Khamis, 8 November 2012

ISU SOSIAL : Jalan keluar membentuk jiwa remaja


Oleh : HASAN AL-BANNA MOHAMED

Zaman remaja hanya datang sekali sahaja bagi setiap manusia yang hidup di dunia sementara ini. Alam remaja merupakan usia peralihan dan era puncak bagi kehidupan seseorang yang dipenuhi pelbagai tribulasi.

Jika mereka mampu atasi dugaan yang penuh onak duri, nescaya akan lahirlah suatu kuasa besar sebagai agen transformasi dalam mereformasikan sesebuah negara bangsa. Golongan ini dianggap sebagai ‘pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara’. Remaja juga diistilahkan oleh kebanyakan pakar psikologi dan kaunseling sebagai individu yang mula akil baligh (berakal dan cukup umur) - dalam lingkungan 13 tahun sehingga mencapai usia 24 tahun.

Sekiranya dalam tempoh umur tersebut kehidupan mereka goyah atau hilang arah, maka pasti akan bergelumang dengan noda dan akhirnya pincanglah  pembangunan sesebuah keluarga, komuniti dan negara pada masa hadapan.

Namun anak remaja yang sanggup mendepani pelbagai cubaan, kecekalan dan keteguhan iman serta takwa dalam diri akan terselamat daripada fitnah  besar. Contohnya, golongan Ashabul Kahfi (para pemuda dalam gua) yang tercatat dalam al-Quran (Surah al-Kahfi, ayat 10 hingga13) - menceritakan betapa kuatnya tahap kemanisan iman mereka pada waktu itu sehingga sanggup menjauhkan diri daripada pemerintah yang zalim serta persekitaran yang penuh dengan gejala negatif; lalu tinggal dan tertidur di dalam sebuah gua.

Begitu juga dengan Sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sanggup mendaki gunung dan bukit untuk ber‘uzlah’ (menjauhkan diri) daripada kebejatan sosial jahiliyah pada zaman Baginda SAW demi beribadat kepada ALLAH SWT dengan penuh kekhusyukan.

Cuba kita teliti pula pada zaman moden ini terhadap gerak langkah dan gaya hidup remaja Muslim, sama ada di bandar mahupun desa. Pada tahun lepas sahaja, statistik mencatatkan 3,203 kes jenayah membabitkan remaja dalam negara kita. Jumlah tersebut membimbangkan ramai pihak jika tidak diambil tindakan sewajarnya, malah kadangkala masyarakat mudah menyalahkan mereka atas apa dilakukan.

Kita sering mendengar remaja terlibat gejala rempit, gengster, gothic, bohjan, bohsia, pengkid, kes rogol, lari dari rumah, menggugurkan kandungan dan membuang bayi, merokok, menghisap dadah, terbabit dalam kes perzinaan dan pelacuran, rompakan atau pembunuhan.

Apakah ini menggambarkan bahawa institusi pendidikan kita sudah tidak lagi terkesan kepada anak remaja? Apakah pendidik, ibu bapa atau masyarakat yang harus dipersalahkan seratus peratus? Adakah persekitaran yang membuatkan mereka berani bertindak sedemikian?

Atau sudahkah mereka hilang pedoman yang sebenar?

Persoalan-persoalan tersebut pasti terjawab apabila kita kembali kepada dasar ajaran Islam yang hakiki dengan merujuk panduan-panduan jelas dalam memberi pendidikan kepada anak-anak kita. Perkara yang paling utama harus diambil tindakan segera ialah semua pihak hendaklah menggembleng tenaga, jiwa dan raga dalam memberikan perhatian kepada anak remaja.

Bermula dalam komuniti keluarga terlebih dahulu dengan mengkoreksi diri setiap ibu bapa dengan persoalan... ‘Adakah mereka sudah memberikan didikan agama yang sepatutnya terhadap anak-anak?’ Pernahkah ditanya dengan anak-anak tentang perasaan, kesihatan, pelajaran, kawan-kawan dan seumpamanya? Adakah kita pernah mengusap kepalanya atau mengucup mereka dengan rasa kasih sebagai seorang bapa atau ibu? Jika belum, lakukanlah sekarang sebelum terlambat!

Sepatutnya kitalah terlebih dahulu mempelajari ilmu-ilmu keagamaan dan kemahiran keibubapaan selumat yang mampu.

Bukan terhenti setakat itu sahaja, ibu bapa juga perlulah memahami konflik jiwa remaja dengan memberikan perhatian teliti terhadap perubahan diri anak-anak seperti fizikal, emosi, mental, sosial dan moral.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hadzir Md Zin dalam Seminar Bersama Remaja di Universiti Malaya; punca terjadinya kebejatan sosial remaja ialah kegagalan menguasai kekuatan asas hidup berakhlak dan pengaruh negatif teknologi maklumat.

Di samping itu, kita juga perlu menyedari terhadap empat pengaruh besar yang mengesani peribadi dan tingkah laku remaja iaitu pengaruh ibu bapa sendiri, pengaruh kawan-kawan, teman istimewa dan terakhir adalah pengaruh guru-guru atau kaunselor. - Bernama

ISU GLOBAL : Obama dipilih semula sebagai presiden


Catat sejarah sebagai calon Demokrat kedua sejak Perang Dunia Kedua yang berjaya pertahan jawatan

WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berjaya mempertahankan jawatannya buat penggal kedua semalam, sekali gus mencatatkan sejarah dengan menundukkan pencabarnya daripada Parti Republikan,  Mitt Romney.

Beliau menjadi calon Parti Demokrat kedua selepas Bill Clinton yang berjaya mempertahankan jawatan presiden Amerika sejak era Perang Dunia Kedua.

Pilihan raya kali ini dilihat sebagai yang paling sengit dalam sejarah Amerika walaupun Obama menang dengan selesa empat tahun lalu dan muncul sebagai pemimpin kulit hitam pertama memenangi jawatan presiden pada 2008.

Dengan hanya undi di Florida belum diketahui apabila akhbar ini dicetak, Obama telah memperoleh 303 undi perwakilan iaitu melebihi 270 undi yang diperlukan untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika ke-57 itu.

Obama menewaskan Romney di tujuh wilayah atas pagar iaitu Ohio, Virginia, Iowa, New Hampshire, Wisconsin, Nevada dan Colorado.

Romney pula memperoleh 206 undi perwakilan dan satu-satunya negeri atas pagar yang dimenanginya ialah di North Carolina, menyebabkan harapan calon Republikan itu untuk menjadi presiden berakhir.

Obama memasuki penggal kedua selama empat tahun lagi dengan tugas sukar menangani defisit tahunan bernilai AS$1 trilion ($1.2 trilion); mengurangkan hutang negara sebanyak AS$16 trilion dan merombak program sosial yang mahal.

Beliau, bagaimanapun, dilihat sebagai calon lebih baik bagi golongan berpendapatan rendah dan pertengahan memandangkan Romney disifatkan sebagai calon yang lebih condong memperjuangkan nasib golongan kaya.

Seperti kata Bernadetter Hatcher, 42 tahun, seorang pengundi yang menyokong Obama:

"(Pilihan raya) ini mengenai apa yang telah beliau lakukan. Tiada sesiapa yang boleh memperbetulkan semua dalam tempoh empat tahun, terutama ekonomi."

Di peringkat awal pengiraan undi, beberapa kali Romney mendahului Obama tetapi Obama yang kemudian melepasi garisan minimum 270 undi perwakilan.

Dari segi undi popular, Obama menang dengan kelebihan tipis dengan mendapat 50 peratus undi, berbanding 49 peratus yang diraih Romney.

Obama telah memenangi pilihan raya kali ini dengan kadar pengangguran yang masih tinggi iaitu 7.9 peratus.

Dalam ucapan kemenangannya di Chicago, Obama membayangkan masa depan yang lebih cerah.

"Ekonomi kita sedang pulih, perang yang berlarutan sejak sedekad lalu telah hampir tamat," ujar beliau.

Sambil mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterimanya, Obama berkata:

"Saya telah belajar daripada anda, dan anda telah menjadikan saya seorang presiden yang lebih baik. Saya kembali ke Rumah Putih dengan tekad lebih bulat dan lebih berinspirasi mengenai tugas yang perlu dilakukan."

Sedar akan cabaran itu, Obama menambah:

"Malam ini, dalam pilihan raya ini, rakyat Amerika telah mengingatkan kita bahawa sementara laluan yang perlu kita tempuhi adalah sukar, perjalanan yang kita lalui jauh, kita telah berjaya bangkit, kita telah memperjuangkan nasib kita. Dalam hati kita, kita tahu, bagi Amerika Syarikat, yang terbaik bakal menjelang."

Obama turut menghadapi Kongres yang berpecah-belah, dengan Parti Republikan mengekalkan majoritinya dalam Dewan Perwakilan, sementara Parti Demokrat mengekalkan kawalannya di Dewan Senat.

Bagi mengatasi kebuntuan itu, Obama berkata beliau sedia berbincang dengan Romney mengenai cara menggerakkan negara itu ke depan.

"Kami mungkin telah bertarung dengan sengit, tetapi ia hanya kerana kami sangat cinta akan negara ini dan kami amat prihatin akan masa depannya," kata beliau. - AP, AFP, Reuters.

ISU PENDIDIKAN : Insentif bantu tingkat pelajar aliran sains


Cadangan potongan cukai kepada ibu bapa sebagai insentif jika anak mereka belajar dalam aliran sains boleh menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang berkenaan. Selain insentif itu, biasiswa atau dermasiswa yang bakal ditawarkan kepada pelajar berkenaan juga akan menggalakkan mereka menceburi bidang sains sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Bagaimanapun matlamat kerajaan itu hanya mampu dicapai jika pelajar sekarang mempunyai minat mendalam dalam sains. Untuk itu kementerian perlu menjalankan kajian teliti bagi mengenal pasti punca sebenar pelajar tidak berminat aliran sains terutama pelajar Melayu. Sehingga kini rungutan pelajar dan ibu bapa perlu diambil kira termasuk dari segi kaedah pengajaran, kemudahan makmal serta kekurangan guru pakar terutama di luar bandar dan pedalaman.

Ibu bapa tentu mengharapkan jaminan aliran sains membantu anak mereka berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi. Kemerosotan jumlah pelajar aliran sains sepatutnya tidak berlaku kerana dasar pengambilan adalah 60 peratus sains dan teknikal serta 40 peratus sastera atau dengan nisbah 60:40. Walaupun matlamat ini sudah lama disasarkan tetapi bilangannya masih rendah iaitu sekitar 20 peratus bagi calon yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang.

Pelbagai usaha sedang dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan bilangan pelajar sains kepada 60 peratus, termasuk menerima pakai 15 cadangan daripada jawatankuasa kumpulan pakar dianggotai universiti dan ahli akademik. Kerajaan mensasarkan peningkatan pelajar aliran sains sekurang-kurangnya 10 peratus pada 2014. Harapan itu boleh dicapai jika pelajar dan ibu bapa diberi penerangan jelas mengenai hala tuju aliran sains dan keperluan tenaga mahir bagi menjayakan Wawasan 2020. Sebelum ini segelintir pelajar aliran sains yang menamatkan pengajian peringkat tinggi mendakwa sukar mendapat pekerjaan berbanding rakan mereka di aliran sastera. Kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengatasi tanggapan itu. Kita yakin perancangan rapi Kementerian Pelajaran di samping pelbagai insentif dalam kalangan ibu bapa dan pelajar sendiri bakal mengimbangi sains tulen dan sains sosial. Malaysia yang maju dan makmur pada masa depan bermula daripada cendekiawan dan ilmuwan sains, sastera, agama dan teknologi. Keragaman pencapaian dalam pelbagai sektor bakal menyempurnakan sebuah negara maju yang kaya dengan pelbagai kepakaran. Justeru, insentif kerajaan bagi merangsang pertambahan pelajar aliran sains sepatutnya dilihat secara positif demi masa depan bersama.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Naik gred tanpa temu duga


Guru cemerlang berijazah dilantik terus DG41 tahun depan

Seremban : Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memiliki ijazah sarjana muda akan dilantik terus ke gred DG41 tanpa temuduga mulai tahun depan.

Kumpulan itu yang memperoleh ijazah melalui pengajian separuh masa atau pengajian jarak jauh (PJJ) boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran SPP untuk dikecualikan daripada ditemuduga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan SPP itu bertujuan menyokong usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan latihan dalam perkhidmatan kumpulan pendidik di negara ini.


Cepat proses kenaikan pangkat

“Langkah ini dibuat bagi mempercepatkan proses kenaikan gred kerana mereka terbukti cemerlang,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam ucapan perasmiannya pada Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi SPP, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, SPP turut mengecualikan temu duga bagi pelantikan guru baru yang cemerlang dalam akademik dan ikhtisas dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, SPP mula mengenal pasti calon terbabit ketika pemilihan awal bakal guru.

Sehubungan itu, katanya semakan semula sistem pelajaran dan organisasi IPGM dan IPT perlu dibuat bagi melahirkan warga pendidik berkualiti dan cemerlang.

2,960 orang kelompok pertama

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kajian Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKPT) mendapati hanya 50 peratus pengajian disampaikan dengan berkesan atau memuaskan.

Bulan lalu, beliau mengumumkan calon guru yang bakal dipilih ialah 30 peratus di kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam bidang perguruan.

Beliau berkata, seramai 2,960 orang kelompok pertama graduan IPGM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan sebelum 1 Julai, ditempatkan sementara oleh Kementerian Pelajaran mulai 16 Oktober.

Katanya, calon berijazah selepas Jun seramai 7,755, perlu mengemukakan permohonan kepada SPP mulai 1 November secara online, melalui portal SPP (untuk calon IPGM) atau JobsMalaysia (calon IPTA).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Warga setia kuasai bahasa kebangsaan


Oleh : Rejal Arbee 

Menghairankan kerana selepas merdeka selama lebih 55 tahun dengan persetujuan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan, penggunaannya masih menjadi persoalan. Terbaru ialah usaha untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam negara.

Diakui bahasa Inggeris sudah pun menjadi bahasa antarabangsa yang sepatutnya boleh dikuasai  rakyat. Usaha juga perlu dilaksanakan supaya semua lepasan sekolah dan universiti kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Tetapi apakah penguasaannya hanya boleh dilakukan dengan mengabai atau memperlekehkan bahasa Melayu hingga ada pula beberapa kerat rakyat yang mahu sekolah Inggeris, iaitu sekolah dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dikembalikan?

Apakah ini saja jalannya untuk memastikan seseorang pelajar fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris? Mestikah penguasaan baik bahasa Inggeris hanya boleh dicapai dengan mengabaikan bahasa Malaysia?

Tak serius guna bahasa Malaysia

Sehingga sekarang masih terdapat sebilangan rakyat negara ini yang berterusan tidak serius berhubung penggunaan bahasa Malaysia hingga ada lepasan sekolah, khususnya dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang tidak boleh bertutur atau memahami bahasa Melayu dengan baik.

Persoalan mengenai penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah tidak seharusnya timbul lagi, begitu juga pandangan bahawa hanya dengan wujudnya sekolah bahasa Inggeris barulah rakyat negara ini boleh menguasai bahasa itu.

Dalam keghairahan mahu rakyat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, janganlah kita meminggirkan bahasa Malaysia. Ia sudah pun diterima sebagai bahasa kebangsaan. Semua yang mengakui warga negara ini seharusnya bersedia mendukung dan mencintai bahasa Malaysia, iaitu bukan sekadar memahami tetapi juga boleh bertutur dengan baik.

Bahasa Malaysia sebenarnya adalah tonggak kenegaraan dan kedudukannya juga mengatasi bahasa lain termasuk bahasa sukuan. Hakikat ini perlu difahami oleh semua rakyat negara ini tanpa berdolak dalih lagi.

Justeru, semua individu yang mengakui cintakan negara ini tidak harus terikut dengan kemahuan pendukung sekolah Cina yang tidak serius mahukan lepasan sekolah itu dapat menguasai bahasa Malaysia dengan baik.

Pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC pada masa ini hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga, iaitu untuk pelajar mereka lulus dalam mata pelajaran itu dan memperoleh sijil persekolahan.

Sudut perkauman sempit

Itulah juga kenapa hingga sekarang persatuan seperti Dong Zong tetap tidak berganjak daripada syarat bahawa semua guru yang mengajar Bahasa Melayu mesti boleh bertutur bahasa Mandarin. Apa kena mengena pembelajaran Bahasa Melayu dengan penguasaan bahasa Mandarin? Malah jika guru yang mengajar Bahasa Melayu tidak tahu bahasa Mandarin, keadaan ini akan memaksa muridnya berusaha mempelajarinya untuk berinteraksi dengan guru.

Kesimpulan yang boleh kita andaikan ialah puak Dong Zong dan sekutunya tidak mahu menerima bahasa Melayu sebagai tonggak negara. Mereka tidak mahu menerima usaha memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu di SJKC kerana kononnya masyarakat Cina membantah. Mereka ini jugalah yang berterusan melihat semuanya dari sudut perkauman sempit.

Selagi mereka tidak bersedia berperasaan terbuka, selagi itulah syak wasangka terhadap puak begini tidak dapat diketepikan. Justeru, orang Melayu tidak harus terpesong dengan kehendak melampau begini yang tidak mahu menunjukkan mereka benar-benar adalah warga negara yang mencintai negara sendiri dan sanggup mendukung tonggak kenegaraan dengan menghormati bahasa kebangsaan.

Puak ini jugalah apabila dipersoalkan kesetiaan mereka terhadap negara ini akan melenting kononnya mereka juga adalah rakyat yang setia dan cintakan negara. Kesetiaan apa kalau bahasa negara sendiri pun diabaikan dan seolah-olah tidak mahu mengiktirafnya?

Kini pihak berkuasa perlu pula mengadakan lagi kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan semula pada 2010 untuk mempromosikan kedudukan bahawa kita adalah “satu bahasa, satu bangsa dan satu negara”. Puak yang tidak mengendahkan penggunaan bahasa Melayu sepatutnya berasa malu dengan ratusan ribu rakyat asing yang selepas berada di sini beberapa bulan saja sudah boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Sepatutnya selepas begitu lama mencapai kemerdekaan, soal tentang  tahap penguasaan bahasa Melayu oleh sesetengah rakyat tidak harus wujud lagi. Mereka yang mengakui diri sebagai warga setia yang cintakan negara tidak akan sesekali mengabaikan bahasa kebangsaan.

Penulis Felo Kanan di UKM

Sumber : http : //www.bharian,com.my/