Khamis, 7 Mei 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (12)

PERIBAHASA TENTANG GURU


Pendidikan berakar umbi daripada perkataan didik yang bererti pelihara, ajar dan jaga. Setelah dijadikan analogi, pendidikan boleh dihuraikan sebagai satu proses yang berterusan untuk menjaga dan memelihara pembesaran tubuh badan dan pertumbuhan bakat manusia dengan rapi supaya dapat melahirkan orang yang berilmu, baik tingkah laku dan dapat mengekalkan nilai-nilai budaya dalam kalangan masyarakat.Oleh itu, peranan guru sebagai pendidik tidak terhad sekadar penyampai ilmu semata-mata.

Dalam konteks negara kita, kerjaya sebagai guru dapat dinyatakan sebagai pendidik profesional yang tugas utamanya adalah mendidik, mengajar, membimbing, mengarahkan, melatih, dan menilai anak muridnya. Sebagai pendidik formal di sekolah, pengaruh guru amat besar . Tindak-tanduk mereka diperhatikan dan menjadi ikutan anak-anak muridnya. Sewaktu menjalankan tanggungjawabnya, guru terikat kepada tatasusila perguruan yang telah ditetapkan. Hal ini penting bagi memastikan tidak berlaku fenomena bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian; kerana kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari ; kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari.

Proses menuntut ilmu berlangsung sepanjang hayat manusia. Golongan pelajar yang menuntut ilmu perlu belajar dengan bersungguh-sungguh dan mempelajari sesuatu ilmu itu sehingga ke peringkat tertinggi. Sesuatu ilmu atau kemahiran itu perlu dikuasai supaya mereka beroleh manfaat daripada ilmu yang dipelajari. Mereka yang terkandas atau hanya belajar separuh jalan sahaja, sudah tentu tidak akan mendapat manfaat daripada ilmu yang dipelajari. Hal ini terungkap dengan jelas melalui peribahasa berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi yang bermaksud pelajaran yang tidak dituntut dengan sempurna, tidak akan mendatangkan sebarang faedah.

Ilmu atau kemahiran dalam bidang tertentu amat penting, justeru menjadi kayu ukur bagi melayakkan seseorang menjawat sesuatu jawatan. Tanpa ilmu atau kemahiran, bagaimana mungkin seseorang itu dapat menjalankan sebarang pekerjaan yang diarahkan. Oleh yang demikian, benarlah kata orang tua-tua dahulu bahawa kemahiran itu sebaik-baik guru. Peribahasa tersebut bermaksud sesuatu pekerjaan akan menjadi sempurna apabila dikerjakan oleh orang yang ahli.

Walau bagaimanapun, proses untuk mendapatkan ilmu atau kemahiran itu bukanlah sesuatu yang mudah. Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak mengenal putus asa, kejayaan atau kecemerlangan yang diharapkan dalam apa-apa juga bidang tidak akan kesampaian. Hal ini kerana kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru. Maksudnya, tidak akan tercapai sesuatu hasrat atau tujuan, kalau kita tidak mahu berusaha dan bersusah payah.

Kesimpulannya, sebagai pendidik, guru harus sedar bahawa penghormatan yang diperoleh daripada anak-anak muridnya bukan dibuat-buat. Tindakan mereka sebenarnya tindakan ikhlas atau spontan yang terhasil oleh sebab mereka berasa dihargai dan berpuas hati dengan ilmu yang disampaikan. Fenomena ini bertepatan dengan peribahasa sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya yang bermaksud kesukaan seseorang akan sesuatu itu kerana faedah yang dapat diperoleh daripadanya.