan KDNK penambahan pekerjaan tidak akan berlaku. Apabila tidak ada penambahan pekerjaan, pertumbuhan KDNK juga tidak akan berlaku. Justeru, penjanaan pekerjaan baru dan pertumbuhan baik KDNK ialah antara unsur perubahan utama yang boleh membawa kepada kesejahteraan dunia.

Maka, Program Transformasi Negara (GTP) yang diharap membuahkan hasil dalam jangka masa Rancangan Malaysia Kesepuluh dan ke-11 seiring dengan Model Baru Ekonomi adalah langkah tepat untuk menjana peluang pekerjaan. Wawasan mencapai taraf negara berpendapatan tinggi adalah sejajar dengan rangsangan pertumbuhan ekonomi, penjanaan pekerjaan dan penarikan pelaburan. Matlamat akhirnya ialah jaminan peningkatan kualiti hidup rakyat yang mana tidak seorang pun akan terpinggir, manakala masa hadapan generasi akan datang tidak pula terabai.

Pelajaran ialah asas dan landasan kepada GTP. Ia adalah juga satu daripada tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan dan menjadi satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi, selain keperluannya Program Transformasi Luar Bandar dan Program Transformasi Politik.

Dengan itu, pengetua sekolah dan naib canselor universiti harus berpandangan jauh dan tidak hanya tertumpu kepada kadar kelulusan graduan tetapi turut memberi tumpuan kepada pendidikan yang dapat menjamin peluang pekerjaan yang lebih cerah.

Kebanyakan pekerjaan kini dijana oleh syarikat kecil dan sederhana (SKS). Di Amerika Syarikat misalnya 99 peratus daripada sejumlah enam juta syarikatnya mempunyai kurang daripada 500 pekerja. Penubuhan SKS pula memerlukan pencipta inovasi dan usahawan. Bagaimanapun, pencipta inovasi saja tidak memadai.

Inovasi belum tentu dapat dimajukan tanpa pengusaha berbakat yang boleh menilai dan menterjemahkan inovasi itu untuk dibangunkan sebagai satu usaha perniagaan. Pengusaha itu harus pula sudah mempunyai corak dan strategi perniagaan hingga dapat mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak pengguna untuk jualan dan mendatangkan keuntungan. Pertumbuhan KDNK dan penjanaan pekerjaan akan terlaksana dengan hasil perniagaan, bukannya daripada inovasi semata-mata.

Universiti perlu menyumbang kepada transformasi kebangsaan bukan saja dengan penghasilan graduan yang memenuhi keperluan ekonomi baru serta menjana ilmu untuk menyokong sistem inovasi kebangsaan, tetapi juga berperanan menjana pekerjaan.

Oleh itu sebuah universiti penyelidikan seperti UKM perlu memupuk budaya inovasi dan keusahawanan sebagai suatu nilai teras akademiknya. Inovasi, khususnya inovasi berteknologi memupuk dinamisme keusahawanan bagi merangsang pertumbuhan perniagaan dan menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Menerusi inovasi dan keusahawanan universiti bukan saja menghasilkan jurutera, saintis dan pereka ciptaan, tetapi juga pengusaha dan kelompok berbakat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang boleh memberi nilai tambah kepada syarikat terbitan universiti yang memberi manfaat kepada institusi, fakulti dan pelajar. Lebih penting lagi budaya inovasi dan keusahawanan akan dapat menanam keyakinan dan meningkat semangat para graduan untuk membenih idea sehingga tumbuh subur sebagai perniagaan melalui inovasi dan keusahawanan.

Misalnya di UKM pelajar semua bidang pengajian sejak tahun pertama lagi sehingga tahun akhir didedahkan kepada usaha dan pengalaman membawa hasil penyelidikan kepada pasaran. Mereka juga diberi ruang bekerja dengan SKS untuk menyelesaikan masalah sebenar dengan memenuhi kehendak pasaran.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan
Malaysia


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Pusat jagaan harian boleh atasi isu dera


SAYA amat sedih apabila membaca artikel yang bertajuk ‘Layan Dua Anak Macam Haiwan’ yang disiarkan akhbar ini pada 30 Disember 2011. Secara berterus terang, saya tidak setuju dengan perbuatan yang dilakukan oleh bapa mangsa.

Tindakan bapa mangsa sangat kejam apabila kaki kanak-kanak berkenaan diikat dengan rantai besi dan dikunci dengan mangga, selain dikurung dalam tandas kotor selama lebih lima jam dalam kelaparan.

Kebelakangan ini, isu penderaan kanak-kanak semakin menjadi-jadi dalam kalangan ibu bapa yang bertindak mengikut hawa nafsu dan menyebabkan keselamatan anak-anak mereka terancam.

Berdasarkan kes penderaan yang telah direkodkan, saya meminta mahkamah agar lebih tegas dalam mengenakan hukuman kepada individu yang melakukan jenayah seperti ini.

Untuk menangani masalah ini, ibu bapa seharusnya berbincang dengan saudara mara yang terdekat untuk menjaga anak mereka ketika mereka bekerja.

Selain itu, ibu bapa juga boleh meminta pertolongan daripada jiran tetangga untuk menjaga anak mereka ketika mereka tiada di rumah.

Ibu bapa perlu berfikir panjang sebelum membuat keputusan dan mencari jalan yang terbaik untuk menangani masalah yang dihadapi selain melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan terhadap anak mereka.

Pihak yang bertanggungjawab khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu membantu ibu bapa yang mempunyai masalah dengan memberi khidmat nasihat dalam mengurangkan kes-kes penderaan dari semasa ke semasa.

JKM seharusnya menyediakan sebuah pusat penjagaan harian untuk membantu ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menjaga anak mereka yang masih kecil ketika mereka keluar bekerja.

Syarat untuk menghantar anak ke pusat penjagaan harian perlu dipatuhi oleh ibu bapa untuk memastikan mereka tidak menyalahgunakan kemudahan ini.

NURUL AMIRA ABDUL JAMIL,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/