Selasa, 11 Disember 2012

ISU SOSIAL : Tanggal 12.12.12


Oleh Nor Affizar Ibrahim
 
Susunan angka yang cantik memberi impak tersendiri

Tanggal 12.12.12! Itulah tarikh hari ini. Angka atau digit itu dikatakan cantik, tidak kurang pula menganggap tarikh hari ini begitu unik dan istimewa.

Ini berikutan, susunan angkanya iaitu 12.12.12 kelihatan menarik dan cantik sebab berturutan serta memberi impak tersendiri apabila dicatat misalnya, pada sijil perkahwinan, kad kahwin dan sebagainya.

Mungkin sebab itulah lazimnya, tanggal sebegini ramai bercadang mengadakan majlis pertunangan, pernikahan, meraikan resepsi majlis perkahwinan dan merancang pelbagai acara lain, ada memilih tarikh bersalin pada hari berkenaan.

Tidak kurang juga menjadikan atau mengabadikan tarikh itu dalam bentuk simbolik seperti menjadikan angka berkenaan sebagai mas kahwin, hantaran dan hadiah istimewa. Justeru, tidak hairan jika ramai menunggu tarikh itu untuk diabadikan bagi mengadakan acara tertentu yang akan diingati, dikenang dan dipahat dalam lipatan sejarah untuk sepanjang hayatnya.

Malah, bukan individu saja, hotel dan kompleks beli-belah atau yang berasaskan perniagaan turut mengambil kesempatan menawarkan potongan istimewa kepada pelanggan mengikut angka itu sempena meraikan kehadirannya.

Digit cantik

Apakah sebenarnya keistimewaan atau yang menarik mengenai tarikh 12.12.12? Selain berpendapat, digit yang cantik ada juga menganggapnya angka bertuah tetapi ada pula melihat ia sekadar nombor, apabila dibilang akan sampailah pada angka itu.

Tarikh hanya pengukuran peredaran masa atau jika berpandukan pada kalendar, angka tercatat hanya penanda peredaran masa. Dalam kata lain, tarikh adalah jumlah peredaran masa. Susunan tarikh dimulakan dengan bilangan hari diikuti dengan bilangan bulan dan diakhiri dengan bilangan tahun.

Persoalannya ramai orang percaya angka boleh membawa keburukan dan kebaikan. Bahkan, ada mempercayai angka mempunyai semangat atau tenaga semula jadi tertentu yang boleh membawa keburukan atau kebaikan kepada seseorang. Jangan terkejut, jika ada orang menggunakan angka tertentu untuk menjadikan dirinya bertuah!

Menurut perspektif Islam, tiada hari atau angka dianggap bertuah atau sial, sebaliknya semua dianggap sama. Begitu jugalah dengan angka atau tarikh 12.12.12.

Pakar motivasi dan sosiologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata kegemaran memilih tarikh dan angka tertentu dalam masyarakat di negara ini sebenarnya sudah berakar umbi sejak dulu.

Angka dan hubung kaitnya dengan manusia menjadi tradisi dalam masyarakat di negara ini bukan saja hari ini saja tetapi sudah berkurun lama.
Katanya, misalnya dalam soal penentuan tarikh pernikahan, masyarakat dulu akan membuat perkiraan bagi memilih tarikh dan bulan Islam. Pemilihan dan penentuan tarikh itu dibuat berhati-hati bagi memastikan pasangan mempelai kekal bahagia melayari rumah tangga mereka.

“Bulan paling dielakkan berkahwin ialah Safar kerana kononnya membawa bencana. Contoh lain, berkaitan angka dalam kehidupan masyarakat di negara ini ialah ‘pantang’ mengadakan majlis persandingan serentak untuk dua pasangan pengantin. Jika majlis dibuat bersama, kononnya salah satu pasangan tidak akan kekal rumah tangga mereka.

“Begitu juga ingin bergambar, tidak boleh ambil bertiga kerana dipercayai kelak salah seorang akan meninggal dunia. Begitulah taksubnya kepercayaan masyarakat dulu dengan angka dan tarikh dalam kehidupan mereka. Bagaimanapun, kepercayaan seumpama itu sudah semakin pudar pada hari ini,” katanya.

Mudah diingati

Hari ini masyarakat lebih cenderung mengabadikan tarikh istimewa supaya peristiwa berkenaan mudah diingati serta terpahat di sanubari. Tiada kaitan dengan soal budaya, kepercayaan atau mitos.

Sebaliknya, pemilihan tarikh istimewa pada hari ini hanyalah sekadar aliran semasa yang menyuntikkan keseronokan dan sesuatu dekat dalam diri pada empunya diri. Apatah lagi, katanya bukan senang untuk ‘mendapatkan’ tarikh itu, malah mungkin individu terbabit terpaksa menunggu jangka masa panjang untuk menunggu kedatangan tarikh berkenaan bagi merealisasikan keinginannya.

Dalam aspek sosial juga tidak salah memilih atau menjadikan nombor yang dianggap ‘ajaib’ dan istimewa itu diabadikan dalam kehidupan seperti berkahwin, bertunang serta sebagainya. Peristiwa dan tarikh dipilih itu mungkin boleh dijadikan kenangan sepanjang hayat.

Jangan taksub

Jangan ingin mencatatkan sejarah dan keistimewaan dalam hidup serta semata-mata untuk mendapatkan tarikh diidamkan, individu mengabaikan perkara lain termasuk menyusahkan orang lain untuk datang ke majlis diadakan atau sanggup mengubah perkara yang mungkin lebih penting dilakukan pada hari itu.

“Jangan juga kerana keghairahan untuk mendapatkan angka cantik, individu itu membuat pertimbangan silap. Misalnya, dia mungkin sudah menetapkan tarikh istimewa itu untuk berkahwin tetapi masalahnya duit belanja masih tidak mencukupi. Disebabkan terdesak dan ingin juga penuhi hajat, dia sanggup berhutang dengan Along. Tidakkah itu bakal menyusahkannya kelak,” katanya.

Mengingatkan angka dan kehidupan seseorang termasuk kebahagiaan rumah tangga, tuah dan tiada kaitan dalam mencorak kehidupan seseorang.

Tegasnya, angka atau tarikh yang cantik dan dianggap istimewa hanya sekadar persepsi asas. Ini bermakna, angka tetap angka manakala kebaikan atau keburukan dibawa tiada kaitan dalam kehidupan seseorang, sebaliknya bergantung kepada empunya diri untuk mencorakkannya.

INFO: Angka dan kaitannya dengan kehidupan manusia

* Aliran gemar memilih angka atau nombor cantik bukan sekadar terhad kepada pemilihan tarikh untuk acara tertentu atau pemilihan angka pendaftaran kenderaan, nombor telefon dan lain-lain. Fenomena ini tidak salah selagi individu tidak beriktikad angka itu bakal membawa tuah dalam kehidupan.

* Ulama berpendapat, Islam bukan agama berfalsafah dengan angka. Ini bermakna, untung nasib seseorang juga tiada kaitan dengan angka yang ada dalam kehidupannya.

* Islam juga tidak kenal dengan amalan weton seperti pahing, legi dan lain-lain lagi. Oleh itu, umat Islam mesti jauhkan diri daripada berjumpa dengan orang tertentu kononnya, ingin mencari tarikh sesuai berdasarkan kiraan tanah, air, api, angin dan sebagainya. Perbuatan seumpama itu mampu mengheret individu terbabit ke lembah syirik kerana seolah-olah tidak percaya kepada Allah yang menentukan qada dan qadar.

*Aliran gemar memilih angka atau tarikh dilihat akan berterusan hingga tahun-tahun mendatang. Selagi ia tidak ditunjangi oleh perkara syirik, khurafat, tahyul ataupun apa-apa perkara yang mengganggu kestabilan iman, maka tidak menjadi masalah menghadirinya.

* Ada hari paling baik antara kesemua hari dan ada bulan paling baik antara semua bulan. Contohnya, bulan Ramadan dan juga hari Jumaat sebagai mana sabdanya: “Hari terbaik di mana matahari naik adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam dijadikan, dan pada hari itu dia telah masuk Syurga dan pada hari itu dia dikeluarkan darinya” (riwayat Muslim, al-Jumu’ah, 1410).

* Umat Islam diingatkan, jangan terikut-ikut dengan kepercayaan agama lain kononnya angka tertentu membawa malang seperti 4, 13 dan 666.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Jangan guna 100 kata laluan ini



Oleh : Johardy Ibrahim

APLIKASI Jailbroken ialah aplikasi yang diguna untuk mematikan perisian keselamatan Apple dalam telefon pintar iPhone. Aplikasi itu memberi keupayaan untuk menambah ciri-ciri atau aplikasi baharu yang mungkin merupakan isu yang belum dimuktamadkan oleh Apple, selain memuat naik aplikasi yang tidak diluluskan atau cetak rompak.

Pada masa yang sama, tindakan individu yang mematikan perisian keselamatan Apple pada gajet mereka itu, mendedahkannya kepada ancaman keselamatan, sebagaimana yang terjadi semasa penularan virus ikee pada tahun 2008.

Persoalan ini tidak menjadi masalah bagi pengguna iPhone yang memilih untuk 'tidak mempedulikan risiko'. Ini adalah kerana peluang untuk memuat turun pelbagai aplikasi secara percuma, adalah lebih menarik!

Blackberry pula berharap model terbaru yang bakal dilancarkan bulan depan itu, akan mengembalikan syarikat Research In Motion (RIM) ke tahap yang berdaya saing setelah mengalami kemerosotan kesan daripada populariti iPhone keluaran Apple dan Android milik Google.

Di kalangan penganalisis telefon pintar, BlackBerry dianggap memiliki perlindungan keselamatan terbaik di antara semua telefon pintar yang terdapat di pasaran. Ketua Pegawai Teknologi Neohapsis Labs, Steve Hunt merumuskan BlackBerry adalah 'mungkin pilihan terbaik dalam soal keselamatan' dan mengesyorkannya bagi tujuan urusan perniagaan.

Paling terbaru, RIM menerbitkan senarai kata laluan yang ditegah dipakai bagi produk keluarannya kerana dianggap sebagai 'sangat lemah'. Ia termasuk kata laluan seperti 123456, snoopy, biteme, Internet, selain watak kartun Winnie the Pooh iaitu Tigger, piglet dan poohbear, dan kata laluan paling kerap diguna kita semua: password. Sila rujuk senarai penuh kata laluan dalam infografik. Jika kata laluan anda guna sekarang ada tersenarai, silalah ubah.

Pengurus Kanan Produk bagi Keselamatan BlackBerry di RIM, Tim Segato berkata, senarai tersebut telah dikenal pasti oleh penyelidik industri sebagai kata laluan paling lemah yang paling kerap digunakan. Menurutnya, larangan penggunaan kata laluan itu merangkumi semua kata laluan bagi laman web syarikat, aplikasi dan perkhidmatan. Namun larangan itu tidak meliputi kata laluan untuk individu membuka gajet peribadi.

Senarai kata laluan BlackBerry itu adalah sebahagian daripada usaha yang semakin lazim dilaksanakan oleh firma-firma teknologi bagi memaksa para pengguna menyediakan kata laluan yang 'sukar' kepada akaun Internet, terutama e-mel. Ini adalah kerana kebanyakan pengguna Internet sama sekali tidak boleh dipercayai untuk mencipta kata laluan yang 'kuat' untuk diri mereka sendiri, kata pakar-pakar. Tahun lalu, Microsoft mengharamkan kata laluan lemah dari perkhidmatan e-mel miliknya, Hotmail. Google Wallet juga mengenakan larangan serupa.

Menguji

Senarai BlackBerry ini tidak menyeluruh sebenarnya kerana banyak lagi cara para pengguna yang mendedahkan diri kepada ancaman dengan mencipta kata laluan yang mudah. Penggodam kini menggunakan perisian memecah-kata laluan percuma seperti John the Ripper untuk menguji jutaan kata laluan yang lazim digunakan di laman-laman web yang telah diceroboh.

Kegiatan seumpamanya begitu mudah bagi penggodam kerana kebanyakan pengguna Internet hanya menggunakan kata laluan yang diulang pakai banyak kali. Maka bila sesebuah kata laluan dicuri dari sebuah pelayan syarikat telah diketahui, ia menjadi kunci kepada penggodam untuk menceroboh akaun mangsa di syarikat lain.

Kaji selidik Microsoft pada 2007 mendapati purata pengguna Web memiliki 25 akaun berlainan tetapi hanya menggunakan 6.5 kata laluan untuk melindungi mereka.

Pakar keselamatan Internet berkata, para pengguna wajib mencipta kata laluan yang panjang dan rumit, diadun dengan perkataan dan nombor, serta menggunakan kata laluan berlainan bagi akaun berbeza untuk mengelakkan penggodam mengesannya dan mengakibatkan malapetaka kepada kehidupan digital mereka.

Mungkin kebanyakan daripada kita malas hendak 'menguatkan' lagi kata laluan internet kita. Cuba lihat daripada aspek berikut: anda menggunakan kata laluan e-mel anda, sama untuk Facebook dan Twitter dan blog. Satu sahaja daripadanya yang diterobos oleh penceroboh maya, segala data keselamatan anda terancam.

Ini bukan senario enteng yang anda ingat tidak akan berlaku pada anda atau tidak memberi impak kepada anda. Lihat sahaja bagaimana mudahnya penggodam berjaya mencuri dan menggunakan nama akaun seseorang untuk menghantar virus kepada kawan-kawannya menerusi Facebook atau Twitter.

Namun saya pasti ramai akan berfikiran bahawa 'sangat sukar untuk mengingati kata laluan berlainan untuk pelbagai kegunaan Internet'. Anda tidak salah. Apatah lagi untuk mengingati kata laluan yang sangat kompleks seperti s^b#+.br.0A atau perkataan Inggeris yang jarang anda guna seperti Onomatopoeia, Conscientiously, Organoleptic.

Memang sukar tetapi kita kini berada dalam dunia Internet. Malas atau tidak, kita tidak ada pilihan, melainkan anda guna Internet sekali sebulan sahaja. Bagi anda yang merupakan pengguna harian, anda mesti laksanakan langkah keselamatan sewajarnya, supaya manfaat Internet boleh dinikmati secara penuh, lengkap dan memuaskan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Hassan Ahmad pemikir bangsa Melayu


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Hassan Ahmad dilahirkan pada 8 Disember 1936 di Muar, Johor. Jika beliau masih hidup, pada bulan Disember 2012 ini genaplah umurnya 76 tahun, tetapi beliau meninggalkan kita kira-kira setahun yang lalu.

Saya mula ‘mengenal’ nama Hassan Ahmad pada awal 1968, apabila menerima senaskhah bukunya Bangsa-bangsa Bersatu dan Pertubohan2 Khas-nya (1966) – sebagai hadiah kerana muncul sebagai pelajar terbaik subjek Bahasa Melayu SPM 1967 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sabak Bernam (sekarang Sekolah Menengah Ungku Aziz, Sabak Bernam).

Selepas lulus ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya pada 1973, saya sepatutnya mengikuti kursus di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya untuk menjadi guru berijazah, tetapi saya menyertai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antara pegawai kanan DBP pada masa itu yang menemuduga saya ialah Hassan.

Minat Hassan terhadap perjuangan bahasa Melayu bermula apabila beliau dilantik Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dari 1960 hingga 1961, kemudian sebagai Presiden PBMUM (1961-62). PBMUM pada dekad 1960-an hingga 1980-an terkenal sebagai persatuan mahasiswa yang amat lantang serta prihatin terhadap perkembangan bahasa Melayu khususnya sebagai bahasa ilmu dan bahasa pemersatuan.

Aktiviti penyelidikan bahasa

Tidak selesa dengan jawatan Penolong Pegawai Daerah selepas tamat pendidikan universiti, Hassan ke DBP pada 1963. Pada mulanya bertugas sebagai pegawai penyelidik. Setahun kemudian (1964) buku beliau, Syair diterbitkan oleh DBP. Sebagai salah seorang pegawai penyelidik awal, beliau sesungguhnya turut merintis serta menetapkan hala tuju penting bagi program serta aktiviti penyelidikan bahasa dan sastera di DBP untuk dekad seterusnya.

Bagi Hassan, pembinaan dan pengembangan bahasa serta sastera Melayu moden bukanlah bermula daripada kekosongan atau vakum. Sehubungan itu pejuang bahasa, ahli bahasa dan sasterawan Melayu tidak harus berasa kerdil. Bangsa lain jangan menganggap bahasa Melayu tidak diwakili tradisi persuratannya yang besar.

Dalam tulisan serta kertas kerja, beliau sering mengingatkan bangsa Melayu dan khalayak pembacanya bahawa bahasa Melayu itu bahasa besar dan sudah maju.

Di bawah pengawasannya, program pembinaan sastera DBP dalam dekad 1970-an menerbitkan buku sejarah kesusasteraan Melayu tradisional, sejarah kesusasteraan Melayu moden, biografi, memoir atau autobiografi pengarang, glosari istilah dan kamus istilah sastera, kajian teks sastera yang berlandaskan teori serta perbandingan, serta merakamkan dan mengumpulkan sastera rakyat serta puisi Melayu tradisional.

Hassan sendiri banyak menulis makalah dan kertas kerja aspek pembinaan dan pengembangan sastera Melayu moden, sebagai yang terkumpul dalam bukunya Bahasa, Sastera, Buku (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988)’ – diterbitkan sempena persaraannya, serta pelantikan sebagai Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO yang beribu pejabat di Paris.

Bahasa milik semua

Program pengembangan sastera Melayu DBP di bawah kepemimpinannya, serta dibantu Keris Mas, Usman Awang dan Baha Zain antara lain membabitkan aktiviti menyebarkan pemikiran bangsa dalam naskhah Melayu tradisional, termasuk untuk difahami dan dihayati oleh generasi muda; serta pengembangan sastera Melayu oleh penulis bukan Melayu kerana kesusasteraan kebangsaan ini bukanlah milik orang Melayu saja.

Di samping itu, diwujudkan juga siri wawancara terperinci dengan beberapa pengarang; penerbitan majalah baru (umpamanya Dewan Sastera) dan jurnal baru (umpamanya Tenggara dan Perisa); penerbitan karya sastera dalam semua genre untuk pelbagai peringkat pembaca (kanak-kanak, remaja dan dewasa); aktiviti pementasan drama, baca puisi, baca naskhah dan diskusi karya sastera; penterjemahan karya sastera Melayu terpilih ke bahasa asing, terutama bahasa Inggeris, sebagai usaha pengembangan ke peringkat antarabangsa; dan menyebarkan sastera, memberi penghargaan atau pengiktirafan (umpamanya Hadiah Karya Sastera mulai 1972, dan Anugerah Sastera Negara mulai 1981), penataran kepakaran sastera dan pemasyarakatan sastera.

Tidak lama Hassan balik ke tanah air selepas menamatkan tugas sebagai Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, beliau dilantik sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia. Matlamat utama Yayasan Karyawan ialah untuk menerbitkan kajian terperinci dan teks persuratan Melayu yang agung, di samping menerbitkan karya besar dari Timur dan Barat.

Di samping menterjemahkan beberapa buah buku pengurusan, Hassan juga menterjemahkan novel sejarah falsafah oleh Jostein Gaarder berjudul Dunia Sophie (Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara, 2006)’, sebuah novel yang tiba-tiba ‘meletup’ dalam pasaran novel dunia dalam bahagian kedua dekad 1990-an.

Sungguhpun ketika menjadi Ketua Pengarah DBP beliau kelihatan lebih banyak memberi tumpuan kepada bidang pentadbiran, tetapi beliau sentiasa memberi masa untuk aktiviti keilmuan yang membabitkan dunia bahasa, sastera, pengurusan dan penerbitan.

Kita kehilangan seorang intelektual Melayu dan pejuang bahasa yang tulen.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : DILEMA GRADUAN


Oleh Ruhaiza Rusmin
    
KITA selalu mendengar keluhan dan rintihan graduan baru betapa sukarnya mencari pekerjaan walaupun mempunyai segulung ijazah.

Ternyata segulung ijazah yang diperoleh selepas berhempas pulas itu belum mampu menambat perhatian majikan menawarkan pekerjaan.

Pandangan skeptikal majikan masih tidak berubah tebal dengan andaian mereka tidak kompetitif, kurang matang, tidak sabar dan ego.

Akibatnya, graduan baru seperti keterlaluan menagih belas ihsan majikan demi mengharapkan satu pekerjaan.

Persoalannya, adilkah graduan dilabel begitu sedangkan mereka belum diberi peluang bekerja?

Bagaimana pula perasaan graduan baru apabila permohonan kerjaya ditolak tanpa pertimbangan?

Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Izwa Nadhirah Kalal, 23, berkata dia amat kecewa majikan membuat andaian salah kemampuan graduan baru.

Menurutnya, biarpun majikan memegang kuasa autonomi, mereka usah mendiskriminasikan pemilihan pekerja.

“Semua graduan selepas tamat pengajian mahukan pekerjaan, namun menghadapi kerenah segelintir majikan yang tidak memahami memang mengecewakan.

“Mereka (majikan) perlu memberi peluang sama rata kepada kami, bukan menggunakan isu graduan baru tidak pandai bekerja sebagai alasan.

“Persoalannya, benarkah graduan baru tidak boleh bekerja atau majikan hanya melihat sekilas lalu atau mendengar cakap orang lain,” katanya.

Sebagai graduan baru, mereka bersemangat untuk bekerja, malangnya bukan semua mahu melihat kesungguhan mereka sebaliknya lebih suka mengkritik.

Ditanya tidak bolehkah mereka menerima kritikan, dia berkata, tiada masalah asalkan ia untuk kebaikan.

“Malangnya kebanyakan kritikan berbaur negatif dan seperti mahu meletak kesalahan pada kami seperti tidak boleh buat kerja, mahu gaji tinggi dan besar kepala.

“Mereka seharusnya melihat dulu keupayaan dan kebolehan kami sebelum membuat andaian itu.

“Sesiapa pun mahukan yang terbaik, malangnya penerimaan majikan sebaliknya,” katanya beranggapan apabila graduan baru tanpa pengalaman mengajukan permintaan, seolah-olah mereka megah dengan ijazah dimiliki.

“Saya tidak fikir graduan baru sentiasa bermegah dengan ijazah yang ada sebaliknya hanya mahu penjelasan.

“Malangnya persepsi majikan pula sebaliknya dan menganggap kami besar kepala.

“Akhirnya, permohonan ditolak menyebabkan kami terpaksa berhempas pulas mencari majikan lain,” katanya.

Isu majikan enggan ‘mempercayai’ kemampuan graduan bukan baru biar pun sokongan penambahbaikan diri dan kemahiran semakin dipelbagaikan.

Pengenalan modul bagi membina pengukuhan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan jati diri antara pendekatan diperkenalkan bagi membantu graduan.

Bagaimanapun, isu tiada pengalaman, kursus tidak relevan selain kelemahan kemahiran diri masih tetap dijadikan alasan mengukur kemampuan graduan terbabit.

Akibatnya, mereka terpaksa menerima pekerjaan tidak setimpal kelulusan atau terpaksa menjadi penganggur terhormat.

Katanya, biar pun majikan mempunyai kuasa memilih pekerja, ia harus dilakukan dengan adil.

“Majikan belum lagi melihat kebolehan kami tapi sudah dinilai sebegitu. Adilkah?

“Betul, majikan ada kuasa memilih tapi berilah peluang atau menilai kami sewaktu tempoh percubaan. Jika tidak boleh, barulah ambil tindakan.

“Kalau semua majikan begitu, sampai bila pun kami tetap tidak memperoleh pekerjaan. Sia-sialah segala ilmu dan penat kami belajar,” katanya.

Rakannya, Nor Hashimah Hashim, 23, mengakui isu gender juga masalah besar bagi graduan baru.

Menurutnya, kalangan majikan berpendapat, graduan wanita tidak boleh melaksanakan tugasan dengan baik terutama jika membabitkan tugasan berbentuk fizikal berat.

“Ini juga satu masalah bagi graduan baru kerana ada majikan meletak persepsi bahawa tenaga dan kebolehan graduan wanita hanya terhad dalam lingkungan tertentu.

“Situasi ini menyebabkan permohonan kami ditolak biar pun dari segi kelayakan tiada masalah.

“Jika graduan baru lelaki berdepan cabaran penolakan, kami (graduan wanita) juga berdepan dilema sama malah mungkin lebih hebat,” katanya.

Dia tidak menafikan ada majikan prihatin dan tidak kisah isu remeh temeh, namun jumlahnya masih sedikit.

“Setiap tahun, lambakan graduan baru bertambah. Jika hanya sebahagian kecil saja diterima, itu tidak mencukupi,” katanya yang bagaimana pun mengakui ada graduan baru ‘bermasalah’.

“Mungkin kerana yang bermasalah inilah kami dicop serupa dan menerima tempias negatif.

“Tapi, saya beri jaminan, bukan semua begitu. Majikan usah termakan momokan dilemparkan hanya kerana seorang dua yang bermasalah,” katanya.

Dia juga berpendapat graduan baru hari ini berdepan konflik hebat meneruskan kehidupan.

“Dulu terpilih masuk universiti, masa depan sudah terjamin, kini sebaliknya berlaku.

“Universiti bukan lagi jaminan anda akan memperoleh kehidupan yang baik sebaliknya mengundang cabaran lebih hebat.

“Dengan sekeping ijazah, anda perlu bersaing dengan ribuan ijazah milik graduan lain semata-mata mahu memperoleh satu pekerjaan,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kreativiti, inovasi dalam pendidikan


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom

ADA yang bertanya kepada saya jika kreativiti dan inovasi penting dalam pendidikan, mengapa ia tidak dijadikan sebagai mata pelajaran dan kurikulumnya diajar dalam bilik darjah.

Jawapannya, kreativiti dan inovasi tidak boleh diajar tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang.

Dengan kata lain apa sahaja mata pelajaran kedua-dua elemen itu boleh diajar oleh guru melalui pendekatan pengajaran yang berpusat kepada murid atau student centre.

Pengajaran berpusat kepada murid maksudnya pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru mengajar dan murid belajar. Guru dikehendaki sentiasa mencabar keupayaan berfikir muridnya dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu pengajaran yang menarik minat murid.

Mempelbagaikan aktiviti pembelajaran seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan tugasan luar bilik darjah sangat digalakkan. Aktiviti tersebut akan menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan menghasilkan tugasan tersebut. Ini akan menggalakkan percambahan idea dan dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan murid.

Sesungguhnya murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020. Bagi menanganinya tidak menghairankan mengapa kerajaan berbelanja besar dalam Bajet 2013 untuk pendidikan.

Di samping itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Pelajaran bagi melaksanakan aktiviti latihan guru yang berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau high order thinking skills.

Apakah sebenarnya definisi kreativiti dan inovasi itu. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong mengeneralisasi idea baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu yang baru.

Sementara itu, inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baru dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baru dan menggunakan peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.

Sebagai contoh jika dulu penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi ia digunakan sebagai alat hiburan, internet, kamera, penyampai maklumat, memberi pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan.

Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen dalam pengajaran mereka. Sebagai penyampai ilmu guru perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.

Mempunyai kemahiran sedemikian akan menjadikan guru berada di tahap teratas dan akan disanjung oleh muridnya. Kualiti guru sedemikian akan membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan baik.

Peranan pengurusan sekolah tidak kurang pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan warganya. Dengan perkataan lain pengurusan sekolah juga mesti kreatif dan inovatif agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan pengembangan pengetahuan baru, berbudaya saintifik, penggunaan teknologi serta ICT secara meluas dan penggunaan tenaga sumber secara maksimum.

Pengetua dan Guru Besar bersama pengurusan tertinggi di sekolah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya kreativiti dan inovasi sama ada di kalangan guru atau murid. Sekolah mestilah menjadi institusi yang menggalakkan tercetusnya pendapat dan idea baru. Bagi mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.

Pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Sikap terbuka, mesra dan berperanan sebagai penyelesai masalah akan menjadikan guru dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pembelajaran.

Bagi mewujudkan suasana sedemikian pengurusan sekolah perlulah memastikan berlaku sistem komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih demokratik, stail kepimpinan yang berhemah dan pembangunan insan yang harmoni.

Kepimpinan sekolah hendaklah terdiri daripada mereka yang berkebolehan dalam menguruskan organisasi pembelajaran. Selain mendapat latihan, berpengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan mereka perlu mempunyai dorongan dan komitmen yang kuat bagi membawa perubahan kepada sekolah.

Perlu ada visi dan misi, strategi dan perancangan yang baik. Bagi memastikan kejayaan perancangan tersebut mereka perlu mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga sekolah termasuk ibu bapa.

Mempunyai ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi di kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik.

Dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih dan profesional usaha yang dilakukan oleh murid akan membuahkan kejayaan nanti.

Keberkesanan sekolah akan terserlah jika mereka dapat menggunakan teknologi dan ICT dalam pengurusan dan dalam bilik darjah. Sebenarnya teknologi tidak dilihat sebagai alat semata-mata tetapi boleh menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan.

Penggunaan ICT secara meluas dapat membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif.

Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam majlis Perhimpunan Khas Guru Malaysia pada 3 November lepas bahawa; "Guru perlu meneliti semula amalan bilik darjah yang sesuai dengan ciri serta situasi murid sekarang.”

''Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini. Untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini kita tiada pilihan kecuali meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Dalam senario ini tugas guru semakin mencabar."

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kesulitan sistem PBS diatasi


Melalui PBS, murid dan pelajar dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan serta tidak terikat dengan keperluan peperiksaan semata-mata.

Kementerian Pelajaran sedang dalam usaha menambah baik perlaksanaan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memudahkan penggunaannya oleh kira-kira 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Ketika ini, kementerian dalam tindakan menyediakan hosting baharu bagi memudahkan guru mengakses ke dalam sistem yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan guru yang terpaksa memperuntukkan masa agak lama untuk mengakses sistem tersebut.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian, tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian adalah dengan memindahkan SPPBS ke hosting baharu dalam usaha mengatasi masalah tersebut pada masa ini.

Tindakan itu adalah bagi menampung bilangan pengguna yang mengakses secara serentak sehingga 40,000 orang pada satu-satu masa untuk mengakses sistem berkenaan.

''Pihak kementerian juga telah menggandakan bilangan server daripada 4 kepada 20 buah server mulai November lalu bagi mengurangkan kesesakan pengguna yang ramai'', kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada Ruangan SMS Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai rungutan 'Guru Kini' yang mendakwa PBS menambah bebanan guru kerana sukar memasuki laman web sistem tersebut walaupun pada waktu awal pagi.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian amat prihatin dengan kesukaran dan masalah yang terpaksa dihadapi guru berhubung perlaksanaan sistem baharu itu namun yakin masalah yang timbul akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini.

Kira-kira 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah.

Melalui sistem baharu ini, guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.

Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan malah format pentaksiran baharu itu membolehkan murid dinilai berdasarkan hasil lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.

Ia bertujuan untuk menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan sejajar usaha kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.

Ia merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.

Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik.

PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah iaitu contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.

Bagi PP pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan.

Selain itu, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).

Pentaksiran Psikometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semula jadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/