Sabtu, 30 Julai 2011

ISU BAHASA : Memahami makna karya kreatif

oleh RAHMAN SHAARI

Tidak semua orang berkeupayaan menghasilkan karya kreatif. Daripada 1,000 kita mungkin menemukan seorang sahaja yang berbakat menghasilkan novel, skrip drama, sajak atau cerpen. Dalam kuliah penulisan kreatif, saya mendapati antara 20 pelajar, hanya seorang dua yang dapat memahami konsep karya kreatif secara dalaman. Selebihnya berpendapat, penciptaan karya kreatif sama seperti kerja memasak bihun atau nasi lemak.

Sebenarnya, orang memasak makanan (bertukang dan lain-lain) akan menghasilkan sesuatu yang tetap, tepat seperti yang dirancang. Karya kreatif berbeza daripada itu semua. Sesebuah novel oleh seseorang pengarang, berbeza daripada novel orang lain.

Novel Anwar Ridhwan dan skrip drama Zakaria Ariffin ada ciri khas keperibadian mereka. Jika kita memikirkan novel-novel karya pengarang terkenal Malaysia, dengan menyenaraikan A Samad said, Shahnon Ahmad, Arenawati dan banyak lagi, kita akan menemukan kaedah penciptaan yang pelbagai. Demikian jugalah skrip drama Usman Awang, Noordin Hassan, Syed Alwi, Ismail Kassan dan beberapa lagi. Kesemuanya mempunyai ciri-ciri khusus kepengarangan mereka. Apabila kita memasuki bidang puisi, kita akan mendapati alangkah berbezanya karya Muhammad Haji Salleh berbanding karya Latiff Mohidin. Karya Zurinah Hassan juga amat berbeza daripada karya Marsli N.O dan Siti Zainon Ismail.

Karya kreatif yang berbentuk fiksyen selalu disamakan dengan cerita. Novel ialah cerita, demikian juga cerpen dan skrip drama. Jika kita menonton filem (wayang gambar), kita akan tertumpu pada cerita juga. Oleh itu, dapat kita simpulkan, selain penyair, pengarang karya kreatif ialah pencerita.

Apakah makna karya kreatif? Jika kita fikirkan cerita, kita akan mengatakan bahawa pengarang kreatif menghasilkan kisah tidak berlaku. Bersandarkan hal ini, Lim Teck Leong, mantan Pensyarah Kesusasteraan Inggeris di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, secara bergurau mengatakan pencerita ialah pembohong. Saya membahaskan kenyataan tersebut, dengan mengatakan bahawa story telling ialah satu bidang. Apabila kita berada dalam satu bidang, kita tidak bolehlah mengatakan bidang kita itu bidang untuk berbohong.

Penghasilan karya kreatif memerlukan kemahiran. Sesebuah novel yang tebal masih dapat mengawal perwatakan, misalnya jika watak itu mempunyai ciri panas baran, atau intelektual, atau penakut, perwatakan itu dapat dikekalkan, dan jika dia dinamik, perubahannya dapat disandarkan pada sesuatu peristiwa. Watak yang dinamik akan berubah apabila berlaku sesuatu yang menyebabkan munculnya kemarahan, kejutan, keinsafan dan sebagainya.

Perwatakan, plot dan peristiwa-peristiwa yang berupa episod dalam sesebuah karya kreatif, adalah rekaan pengarang. Kebolehan mencipta kesemua itulah yang menyebabkan karya tersebut dinamakan karya kreatif. Laporan berita, penulisan sejarah dan lain-lain tidak disebut karya kreatif, kerana tumpuan pengarang ialah perkara yang sedia ada. Di situlah letaknya perbezaan asas antara penulisan kreatif dan penulisan karya nonkreatif.

Kebolehan pengarang kreatif terletak pada daya kreativitinya. Peniruan isi, plot dan gaya ialah musuh kreativiti. Ertinya, pengarang kreatif yang tulen tidak ada kecenderungan meniru. Memang terdapat unsur-unsur tertentu yang masuk ke dalam karya seseorang melalui pengaruh yang tidak disedarinya, tetapi itu tidak dapat dielakkan. Analoginya begini: Kita bercakap sekarang pun hasil pengaruh percakapan orang lain juga. Namun, kita bercakap dengan berasaskan keperibadian kita. Jadi, kita tidak meniru.

Untuk menjadi pengarang karya kreatif, seseorang penulis perlu mendapatkan ilmu yang cukup - memahami psikologi, sosiologi dan ilmu sejarah untuk melukiskan watak-watak setepat-tepatnya. Seterusnya memperkukuh bahasa kreatif dengan keupayaan menghasilkan metafora, personifikasi, enumerasia dan lain-lain.

Akhir kata, jika anda berbakat menghasilkan karya kreatif, laksanakanlah, jangan biarkan bakat anda terpendam dan terus padam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen