Khamis, 24 Jun 2010

Sistem penilaian baru perlu ganti UPSR, PMR

BAYANGAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR sebagai satu usaha holistik dan mengintegrasikan kembali pendidikan negara yang dilihat terlalu berorientasi peperiksaan harus diteliti dengan sebaiknya.

Pada satu sisi, tindakan itu mampu mengurangkan tekanan terhadap guru dan pelajar daripada terus dibebani dengan peperiksaan awam terbabit.

Bebanan ini menjadi sebab utama tidak berlakunya pendidikan yang efektif dan berkesan di dalam kelas ekoran kecenderungan mereka untuk hanya menumpu kepada teknik menjawab dan soalan yang berkemungkinan akan keluar dalam peperiksaan.

Justeru, ia secara tidak langsung akan memberi ruang lebih luas untuk proses pembelajaran yang ‘holistik dan integral’ dalam sesuatu subjek yang mampu menyokong pembentukan minda kritis di kalangan pelajar selaras dengan matlamat dan harapan kerajaan seperti digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RM Ke-10).

Bagaimanapun, pihak Kementerian Pelajaran harus segera memperkenalkan sistem penilaian baru yang tepat dan menyeluruh bagi menggantikan sistem penilaian UPSR dan PMR.

Hal ini bagi memastikan proses pembelajaran di sekolah akan dapat terus dipandu dan dipantau dengan sebaiknya. Kegagalan memperkenalkan sistem penilaian baru akan hanya membuka lebih banyak kerosakan dan kegagalan berbanding kebaikan.

Bagi memperkukuh usaha murni itu, penilaian semula sukatan pelajaran harus juga digerakkan agar transformasi pendidikan sebenar dapat direalisasikan dengan jayanya.

Semua elemen yang ada dalam Falsafah Pendidikan Negara dan keperluan semasa selaras dengan perubahan zaman harus diterjemahkan secara langsung dalam sukatan pendidikan kebangsaan agar lebih kukuh dan berdaya saing.

Dengan matlamat murni, sukatan berkesan dan menyeluruh serta penilaian tepat, maka proses membangun insan glokal seperti yang diimpikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagai memacu Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan.

ABU QASSIM NOR AZMI,
Naib Presiden Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/