Rabu, 27 Mac 2013

Uthman El-Muhammady cendekiawan ulung


Oleh : Imlan Adabi
 
Lelaki yang berbadan kecil dan kelihatan serius itu lebih mesra dipanggil ustaz. Ramai pelajar mengakui Dr Muhammad Uthman El-Muhammady bukan sekadar ulama, pensyarah atau guru. Malah, ada yang menggelarnya ‘ayah’ kerana tidak jemu memberi nasihat dan galakan kepada insan yang lebih muda.

Pengalaman menjadi pelajarnya adalah detik yang menyenangkan. Uthman ‘mewajibkan’ pelajar lelaki berada di barisan hadapan dalam kelasnya dan wanita di belakang.

Ketika ditanya, beliau hanya menyatakan lelaki berada di saf hadapan ketika solat dan wanita di belakang.

Secara berjenaka, Uthman menyatakan ‘bahaya’ lelaki berada di belakang wanita kerana mata dan akal mereka sukar fokus.

“Lelaki mempunyai akal yang lebih, tapi kerap disalahgunakan,” tutur Uthman sinis.

Beberapa bulan lalu kami bertemu pada majlis kesyukuran di kediaman seorang ahli korporat kelahiran Kelantan. Uthman kelihatan pucat dan kurang bermaya tapi tetap mesra seperti tiga dekad lalu.

Penulis beberapa kali menelefon Uthman ketika isu kalimah Allah begitu hangat diperkatakan. Penulis yakin beliau tokoh berwibawa dan boleh memberi pandangan mengenai sejarah penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan kesannya terhadap tamadun ummah.

Pengalaman Uthman sebagai ulama besar dan pernah mengiringi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vatican menjadi kelayakan beliau mengulas isu kalimah Allah.

Malangnya, panggilan telefon tidak berjawab dan penulis tidak menduga kesihatan beliau semakin terjejas.

Beberapa tahun lalu kami pernah terserempak di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur, Kelantan dan sempat minum bersama. Uthman seorang yang kuat ingatan dan masih kenal pelajarnya walaupun tiga dekad berlalu.

Apabila menerima perkhabaran pemergian beliau pada 25 Mac lalu, tiada kata-kata yang dapat diucapkan selain al-Fatihah dan mengenang semula seorang ustaz yang dihormati ramai.

Tokoh Maal Hijrah 2005 ini meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC) pada jam 7.30 malam akibat sakit jantung.

Beliau meninggalkan balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu.

Pemikir Islam tanah air

Uthman adalah pemikir Islam tanah air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 1995 hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010.

Allahyarham juga Felo Amat Utama Akademik ISTAC UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau dilahirkan di Kampung Telok, Panji, Kota Bharu pada 1 Februari 1943. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum Special Malay Class pada 1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudian menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar Kedah. Pada 1963, beliau menuntut di Universiti Malaya (UM) dan mendapat sarjana muda dalam Pengajian Islam pada 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat sarjana pada 1969.

Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga 1973 apabila kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai penulis dan pendakwah bebas. Pada 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.

Minat kajian beliau adalah di dalam bidang ilmu Islam dan falsafah Barat. Tidak hairanlah pelajar yang mengkaji sejarah tamadun Barat akan merujuk kepada Uthman apabila timbul isu mengenai peradaban dan krisis pemikiran Barat-Islam.

Antara karya beliau yang menjadi rujukan adalah Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali (Dewan Bahasa dan Pustaka), Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud (Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan), Peradaban dalam Islam (Pustaka Aman Press, Kota Bharu) dan Memahami Islam (Pustaka Aman Press, Kota Bharu).

Pemergian beliau kehilangan besar bidang akademik dan kesarjanaan Islam. Bagi bekas pelajarnya, beliau guru yang kritikal menganalisis sejarah Islam. Uthman menempelak buku sejarah yang menuduh pengasas Bani Umaiyah, Muawiyah Abu Sufyan (602-680) sebagai penipu sedangkan tokoh Islam berkenaan adalah sahabat Nabi Muhammad yang sudah dijanjikan syurga. “Mustahil seseorang ahli syurga menipu untuk mendapat jawatan khalifah!” tegas Uthman.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU EKONOMI : Pendapatan Isi Rumah Bulanan Rakyat Malaysia Meningkat 7.2 Peratus Setahun


PUTRAJAYA : Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 tahun lepas, menyaksikan peningkatan sebanyak 7.2 peratus setahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata peningkatan pendapatan isi rumah bandar meningkat pada kadar 6.6 peratus setahun daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 tahun lepas manakala bagi kawasan luar bandar, bertambah pada kadar 6.4 peratus iaitu daripada RM2,545 kepada RM3,080.

"Peningkatan ketara ini dicapai hasil usaha kerajaan Persekutuan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil secara berterusan. Impaknya adalah ketara melalui peningkatan peluang ekonomi secara meluas yang berupaya bukan saja menjana peluang pekerjaan bahkan pembangunan perniagaan dan perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi," katanya ketika mengumumkan statistik itu, Rabu.

Beliau berkata semua negeri mencatat peningkatan pendapatan isi rumah purata dengan Kuala Lumpur pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.9 peratus (daripada RM5,488 kepada RM8,586) diikuti Labuan 12 peratus (RM4,407 kepada RM6,317), Perlis 10.1 peratus (RM2,617 kepada RM3,538), Terengganu 9.1 peratus (RM3,017 kepada RM3,967) serta Negeri Sembilan (RM3,540 kepada RM4,540) dan Sabah (RM3,102 kepada RM4,013) yang masing-masing mencatat 8.6 peratus.

Dari segi etnik, kaum India mencatat peningkatan tertinggi iaitu 9 peratus (daripada RM3,999 kepada RM5,233) diikuti Cina 8 peratus (RM5,011 kepada RM6,366) dan bumiputera 6.9 peratus (RM3,624 kepada RM4,457).

Nor Mohamed berkata PPIR 2012 juga menunjukkan pengagihan pendapatan di kalangan isi rumah keseluruhan bertambah baik dengan pengurangan Pekali Gini daripada 0.441 bagi 2009 kepada 0.431 pada tahun lepas, yang menyaksikan pengurangan di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing daripada 0.423 kepada 0.417 dan 0.407 kepada 0.382.

Beliau berkata insiden kemiskinan keseluruhan juga berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus tahun lepas dengan jumlah isi rumah miskin berkurangan sebanyak 52.7 peratus, iaitu daripada 228,400 kepada 108,000 dalam tempoh sama.

"Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia ke-10 untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2 peratus pada 2015 telahpun tercapai tiga tahun lebih awal. Ini adalah hasil pertumbuhan pesat ekonomi negara serta keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan," katanya.

Nor Mohamed berkata pengurangan insiden kemiskinan adalah menyeluruh yang menyaksikan di kawasan bandar merosot daripada 1.7 peratus kepada 1 peratus manakala di luar bandar berkurangan daripada 8.4 peratus kepada 3.4 peratus.

Beliau berkata kadar kemiskinan bumiputera turun daripada 5.3 peratus kepada 2.2 peratus, Cina daripada 0.6 peratus kepada 0.3 peratus dan India daripada 2.5 peratus kepada 1.8 peratus.

"Sabah mencatat pengurangan yang ketara daripada 19.7 peratus kepada 8.1 peratus diikuti Perlis daripada 6 peratus kepada 1.9 peratus dan Terengganu daripada 4 peratus kepada 1.7 peratus. Putrajaya telah mencapai status kemiskinan sifar pada 2012," katanya. BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Boleh berjaya walaupun tidak cemerlang

Pelajar gagal harus diberi peluang kedua bagi mencapai kejayaan

Oleh : REJAL ARBEE

BANYAK akhbar memberi tumpuan kepada calon yang mendapat 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu.

Ia dipaparkan di muka depan kebanyakan akhbar arus perdana, dan dinyatakan 15,793 calon tahun lalu mendapat gred A bagi semua mata pelajaran diambil, meningkat 0.13 peratus berbanding 15,079 calon pada 2011.

Penulis bukan hendak mempersoalkan tumpuan akhbar kepada keputusan cemerlang ini, tetapi ia hendaklah tidak menjadi suatu yang dimegahkan dalam mana pelajar lain juga mendapat keputusan baik atau lulus.

Apa yang perlu dipertimbangkan juga ialah kedudukan murid-murid yang gagal dalam peperiksaan itu, termasuk yang hanya memperoleh kelulusan ‘borderline’.

Apakah mereka ini harus diabaikan sahaja untuk berusaha sendiri menghadapi masa depan yang tidak menentu atau apakah tidak boleh dilakukan usaha untuk memberi mereka ini peluang kedua bagi mencapai kejayaan.

Mereka ini juga adalah rakyat yang boleh memberi sumbangan berguna kepada negara sekiranya diberi bimbingan baik. Maka itu usaha perlu diberikan kepada mereka yang tercicir ini.

Pelbagai usaha boleh difikirkan supaya aset muda-mudi yang gagal atau lulus tahap biasa ini tidak terus menghadapi kegagalan dalam kehidupan hingga akan membebankan keluarga dan akhirnya negara sendiri.

Memang murid yang mencapai tahap kecemerlangan patut diberi pengiktirafan. Tentunya ibu bapa, sekolah dan guru-guru berbangga dengan pencapaian tersebut.

Dalam mengiktiraf pelajar-pelajar demikian, keputusan baik dalam peperiksaan tidak harus dianggap satu-satunya pengukur terhadap kecemerlangan pelajar.

Banyak lagi pencapaian lain perlu mendapat perhatian seperti berakhlak mulia walaupun pencapaian dialam bidang ini sukar diberikan markah secara objektifnya.

Apa pun, salah satu tujuan persekolahan mengikut apa yang ditetapkan Kementerian Pelajaran, selain berusaha melahirkan suatu bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu ialah juga untuk melahirkan pelajar beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.

Falsafah pendidikan seperti diterapkan kementerian tidak ada cacat celanya kerana sememangnya usaha untuk memperkembangkan potensi individu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berasaskan kepercayaan kepada Tuhan diterima ramai.

Juga tiada kekurangan dengan matlamat melahirkan rakyat berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berupaya mencapai kesejahteraan diri bagi menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara.

Persoalannya apakah hasrat ini dapat diterapkan ke dalam sanubari semua murid setelah meninggalkan dunia persekolahan? Kiranya wujud sebilangan besar antara mereka yang masih tidak dapat memenuhi kehendak itu tentunya ada kekurangan dalam usaha sekolah melaksanakan apa telah ditetapkan itu, kalau pun tidak dianggap suatu kegagalan.

Malangnya buat masa ini belum ada sebarang usaha untuk menilai tahap pencapaian itu atau diwujudkan suatu sistem untuk mengukur tahap pencapaian yang subjektif demikian ini. Mungkin kini sudah tiba masanya Jabatan Pelajaran memikir bagaimana pencapaian perkara subjektif demikian boleh diukur.

Sememangnya akhlak mulia dan keterampilan sesetengah lulusan sekolah kelihatan tidak menyenangkan dan perlu dibaiki. Benar usaha memupuk akhlak mulia bukan tanggungjawab sekolah dan guru sahaja. Tidak kurang penting adalah peranan ibu bapa dan penjaga untuk membimbing anak-anak mereka mencapai matlamat dikehendaki. 

Akhbar sendiri juga berperanan membantu usaha demikian supaya tidak lagi akan wujud cerita-cerita menyayat hati bagaimana bayi hasil keterlanjuran seseorang murid dibuang dalam tandas atau tong sampah. Dan dalam pada itu yang menghadapi padah tindakan hasil keterlanjuran itu ialah murid perempuan yang sudah pun menghadapi trauma perlu pula menghadapi tuduhan membunuh.

Padahal mereka ini telah mengambil keputusan nekad demikian kerana sudah buntu pemikiran sebab tiada tempat mengadu dan terpaksa menghadapi tekanan emosi dan kepahitan. Mereka ini sebenarnya memerlukan bimbingan untuk mengubah sikap supaya insaf dengan perlakuan terlampau mereka itu, bukannya menghadapi kemungkinan dihukum bunuh.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Perginya ilmuwan : Dai’- Murabbi

Allahyarham Dr. Muhammad Uthman El Muhammady

Oleh : PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

PERGINYA Tokoh Maal Hijrah Negara 2005, Dr. Muhammad Uthman El Muhammady amat dirasakan oleh rakan dan taulan. Sikapnya yang ramah, pendirian dakwah yang tegas dan jelas, istiqamah dalam menyantuni umara adalah ciri penting peribadinya. Sehingga akhir hayatnya, beliau amat mendekati ilmu dan sangat rajin membaca dan bertukar-tukar fikiran. Maklumat daripada anaknya Ahmad, sehingga menghembuskan nafas yang terakhir buku adalah bersamanya.

DAI-MURABBI SEPANJANG HAYAT

Saya mengenali Allahyarham sejak awal tahun 1970-an lagi. Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya dan aktif dalam jamaah Ar Rahmaniah. Sewaktu saya terlibat dalam Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya (PMIUM), Allahyarham adalah penceramah popular diundang ke program Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya yang banyak melahirkan kader-kader dakwah.

Penguasaan bahasa Melayu, Arab dan Inggerisnya ternyata amat baik sekali. Kekuatan berbahasa ini menyebabkan Allahyarham mempunyai sumber rujukan yang kaya dan menyebabkan ceramahnya mantap dan mendukung risalah ilmu.

Sebagai seorang pendakwah dan pendidik, Allahyarham amat mengutamakan dustur (etika dakwah). Maksud Surah An Nahl ayat 125 mengenai dakwah dengan hikmah, pekerti teladan yang baik, berhujah dengan hujah terbaik menjadi pedoman dirinya bila menyampaikan tazkirah, syarah dan kuliah kerana risalah dakwah itu sifatnya mengajak, memanggil dan menyeru bukan sebaliknya.

Beliau amat sensitif dengan gelagat sesetengah pendakwah dan pendidik yang tidak mematuhi etika dakwah iaitu gopoh, biadap, asal sampai, tanpa dukungan ilmu dan sumber rujukan yang sahih dan tidak ke arah membina fikrah yang betul.

Allahyarham sering berpesan - Islam itu sejahtera. Dakwah Islam menyuburkan rasa sejahtera bukan rasa duka dan hampa. Justeru sifat kasih sayang dan belas kasihan seharusnya menjadi intipati dakwah. Pendekatan keras, gopoh dan melampau bukanlah pilihan dalam kerja dakwah dan tarbiyyah Allahyarham.

Hubungan rapat saya dengan beliau sehingga menjelang akhir hayatnya sentiasa menekankan kepentingan istiqamah dengan cita-cita Islami tetapi menuntut kebijaksanaan dalam melaksanakanya. Ia menjadi pedoman saya sebagai dustur dakwah bijaksana.

Mengikuti ceramah Allahyarham menuntut kesabaran. Allahyarham bukan mahukan populariti tetapi setiap patah yang diucapkannya terkandung makna bagi mereka yang menilai ilmu dan rujukan sumber adalah sesuatu yang amat penting.

PENULIS BUKU DAN PENTERJEMAH GIGIH

Allahyarham juga seorang penulis yang gigih dengan sumber rujuk yang kaya. Saya masih ingat setiap ceramah beliau dalam program Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya (LAKIUM) disertakan dengan kertas kerja yang agak tebal dan rujukan yang banyak. Saya sendiri melakukan kompilasi tulisan beliau dan banyak daripadanya sudah dibukukan.

Bila saya dan rakan-rakan menghadapi beberapa isu ilmu dan dakwah beliaulah menjadi orang rujukan dan penjelasan yang diberi oleh beliau dengan nas yang jelas amat meyakinkan. Allahyarham sering berpesan dakwah bukan sesuatu yang bersifat emosi tinggi. Dakwah perlu didekati dengan kebijaksanaan akal dan ketinggian hati budi. Dari situ lahirnya kasih sayang dan menyebabkan mad‘u atau sasaran disantuni dan kesan pada dirinya abadi.

Suatu usaha besar beliau melalui Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1991 ialah menterjemahkan tafsir al-Quran dalam bahasa Inggeris The Holy Quran oleh Maulana Abdullah Yusuf ‘Ali dalam tujuh jilid memberi impak yang besar kepada dakwah Islamiah di Malaysia. Terjemahannya amat lancar dengan bahasa yang amat mesra pembaca. Kekuatan berbahasanya menjadi suatu keunikan dalam terjemahan Al Quranul Karim - Terjemahan dan Huraian Maksud.

TEGAS DENGAN PENDIRIAN AHLUS SUNNAH WALJAMAAH

Di tengah-tengah simpang-siur aliran dan pendekatan dakwah yang pelbagai, Allahyarham amat tegas dengan pendirian sebagai pendukung fahaman Ahlus Sunnah Waljamaah merujuk kepada Mazhab Shafieyah sebagai sandaran utama.

Beliau amat tegar mempertahankan aliran bermazhab dan sering tampil dalam muzakarah di mana-mana dalam mempertahankan aliran ini dengan hujah-hujah yang amat tersendiri. Saya amat terkesan mengiringi beliau sewaktu di Jakarta beberapa tahun lalu berdebat dengan tokoh salafi Indonesia dan tokoh-tokoh Salafi Wahabi Malaysia mengenai isu usul (pokok) dan furu’ (ranting) di samping isu bidaah.

Beliau sering menyatakan pendirian bahawa rantau ini adalah rantau Ahlu Sunnah Waljamaah dan sebarang usaha merosakkan perjalanan aliran ini akan membawa bencana kepada perpaduan ummah. Pada hemat saya pendirian ini jugalah yang dipegang oleh beliau sehingga ke akhir hayatnya. Memang ada yang tidak setuju tetapi itu watak dan pendirian Allahyarham Ustaz Uthman el Muhammady.

MENYANTUNI UMARA

Allahyarham amat berpegang kuat dengan pendekatan menyantuni umara atau Ulil Amr. Di mana-mana dalam ceramah beliau beberapa tahun kebelakangan ini menekankan pentingnya umara disantuni. Asas beliau sangat kukuh. Kalangan umara mempunyai latar pendidikan dan pemikiran yang tidak sama dengan ulama dan ilmuwan Islam.

Menyantuni umara dengan idea, program dan strategi bijaksana melaksanakan Islam dalam sistem tidak perlu gopoh. Oleh kerana Malaysia bukan negara sekular kepentingan terhadap Islam semakin meningkat. Keperluan ulama-ilmuwan menyantuni Ulil Amri menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Ia mengingat saya dengan seorang tokoh ilmuwan berwibawa, Allahyarham Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim yang banyak menyantuni umara dan sistem dari sudut perundangan dan syariah. Usaha beliau telah menghasilkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang lebih baik dan asas undang-undang syariah yang berkaitan dengan muamalah dan kewangan negara sehingga resam muamalah yang patuh-syariah menjadi sesuatu yang diamalkan di Malaysia dan dijadikan model kepada dunia Islam yang lain.

Allahyarham Uthman el Muhammady berpendirian memang menjadi kewajipan ulama-ulama sekali gus dai’ dan murabbi menyantuni umara dengan sabar dan bijaksana. Beliau selalu membisikkan kepada saya supaya istiqamah dengan pendirian ini dengan jiwa yang ikhlas dan hati yang teguh. Jangan jadi seperti pengkritik program Islamisasi, menyantuni umara jauh sekali tetapi apabila tegak sistem patuh - syariah dan ruang untuk pendidikan Islam, merekalah orang pertama memanfaatkannya. Itu tidak adil, kata Allahyarham.

Sikap beliau menyantuni umara sering menjadi bahan kritik dalam kalangan mereka yang anti-establishment. Allahyarham tidak pernah gusar dengan kritik itu malah menjadikan beliau lebih gigih untuk terus berjuang kerana keyakinan beliau ialah di Malaysia banyak ruang Islamisasi terjadi. Ia bergantung kepada kebijaksanaan ulama-ilmuwan melakukannya.

Salah satu pengiktirafan besar terhadap wibawa beliau, sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad melawat Pope di Vatican beberapa tahun lalu, Allahyarham adalah salah seorang yang ikut serta.

MENENTANG PLURALISME AGAMA

Suatu ketika sewaktu isu pluralisme agama hangat di Malaysia hasil ucapan seorang ahli politik di London Scool of Economics saya berbincang lama dengan beliau mengenai isu itu. Beliau secara tegas menyatakan bahawa pluraliti dan pluralisme agama tidak sama. Allahyarham berkongsi dengan saya mengenai pemikiran Johh Hicks yang menjadi rujukan tokoh politik itu dan menyebabkan ia adalah salah dan bercanggah dengan pemikiran Ahlus Sunnah Waljamaah.

Tidak lama selepas itu terhasillah suatu kertas kerja yang panjang berkaitan dengan pluralisme agama dan dihubungkan dengan pemikiran John Hicks dan dibentangkan di banyak tempat dan kini sudah menjadi sebuah buku.

Bagi Allahyarham aliran pluralisme agama ini iaitu menyamakan semua agama sama adalah sesuatu yang sangat berbahaya di Malaysia. Sekiranya aliran ini tidak dibendung ia menjadi faktor lain ke arah kekacauan berfikir umat Islam dan menyebabkan faham liberal bakal bermaharajalela dan boleh menyebabkan akidah umat terjejas.

Perginya tokoh ilmuwan, dai’ dan murabbi yang sepanjang hayatnya menyumbang kepada kerja-kerja Islam amat dirasai. Seorang tokoh yang humble , tidak memberi syarat dibayar apabila menyampaikan ceramah adalah suatu prinsip yang amat murni. Usianya dihabiskan untuk menyeru kepada makruf dan mencegah kepada kemungkaran, beriman kepada Allah secara bijaksana memancarkan jiwa besar menyantuni mad‘u atau sasaran.

Kalau Allahyarham berkelapangan, payah untuk beliau menolak undangan ceramah. Baik di TV atau Forum Perdana mahupun di kuliah-kuliah khusus walaupun kesihatannya terganggu, beliau tetap meraikan tanpa mengeluh.

Jejak perjuangan inilah yang patut dicontohi. Jiwa tenang dan sabar yang dimilikinya adalah lambang yang patut diteladani. Moga-moga Allah SWT mencucuri Rahmah dan Nikmah-Nya kepada hamba ini dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang diredhai-Nya.

Penulis ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/