Isnin, 11 Januari 2010

Dua murid cipta sejarah masuk sekolah berasrama penuh

NURSHAFRINA Hasimi tidak dapat menahan kesedihan ketika memeluk ibunya, Zalina Abdul Ghani sambil ditemani ayahnya, Hasimi Ali ketika mendaftar sebagai pelajar baru di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Kuantan, semalam.

KUANTAN 11 Jan. - Dua bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling, Jerantut mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS) di sini.

Kedua-dua pelajar berusia 13 tahun itu, Nurshafrina Hasimi dan Mohd. Firdaus Ahmad Khairi merupakan antara 130 pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di sekolah elit berkenaan.

Mereka melaporkan diri di sekolah berkenaan pagi ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Hamid Abu Bakar dan Pengetua SEMSAS, Mokhtar Abdullah.

Nurshafrina ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas kejayaannya menjadi pelajar pertama dari Kampung Bantal, Jerantut memasuki SEMSAS.

"Belum ada pelajar dari sekolah dan kampung saya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Ini merupakan satu kebanggaan buat diri saya," katanya yang ditemani oleh ibu bapa serta adiknya.

Dia yang merupakan anak sulung kepada pasangan Hasimi Ali, 36, yang hanya bekerja kampung dan Zalina Abdul Ghani, 31, seorang suri rumah, bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris dan mahu mengubah nasib keluarganya kelak.

Bekas Penolong Ketua Pengawas SK Ulu Tembeling itu yang mendapat 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu turut menjadikan guru Bahasa Inggerisnya, Mohd. Fauzi Mohd. Noor sebagai idola bagi merealisasikan impiannya itu.

Sementara itu, Mohd. Firdaus pula bercita-cita menjadi doktor gigi bagi mengubah nasib keluarganya yang bergantung hidup kepada bapanya, Ahmad Khairi Timban, 48, sebagai seorang penoreh getah.

Anak kedua daripada lima beradik itu turut menjadikan kehidupan keluarganya yang susah untuk terus mencipta kecemerlangan dalam pelajaran selepas memperoleh 5A dalam UPSR lalu.

"Saya ingin menjadi doktor gigi bagi mengubah hidup keluarga," katanya.

Dalam pada itu Abdul Hamid berkata, seramai 733 pelajar mendaftarkan diri di enam buah sekolah berasrama penuh termasuk tiga sekolah berasrama penuh integrasi di seluruh Pahang tahun ini.

Jelasnya, pelajar terbabit yang akan memasuki tingkatan satu dan empat akan melalui minggu orientasi untuk didedahkan dengan kehidupan di asrama.

Mengulas kejayaan dua bekas murid SK Ulu Tembeling itu Abdul Hamid berkata, ia bukti komitmen kerajaan dalam memberikan pendidikan sama rata antara pelajar bandar dan luar bandar.

"Pada asasnya kemudahan yang disediakan di sekolah bandar dan luar bandar adalah sama. Cuma, terpulang pada pelajar sama ada hendak mengguna dan memanfaat kemudahan tersebut atau sebaliknya," katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota hujung:

Sikap dua murid ini wajar jadi ikutan murid-murid lain. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Tanpa usaha gigih dan tidak mengenal jemu, tidak mungkin kejayaan manis ini diperoleh. Yang menarik lagi, di sebalik kejayaan itu, di samping sokongan ibu dan ayah, ada watak guru yang menjadi pencetus kejayaan murid-murid ini. Syabas Cikgu Mohamad Fauzi atas kejayaan murid-murid cikgu !

Hikmah di sebalik isu kalimah

LEBIH kurang seminggu yang lalu, tahun 2009 sudahpun melabuhkan tirainya. Kemelut, caca merba, kejutan dan pelbagai hiruk-pikuk mewarnai sepanjang tahun 2009.

Minggu lalu yang menyaksikan minggu pertama tahun baru, kita seakan-akan dibayangkan bahawa pola suasana tahun ini tidak akan begitu banyak berbeza dengan tahun sebelumnya. Awal-awal lagi nampaknya kita telahpun dihidangkan dengan kegemparan isu penggunaan kalimah Allah yang diluluskan penggunaanya untuk majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi.

Menelusuri kronologi isu ini yang bermula dari tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebenarnya telahpun memutuskan untuk memberi kebenaran kepada majalah Herald-The Catholic Weekly (khusus untuk golongan Kristian Katolik) untuk merujuk istilah 'God' dengan kalimah Allah.

Walau bagaimanapun, mengambil kira reaksi umat Islam dan di samping memikirkan kepentingan keharmonian masyarakat, kementerian tersebut telah segera menarik balik keputusan itu. Namun, setelah kes itu dibawa ke mahkamah, mengejutkan sekali kerana kini ia berakhir dengan keputusan kontroversi yang menyebelahi majalah berkenaan.

Ekoran keputusan itu, majoriti umat Islam mula bersuara dan suara-suara protes kedengaran hampir di mana-mana sahaja. Tidak kiralah sama ada penyokong UMNO atau PAS, kesemuanya memberikan reaksi yang lebih kurang sama. Ternyata ramai yang kurang selesa dengan keputusan yang dibuat itu.

Ironinya, parti UMNO yang selalu dituduh sebagai parti rasis Melayu oleh kelompok PAS dilihat menjadi 'juara' dan 'front-end' dalam mendepani isu menyentuh kepentingan Islam, dan bukan PAS. Walhal, PAS yang seringkali menobatkan diri mereka 'pejuang' Islam sebaliknya begitu mengecewakan dalam kenyataan rasmi yang disiar di laman rasmi parti tersebut.

Baur-baur kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada awalnya digambarkan oleh beberapa pemimpin PAS telah ditransformasi kepada suatu kenyataan rasmi Presiden PAS yang lebih lemah, kurang pengisian dan tidak tegas pendirian!

Sudah tentulah pada dasarnya, penggunaan nama Allah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi. Akan tetapi, mengambil konteks di Malaysia ini, di mana istilah Allah sudah sekian lama difahami sebagai 'Tuhan kepada orang Islam' dan dalam pada itu pula telah sentiasa memastikan kedamaian di kalangan masyarakat, tidak ada salahnya PAS berterus-terang untuk tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Apatah lagi mengambil kira istilah 'Islam' yang kononnya menjadi dokongan PAS, terlihat akan pendirian sebenar parti itu yang nyata semakin lewa dan 'hopeless' dalam isu membabitkan kepentingan akidah masyarakat Islam. Dengan masyarakat yang kini berdepan dengan pelbagai kekeliruan dan masalah seperti ancaman murtad, isu Islam liberal dan kekalutan hak penjagaan anak yang ibu bapanya berbeza agama, sikap PAS memang tidak boleh diterima.

Pada saya pula, isu ini tidak sepatutnya hadir sama sekali kerana istilah 'God' boleh diguna pakai oleh ajaran Kristian. Justeru, persoalan sama ada ajaran Kristian sememangnya ada merujuk kepada kalimah Allah tidak sepatutnya timbul. Lebih penting lagi, hak Islam sebagai agama rasmi negara yang meletakkan Allah sebagai tuhan yang Esa, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan perlulah dihormati. Sensitiviti majoriti masyarakat juga wajib diambil kira demi keharmonian masyarakat yang telah sekian lama terjalin tanpa apa-apa sengketa.

Kejadian letupan di beberapa gereja baru-baru ini adalah bukti bagaimana sesuatu normaliti yang cuba diubah ada harga yang cukup mahal untuk dibayar. Tindakan ganas ini tidak kita sokong. Kerajaan sendiri di atas semangat 1Malaysia dengan segera menghadirkan sumbangan RM500,000 untuk gereja-gereja terlibat. Malahan, kerajaan menyeru agar tindakan sebegini tidak lagi dilakukan.

Namun perlu difahami, daripada lebih 20 juta rakyat Malaysia, tidak semuanya berfikiran sama. Sesetengahnya ekstremis, nekad dan sukar dijangka tindak-tanduknya. Maka demi kesejahteraan dan keamanan, saya rasa tidak ada rugi apa-apa sekiranya kebiasaan yang terdahulu dikekalkan. Justeru saya beranggapan, laporan akhbar semalam yang menyebut terdapat beberapa kumpulan Kristian yang menggambarkan bahawa akhbar Herald perlu 'mengalah' dalam isu ini adalah satu tindakan yang patut, terbaik dan menghormati kumpulan majoriti di Malaysia.

Dalam masa sama, siri letupan gereja adalah suatu petanda tidak semua orang Islam faham dengan ajaran Islam yang menganjurkan kedamaian. Timbulnya isu ini juga adalah gara-gara umat Islam lemah dan tidak bersatu hati. Tidak hairanlah hak Islam dan Melayu dalam pelbagai isu yang sepatutnya sensitif, kini begitu mudah diperkotak-katik dan dipersoalkan. Barangkali kita terlalu leka berpolitik daripada mencari persamaan sesama saudara!

Mungkinkah inilah sebenarnya peringatan berhikmah dari Allah untuk kita seawal tahun baru 2010 dan 1431 Hijrah ini. Bahawa kini sudah sampai masa dan ketikanya untuk masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bersatu, saling bermaafan dan bermuafakat?

Kelmarin di dada-dada akhbar terdapat beberapa golongan Kristian yang bersetuju agar tuntutan penggunaan kalimah Allah tidak diteruskan lagi. Ini membuktikan bahawa tuntutan tersebut adalah bukan tuntutan daripada golongan majoriti masyarakat Kristian Malaysia. Sekiranya, golongan masyarakat Kristian dapat memikirkan isu ini dari perspektif keharmonian dan perpaduan negara, sudah sampai masanya masyarakat Islam seluruh Malaysia termasuk UMNO, Pas, PKR dan lain-lain mencapai tahap kematangan yang sama.

Tepuk dada, insaflah dan tanya kepada iman. Semoga 2010 akan mekar dengan perpaduan dan ukhuwah fillah di kalangan ummah. Sama-samalah kita berdoa dan usahakan, insya-Allah!

Sumber : http://www.utusan.com.my/

30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun

KEBELAKANGAN ini terdapat pelbagai kejadian yang berlaku di negara kita khususnya dan di seluruh dunia amnya yang menunjukkan bahawa tekanan mental semakin berleluasa dan telah mencapai tahap yang membimbangkan.

Kejadian seperti membunuh diri, mengamuk, hilang kawalan emosi, kemarahan yang melampau, penyalahgunaan dadah, arak dan sebagainya merupakan sebahagian daripada bukti yang jelas di mata kita. Begitu juga ramifikasi dan komplikasi yang timbul seperti meningkatnya kes jenayah termasuk ragut, rogol atau membunuh yang rata-ratanya dikaitkan dengan permasalahan yang sama.

Dunia telah mengakui bahawa penyakit mental bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Penyakit mental dan kecelaruan tingkah laku wujud dalam semua masyarakat di mana sahaja mereka berada. Menurut anggaran yang dibuat oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, 154 juta orang di seluruh dunia mengidap masalah kemurungan, 25 juta mengidap penyakit skizofrenia dan 15 juta terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Sebanyak 877,000 orang pula mati kerana membunuh diri.

Di Malaysia, kita juga mengalami keadaan yang sama. Penemuan terbaru hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 menunjukkan prevalens masalah kesihatan mental melibatkan 11.2 peratus orang dewasa 20.3 peratus dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Sesungguhnya ia menunjukkan peningkatan berbanding dengan kajian pada tahun 1996 yang hanya menunjukkan kadar 10.7 peratus di kalangan orang dewasa dan 13 peratus di kalangan kanak-kanak dan remaja. Lebih membimbangkan lagi ialah fakta yang menganggarkan kira 20 hingga 30 orang membunuh diri setiap tahun bagi setiap 100,000 rakyat di negara ini.

Anehnya walaupun kita semua sedar bahawa penyakit mental dan kesihatan mental itu penting dan boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, namun ramai dalam kalangan kita yang masih tidak mahu mengakuinya. Malu merupakan antara punca utama. Stigma dan penghinaan terhadap mereka yang mengalami masalah jiwa menyebabkan individu yang terbabit sering menafikannya. Begitu juga ahli keluarga mereka.

Masyarakat kita sebenarnya lebih mudah menerima alasan bahawa gangguan jiwa dan tingkah laku yang dialami oleh seseorang itu merupakan hasil daripada buatan orang daripada mengakui bahawa ia disebabkan oleh penyakit mental atau kecelaruan emosi. Ekoran daripada itu, bomoh dan pengamal perubatan tradisional menjadi tumpuan. Lebih menyedihkan ialah bila terdapat dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan moden sendiri yang tidak peka, tidak sedar atau tidak tahu bahawa pesakit yang berjumpa mereka itu sebenarnya mengalami gangguan jiwa dan bukannya gangguan jin mahupun syaitan.

Bagi mereka yang begitu bernasib baik untuk dirujuk berjumpa pakar jiwa, stigma sekali lagi menjadi isu. Itulah yang menyebabkan ramai individu lebih rela berdiam diri dan menanggung derita daripada dilihat berjumpa dengan pakar jiwa. Hakikatnya di Malaysia ini, jika telah dilabel sebagai pesakit jiwa, anda bukan sahaja mendapat malu, malah berisiko tinggi untuk dibuang kerja dan disisihkan lagi daripada masyarakat. Segala hak dan keistimewaan sebagai seorang insan mungkin tidak lagi menjadi milik anda.

Begitu juga individu yang cuba mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta dengan menggunakan insurans atau kad kesihatan. Anda sebenarnya tidak akan dibiayai untuk apa juga bentuk rawatan yang berkaitan jika doktor yang merawat mengesahkan bahawa simptom yang anda alami adalah akibat daripada stres, tekanan atau sebarang bentuk masalah jiwa.

Hakikatnya negara kita merupakan antara sebilangan kecil negara di dunia yang tidak menganggap dan mewajibkan penyakit jiwa sebagai salah satu penyakit kritikal atau penyakit yang perlu dilindungi oleh mana-mana insurans. Anda sebenarnya boleh mendapat rawatan yang cukup hebat dan terkini di mana-mana hospital swasta di Malaysia untuk penyakit jantung, angin ahmar, kanser dan sebagainya.

Namun jika anda mengalami masalah jiwa atau gangguan mental, tempat anda hanyalah di klinik dan wad psikiatri di hospital kerajaan. Kad insurans atau perubatan anda tidak akan boleh membantu anda mendapatkan rawatan untuk penyakit jiwa di tempat lain.

Walaupun telah lama dan telah banyak desakan dan rayuan dibuat kepada kerajaan serta menteri yang bertanggungjawab oleh pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan, malangnya seperti biasa jawapan yang diperoleh ialah ia masih lagi dalam perhatian.

Mungkin bila lebih ramai lagi jiwa yang telah terkorban, barulah mereka akan mengambil tindakan. Ketika itu nanti ramailah pemimpin politik dan pegawai atasan berebut-rebut memberikan alasan, ulasan dan cadangan. Tidak ada yang aneh sebenarnya. Sikap reaktif dan bukan proaktif sebegini sememangnya menjadi ‘trademark’ dan budaya kita.

Pakar Perunding Perubatan
Neuro-Behavior, Kedah Medical Centre, Alor Setar

Sumber : http://www.utusan.com.my