Rabu, 31 Oktober 2012

JADILAH SEORANG LELAKI


Jadilah seorang lelaki beriman, yang mengerti erti taqwa dan menghayati kehidupan beragama ini. Kelak dalam hidupmu menggarap ilmu daripada setiap taman-taman Syurga lalu meraih makrifah.

Jadilah seorang lelaki yang bertaqwa lalu meniti kehidupan dengan hati yang berpaut kepada Allah. Tegar solatlah sekhusyuknya di sejadah cintamu sebagai hamba

Jadilah seorang lelaki yang sopan berakhlak, penyayang dan pemurah kerana kau dijadikan Allah untuk memberi kudrat dan jiwamu untuk berkorban. Pancarkan maruahmu dengan amal yang mampu diteladani.

Jadilah seorang lelaki yang santun kepada orang tuamu, seorang lelaki yang teguh menyayangi anak isteri dan saudara-saudaramu. Mereka mengagumimu sebagai pahlawan dengan pembawaan muliamu itu.

Jadilah seorang lelaki yang memegang al-Quran di tangan kanan dan sunnah di tangan kirimu, menggenggam Islam tanpa tiris dan bocor dan menggigit iman sekukuhnya di gerahammu. Kautitilah jalan-jalan perjuangan dengan ketabahan hati sekental hati Nabi s.a.w.

Jadilah seorang lelaki yang berani berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.

HASANUDDIN MD ISA

Institut Aminudin Baki
Sri Layang

25.9.2012

ISU BAHASA : Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 fokus sektor pendidikan


KUALA LUMPUR 31 Okt. - Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2012 yang memberi fokus kepada sektor pendidikan dilihat mampu memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran 1, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, proses memartabatkan bahasa Melayu menjadi lebih mudah dengan menggunakan pendidikan sebagai pendekatan dan bukan secara paksaan.

Tambah beliau, program berkenaan dapat memupuk rasa cinta akan bahasa kebangsaan di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingannya.

"Sambutan ini juga dapat memantapkan lagi jati diri dan citra kita sebagai bangsa Malaysia.

"Kita perlu sedar bahawa penggunaan bahasa kebangsaan oleh pelbagai kaum mampu mengeratkan perpaduan bangsa dan menyemarakkan peranan bahasa sebagai tonggak pembinaan negara," katanya ketika melancarkan program berkenaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Way hari ini.

BBK 2012 bertemakan "1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara". - UTUSAN

ISU BAHASA : Martabatkah bahasa Melayu?


MARTABATKANLAH bahasa kita. Bahasa adalah perpaduan. Bahasa adalah penyatuan. Di negara yang mempunyai masyarakat majmuk, bahasa memainkan peranan yang amat penting.

Dengan menggunakan bahasa yang sama barulah dapat kita memahami hati budi, saling kenal mengenali antara satu sama lain dan seterusnya akan timbul perasaan saling hormat menghormati.

Dengan itu juga akan terputik rasa kasih sayang yang dari sini akan terjalinlah hubungan baik lagi akrab.

Justeru penyatuan yang padu di kalangan masyarakat akan wujud. Masyarakat akan bersatu dalam apa-apa jua yang melibatkan kepentingan bersama apatah lagi kepentingan negara. Ini satu nilai murni yang amat penting.

Nilai murni yang harus dipupuk dan terus dibaja agar sentiasa segar kerana jika tidak ia akan perlahan-lahan hilang. Oleh itu hal yang kelihatannya begitu kecil mempunyai erti yang sangat besar dan mendalam. Jangan kita pandang sebelah mata kerana impaknya adalah besar.

Masyarakat bersatu padu dan mempunyai sifat kenegaraan yang tinggi, itulah masyarakat yang negara kita amat perlukan. Inilah yang dikatakan 1Negara, 1Bangsa. Bangsa Malaysia. Bangsa yang mempunyai sifat kenegaraan yang sangat kuat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Oleh itu penggunaan bahasa Melayu haruslah meluas dan meliputi segala aspek kehidupan. Walaupun bukan mudah tetapi mesti dilakukan.

Penggunaan bahasa Melayu ini di semua jabatan kerajaan misalnya memang harus diteruskan dan ditingkatkan. Apa yang penting di sini jangan dibiarkan bahasa Melayu itu dianaktirikan.

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah kita harus menghormati bahasa itu sendiri dengan penggunaan perkataan dan tatabahasa yang tepat dan betul walau di mana jua.

Sebagai contoh, papan-papan tanda yang ada di serata kawasan, haruslah dipantau.

Penguatkuasaan daripada pihak kerajaan tempatan adalah amat penting dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga atau mengambil sikap acuh tak acuh. Penggunaan bahasanya haruslah betul dan ejaannya mestilah tepat.

DR. DAHLIA DAHNIL
Bandar Baru Selayang