Sabtu, 7 Mei 2011

ISU SOSIAL : Mengekang jenayah dan rasuah

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my

SETIAP hari, dunia tidak pernah sunyi daripada kegiatan jenayah yang berpunca daripada keinginan dan nafsu manusia yang tiada batasan. Dari sekecil-kecil jenayah hinggalah kepada pembunuhan sesama manusia berlaku atas pelbagai alasan dan motif. Ini menjadikan tugas pihak berkuasa, khasnya anggota polis begitu mencabar.

Saban hari, ada saja berita mengenai polis di media tidak kiralah sama ada positif atau negatif. Dalam kebanyakan hal, berita negatif mengaburi kebaikan yang begitu banyak dilakukan oleh pasukan itu. Orang ramai juga sudah pandai menilai bahawa anjing gigit orang bukan berita untuk mereka, tetapi orang gigit anjing adalah berita yang mereka cari.

Bagi mereka yang sentiasa mencari kesalahan pihak berkuasa, kejayaan operasi polis mencegah jenayah, menembak mati perompak, merampas dan melumpuhkan sindiket dadah tidak penting bagi mereka.
Sebaliknya, bila berlaku sedikit kesilapan, peluang ini dieksploitasi sepenuhnya. Di Malaysia, pendirian terhadap keterbukaan dan ketelusan memberi ruang kepada pihak berkenaan mencemuh dan mempertikai kewibawaan polis.

Satu lagi perkhidmatan yang tidak kurang hebatnya dikecam pihak yang sering menangguk di air keruh ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – juga dari segi baik dan buruknya.

Kebaikan dilakukan banyak, tetapi setakat ini keburukannya yang sedikit ialah berhubung kesilapan tindakan pegawainya ketika menjalan tugas.

Biasanya, SPRM menghadapkan pelaku rasuah ke mahkamah, tetapi dalam kes tertentu, SPRM pula diadili di mahkamah.

Apa pun, ini menunjukkan polis dan SPRM begitu aktif dalam melaksanakan tugas mereka. Keadaan ini menyedarkan kedua-dua pasukan itu bahawa mereka sentiasa diperhati dan dinilai rakyat.

Dua badan ini adalah antara dua badan yang diberi perhatian utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merangkumi enam teras utama termasuk mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah.

Jika setiap berita mengenai dua perkhidmatan ini dianalisis, ia jelas mencerminkan tugas dua badan ini memenuhi pendekatan kerajaan menerusi Gagasan 1Malaysia - rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Dua perkhidmatan ini berada dalam senarai paling atas untuk membuktikan bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam apa juga tindakan yang boleh merosakkan imej negara. Pelabur tidak akan datang menanam modal jika negara ini penuh dengan kegiatan ‘mafia’.

Pelabur akan lari jika kegiatan rasuah tidak dikawal kerana pelabur bimbang mereka akan menjadi mangsa keadaan. Jika rasuah menguasai segala peraturan dan undang-undang, ia akan menyusahkan urusan pelabur.

Indeks Prestasi Utama (KPI) PDRM ditentukan atas kejayaan mereka mengawal kenteraman awam dan mengurangkan kadar jenayah manakala KPI SPRM ialah kejayaan mereka mencegah kegiatan rasuah.

Anggota polis dan SPRM berada di mana-mana saja mengawasi gelagat manusia. Mereka membantu siapa saja tanpa batasan warna kulit dan agama. Mereka juga bertindak terhadap sesiapa saja tanpa mengambil kira latar belakang dan ideologi. Tidak pernah berlaku peristiwa anggota polis enggan membantu seseorang yang menghadapi masalah hanya kerana orang itu pengikut parti pembangkang.

Jika ada sesiapa dirompak penjenayah atau rumah mereka dipecah pencuri, polis akan datang membantu dan menjalankan siasatan tanpa bertanya latar belakang kaum atau agama mangsa. Begitu juga dengan tugas SPRM yang membantu siapa yang membuat aduan.

Aduan yang diterima diterjemah kepada tindakan terhadap siapa saja yang bersalah walaupun terhadap orang berpengaruh. Kejayaan siasatan bergantung kepada bukti kes. Tidak pernah berlaku SPRM enggan menerima aduan hanya disebabkan pengadu atau orang yang didakwa adalah orang Melayu, Cina, India, ahli UMNO, PAS, PKR atau DAP.

Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti hospital yang akan menerima siapa saja untuk menerima rawatan sekiranya pemeriksaan kesihatan menunjukkan mereka perlu dirawat. Di negara ini tidak ada hospital yang melarang kaum atau penganut agama tertentu menerima rawatan atau melarang seseorang pesakit dibawa menaiki ambulans ketika kecemasan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/