Selasa, 12 Januari 2010

Ungkapan Melayu Tentang Sahabat


SAHABAT KANTI (SEJATI)

Kawan semangkuk sepiring makan

Kawan sebantal seketiduran

Kawan sebaya sepermainan

Bagai kuku dengan daging

Bagai aur dengan tebing

Bagai ikan dengan air

Bagai jarum dengan kelindan

Ke hulu sama ke hulu

Ke hilir sama ke hilir

Satu sakit dua terasa

Yang tahan asak dengan banding

Yang tahan berpahit-pahit

Kalau koyak tampal-menampal

Kalau condong sokong-menyokong

Terbakar sama hangus

Terendam sama basah

Luka tidak dipampas

Mati tidak diungkit

Sakit tidak disebut

Salah tidak ditimbang

Hutang tidak dibayar

Bagai seibu seayah kandung

Bagai simpai sepenjalin

Bagai kulit dengan isi

Bagai lukah dalam air

Itulah kawan yang dicari

Kawan sempit kawan berlapang

Gentingnya tidak memutus

Simpul tidak terungkai lagi.


Sumber : Tenas Effendy ( Ungkapan Tradisional Melayu Riau, DBP 1989)

Transformasi subjek Sastera

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan pandangan Sasterawan Negara Ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridwan dalam ruangan suratnya di ruangan ini pada 24 Disember 2009 bertajuk "Kaji Semula Sukatan Subjek Sastera".

KPM sentiasa bersikap telus dan terbuka serta menerima cadangan dan pandangan daripada semua pihak bagi memantapkan sukatan pendidikan negara.

Untuk makluman, KPM sedang merangka, memperhalusi skop dan kandungan Standard Kurikulum sekolah menengah yang akan dilaksanakan pada tahun 2012 bermula dengan murid Tingkatan Satu. Transformasi kurikulum yang dilaksanakan itu bukan sahaja terhad kepada mata pelajaran teras sahaja tetapi juga melibatkan mata pelajaran elektif.

Kurikulum baharu yang diwujudkan menekankan kepada aspek standard pencapaian yang harus dicapai oleh setiap murid melalui standard kandungan dan standard pembelajaran yang terdapat dalam Standard Kurikulum yang sedang digubal. Dalam hal ini, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu elektif atau KM(e) yang dipelajari oleh murid Tingkatan 4 dan 5 tidak terkecuali mengalami transformasi kurikulum.

Patriotik

Kurikulum yang dibina atau digubal memberikan penekanan kepada nilai-nilai kemanusiaan dan semangat patriotik untuk menyedarkan murid tentang peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara maju dan masyarakat berilmu. Namun aspek-aspek sastera seperti tema, persoalan, plot, watak dan perwatakan, gaya bahasa dan sebagainya didedahkan juga kepada murid sebagai asas untuk mengenal aspek kesusasteraan itu.

Aspek-aspek teknikal ini perlu diajar dan diketahui oleh murid-murid Tingkatan 4 dan 5 yang mengambil mata pelajaran KM(e) kerana ia merupakan asas untuk menanamkan semangat cinta akan sastera dan bahasa ke arah melahirkan generasi yang mencintai kesusasteraan Melayu dalam kalangan murid.

Namun begitu, penekanan kepada aspek penyediaan pasaran pekerjaan tidak diabaikan. Dalam Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan 5, turut didedahkan kepada murid bagaimana untuk menghasilkan dan mempersembahkan karya kreatif, skrip drama dan mempersembahkan puisi. Pengajaran penghasilan karya-karya ini berlaku setelah murid didedahkan aspek-aspek teknikal dalam sastera.

Dengan melengkapkan murid tersebut dengan ilmu sastera diharapkan mereka dapat menghayati, menghargai, mencintai dan memupuk rasa bangga terhadap bahasa dan sastera Melayu dalam bidang pendidikan dan kerjaya ke arah pemantapan cita rasa bahasa dan sastera dalam kalangan murid.

Sejajar dengan matlamat Kesusasteraan Melayu itu, KPM menggalakkan murid-murid aliran sains atau aliran sastera untuk mengambil mata pelajaran KM(e) sebagai mata pelajaran pilihan. Apatah lagi dalam sistem peperiksaan terbuka murid-murid digalakkan untuk mengambil mata pelajaran KM(e) sebagai mata pelajaran tambahan.

Sebagai langkah permulaan ke arah memberi nafas baharu dalam dunia sastera, pihak KPM telah menggunakan teks baharu untuk menggantikan teks lama yang digunakan sejak tahun 2000. Dengan penggantian teks baharu yang digunakan pada tahun ini diharapkan bilangan murid yang mengambil mata pelajaran KM(e), khasnya dari aliran sains, akan bertambah dari setahun ke setahun.

Penukaran teks ini bukan terhad kepada teks KM(e) sahaja tetapi teks KOMSAS (Kompenen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia). Aspek-aspek sastera ini jua tercerna dalam KOMSAS Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Penyemaian dan penyuburan yang disemai kepada murid-murid sekolah menengah akan menanamkan rasa kecintaan kepada dunia kesusasteraan Melayu.

Merangsang

Di samping itu, bagi memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah, mata pelajaran KM(e) turut diberi nafas baharu. Pelbagai pendekatan kaedah dan teknik terkini didedahkan kepada guru-guru mata pelajaran KM(e) agar guru-guru dapat merangsang minda murid untuk menghayati dunia kesusasteraan. Pembelajaran yang menyeronokkan diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran KM(e).

Melalui pendekatan kaedah dan teknik yang pelbagai diharapkan dapat menyemai dan mengembangkan bakat murid, sekali gus memberi ruang kepada murid untuk berkarya dan menjadikan penghasilan karya kreatif itu sebagai kerjaya mereka suatu masa nanti. Malah penghasilan karya mereka bukan sahaja terbatas di sekolah menegah sahaja tetapi juga di peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat universiti.

Melalui transformasi kurikulum yang akan dilaksanakan ini, diharapkan bilangan generasi muda yang mencintai dunia kesusasteraan di Negara kita bertambah dan dapat melahir kan generasi yang mampu menjadikan bidang sastera sebagai industri negara.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Kementerian Pelajaran Malaysia

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Guru Perlu Sesuaikan Diri Dengan Perubahan

LONDON, 12 Jan (Selasa) -- Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di sini bahawa guru perlu menyesuaikan diri dengan perubahan bagi menggalas tanggungjawab baru dalam mengendalikan pembelajaran menggunakan teknologi dan dalam mengendalikan serta menilai teknologi.

Beliau berkata guru perlu serba boleh dalam bidang teknologi dan tidak menolak teknologi.

"Cabaran sebenar bukan sekadar penyediaan kemudahan teknologi tetapi aplikasi pedagogi teknologi," katanya dan menurutnya jika guru tidak menyesuaikan diri dengan perubahan, insentif yang banyakpun tidak akan dapat mengubah mereka.

"Mereka perlu mempunyai kehendak untuk perubahan dan mahu berubah," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Pembelajaran dan Teknologi Dunia 2010 di sini.

Forum itu adalah yang terbesar yang menghimpunkan para menteri, pemimpin dan pembuat dasar pendidikan di dunia yang menumpukan pada pembangunan dan gabungan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pendidikan dan juga, khususnya dalam pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah.

Mengenai penggunaan teknologi, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata guru perlu mengubah cara mereka berfikir.

"Daripada peringkat awal lagi, kami semua sedar bahawa penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran melibatkan lebih daripada sekadar menyediakan komputer dan perkakasan lain di sekolah dan bilik darjah.

"Kami berulang kali mengingatkan para guru kami yang mereka perlu memainkan peranan penting, jikapun bukan lebih kritikal, sebagai pembimbing. Mereka tidak lagi boleh menjadi hakim di atas pentas," katanya dan menurutnya guru perlu memikul tanggungjawab baru sebagai fasilitator pembelajaran.

Katanya guru juga diingatkan bahawa teknologi hanya berupa alat kerana interaksi dalam bilik darjah pada asasnya adalah berkaitan dengan emosi manusia yang boleh menjadi pelemah atau pendorong pembelajaran.

"Tiada teknologi yang dapat menggantikan seorang guru. Guru perlu terus menjalankan peranan utama mereka dalam menggalakkan dan mendorong pelajar untuk belajar, seiring dengan pelaksanaan ICT dalam pendidikan, dalam memupuk keyakinan pelajar untuk belajar dengan memanfaatkan teknologi," katanya.

Beliau berkata kemudiannya pedagogi kritikal ialah kebolehan guru dalam mengenal pasti saat kritikal bagi menggabungkan teknologi dalam pengajaran mereka kerana pemilihan aplikasi dan strategi yang betul akan memperluaskan lagi dimensi bilik darjah dan meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.

Mengenai inisiatif latihan, katanya beliau bangga menyatakan bahawa Malaysia telah mencapai impak positif.

Katanya kajian oleh Kumpulan Komanwel British (BCG) pada 2008 dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai MSC Malaysia, mendapati terdapat peningkatan daripada segi kreativiti dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran, kadar celik ICT lebih tinggi di kalangan guru dan pelajar dan keberkesanan dalam pengurusan dan komunikasi di kalangan pemegang amanah juga meningkat.

Muhyiddin berkata impak daripada ICT juga telah membuka pintu kepada lebih banyak peluang kepada pendidik di Malaysia.

Katanya ICT berfungsi sebagai wadah dalam mengurangkan jurang digital antara sekolah, dan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran yang menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, relevan dan bermakna.

"ICT juga telah membawa dunia ke dalam bilik darjah dan meningkatkan kadar celik maklumat," katanya.

Katanya sistem pendidikan adalah tidak bernilai jika sekadar mengajar generasi muda bagaimana untuk hidup tetapi tidak mengajar mereka bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bermakna.

"Intipatinya, proses pendidikan merupakan satu transformasi dan ia perlu mampu mengubah cara berfikir dan memupuk hati nurani. Oleh itu dalam keghairahan kita untuk memperkenalkan teknologi, kita tidak harus melupakan dimensi pendidikan kemanusiaan," katanya.

"Kita perlu menjadikan pendidikan pertahanan terbaik dalam memberikan jaminan ekonomi, dalam melindungi kesihatan, membasmi kemiskinan, menyelamatkan nyawa dan memerangi kebuluran," katanya.

Sumber : http: //www.bernama.com/