Sabtu, 30 Julai 2011
Selamat Datang Ramadan 1432 Hijrah
ISU BAHASA : Memahami makna karya kreatif
Tidak semua orang berkeupayaan menghasilkan karya kreatif. Daripada 1,000 kita mungkin menemukan seorang sahaja yang berbakat menghasilkan novel, skrip drama, sajak atau cerpen. Dalam kuliah penulisan kreatif, saya mendapati antara 20 pelajar, hanya seorang dua yang dapat memahami konsep karya kreatif secara dalaman. Selebihnya berpendapat, penciptaan karya kreatif sama seperti kerja memasak bihun atau nasi lemak. Sebenarnya, orang memasak makanan (bertukang dan lain-lain) akan menghasilkan sesuatu yang tetap, tepat seperti yang dirancang. Karya kreatif berbeza daripada itu semua. Sesebuah novel oleh seseorang pengarang, berbeza daripada novel orang lain. Novel Anwar Ridhwan dan skrip drama Zakaria Ariffin ada ciri khas keperibadian mereka. Jika kita memikirkan novel-novel karya pengarang terkenal Malaysia, dengan menyenaraikan A Samad said, Shahnon Ahmad, Arenawati dan banyak lagi, kita akan menemukan kaedah penciptaan yang pelbagai. Demikian jugalah skrip drama Usman Awang, Noordin Hassan, Syed Alwi, Ismail Kassan dan beberapa lagi. Kesemuanya mempunyai ciri-ciri khusus kepengarangan mereka. Apabila kita memasuki bidang puisi, kita akan mendapati alangkah berbezanya karya Muhammad Haji Salleh berbanding karya Latiff Mohidin. Karya Zurinah Hassan juga amat berbeza daripada karya Marsli N.O dan Siti Zainon Ismail. Karya kreatif yang berbentuk fiksyen selalu disamakan dengan cerita. Novel ialah cerita, demikian juga cerpen dan skrip drama. Jika kita menonton filem (wayang gambar), kita akan tertumpu pada cerita juga. Oleh itu, dapat kita simpulkan, selain penyair, pengarang karya kreatif ialah pencerita. Apakah makna karya kreatif? Jika kita fikirkan cerita, kita akan mengatakan bahawa pengarang kreatif menghasilkan kisah tidak berlaku. Bersandarkan hal ini, Lim Teck Leong, mantan Pensyarah Kesusasteraan Inggeris di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, secara bergurau mengatakan pencerita ialah pembohong. Saya membahaskan kenyataan tersebut, dengan mengatakan bahawa story telling ialah satu bidang. Apabila kita berada dalam satu bidang, kita tidak bolehlah mengatakan bidang kita itu bidang untuk berbohong. Penghasilan karya kreatif memerlukan kemahiran. Sesebuah novel yang tebal masih dapat mengawal perwatakan, misalnya jika watak itu mempunyai ciri panas baran, atau intelektual, atau penakut, perwatakan itu dapat dikekalkan, dan jika dia dinamik, perubahannya dapat disandarkan pada sesuatu peristiwa. Watak yang dinamik akan berubah apabila berlaku sesuatu yang menyebabkan munculnya kemarahan, kejutan, keinsafan dan sebagainya. Perwatakan, plot dan peristiwa-peristiwa yang berupa episod dalam sesebuah karya kreatif, adalah rekaan pengarang. Kebolehan mencipta kesemua itulah yang menyebabkan karya tersebut dinamakan karya kreatif. Laporan berita, penulisan sejarah dan lain-lain tidak disebut karya kreatif, kerana tumpuan pengarang ialah perkara yang sedia ada. Di situlah letaknya perbezaan asas antara penulisan kreatif dan penulisan karya nonkreatif. Kebolehan pengarang kreatif terletak pada daya kreativitinya. Peniruan isi, plot dan gaya ialah musuh kreativiti. Ertinya, pengarang kreatif yang tulen tidak ada kecenderungan meniru. Memang terdapat unsur-unsur tertentu yang masuk ke dalam karya seseorang melalui pengaruh yang tidak disedarinya, tetapi itu tidak dapat dielakkan. Analoginya begini: Kita bercakap sekarang pun hasil pengaruh percakapan orang lain juga. Namun, kita bercakap dengan berasaskan keperibadian kita. Jadi, kita tidak meniru. Untuk menjadi pengarang karya kreatif, seseorang penulis perlu mendapatkan ilmu yang cukup - memahami psikologi, sosiologi dan ilmu sejarah untuk melukiskan watak-watak setepat-tepatnya. Seterusnya memperkukuh bahasa kreatif dengan keupayaan menghasilkan metafora, personifikasi, enumerasia dan lain-lain. Akhir kata, jika anda berbakat menghasilkan karya kreatif, laksanakanlah, jangan biarkan bakat anda terpendam dan terus padam. Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/ |
ISU SOSIAL : Kebebasan, hak asasi agama baru dunia
ENAM ratus lima puluh sembilan (659) pasangan dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan sejenis di New York pada Ahad lalu, mencatatkan rekod jumlah perkahwinan gay dan lesbian yang terbanyak dalam sehari.
New York adalah negeri yang keenam di Amerika Syarikat (AS) yang 'menghalalkan' perkahwinan sejenis. Ini bermakna 44 negeri sahaja lagi di negara pengeskport ideologi demokrasi, kebebasan dan hak asasi itu yang belum mengiktiraf seks dan perkahwinan sejenis. Lambat-laun negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah New York. Logiknya hanya masa yang menunda pelaksanaan kebebasan yang amat bertentangan dengan syariat agama Islam ini.
Berita ini mungkin dibaca dengan senyum sinis oleh umat Islam di Malaysia. Pada akal kita, tidak mungkin budaya kuning yang Allah kutuk di dalam al-Quran itu akan menular ke Malaysia suatu hari nanti. Persoalannya adakah semua umat Islam benar-benar menjiwai dan beriman dengan al-Quran?
Senyumlah atau ketawalah. Syaitan-syaitan juga sedang ketawa. Banyak perkara yang dulu kita ketawakan sudah menjadi budaya tiruan di Malaysia. Lihatlah betapa ada kumpulan wanita Islam di Malaysia yang mahu menghapuskan poligami walaupun ia dibenarkan Allah SWT.
Apabila nilai-nilai budaya itu datangnya dari masyarakat yang lebih maju dari segi keduniaan, akan mudahlah masyarakat yang kurang maju terkeliru dan meniru.
Seks sejenis sebenarnya turut diamalkan oleh segelintir kalangan masyarakat Malaysia termasuk mereka yang dilahirkan sebagai orang Islam. Secara senyap-senyap ia mungkin merebak. Cuma mereka yang mengamalkannya masih menyorok daripada pengetahuan umum. Malu kepada manusia atau malu kepada Allah?
Bayangkan jika bilangan pengamal seks sejenis bertambah dan turut menular di kalangan yang berpengaruh. Betapa jika terdapat kalangan pemimpin politik yang juga melakukan seks sejenis. Jangan lupa bahawa Malaysia juga mengamalkan demokrasi berpilihan raya sama seperti di AS.
Lazimnya dalam pilihan raya, kemenangan ditentukan oleh puak majoriti. Tetapi di Malaysia sendiri kita dapat melihat betapa suara minoriti boleh mempengaruhi suara majoriti apabila kalangan yang bertanding dalam pilihan raya mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada puak majoriti. Akhirnya satu demi satu kehendak minoriti disuarakan secara terbuka dan lambat-laun terpaksa diterima oleh kalangan ahli politik yang memburu undi sokongan.
Peluang
Itulah yang berlaku di AS. Perebutan kuasa yang sengit antara parti Demokrat yang lebih liberal dengan parti Republikan yang konservatif akhirnya memberikan peluang kepada golongan minoriti untuk bersuara. Tuntutan mereka dipenuhi setelah bilangan mereka bertambah dan suara mereka semakin lantang melalui demonstrasi di jalan raya.
Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah! Allah telah menauliahkan nabi demi nabi dan menurunkan kitab demi kitab untuk membimbing manusia ke jalan yang betul, tetapi manusia mudah lupa, lekas tewas kepada nafsu dan tunduk kepada kemewahan dunia.
Nabi yang terakhir ialah Muhammad SAW dan kitab terakhir ialah al-Quran. Tiada lagi pembimbing manusia ke jalan yang lurus selepas Muhammad dan al-Quran. Jika kita tergelincir daripada cara hidup yang Allah perintahkan, rasailah akibatnya di dunia dan akhirat sebagaimana yang menimpa umat-umat dahulu termasuk kaum Nabi Lut, Nabi Nuh, Tsamud, Aad dan Madyan yang dinyatakan dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia sepanjang zaman.
Berhati-hatilah dengan sebarang nilai yang sedang dieksport dengan agresif dari Amerika Syarikat ke negara-negara yang penduduk majoritinya beragama Islam. Janganlah mudah terperangkap dengan apa jua yang disuakan atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka yang ghairah menerima fahaman ciptaan nafsu manusia ini juga termasuk orang-orang yang dilahirkan beragama Islam.
Yang berserban dan menuntut di Universiti Al-Azhar juga sudah terjebak sebelah kaki. Di mana iman mereka? Ini semua adalah gara-gara mahukan kejayaan di dunia, bukan kejayaan di akhirat yang Allah janjikan untuk orang-orang yang beriman. Jika ditanya, mereka akan memberikan dalil yang palsu. Disebabkan mereka ini berkelulusan tinggi agama, ramai yang turut percaya.
Dulu ramai yang tertarik dengan fahaman sosialis yang diasaskan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels, sekalipun mereka berteori bahawa agama itu adalah candu yang boleh merosakkan kehidupan manusia. Daripada teori mereka lahirlah fahaman komunisme yang menganjurkan keadilan sosial dan ekonomi sama rata untuk semua manusia.
Akhirnya komunisme runtuh dan tinggal sisa cebisan di beberapa buah negara sahaja. Bangkit pula demokrasi, kebebasan dan hak asasi. Apa bezanya fahaman komunisme yang menentang agama dengan fahaman kebebasan bawaan Amerika yang turut mengizinkan seks sejenis? Tidakkah fahaman yang dieksport dari Amerika ini juga menghancurkan institusi agama?
Fahaman
Bezanya, hanyalah dari segi pendekatan. Komunis menggunakan pendekatan yang lebih keras, tetapi fahaman kebebasan dan hak asasi dari Amerika menghancurkan agama melalui proses demokrasi yang penuh manipulasi dan penipuan. Betapa ada pemimpin-pemimpin politik yang dulu menganut fahaman sosialisme, sekarang beralih kepada demokrasi, kebebasan dan hak asasi sebagai 'agama baru' mereka.
Allah menyuruh orang-orang beriman supaya berdoa memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad juga menyuruh kita bekerja seolah-olah akan hidup selama-lamanya, tetapi beribadatlah seolah-olah akan mati esok.
Bagaimanapun, matlamat kebanyakan manusia hanyalah mencari kekayaan dan berseronok dengan kekayaan itu. Budaya kebendaan ini turut meresap ke segenap sendi kehidupan masyarakat Islam. Zahirnya majoriti umat Islam menunaikan solat dengan menghadap ke Mekah, tetapi dalam banyak hal kehidupan kita berkiblat ke Amerika dan Eropah.
Betul tidak semua yang datang dari Barat itu bertentangan dengan nilai Islam, tetapi realitinya semakin ramai umat Islam yang sudah kelabu dan tidak tahu membezakan yang benar dan tidak benar. Puncanya kerana terlalu cintakan kehidupan dan kemajuan dunia. Seolah-olah mahu hidup selama-lamanya dan tidak akan mati.
Kejayaan masyarakat dan individu tidak lagi dilihat dari segi pegangan agamanya, tetapi kekuatan ekonominya. Apabila mencapai tahap ekonomi yang dihajati, mereka menuntut pula kebebasan yang dalam beberapa hal sangat bertentangan dengan ajaran agama.
Inilah agama baru yang turut diimport ke Malaysia oleh badan-badan dakyah yang menyamar atas nama pelbagai NGO yang sebilangan besar hanya mempunyai beberapa kerat ahli. Malangnya suara mereka sangat mendapat tempat di media. Turut menyokong penyebaran agama baru ini ialah tokoh-tokoh politik yang dilahirkan beragama Islam dan mendakwa berjuang untuk Islam.
Maka senyum dan ketawalah membaca laporan perkahwinan sejenis beramai-ramai di Amerika. Dan syaitan-syaitan pun turut ketawa kerana mereka yang berserban juga sudah berjinak-jinak dengan agama baru bertopengkan kebebasan dan hak asasi ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU ANTARABANGSA : Makna di sebalik serangan di Norway
Persoalan menerjah di kepala, adakah ia serangan daripada orang Islam? Keganasan Islam? Al-Qaeda?
Pihak berkuasa Norway pada awal kejadian memberitahu bahawa mereka masih tidak mengetahui siapa yang melakukan serangan.
Kalaulah orang Islam yang melakukan searangan itu, pastinya gelombang baru Islamofobia akan melanda Eropah. Bukan saja orang Islam di Eropah yang akan menjadi sasaran tetapi pengunjung, termasuklah para pelajar Islam yang mahu melanjutkan pelajaran di Eropah akan juga menghadapi bahananya.
Lebih-lebih lagi Norway, sebuah negara Eropah yang dianggap "baik" pada orang Islam. Tidak seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.
Dalam laporan awal, Presiden Amerika, Barack Obama menyatakan kesediaan negaranya bekerjasama dengan Norway untuk memerangi keganasan.
Maksud daripada kenyataan itu ialah kejadian tersebut merupakan keganasan bersifat antarabangsa, dan hampir pasti beliau merujuk kepada keganasan Islam, khususnya Al-Qaeda.Siapa lagi?
Lebih-lebih lagi Amerika dan Eropah menjangkakan akan berlaku satu serangan besar ekoran daripada pembunuhan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.
Laporan agensi-agensi berita termasuk Reuter yang kemudian disiarkan di seluruh dunia walaupun tdiak menyebut mengenai pengganas Islam tetapi dalam beritanya dinyatakan bahawa Norway sejak akhir-akhir ini mengakui bahawa mereka bersedia menghadapi ancaman daripada serangan pengganas Islam.
Perisikan
Maknanya perisikan mereka menilai bahawa kemungkinan ada ancaman daripada keganasan Islam. Mereka menduga sebabnya ialah Norway, sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut serta dengan Amerika memerangi Afghanistan.
Tetapi apabila keesokannya diumumkan bahawa pelaku keganasan yang mengorbankan 76 orang adalah seorang warganegara Norway berkulit putih, beretnik Nordic dan beragama Kristian, Anders Behring mengejutkan semua pihak.
Tentu bagi orang Islam, pengumuman bahawa pelaku keganasan itu bukan seorang Islam adalah melegakan.
Bagi orang Barat pula, pendedahan bahawa pengganas itu bukan Islam juga menuntut mereka untuk melihat ke dalam masyarakat sendiri. Bagaimana boleh seorang Barat melakukan tindakan yang amat kejam sekali.
Membongkar
Maka apa yang didapati ialah penyerang itu walaupun pernah menganggotai parti haluan kanan, Parti Kemajuan yang anti pendatang, tetapi telah melakukan tindakan itu secara bersendirian.
Lantaran itu, mereka berusaha untuk menganggap Behring sebagai tidak siuman. Hinggakan dia pun tidaklah disebut sebagai pengganas tetapi hanya penyerang.
Hakikatnya ialah kejadian kejam di Norway itu adalah bersejarah dan penuh makna. Dalam hal ini, umat Islam di seluruh dunia tidak wajar berasa lega apatah lagi bergembira kerana penyerang itu bukan seorang Islam.
Ini kerana tindakan Behring yang walaupun mengorbankan bukan orang Islam tetapi sasarannya adalah orang Islam.
Peluru yang dimuntahkan oleh senjatanya itu adalah penuh dengan kebencian terhadap orang Islam. Behring bukan saja anti Islam tetapi membenci Islam hingga dia sanggup membunuh orang sebangsanya.
Hakikat bahawa dia bertindak bersendirian adalah lebih berbahaya. Sesiapa saja orang kulit putih di Eropah yang memiliki perasaan benci pada Islam atau Islamofobia boleh dengan tiba-tiba melakukan serangan pada sesiapapun, termasuk orang sebangsa mereka. Perlu diingat juga bahawa tujuan serangan Behring itu. Dia melakukannya untuk menyampaikan mesej secara ledakan besar supaya dunia, baik Barat mahupun Islam sedar.
Maka sasarannya kepada anak-anak muda parti pemerintah Norway, iaitu Parti Buruh juga bukanlah kebetulan. Baginya Parti Buruh yang berfahaman sosialisme demokratik atau sosial demokrat itu memberi tempat dan muka kepada pendatang Islam di Norway melalui dasar kepelbagaian budaya.
Sedangkan dia dan sebahagian kecil penduduk Norway sudah mula resah dengan kehadiran pendatang orang Islam. Mereka melihat orang Islam mengancam cara hidup dan kebudayaan mereka kerana keengganan atau kesukaran pendatang Islam berasimilasi menjadi bangsa Norway.
Walaupun tentulah rakyat Norway dan penduduk Eropah umumnya mengutuk perbuatan ganas Behring dan akan mempertahankan dasar kepelbagaian budaya, tetapi jika mesej anti-Islam ini masuk ke benak banyak orang, maka orang Islam perlu waspada.
Maka tentulah dalam perbincangan yang diadakan pada masa-masa akan datang, diselidik mengapa muncul orang seperti Behring di Norway, sebuah negara yang bukan saja aman dan makmur tetapi juga contoh kejayaan peradaban Barat.
Norway adalah salah sebuah negara Scandinavia yang mengamalkan sistem sosialisme demokratik di mana negara memberi kebajikan penuh kepada rakyatnya sepanjang hayat. Tetapi pada waktu yang sama memberi kebebasan dan bersifat terbuka. Tentulah ciri-ciri ini menepati dasar kepelbagaian budaya.
Lain-lain negara Scandinavia ialah Sweden, Finland, Denmark dan Iceland. Negara Eropah lain yang dianggap aman, makmur dan berkebajikan ialah Switzerland dan Austria.
Boleh dikatakan negara-negara ini adalah sebagai mercu kejayaan peradaban Barat. Kebajikan, kebebasan, persamaan dan keadilan yang dinikmati warganya menjadikan mereka negara unggul dunia. Dan bukannya negara-negara Barat yang besar dan terkenal seperti Amerika, Britain dan Perancis.
Kemakmuran, kebajikan dan kebaikan negara-negara inilah yang membawa kepada kehadiran orang Islam yang berhijrah ke sana.
Kesemua negara-negara itu mempunyai tradisi Kristian yang kuat. Kecuali Austria, negara-negara yang disebut itu mempunyai bendera yang tertera di atasnya lambang salib.
Namun kini, agama sudah tidak menjadi teras atau penting dalam masyarakat mereka. Umumnya mereka sudah tidak meyakini sebarang agama. Justeru jika mereka bersikap anti-Islam, ia bukanlah kerana mereka kuat memegang agama Kristian. tetapi adalah kerana mereka mahu mempertahankan cara hidup sekular dan demokratik.
Tetapi semakin besar penduduk Islam di Eropah dan bertambah tertonjolnya identiti mereka, maka Eropah akan berasa terancam. Kini pun sedang berlaku perbahasan mengenai kepelbagaian budaya dan isu pendatang.
Maka tidak hairanlah parti-parti sosialis demokrat yang mendokong kepelbagaian budaya boleh kalah pilihan raya jika sentimen ini berterusan. Sebagai ganti nanti ialah parti-parti berhaluan kanan Neo-Nazi dan Neo-Fasis yang akan menghalang kehadiran pendatang.
Jika melihat keinginan besar orang Islam hendak berhijrah ke negara-negara Barat, maka ia bermakna juga bahawa negara-negara Islam telah gagal.
Sumber : http ; //www.utusan.com.my/