Jumaat, 30 November 2012

ISU SOSIAL : Budaya hedonisme remaja Melayu membimbangkan


KUALA LUMPUR - Penularan budaya hedonisme yang menjadikan kesenangan dan kenikmatan sebagai tujuan hidup terutamanya dalam kalangan generasi muda hari ini sekiranya tidak ditangani boleh merapuhkan semangat jati diri dan pegangan agama, kata seorang penulis buku biografi.
  
Budaya ini, kata Datin Seri Fatini Yaacob, sekali gus membantutkan kesinambungan kepemimpinan negara berkualiti.
  
Beliau menyifatkan trend yang mementingkan keseronokan hidup sebagai membimbangkan kerana mereka yang mengamalkan budaya ini terlalu fleksibel terhadap semua perkara sehingga boleh melunturkan perasaan kasih kepada bangsa dan negara.
  
Fatini telahpun menghasilkan buku biografi beberapa tokoh negara termasuk Tun Daim Zainuddin (Daim Yang Diam) dan Naib Canselor Pertama Universiti Teknologi Malaysia Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid (Ainuddin Pejuang 'Degil' Melayu) serta buku riwayat hidup Natrah (Natrah Cinta. Rusuhan. Air Mata).
  
Fatini berkata apabila budaya hedonisme ini mula menjalar ke dalam masyarakat Melayu terutamanya golongan remaja melalui hiburan, sukan dan cara hidup, secara tidak langsung ia menghakis sifat malu dalam diri mereka.


"Masyarakat yang tidak malu ini membawa kepada gejala sosial yang serius, seperti melakukan maksiat di tempat awam. Ini secara tidak langsung akan menjatuhkan nilai sesebuah masyarakat," katanya kepada Bernama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
  
Beliau berkata kesan globalissasi dunia tanpa sempadan menjadi punca kepada 'cedukan' budaya keterlaluan hedonisme sehingga ada yang menghalalkan cara hidup barat yang sekali gus bertentangan dengan resam negara ini.
  
Justeru elemen 'kesederhanaan' perlu ada dalam diri setiap anak muda Melayu bagi menghalang hedonisme sebelum menjadi 'wabak'.
  
"Apabila pegangan agama golongan muda Melayu tidak 'teguh, mereka tidak akan dapat 'makanan jiwa' dan inilah menyebabkan mereka mudah berpaut pada nilai hedonisme ini," jelas beliau.
  
Selain itu, beliau turut menegur gaya pembacaan golongan muda ketika ini yang cenderung kepada pemilihan bahan bacaan berbentuk santai berbanding penulisan ilmiah bermutu tinggi seperti sejarah dan biografi.
 
Katanya kualiti bahan bacaan juga penting dan perlu dititikberatkan sebagai pencambahan minda, pengetahuan selain dijadikan perisai daripada penjalaran budaya hedonisme.
  
"Biarpun budaya membaca sudah semakin meningkat, tetapi bahan bacaan juga perlu diambil perhatian. Ia akan meningkatkan semangat jati diri dan nilai kasih kepada bangsa dan negara, selain menjadi benteng daripada suntikan budaya hedonisme," katanya.
  
Beliau berkata ibu bapa juga perlu meluangkan lebih masa bersama anak-anak bukannya hanya berpaksikan kehidupan materialistik.  - Bernama

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan aliran Cina halang perpaduan


Oleh : Teo Kok Seong
 
Pendidikan aliran Cina di Malaysia, yang menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan, mempunyai warisan cemerlang yang sudah berusia dua abad. Ia sering dipuji kerana mutu pendidikannya yang tinggi. Ini hasil daripada pengurusan yang cekap serta pembabitan komuniti yang aktif. Kini terdapat 1,280 buah sekolah jenis kebangsaan Cina dan 60 buah sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, ia selalu dipersepikan sebagai antinasional pada julat yang paling ekstrem dan sebagai isu perkauman saja pada julat yang kurang ekstrem. Hal ini disebabkan, antaranya oleh perjuangan dan tuntutan sesetengah persatuan Cina. Antaranya adalah Dong Zong, iaitu Persatuan Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Jiao Zong, iaitu Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia. Perjuangan dan tuntutan dua persatuan ini sering didapati keterlaluan. Ini kerana mereka tidak mahu mengambil kira Malaysia sebagai masyarakat majmuk, dengan kaum Melayu selaku penduduk asal dan dominan. Sehubungan ini, dalam banyak tindakan mereka, resam di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, sengaja dikesampingkan.

Usaha parti politik Cina, seperti MCA dan GERAKAN untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah Cina, seperti kesesakan pelajar dan kekurangan guru, bukan saja diperlekeh. Malah, ia ditolak sebagai tidak sesuai untuk pelestarian pendidikan aliran Cina di Malaysia oleh dua persatuan ini.

Persepsi umum masyarakat Malaysia, khususnya daripada kaum Melayu dan juga sebilangan orang Cina sendiri, mengenai pendidikan aliran Cina adalah penghalang kepada perpaduan yang cuba dipupuk, melalui sistem pendidikan kebangsaan. Hal ini didapati benar apabila diteliti beberapa tuntutan dan syarat yang pernah dan sedang dihantar sebagai memorandum oleh dua persatuan ini kepada kerajaan.

Pertama ialah keengganan untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk Malaysia Negaraku, mata pelajaran kerakyatan yang sepatutnya mula diajar pada 2011 melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Ia yang hanya mengambil masa 30 minit seminggu dan ingin disampaikan dalam bahasa Melayu, sebagai lambang negara, untuk membentuk jati diri kebangsaan dalam kalangan golongan muda kita, ditolak atas pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Kedua ialah syarat penempatan guru. Semua guru yang berkhidmat di sekolah jenis kebangsaan Cina, dikehendaki memiliki kepujian dalam bahasa Mandarin pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia, walaupun sesetengahnya tidak pun mengajar mata pelajaran yang menggunakan bahasa itu. Dengan pelaksanaan syarat ini, boleh dikatakan semua guru di sekolah Cina, akan terdiri daripada kaum Cina saja. Peraturan begini sudah tentu boleh menjejaskan pemupukan perpaduan di sekolah.

Guru hanya kaum Cina

Ketiga ialah keengganan menambah masa pendidikan bahasa Melayu untuk kedua-dua tahap satu dan dua, serta menyelaraskan sukatan pelajaran bahasa Melayu untuk tahap dua agar sama dengan yang digunakan di sekolah kebangsaan. Tujuannya adalah untuk mempertingkat pengetahuan dan penguasaan pelajar Cina agar menjadi lebih baik lagi.

Sesungguhnya tiga tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai perbuatan keterlaluan untuk melindungi bahasa Mandarin selaku bahasa etnik Cina. Malang sekali, ia dilakukan dengan mengetepikan bahasa Melayu, yakni bahasa negara yang diberi peranan untuk menyatukan rakyat dan membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda.

Akibat keadaan yang tidak mesra kepada bahasa Melayu ini, lepasan sekolah Cina rata-ratanya didapati bukan saja tidak cekap berbahasa Melayu. Tetapi lebih malang lagi mereka tidak mempunyai sikap integratif terhadap bahasa Melayu dan juga orang Melayu selaku penutur jatinya. Sehubungan ini, mereka didapati tidak mampu mempamerkan jati diri kebangsaan, khususnya dalam konteks kecekapan berbahasa Melayu.

Oleh sebab keengganan kaum Cina untuk ikut membantu memupuk perpaduan dan membentuk jati diri, melalui bahasa Melayu, tujuan murni kerajaan untuk membina negara bangsa yang bersatu padu dan rakyat yang berjaya mempamerkan jati diri kebangsaan dengan menggunakan lambang dan proses sosiobudaya Melayu, tidak kesampaian.

Sesungguhnya, bahasa Melayu mampu menyatupadukan rakyat kita yang berbilang kaum, serta mampu membentuk jati diri kebangsaan yang utuh dalam kalangan kita semua. Hanya kita sendiri yang menghalangnya atas kejahilan bahawa pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang lebih baik itu, boleh menggugat etnisiti tertentu.

Penulis Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Ciri Pimpinan Unggul


KEHIDUPAN dunia yang sementara ini ada kesudahannya. Kita akan dimatikan dan lalu dihidupkan semula untuk dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak.

Inilah Aqidah Islamiah yang diajarkan oleh Nabi SAW, bahawa selepas kehidupan dunia ada kehidupan Akhirat. Ketika itu, seluruh umat manusia dihimpunkan di hadapan Allah Rabbul Jalil untuk dihitung amalan, termasuklah kita semua yang berada dalam rumah Allah ini.

Inilah yang dijanjikan oleh Allah SWT melalui FirmanNya, menerusi surah al-Kahf ayat 48-49 yang bermaksud:

“Dan mereka dihadapkan kepada Tuhanmu dengan berbaris dan dikatakan kepada mereka: Bahawa kamu datang kepada Kami sebagaimana Kami jadikanmu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu. Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takutakan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya. Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

Kepimpinan dalam Islam, adalah suatu tanggungjawab yang dibebankan ke atas setiap mereka yang dilantik dan diberi kuasa sebagai ketua sama ada untuk keluarga, masyarakat, negara dan dunia amnya. Ia adalah amanah yang wajib dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan risalah dakwah Islamiah.

Ini ditegaskan oleh Allah menerusi firmanNya dalam Surah al-Anbiya’ ayat 73 yang bermaksud :

“Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin(manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan solat, serta memberi zakat dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami”.

Peranan pemimpin bermula daripada  keluarga. Ia merupakan asas sesebuah masyarakat bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh.

Peranan ketua keluarga adalah memastikan keluarganya dalam keadaan aman sejahtera dan sentiasa diberkati Allah.

Antara ciri ketua keluarga yang baik ialah:

Pertama: Sentiasa mengutamakan dan peka tentang pendidikan agama, penghayatan al-Quran dan al-Sunnah kepada diri dan keluarganya. Ia adalah asas terpenting kepada mereka dalam menghadapi cabaran semasa, dan memberi panduan sepanjang hayat mereka untuk kembali ke jalan yang benar jika mereka tersesat jauh dari landasan kebenaran.

Ketua keluarga juga perlu menunjukkan qudwah hasanah (teladan yang baik) kepada ahli keluarganya seperti yang telah disarankan oleh Nabi SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah RH daripada Anas bin Malik RA:

“Muliakanlah anak-anakmu dan tunjukkanlah kepada mereka adab-adab yang baik”.

Kedua: Ibu bapa perlu memastikan rezeki yang diperolehi adalah dari sumber yang halal lagi baik. Ia akan memberi kesan kepada kehidupan sama ada menjadi insan soleh atau sebaliknya.

Ketiga: Ibu bapa perlu memperuntukkan masa yang berkualiti bersama ahli keluarga. Isikanlah masa dengan aktiviti yang bermanfaat antaranya solat berjemaah, talaqi al-Quran dan al-Hadith bersama ahli keluarga, hadir majlis ilmu dan sebagainya yang dapat menerapkan nilai-nilai Islam dalam pembinaanjati diri ahli keluarga bagi menghadapi persekitaran yang sangat mencabar dan boleh mengelakkan mereka dari terjebak dengan gejala sosial yang menghantui anak-anak kita hari ini.

Mimbar ingin mengajak para jemaah sekalian merenung sejenak akan realiti yang berlaku dalam kalangan para bapa hari ini. Ramai dalam  kalangan kita mengabaikan tugas sebagai ketua keluarga dalam membimbing, memimpin, menegur atau memperbetulkan kesalahan isteri dan anak-anak, terutama dalam perkara melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna.

Contohnya pelaksanaan  solat  fardhu, zakat, puasa dan lain-lain. Berapa ramai dalam kalangan kita hari ini yang sanggup merotan anak-anak yang mengabaikan solat apabila mencapai umur 10 tahun?

Berapa ramai dalam kalangan kita yang bertegas melarang isteri dan anak-anak perempuan daripada mendedahkan aurat ketika keluar rumah? Tepuklah dada tanyalah iman.

Justeru, mimbar ingin mengajak kaum muslimin yang bergelar suami atau bapa yang memikul amanah sebagai pemimpin, marilah sama-sama kita bermuhasabah apakah kita telah memimpin bahtera rumahtangga sebagaimana yang dikehendaki Islam?

Renungilah dan insafilah, semoga kita beroleh pengajaran.

Islam telah meletakkan syarat-syarat kepimpinan untuk menjamin kejayaan sesebuah keluarga, masyarakat dan negara sekali gus menjadikan Islam sebagai model terbaik dalam kepimpinan dan pemerintahan.

Antara ciri Pemimpin Unggul di dalam Islam ialah:

Pertama: Berjiwa Islam dan patuh pada perintah Allah SWT, bertanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara.Contohilah Rasulullah SAW walau di kedudukan mana kita berada. Baginda adalah seorang pendakwah, guru, imam, ketua negara, panglima perang dan berbagai lagi tugas, namun ia tidak menghalang baginda dari membantu isteri-isterinya dalam menguruskan rumahtangga. Begitu juga, pangkat dan kedudukan baginda sebagai ketua umat Islam dan ketua negara tidak menyebabkan baginda rasa malu untuk membuat kerja-kerja rumah walaupun kepenatan menjalankan urusan agama, umat dan negara.

Kedua: Adil dan saksama. Anak-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa, ibu bapa wajib menafkahkan mereka, memberi tempat perlindungan, menjaga keselamatan dan yang lebih penting lagi mendidik mereka dengan didikan agar mereka mengenali Allah dan menjadi anak-anak yang mentaatiNya. Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi RH daripada Aisyah RA:

“Sebaik-baik kamu ialah yang baik terhadap kaum keluarganya dan aku adalah yang paling baik di antara kamu terhadap keluargaku.”

Ketiga: Berilmu, berkuasa dan berkemampuan. Dalam pengurusan keluarga contohnya, ilmu dan kemahiran keibubapaan adalah kunci bagi menyelesaikan sebarang masalah yang melibatkan ahli keluarga. Di samping itu, kebijaksanaan menegur dan memperbetulkan kesilapan dan kemampuan mengurus rumahtangga adalah penentu kejayaan dan kegagalan dalam mencorakkan kehidupan.

Keempat: Berakhlak dengan akhlak Islam. Dari aspek pengurusan keluarga, susurilah sirah Rasulullah SAW yangmerupakan seorang yang bertanggungjawab, sentiasa memberi kasih sayang, berlemah lembut dan bertolak ansur terhadap semua ahli keluarganya. Manakala dari aspek hubungan dengan rakyatnya, Rasulullah SAW sebagai ketua juga selalu berbincang dengan para sahabat dan menghargai pandangan yang diberikan oleh mereka.

Hayatilah sirah Nabi SAW sebagai pemimpin unggul sebagaimana dirakamkan oleh Allah menerusinya firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang maksudnya:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). ”

Pemimpin yang baik ialah mereka yang turut sama merasai denyut nadi rakyat bawahannya. Teladanilah Rasulullah SAW ketika berlakunya peristiwa Perang Ahzab di mana baginda sendiri bersama dengan para sahabat menggali parit  sebagai benteng dari ancaman musuh daripada  menyerang Kota Madinah.

Insan agung utusan Allah ini adalah contoh terbaik bagi kita sepanjang zaman. Mencontohi baginda sebagai pemimpin agung umat Islam adalah nilai manusia yang bertamadun, mereka mengasihi Allah dan RasulNya dan Allah akan mengasihi kita.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, antara Intipati Khutbah yang dapat diambil pengajaran bersama ialah:

Pertama: Contohilah Rasulullah sebagai pemimpin yang baik dan turut sama merasai denyut nadi rakyat bawahannya.

Kedua: Peranan pemimpin bermula dari keluarga kerana ianya institusi yang merupakan asas sesebuah masyarakat bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh.

Ketiga: Kepimpinan adalah amanah yang wajib dilaksanakan bagi memastikan risalah dakwah Islamiah dan untuk menegakkan syiar dan syariat Islam.

Renungilah Firman Allah SWT menerusi Surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamumenghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Sikap pemandu kenderaan berat punca kemalangan


PETALING JAYA - Kajian PLUS Expressways Berhad (PLUS) mendapati 87 peratus kemalangan yang melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori berpunca daripada pemandu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, memandu melebihi had laju, mengantuk, keletihan dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik demi mengejar perjalanan adalah antara faktor yang menyebabkan kemalangan berlaku.

"Lori menyumbang 18.1 peratus dan bas menyumbang 2.3 peratus daripada 54,380 kemalangan di lebuh raya PLUS sejak 2007 hingga Oktober lepas," katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan Hormati Had Anda di sini semalam.

Seminar itu menekankan kepentingan menghormati had fizikal, kemampuan pemandu dan kemampuan kenderaan dipandu seseorang pemandu.

Seminar  tersebut disertai oleh pemandu kenderaan berat serta anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pekerja Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPJ Selangor, Ahmad Awang berkata, seminar itu dapat meningkatkan kesedaran selain platform terbaik kepada operator kenderaan untuk memberikan latihan kepada pekerjanya.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU BAHASA : Sasterawan Negara bukan Melayu?


Oleh : ZAINAL ABDUL KADIR

SASTERA Melayu bukan sahaja ditulis dan dibaca oleh orang Melayu tetapi turut ditulis dan dibaca oleh kaum lain di negara ini. Penglibatan penulis bukan Melayu dapat dikesan seawal tahun 1960-an dengan Amir Tan dalam bidang cerpen dan novel, Goh Thean Chye dalam bidang puisi dan terjemahan dan Joseph Selvam. Ini diikuti tahun 70-an dan 80-an muncul nama-nama penulis bukan Melayu yang kebanyakan karya mereka diakui bermutu dan menerima pelbagai hadiah dan anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sehubungan itu, sastera Melayu merupakan wadah warganegara Malaysia menjayakan gagasan 1Malaysia iaitu menuntut bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Justeru, jika dilihat pencapaian penulis bukan Melayu dalam bidang kesusasteraan, apakah tidak wajar Sasterawan Negara dikurniakan kepada mereka?

Jika dilihat senarai penerima Anugerah SEA Write Award sejak 1979-2012 (34 orang), ada dua nama penulis bukan Melayu iaitu Lim Swee Tin (2000) dan Jong Chiang Lai (2006) yang turut diperakui dalam bidang sastera Melayu. Malah, jika dilihat senarai penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan di peringkat antarabangsa, penerima adalah mewakili dari pelbagai negara termasuk seorang penerima tanpa kewarganegaraan.

Justeru, tanpa wujud prasangka, sebagai rakyat Malaysia, pencapaian penulis bukan Melayu dalam sastera Melayu tidak perlu dipertikaikan lagi. Tokoh penulis bukan Melayu yang dimaksudkan ialah Lim Swee Tin. Ketika artikel ini ditulis, saya mendapat tahu bahawa Lim Swee Tin baru sahaja meraikan usianya yang ke-60 tahun, dan 40 tahun menceburi bidang penulisan kreatif. Kedua-duanya sangat menarik kerana ia dikaitkan dengan kematangan; kematangan usia dan kematangan dalam berkarya.

Lim Swee Tin mula menceburi bidang penulisan kreatif seawal tahun 1971 secara rasminya apabila sebuah cerpen beliau termuat dalam majalah hiburan yang popular ketika itu, Mesra. Tetapi disebabkan tarikan minat yang besar, beliau cenderung kepada puisi, dan pada tahun 1973, 14 Oktober puisi pertamanya terbit dalam Mingguan Malaysia. Dengan mengambil tarikh itu, Lim merayakan tahun ke-40-nya cergas dalam lapangan ini.

Bertolak dari situlah, Lim Swee Tin mengembang di dunia puisi Melayu. Kerap menyatakan, "Sastera Melayu sastera saya," Lim tidak boleh membaca dan menulis dalam bahasa Cina. Mempelajari bahasa itu pun terasa pelik kerana dia bermula dengan 'learn a word a day', malahan banyak mengambil tahu tentang kesusasteraan klasik China hatta perkembangan dan kemajuan kesusasteraan Cina moden pun melalui medium bahasa Inggeris atau Indonesia, hal yang sama dilakukannya tatkala mendalami kesusasteraan asing yang lain, terutama prosa Jepun moden yang sangat diminatinya.

Mempunyai kekuatan bahasa dan kreativiti seawal menyertai pelbagai aktiviti semasa di Pulau Pinang dan kemudian di Kelantan, Lim merupakan antara pengikut Sasterawan Negara Usman Awang, A. Samad Said dan beberapa yang lain yang tekun dan tekal. Maka, dengan hal yang demikian karyanya berkembang pantas. Lim memenangi Anugerah Puisiputra II pada tahun 1983 melalui kumpulan puisi Akrab yang kemudian meletakkan dirinya antara pengarang generasi baharu yang perlu diberikan perhatian.

Dengan memenangi sejumlah besar hadiah kesusasteraan, terutama Hadiah Sastera Perdana Malaysia melalui kategori puisi eceran dan hadiah utama kumpulan puisi remaja, selain Hadiah Sastera Utusan Public Bank (kemudiannya ExonMobil), Lim memperkukuhkan dirinya melalui sejumlah puisi terjemahan. Pengalaman pentingnya diundang ke South Bank, United Kingdom, ke Amerika Syarikat, Indonesia, Brunei Darussalam, Taiwan, Singapura dan Thailand banyak memberinya pendedahan ke pentas antarabangsa.

Penobatan Lim Swee Tin sebagai penerima S. E. A. Write Award pada tahun 2000 membuktikan hasil usaha, penat lelah dan kegigihan beliau berkreatif mendapat perhatian. Sekretariat anugerah di peringkat Malaysia yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka tidak ragu-ragu menamakan beliau sebagai calon kategori puisi tahun tersebut kepada sekretariat S.E.A. Write Award di Bangkok, Thailand membuktikan kesusasteraan Melayu di Malaysia adalah milik semua. Dan, Lim Swee Tin merupakan penerima pertama anugerah ini daripada kalangan pengarang yang bukan Melayu.

Karya Lim Swee Tin mendapat sorotan banyak pembicara terkemuka. Antaranya, Budi Dharma di Indonesia, Naowarat Pongpaiboon di Thailand, Ulrich Kratz di United Kingdom, dan banyak lagi. Ia tidak terkecuali dijadikan teks rujukan di Rusia bahkan di Australia juga. Ketika di Taiwan pada Taipei International Poetry Reading tahun 2001, puisi-puisi Lim berkumandang melalui medium bahasa Melayu (dengan terjemahan bahasa Cina), demikian di South Bank dalam acara Four Leading Poets from the South East Asia (dengan terjemahan bahasa Inggeris), dan Bangkok, pada acara World Peace Poetry Festival from Bangkok, Thailand (dengan terjemahan bahasa Thai). Kecenderungan beliau menyampaikan deklamasi dalam bahasa asal merupakan kesungguhannya memperkenalkan bahasa Melayu kepada khalayak dunia.

Ketika menyambut 40 tahun berkarya, Lim Swee Tin sudah mengumpulkan sejumlah 62 buah buku yang dihasilkan secara persendirian, manakala lebih 120 lagi adalah dalam bentuk antologi. Sebahagian puisi Lim turut dimuatkan dalam buku terpenting di tanah air seumpama Puisi Melayu Baharu, Malaysia dalam Puisi, The Puppeteer Wayang, Emas Tempawan/Burnished Gold, dalam teks untuk kegunaan pelajar Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah. Terkini, dua kumpulan puisi beliau (dwi-bahasa) Bond atau Akrab, (2009) dan The Moon amidst the Cogongrass / Bulan antara Lalang (2011) diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan kumpulan esei Pemikiran Kesusasteraan: Wajah dan Wadah Kebudayaan Kebangsaan, dan Bahasa di jajaran Masa: Isu dan Tanggapan (2011) diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Karya-karya Lim untuk tatapan segenap lapisan masyarakat. Tidak membataskan temanya kepada sesuatu kelompok tertentu sahaja, Lim menyelinap masuk ke sukma warga petani dan nelayan, ke redup dan gundah manusia kecil seperti pengemis dan orang gelandangan, keharmonian kampung dan negerinya, pancaroba permasalahan kehidupan semasa sehinggalah soal-soal politik juga. Lim mengangkat tema persahabatan dan persaudaraan yang tulus lagi tulen, perpaduan dan integrasi masyarakat serta bangsa, sehinggalah ke isu perang dan kekejaman di luar sana. Sebuah kumpulan 50 puisi seluruhnya bertemakan patriotisme Cakerawala Kemerdekaan (2007) barangkali satu-satu yang serupa itu pernah diterbitkan di negara kita, Malaysia. Karya beliau banyak yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thai, Jerman, Portugis, dan beberapa lagi bahasa dunia yang lain.

Kesimpulannya, tidaklah keterlaluan bahawa idealisme sebagaimana didendangkannya melalui sajak Seorang Anak Kecil lebih 40 tahun yang lalu masih digenggamnya sehingga kini, meletakkan Lim sebaris dan setaraf dengan penulis Melayu yang membolehkan dan mewajarkan Lim dipertimbangkan dan dianugerahkan sesuatu yang paling bermakna dalam jagat kesusasteraan Melayu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/