Selasa, 23 Februari 2010

Kita mesti bijak urus buruh asing

MENGIKUT pakar ekonomi dunia, lima faktor menjadi teras penjanaan ekonomi iaitu keusahawanan, perbelanjaan kerajaan, tenaga buruh, pelaburan asing dan sumber alam semula jadi. Untuk isu perbelanjaan kerajaan, pihak berkuasa perlu mencari banyak dana bagi memulihkan ekonomi.

Kejayaan mencari dana besar bagi menggiatkan pelbagai projek pembangunan dalam negeri akan merancakkan ekonomi. Sebahagian besar projek pembangunan negara akan mengundang keperluan buruh asing terutama dalam bidang pembinaan.

Usahawan pula adalah tonggak pergerakan ekonomi dalam negara. Ramai usahawan mendapat manfaat dengan kehadiran pendatang asing di Malaysia. Pendatang asing yang tinggal di negara ini tentu mempunyai keperluan seperti makan minum dan pakaian.

Perbelanjaan hasil titik peluh mereka memberi sumbangan kepada ekonomi negara. Tidak dinafikan juga banyak usahawan bergantung kepada tenaga buruh asing. Ramai juga terpaksa tutup kedai jika tiada buruh asing mengusahakan perniagaan mereka.

Kebanyakan pelabur asing melabur di Malaysia suatu ketika dulu kerana kos operasi murah di samping faktor lain seperti kestabilan ekonomi dan insentif kerajaan. Oleh kerana buruh tempatan sekarang sudah mempunyai tahap ekonomi tinggi, mereka tidak berminat dengan kerja sosioekonomi rendah.

Akibatnya peluang ini diambil buruh asing dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh. Kebanyakan industri yang dilaburkan mereka adalah intensif buruh. Jika kos mengguna buruh asing juga tinggi disebabkan kos pengambilan dan levi tinggi, pelabur asing akan berbondong-bondong memindahkan operasi ke negara sumber buruh seperti Vietnam, Indonesia, Thailand dan Myanmar.

Tenaga buruh tidak kira tempatan atau asing menyumbangkan nilai kepada pembangunan ekonomi negara. Tenaga asing tidak semestinya menggantikan fungsi buruh tempatan kerana ia akan menjadi tenaga buruh nilai tinggi.

Kehadiran buruh asing membolehkan tenaga buruh tempatan dinaik taraf kepada peringkat eksekutif atau pengurusan dan keusahawanan. Kehadiran buruh asing menggambarkan ekonomi memerlukan ramai buruh untuk pembangunan industri.

Negara maju juga menggunakan buruh asing untuk kerja sosioekonomi rendah. Mereka tidak menggunakan tenaga buruh tempatan untuk kerja berat, kotor dan bahaya. Tenaga buruh mereka dinaik taraf kepada bidang berinovasi dan kreatif.

Malaysia mempunyai banyak kelebihan dengan sumber alam semula jadi. Mengeluarkan hasil seperti kelapa sawit dan makanan memerlukan sumber tenaga buruh intensif. Rakyat Malaysia sebagai pemilik tanah berupaya menjadi usahawan tani yang berjaya jika sumber buruh asing mudah diperoleh.

Tanah terbiar mudah diusahakan untuk mendatangkan hasil lumayan daripada permintaan dalam dan luar negara.

Sementara itu, usahawan yang kreatif akan meneroka industri hiliran untuk menghasilkan pelbagai produk hasil tani bagi pasaran tempatan dan eksport.

Kesimpulannya, kehadiran pendatang asing suatu manfaat jika diuruskan dengan baik. Pengurusan secara birokratik dan korup merugikan negara. Kita perlu mencontohi negara maju seperti Amerika, Korea dan Singapura menguruskan sumber tenaga asing.

ANAK WAWASAN,
Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/