Melalui PBS, murid dan pelajar
dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari
dalam pelbagai konteks keperluan serta tidak terikat dengan keperluan
peperiksaan semata-mata.
Kementerian Pelajaran sedang
dalam usaha menambah baik perlaksanaan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (SPPBS) bagi memudahkan penggunaannya oleh kira-kira 412,000 guru
sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Ketika ini, kementerian dalam
tindakan menyediakan hosting baharu bagi memudahkan guru mengakses ke dalam
sistem yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan guru yang terpaksa
memperuntukkan masa agak lama untuk mengakses sistem tersebut.
Menurut Unit Komunikasi Korporat
Kementerian, tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian
adalah dengan memindahkan SPPBS ke hosting baharu dalam usaha mengatasi masalah tersebut pada masa ini.
Tindakan itu adalah bagi
menampung bilangan pengguna yang mengakses secara serentak sehingga 40,000
orang pada satu-satu masa untuk mengakses sistem berkenaan.
''Pihak kementerian juga telah
menggandakan bilangan server daripada 4 kepada 20 buah server mulai November
lalu bagi mengurangkan kesesakan pengguna yang ramai'', kata kenyataan itu di
sini hari ini.
Kenyataan tersebut sebagai reaksi
kepada Ruangan SMS Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai rungutan 'Guru Kini'
yang mendakwa PBS menambah bebanan guru kerana sukar memasuki laman web sistem
tersebut walaupun pada waktu awal pagi.
Menurut kenyataan itu lagi,
kementerian amat prihatin dengan kesukaran dan masalah yang terpaksa dihadapi
guru berhubung perlaksanaan sistem baharu itu namun yakin masalah yang timbul
akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini.
Kira-kira 5,272,478 pelajar
terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah
menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah
rendah dan 2,296 sekolah menengah.
Melalui sistem baharu ini, guru
tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa
yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.
Sebaliknya, pelajar akan dilatih
untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai
konteks keperluan malah format pentaksiran baharu itu membolehkan murid dinilai
berdasarkan hasil lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.
Ia bertujuan untuk menambah baik
sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana
sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi
peperiksaan sejajar usaha kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)
menjelang 2014.
Ia merupakan satu pentaksiran
bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi
dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Secara spesifik, PBS dioptimumkan
bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan
autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang
dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran
yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.
Komponen PBS dalam sistem
pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat
(PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran
Psikometrik.
PS dirancang, dibina, ditadbir,
diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah iaitu contoh
instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian,
kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.
Bagi PP pula ditadbir, diperiksa,
direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan
skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang
ditetapkan mengikut mata pelajaran.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani,
Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir,
direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid
dalam aktiviti jasmani dan kesihatan.
Selain itu, sukan dan permainan, aktiviti
kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli
kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan
aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).
Pentaksiran Psikometrik pula
dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate
ability and acquired ability) semula jadi murid, kemahiran berfikir,
kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti
murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan