KEHIDUPAN dunia yang sementara
ini ada kesudahannya. Kita akan dimatikan dan lalu dihidupkan semula untuk
dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak.
Inilah Aqidah Islamiah yang
diajarkan oleh Nabi SAW, bahawa selepas kehidupan dunia ada kehidupan Akhirat.
Ketika itu, seluruh umat manusia dihimpunkan di hadapan Allah Rabbul Jalil
untuk dihitung amalan, termasuklah kita semua yang berada dalam rumah Allah
ini.
Inilah yang dijanjikan oleh Allah
SWT melalui FirmanNya, menerusi surah al-Kahf ayat 48-49 yang bermaksud:
“Dan mereka dihadapkan kepada
Tuhanmu dengan berbaris dan dikatakan kepada mereka: Bahawa kamu datang kepada
Kami sebagaimana Kami jadikanmu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka,
bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu. Dan Kitab-kitab
Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa
takutakan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami,
mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau
besar, melainkan semua dihitungnya. Dan mereka dapati segala yang mereka
kerjakan itu ada tertulis di dalamnya dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim
kepada seseorang pun.”
Kepimpinan dalam Islam, adalah
suatu tanggungjawab yang dibebankan ke atas setiap mereka yang dilantik dan
diberi kuasa sebagai ketua sama ada untuk keluarga, masyarakat, negara dan
dunia amnya. Ia adalah amanah yang wajib dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan
risalah dakwah Islamiah.
Ini ditegaskan oleh Allah
menerusi firmanNya dalam Surah al-Anbiya’ ayat 73 yang bermaksud :
“Dan Kami jadikan mereka
ketua-ketua ikutan, yang memimpin(manusia ke jalan yang benar) dengan perintah
Kami dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan solat,
serta memberi zakat dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami”.
Peranan pemimpin bermula daripada keluarga. Ia merupakan asas sesebuah masyarakat bagi melahirkan generasi yang
bertaqwa dan beramal soleh.
Peranan ketua keluarga adalah
memastikan keluarganya dalam keadaan aman sejahtera dan sentiasa diberkati
Allah.
Antara ciri ketua
keluarga yang baik ialah:
Pertama: Sentiasa
mengutamakan dan peka tentang pendidikan agama, penghayatan al-Quran dan
al-Sunnah kepada diri dan keluarganya. Ia adalah asas terpenting kepada mereka
dalam menghadapi cabaran semasa, dan memberi panduan sepanjang hayat mereka
untuk kembali ke jalan yang benar jika mereka tersesat jauh dari landasan
kebenaran.
Ketua keluarga juga perlu
menunjukkan qudwah hasanah (teladan yang baik) kepada ahli keluarganya seperti
yang telah disarankan oleh Nabi SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Ibn Majah RH daripada Anas bin Malik RA:
“Muliakanlah anak-anakmu dan
tunjukkanlah kepada mereka adab-adab yang baik”.
Kedua: Ibu bapa perlu
memastikan rezeki yang diperolehi adalah dari sumber yang halal lagi baik. Ia
akan memberi kesan kepada kehidupan sama ada menjadi insan soleh atau
sebaliknya.
Ketiga: Ibu bapa perlu
memperuntukkan masa yang berkualiti bersama ahli keluarga. Isikanlah masa
dengan aktiviti yang bermanfaat antaranya solat berjemaah, talaqi al-Quran dan
al-Hadith bersama ahli keluarga, hadir majlis ilmu dan sebagainya yang dapat
menerapkan nilai-nilai Islam dalam pembinaanjati diri ahli keluarga bagi
menghadapi persekitaran yang sangat mencabar dan boleh mengelakkan mereka dari
terjebak dengan gejala sosial yang menghantui anak-anak kita hari ini.
Mimbar ingin mengajak para jemaah
sekalian merenung sejenak akan realiti yang berlaku dalam kalangan para bapa
hari ini. Ramai dalam kalangan kita
mengabaikan tugas sebagai ketua keluarga dalam membimbing, memimpin, menegur
atau memperbetulkan kesalahan isteri dan anak-anak, terutama dalam perkara
melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna.
Contohnya pelaksanaan solat fardhu, zakat, puasa dan lain-lain. Berapa
ramai dalam kalangan kita hari ini yang sanggup merotan anak-anak yang
mengabaikan solat apabila mencapai umur 10 tahun?
Berapa ramai dalam kalangan kita
yang bertegas melarang isteri dan anak-anak perempuan daripada mendedahkan
aurat ketika keluar rumah? Tepuklah dada tanyalah iman.
Justeru, mimbar ingin mengajak
kaum muslimin yang bergelar suami atau bapa yang memikul amanah sebagai
pemimpin, marilah sama-sama kita bermuhasabah apakah kita telah memimpin
bahtera rumahtangga sebagaimana yang dikehendaki Islam?
Renungilah dan insafilah, semoga
kita beroleh pengajaran.
Islam telah meletakkan
syarat-syarat kepimpinan untuk menjamin kejayaan sesebuah keluarga, masyarakat
dan negara sekali gus menjadikan Islam sebagai model terbaik dalam kepimpinan
dan pemerintahan.
Antara ciri Pemimpin Unggul di
dalam Islam ialah:
Pertama: Berjiwa Islam dan
patuh pada perintah Allah SWT, bertanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat
dan negara.Contohilah Rasulullah SAW walau di kedudukan mana kita berada.
Baginda adalah seorang pendakwah, guru, imam, ketua negara, panglima perang dan
berbagai lagi tugas, namun ia tidak menghalang baginda dari membantu
isteri-isterinya dalam menguruskan rumahtangga. Begitu juga, pangkat dan
kedudukan baginda sebagai ketua umat Islam dan ketua negara tidak menyebabkan
baginda rasa malu untuk membuat kerja-kerja rumah walaupun kepenatan
menjalankan urusan agama, umat dan negara.
Kedua: Adil dan saksama.
Anak-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa, ibu bapa wajib menafkahkan
mereka, memberi tempat perlindungan, menjaga keselamatan dan yang lebih penting
lagi mendidik mereka dengan didikan agar mereka mengenali Allah dan menjadi
anak-anak yang mentaatiNya. Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana hadis
yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi RH daripada Aisyah RA:
“Sebaik-baik kamu ialah yang baik
terhadap kaum keluarganya dan aku adalah yang paling baik di antara kamu
terhadap keluargaku.”
Ketiga: Berilmu, berkuasa
dan berkemampuan. Dalam pengurusan keluarga contohnya, ilmu dan kemahiran
keibubapaan adalah kunci bagi menyelesaikan sebarang masalah yang melibatkan
ahli keluarga. Di samping itu, kebijaksanaan menegur dan memperbetulkan
kesilapan dan kemampuan mengurus rumahtangga adalah penentu kejayaan dan
kegagalan dalam mencorakkan kehidupan.
Keempat: Berakhlak dengan
akhlak Islam. Dari aspek pengurusan keluarga, susurilah sirah Rasulullah SAW
yangmerupakan seorang yang bertanggungjawab, sentiasa memberi kasih sayang,
berlemah lembut dan bertolak ansur terhadap semua ahli keluarganya. Manakala
dari aspek hubungan dengan rakyatnya, Rasulullah SAW sebagai ketua juga selalu
berbincang dengan para sahabat dan menghargai pandangan yang diberikan oleh
mereka.
Hayatilah sirah Nabi SAW sebagai
pemimpin unggul sebagaimana dirakamkan oleh Allah menerusinya firmanNya dalam
surah al-Ahzab ayat 21 yang maksudnya:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi
kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang
sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta
dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan
senang). ”
Pemimpin yang baik ialah mereka
yang turut sama merasai denyut nadi rakyat bawahannya. Teladanilah Rasulullah
SAW ketika berlakunya peristiwa Perang Ahzab di mana baginda sendiri bersama
dengan para sahabat menggali parit sebagai
benteng dari ancaman musuh daripada menyerang Kota Madinah.
Insan agung utusan Allah ini
adalah contoh terbaik bagi kita sepanjang zaman. Mencontohi baginda sebagai
pemimpin agung umat Islam adalah nilai manusia yang bertamadun, mereka
mengasihi Allah dan RasulNya dan Allah akan mengasihi kita.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati
Allah, antara Intipati Khutbah yang dapat diambil pengajaran bersama ialah:
Pertama: Contohilah
Rasulullah sebagai pemimpin yang baik dan turut sama merasai denyut nadi rakyat
bawahannya.
Kedua: Peranan pemimpin
bermula dari keluarga kerana ianya institusi yang merupakan asas sesebuah
masyarakat bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh.
Ketiga: Kepimpinan adalah
amanah yang wajib dilaksanakan bagi memastikan risalah dakwah Islamiah dan
untuk menegakkan syiar dan syariat Islam.
Renungilah Firman Allah SWT
menerusi Surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)
dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh)
kamumenghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi
pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa
Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan